
Uhud, memahat sejarah, menjadi saksi tumpah darah, membakar harum Syurga bauan Syuhada’. Kisahnya menggamit aku untuk ke sana. Siapa mungkin bisa lupa akan pengorbanan para sahabat yg semangat jihadnya bisa menenggelamkan Uhud. Coretan Uhud masih segar dalam lipatan sejarah. Tatkala membaca lembaran Uhud, rasa mendetik jiwa untuk turut berjihad sama. Namun, apakah masih ada medan Uhud buatku?Aku masih tertanya? Apakah medan Uhud masih terbentang buatku yg sedang leka dalam kealpaan dunia.
Kusingkap helaian kisah Mus’ab Bin Umair. Seorang rupawan dari keluarga bangsawan. Hidupnya dilimpahi kesenangan dan kemewahan, berpakaian terbaik dari sutera sulaman tangan yang membalut tubuh tampannya. Namun, Uhud menjadi saksi merungkai segalanya. Naqib pertama yang dihantar Rasulullah ke bumi Yathrib itu gugur syahid mengejar Jannah. Saat matinya, tiada lagi sutera mewah yg bias menjadi kapan. Sehelai kain hanya cukup untuk menutup wajah ,mendedahkan kaki sehingga meruntun hati suci Rasulullah. Pemuda kacak yang pernah berpakaian terbaik di Kota Mekah itu meninggalkan segalanya demi Islam dan bumi Uhud bakal menjadi saksi kelak akan pengorbanannya menegakkan bendera Islam sehingga kedua tangannya dipotong musuh Allah. Namun, apakah aku bisa menjejaki Pejuang Uhud itu tatkala helaian baju mewah masih membaluti tubuhku sehingga aku lupa bahawa itu hanya semata-mata dunia. Tatkala aku mengejar jenama pakaian terkemuka, melabur wang untuk segak bergaya, aku terlupa akan pengorbanan Pejuang Uhud ini. Pakaian dan perhiasan yang menghiasi tubuh ini membuat aku leka dan alpa. Aku tertanya, apakah masih ada medan Uhud buatku? Ya Allah, seandainya pakaian dan perhiasan ini membuatkan aku lupa dan leka akan tanggungjawabku untuk menegakkan agamamu, membuatkan aku semakin menjauhi rahmatmu, Kau padamkanlah kecintaanku pada pakaian dan perhiasan. Ya Allah, jika pakaian dan perhiasaan ini akan melambatkan aku untuk sampai ke SyurgaMu, Kau hapuskanlah kecintaanku padanya. Ya Allah jika pakaian dan perhiasan ini memberatkan aku tika meniti Titian Sirat, Kau lunturkanlah nafsuku padanya. Read the rest of this entry »




