Atap Hijau Rss

Bulan Rejab

0

Posted by Nur Islam | Posted in Dakwah, Ibadah, Sejarah | Posted on 06-07-2009

Pengertian

Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan dan ia membawa maksud bulan yang dibesarkan atau dimuliakan. Masyarakat Jahiliyah menamakan bulan ini dengan bulan Rejab kerana mereka memulia dan menghormati bulan ini dengan mengharamkan berperang di dalamnya. Dan Rasulullah SAW mengekalkan nama ini dan mengharamkan pertumpahan darah di bulan Rejab. Dan bagi umat Islam, kita memperingati dan memuliakan Rejab sempena dengan peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah SAW iaitu peristiwa Isra’ dan Mi’raj.

Peristiwa Penting

1.Hijrah Pertama (Hijrah ke Habsyah) (Ethiopia)
Pihakmusyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.

Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Diantara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman RA dan istrinya Roqiah anak Rasulullah SAW. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.

2. Isra’ dan Mi’raj

Isra’dan Mi’raj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmuqaddis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT. Dalam menentukan tarikh bila berlakunya peristiwa ini, sebahagian ulama mengatakan pada 27 RabiulAkhir; sebahagian ulama mengatakan pada 17 RabiulAwal; sebahagian ulama mengatakan 29 Ramadhan; sebahagian ulama mengatakan pada 27 Rejab dan sebahagian ulama yang lain mengatakan pada tanggal-tanggal selain dari yang tersebut.

Menurut Chalil, 1999 sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr.(H) Hj. Kassim Bahali, ada setengah ulama mengatakan pada malam tanggal 7 RabiulAwal. Adapun yang terbanyak ialah golongan yang mengatakan pada tanggal 27 Rejab, sekalipun tidak dengan alasan yang kuat.

Tahun berlakunya juga terdapat perselisihan pendapat ulama, ada sebahagian yang mengatakan pada tahun ke 5 dari Bi’tsah (tahun mula diutusnya peribadi Nabi), sebahagiannya berpendapat pada tahun ke 12 dari Bi’tsah; sebahagiannya berpendapat pada tahun sebelum Nabi hijrah ke Thaif, sebahagian berpendapat pada tahun ketiga sebelum hijrah Nabi S.A.W ke Madinah dan ada yang sebahagiannya pula berpendapat lain dari semuanya itu. Bagaimanapun seorang ahli sejarah Islam bernama Ibnu Saad telah mencatatkan dalam kitabnya “At-Tobaqatil Qubra”, bahawa berlaku israk mikraj terhadap Nabi s.a.w. ialah pada lapan belas bulan sebelum Nabi S.A.W. hijrah ke Madinah dalam satu peristiwa yang amat bersejarah itu.(Tazkirah, Pusat Zakat N. Sembilan)

3. Perang Tabuk

Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah SAW dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi berbagai kesukaran.

4. Pembebasan Baitul-Muqaddis

Baitul Muqaddis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan uamat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, umat Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Muqaddis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Muqaddis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitul Muqaddis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salehuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitul Muqaddis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

5. Lahirnya Imam Syafie RH.

Nama sebenar Imam Syafie RH ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Feqah. Malaysia mengamalkan mazhab Syafie. Diantara
peninggalan imam Syafie RH yang tiada ternilai harganya dan menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab al-Umm.

Amalan

Tiada amalan khusus untuk bulan Rejab yang diriwayatkan dari Rasulullah SAW yang dijumpai di dalam mana-mana hadis shahih. Penulis berpendapat ada hikmahnya kenapa Allah SWT, Rasulullah SAW dan para sahabat RA tidak memberitahu tarikh dan tahun berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Rasulullah SAW tidak mahu umatnya menetapkan ibadat-ibadat tertentu di bulan Rejab khasnya pada hari dan malam berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi’raj itu.

Ini untuk mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang diada-adakan (bid’ah) dan perbuatan membeza-bezakan kemuliaan satu-satu bulan. Namun begitu ada pendapat yang meriwayatkan tentang amalan-amalan sunat tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah Rejab.
Pendapat ini adalah bersandar kepada hadis-hadis lemah.

Terlalu banyak amalan-amalan sunat yang umum yang masih kita belum berkesempatan untuk mengamalkannya boleh kita praktikkan di bulan Rejab ini sebagai persediaan kita menjelang Ramadhan al-Mubarak. Diantaranya solat malam, qiamul-lail, puasa Isnin dan Khamis, tadarrus
al-Qur’an dan lain-lain lagi. Di sini penulis ingin menyarankan agar pada akhir bulan Jamadilakhir khasnya pada 29 Jamadilakhir, kita bolehlah melatih mata kita untuk menjejaki hilal. Proses melatih mata untuk merukyah hilal boleh dimulakan 20 minit sebelum Maghrib sehinggalah 20 minit selepas maghrib dengan memerhatikan ufuk Barat sekitar tempat matahari terbenam. Ini boleh dilakukan dengan mata kasar tanpa menggunakan sebarang alat kecuali untuk melihat matahari perlukan penapis (solar filter).

Bagi mereka yang mempunyai teleskop atau teodolite ataupun binocular, inilah masanya untuk menguji peralatan dan kemahiran masing-masing agar pada hari cerapan hilal Sya’ban, Ramadhan dan Syawal kita tidak menghadapi masaalah dalam melakukan cerapan hilal. Dan sebenarnya Rasulullah SAW sendiri amat mengambil berat tentang kedudukan bulan pada setiap akhir bulan khasnya apabila menjelangnya bulan Rejab dan bulan-bulan seterusnya.

Sumber Disediakan oleh:

Bahagian Falak dan Sumber Maklumat
Jabatan Mufti Negeri Melaka

Betulkah Allah Maha Adil?

1

Posted by Nur Islam | Posted in Akhlak, Akidah, Ekonomi, Politik | Posted on 26-06-2009

Setiap dari yang beriman dan mengaku diri sebagai Muslim itu wajib mempercayai tauhid Rububiyah, Uluhiyah dan Asma’ Wa Sifat. Sekiranya kita meragui biar pun satu dari bahagian Tauhid ini, maka pasti akan terbatalah ‘akidah kita. Salah satu dari Nama Allah yang mulia adalah Al-‘Adl yang bererti Yang Maha Adil.

Kita sering mendengar dan membacanya di dalam Al-quran mahupun Hadith bahawa Allah itu Maha Adil. Sebagai umat islam, wajib untuk kita mempercayai bahawa keadilah Allah S.W.T itu tiada tandingannya melebihi segalanya yg bergelar makhluk. Allah sebagai Tuhan Sekalian Alam telah memberi panduan kepada manusia akan bagaimana kita harus menjalankan hukum dalam mendepani tugas kita sebagai Khalifah. Atas dasar keadilan, Allah menetapkan hukum kepada manusia yang harus dipatuhi dan dijalankan.

Firman Allah dalam Surah Yusuf ayat 40, ‘Sebenarnya hukum(undang-undang) hanyalah bagi Allah’….

Maka sebagai umat islam wajib bagi kita mempercayai bahawa undang-undang yang diturunkan oleh Allah adalah sebaik-baik hukum kerana ianya datang dari Khaliq yang Maha Adil. Tiada undang-undang ideology manusia yang setara dengan Hukum yang datangnya dari Tuhan yang Maha Adil. Maka atas dasar kefahaman betapa Allah itu Maha Adil, mengapa masih lagi manusia memilih untuk berhukum dengan hukuman ciptaan manusia?Allah menurunkan Al-Quran sebagai panduan untuk kita menjalankan hokum dan Rasulullah mengajarkan kita cara pelaksanaannya melalui Sunnahnya.

Allah berfirman dalam surah Annisa’ ayat 45: ‘ Sesungguhnya kami turunkan kepadamu Kitab (Alquran)dengan sebenarnya, supaya kamu melaksanakan hukum di kalangan manusia dengan apa yang telah ditunjukkan kepadamu, dan janganlah kamu menjadi pembela kepada orang-orang yg khianat

Jika ditanya kepada umat islam pada hari betulkah Allah itu Maha Adil? Nescaya mereka akan berduyun-duyun mengakui keimanan mereka terhadap Keadilan Allah. Namun atas dasar keimanan apakah kita mengatakan Allah itu Maha Adil jika kita gagal dan ingkar dalam melaksanakan hukum Allah sedangkan iman itu adalah membenarkan dalam hati, menyebutnya melalui lisan dan menzahirkannya secara perbuatan. Jika kita menolak hukum Allah maka tepuk dada tanya iman, sejauh mana kita meyakini bahawa Allah itu Maha Adil. Jika kita masih lagi mahu menegakkan undang-undang manusia dan menepikan undang-undang Allah, maka betulkan kita meyakini bahawa Allah itu Maha Adil.

Firman Allah dalam Surah Al-An’am Ayat 115, ‘Telah sempurna Kalimat-Kalimat Tuhanmu dengan kebenaran dan Keadilan. Tidak ada perubahan-perubahan pada kalimatn-Nya. Ia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. ‘

Allah telah mengatakan bahawa setiap kalimah didalam Al-Quran itu adalah kebenaran dan keadilan maka setiap hokum dan perintah-Nya juga adalah kebenaran dan Keadilan. Namun umat islam pada hari ini lebih selesa memilih undang-undang ideology manusia dan menolak hukum yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita atas kesombongan dan kebongkakan kita. Lupakah kita akan mengapa Allah melaknat dan menghina kaum Bani Israel? Kerana mereka sombong, bongkak dan ingkar kepada hukum Allah.

Kita akan mengkeji dan mencebikkan bibir tatkala mendengarkan nama Mustafa Kamal At-Tartuk, bapa pemodenan Turki kononya sedangkan dialah yang menjadi punca kejatuhan Khalifah Islam. Dialah juga yang menjadi duri dalam daging menyemai ideology sekularisme dalam masyarakat islam. Dalam kekejian dan kebencian yang kita lemparkan kepada Mustafa Kamal At-Tartuk kita terlupa bahawa kitalah yang kini menjadi pewaris legasi perjuangannya. Mustafa Kamal At-Tartuk berjaya menyemai sekularisme dalam kehidupan masyarakat islam disebabkan kitalah yang menjadi pengikut setianya. Maka apakah layak bagi kita untuk mengkeji dia sedangkan dia berbangga mempunyai waris seperti kita.

Sekularisme yang menjadi kunci kepada demokrasi ideology barat, kini makin menjadi barah yang menghancurkan umat islam sendiri. Sekularisme menyerang system pemerintahan, system pentadbiran, system pendidikan dan juga system ekonomi. Kita semakin menjauhkan agama dari aspek kehidupan terutamanya dalam soal pentadbiran, perundangan dan pemerintahan.

‘Sesungguhnya akan terputus ikatan islam satu persatu. Dan setiap kali ikatan itu terputus manusia akan berpaut pada ikatan berikutnya. Bermula dengan ‘Al-hukm’ dan berakhir dengan ‘As-Solah’

Sistem nilai dalam kehidupan umat islam semakin hancur kerana tiadanya penguasaan oleh system pentadbiran dan pemerintahan yang berlandaskan syariat islam. Imam Al-Ghazali telah berpesan Agama itu satu asas. Pemerintah adalah pengawal. Maka sesuatu yang tidak ada asas akan runtuh dan sesuatu yang tidak ada pengawal akan hilang.” Kita semakin kehilangan nilai-nilai islam yang murni dalam kehidupan lantaran kealpaan dan kelekaan pemerintah yang sewajarnya bertindak menjadi pembela dalam mengukuhkan agama, dan sekiranya ini berlarutan maka nescaya agama islam akan runtuh dan binasa.

Allah juga telah menetapkan hukum-Nya yang hak dalam system ekonomi.

Firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 130, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah supaya kamu berjaya.”

Jelas Allah telah menetapkan hukumnya terhadap riba bahawa ianya haram dan dilarang sama sekali. Maka mengapa masih lagi kita dalam system pemerintahan dan pengendalian perbendaharaan Negara dan juga pengendalian ekonomi individu memilih dan berlumba-lumba untuk menggunakan system perbankan konvensional? Inilah pengaruh sekularisme yang menjalar dalam system ekonomi umat islam pada hari ini.

Usah kita katakan bahawa tiada pilihan selain perbankan konvensional kerana tatkala kejatuhan system nilai menyebabkan runtuhnya system ekonomi dan pentadbiran, system ekonomi barat yang berteraskan riba semakin menunjukkan kelemahan dan kepincangan, system ekonomi islam mula menunjukkan hasil dan kemajuannya. Maka, institusi perbankan konvensional berlumba-lumba untuk mencontohi system perbankan islam maka lahirlah CIMB Islamic, Maybank Islamic, HSBC Islamic dan pelbagai lagi yang berteraskan system islam. Inilah pilihan yang nyata bagi semua. Maka mengapa masih kita ragu Keadilan Allah dalam menetapkan hokum terhadap system ekonomi?

Sekiranya kita beriman dengan Keadilah Allah S.W.T, ianya tidak cukup disebut dan dilaung-laungkan dengan lafaz sebaliknya perbuatan dan amalan kitalah lah yang sewajarnya menjadi cerminan iman yang kukuh terhadap Allah. Marilah bersama-sama kita perangi Sekularisme mahupun dalam perundangan, pentadbiran, pemerintahan, pendidikan dan juga ekonomi.

Firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 104 ‘Hendaklah ada dikalangan kamu segolongan yang menyeru kepada kebaikn, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, mereka itulah orang yang mendapat kejayaan’.

Hikmah Berwudhuk

1

Posted by T-Classic 1853 | Posted in Fikh, Ibadah, Penulisan, Politik, Tazkirah | Posted on 22-06-2009

1.Ketika berkumur, niatlah “Ya Allah, ampunilah dosa mulut dan lidahku ini.”

Ini kerana kita hari-hari bercakap tentang perkara yang tidak  berfaedah.

2. Ketika membasuh muka, niatlah ” Ya Allah, putihkanlah mukaku di akhirat kelak, janganlah kau hitamkan muka ini.”

Ini kerana ahli syurga mukanya putih berseri-seri.

3.  Ketika membasuh tangan kanan, berniatlah kamu dengan, “Ya Allah, berikanlah hisab-hisabku melalui tangan kanan ku ini.”

Ini kerana ahli syurga diberikan hisabnya melalui tangan kanannya.

4.  Ketika membasuh tangan kiri, berniatlah kamu dengan, “Ya Allah, janganlah Kau berikan hisab-hisabku melalui tangan kiri ini.”

Ini kerana ahli neraka diberikan hisabnya melalui tangan kiri.

5.  Ketika membasuh kepala, niatlah “Ya Allah, lindungilah aku dari terik matahari di Padang Masyar dengan Arasy-Mu.”

Ini kerana panas di Padang Masyar macam matahari terletak hanya sejengkal di atas kepala kita.

6. Ketika membasuh telinga, niatlah “Ya Allah, ampunilah dosa telingaku ini.”

Ini kerana setiap hari kita tidak akan terlepas dari mendengar orang mengumpat dan memfitnah.

7. Ketika membasuh kaki kanan, niatlah “Ya Allah, permudahkanlah aku untuk melintasi titian Siratul Mustaqim.”

Ini kerana ahli syurga melintasi titian Siratul Mustaqim dengan pantas.

8. Ketika membasuh kaki kiri, niatlah “Ya Allah, bawalah aku pergi ke masjid-masjid, surau-surau dan bukan ke tempat-tempat maksiat.

Ini kerana Qada’ dan Qadar kita di tangan Allah.

Ramai antara kita tidak sedar akan hakikat bahawa setiap yang dituntut dalam Islam mempunyai hikmahnya tersendiri.  Pernahkah kita terfikir kenapa kita mengambil wuduk?

Pernahkah kita terfikir kenapa kita dilahirkan sebagai umat Islam?

Sekadar peringatan….

Dari Nu’im bin Mujmir r.a, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari Kiamat nanti dengan ‘Ghurran Muhajjilin’ kerana bekas wudhuknya yang bercahaya… (AL BUKHARI)

Sempurnakan wuduk, ratakan basuhan, jangan membazir air, lebihkan dari sempadan anggota wudhuk dan makruh melebihi 3 basuhan.

Bersyukurlah dan bertaubatlah selalu.

Author: Unknown

Edited by: Trick Tracks

Selamat Hari Bapa

0

Posted by Nur Islam | Posted in Akhlak, Baitulmuslim, Dakwah | Posted on 21-06-2009

Kasih bapa kepada anak melebihi segalanya. Jasanya tidak terhitung, cuma semua itu sukar dimengertikan si anak, sehinggalah suatu hari kelak giliran anak pula bergelar bapa.

Islam meletakkan bapa pada kedudukan yang tinggi dan menjadi kewajipan setiap anak memuliakan bapa, mentaati dan menghormatinya, berbuat baik dan berkata dengan sopan.

“Dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan ‘ah’ dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan mulia.

“Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah: ‘Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.’” (Surah al-Isra’: 23-24)

Teks al-Quran itu mengajar manusia melayani orang tua. Tetapi sejauh mana ketaatan itu? Apakah pula yang dikatakan kebajikan terhadap orang tua?

Menurut Imam al-Ghazali, kebanyakan ulama berpendapat, ketaatan kepada orang tua wajib dalam hal meragukan dan tidak wajib dalam hal yang jelas haram kerana meninggalkan sesuatu meragukan adalah warak (berhati-hati), sedangkan keredaan orang tua adalah wajib.

Berbakti kepada orang tua tidak hanya kepada bapa atau ibu yang Muslim.

Walaupun kedua-duanya kafir, anak harus berbuat baik kepada mereka dan termasuk berbuat baik dan tidak berjihad kecuali dengan izin mereka.

Dalam hadis sahih diriwayatkan daripada Abdullah ibn Amru, dia berkata, seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w meminta izin kepadanya untuk berjihad.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apakah ayahmu masih hidup?” Orang itu menjawab: “Ya.” Nabi bersabda: “Berjihadlah bagi kedua orang tua.” (Hadis riwayat Muslim)

Melalui hadis lain disebutkan orang itu menjawab: “Ya, kutinggalkan mereka menangis.” Nabi berkata: “Pergilah, buatlah mereka tertawa, sebagaimana engkau membuat mereka menangis.”

Jangan sesekali membuatkan bapa menitiskan air mata. Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a, dia berkata, bersabda Rasulullah bermaksud: “Tangis kedua orang tua termasuk penderhakaan.” (Hadis riwayat Bukhari)

Menurut al-Qurtubi, termasuk kesempurnaan dalam berbakti kepada kedua orang tua ialah menjalin hubungan baik dengan orang yang mereka cintai.

Diriwayatkan dari Muaz ibn Jabal r.a, Rasulullah bersabda, ertinya: “Sesiapa berbakti kepada kedua orang tuanya, beruntunglah dia dan Allah menambah umurnya.” (Hadis riwayat Abu Ya’la, Tabrani dan al-Hakim)

Bagi anak yang sudah ketiadaan bapa, masih boleh berbakti kepadanya.

Diriwayatkan Abu Usaid, seorang Badwi, dia berkata: “Aku sedang duduk bersama Nabi s.a.w, kemudian datang kepadanya seorang lelaki Ansar.

Dia berkata: “Wahai Rasulullah, apakah aku masih boleh berbakti kepada ayahku sesudah dia meninggal?”

Baginda menjawab yang bermaksud: “Ya, mendoakan rahmat bagi keduanya, memohonkan ampun bagi keduanya, melaksanakan wasiat mereka, menghormati teman mereka, menjalin hubungan dengan kerabat daripada pihak mereka berdua. Inilah yang masih boleh engkau lakukan.”

Sebagai anak, tutur kata dengan bapa sewajarnya sopan dan beradab, tidak mengguriskan hati, malah melayaninya dengan penuh keikhlasan, hormat dan rendah diri.

Diriwayatkan dari Aisyah r.a, dia berkata: “Seorang lelaki datang kepada Nabi bersama seorang tua.

Nabi bertanya: “Siapakah yang bersamamu?” Orang itu menjawab: “Ayahku.” Baginda bersabda: “Jangan berjalan di depannya dan jangan duduk sebelum dia, jangan memanggilnya dengan namanya dan jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan orang lain memakinya.” (Hadis riwayat Tabrani)

Menurut Atha’, perkataan lemah-lembut seperti “wahai ayah, wahai ibu” tanpa menyebut namanya.

Ibnul Baddaah at-Tujaibi berkata: “Aku berkata kepada Said Ibnu Masayyab, semua yang ada dalam al-Quran mengenai berbakti kepada kedua ibu bapa sudahku ketahui, kecuali firman-Nya bermaksud: “Dan berkatalah kepada keduanya dengan perkataan yang mulia.” Apakah perkataan yang mulia itu?”

Ibnu Masayyab berkata: “Ia adalah perkataan hamba yang berdosa kepada tuan yang bengis dan keras.”

Begitulah kiasan dalam hubungan interaksi antara anak dan bapa. Tetapi kini ada anak sewenang-wenangnya menengking bapa, memaki hamun, malah sampai menghumbankan bapa ke penjara dan mencederakannya.

Bongkaknya, seperti sudah lupa asal usul.

Ibnu Abbas berkata, Nabi bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membuat reda kedua orang tuanya di waktu pagi dan petang, dia pun mendapat dua pintu syurga yang terbuka dan jika seorang, satu pintu. Sesiapa di waktu petang dan pagi membuat marah kedua orang tuanya, dia mendapat dua pintu neraka yang terbuka, jika seorang, satu pintu.”

Tetapi bagi si anak pantang melihat bapa melakukan perkara bertentangan.

Bapa, walaupun kerap kali berdepan dengan anak bermasalah, tetap bersabar dan menutup aib sehinggalah dia dapat melihat anaknya menjadi orang berguna.

Malah, anak selalu berkira soal makan minum dengan bapanya. Sudahlah wang jarang dikirim, bertanya khabar jauh sekali. Beberapa kali diberi, sudah mula mengungkit itu dan ini.

Satu kisah terjadi pada zaman nabi. Diriwayatkan dengan Isnad bersambung dari Jabir ibn Abdillah r.a, dia berkata, seorang lelaki datang kepada Nabi lalu berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ayahku mengambil hartaku.”

Kemudian Jibril turun kepada Nabi dan berkata: “Allah Azza wajalla menyampaikan salam kepadamu dan berkata kepadamu: “Apabila orang tua itu datang kepadamu, tanyailah dia mengenai sesuatu yang dikatakannya dalam dirinya dan hanya didengar kedua-dua telinganya.”

Ketika orang itu datang, Nabi berkata: “Mengapa puteramu mengeluhkan kamu? Apakah engkau ingin mengambil hartanya?”

Orang tua itu berkata: “Tanyailah dia, ya Rasulullah, apakah aku membelanjakannya bagi salah seorang ibu saudaranya atau bagi diriku?”

Rasulullah berkata: “Janganlah ceritakan hal ini kepada kami. Beritahulah aku mengenai sesuatu yang engkau ucapkan di dalam dirimu dan hanya didengar oleh kedua telingamu.”

Orang tua itu berkata: “Demi Allah, wahai Rasulullah, Allah Azza wajalla selalu menambah keyakinan kami kepadamu. Aku sudah mengucapkan sesuatu di dalam diriku yang hanya didengar oleh kedua telingaku.”

Rasulullah berkata: “Katakanlah supaya saya mendengarnya.”

Orang itu berkata: “Ku beri engkau makan ketika masih bayi dan kubiayai engkau di kala dewasa. Engkau minum daripada rezeki yang aku berikan padamu.

“Bila engkau sakit pada waktu malam aku tidak tidur dan gelisah semalaman suntuk kerana penyakitmu, seakan akulah yang terkena bukannya engkau dengan penyakit yang menimpa orang lain sehingga aku menangis.

“Diriku takut engkau binasa, supaya engkau tahu bahawa maut memiliki waktu tertentu.

“Apabila engkau jadi besar dan mencapai akhir umur, aku pun tidak mengharapkanmu, engkau balas aku dengan kekerasan dan kebengisan, seakan-akan engkaulah pemberi kenikmatan dan kurnia.

“Kiranya bila engkau tidak memelihara hak aku sebagai bapa, engkau lakukan seperti yang dilakukan tetangga yang berdekatan. Lalu engkau penuhi hak tetangga terhadapku, dan tidak kikir kepadaku dengan harta yang bukan hartamu.”

Ketika itu, Nabi memegang leher baju putera orang itu dan berkata: “Engkau dan hartamu milik ayahmu


Author : Unknown

Edited By : Nur Islam

Burung-burung Dalam Kisah Anbia’Kisah

0

Posted by Nur Islam | Posted in Akademik, Sains, Sejarah | Posted on 15-06-2009

Spesis: Burung gagak
Nama saintifik: Corvus corax (Common raven)
Era: Nabi Adam a.s.
Sinopsis: Setelah terjadinya pembunuhan pertama manusia (Habil dibunuh oleh Qabil, Allah telah mengutuskan burung gagak untuk mengajar Qabil cara untuk menanam mayat Habil).

Lanjut


Spesis: Hud-hud/belatuk
Nama saintifik: Upupa epops
Era: Nabi Sulaiman a.s.
Sinopsis: Hud-hud telah berhasil menemukan Kerajaan Saba’ yang diperintah oleh seorang ratu bernama Balqis. Mereka menyembah matahari. Setelah menerima utusan Nabi Sulaiman a.s., rombongan ratu Balqis berangkat untuk bertemu dengan pesuruh Allah itu. Lalu Allah mengurniakan hidayahNya yang tiada ternilai kepada Balqis dan pengikutnya untuk beriman dan mentauhidkan Allah, Sang Pencipta Matahari.

Lanjut

Spesis: Burung pipit
Nama saintifik: Passer (true sparrow)
Era: Nabi Ibrahim a.s.
Sinopsis: Semasa Nabi Ibrahim sedang dibakar oleh Namrud yang zalim, seekor burung pipit berulang-alik daripada sebuah kolam ke lembah tempat Nabi Ibrahim sedang dibakar dengan membawa air kolam tadi dalam paruhnya yang kecil. Kejadian ini dilihat oleh malaikat Jibril a.s. dan Jibril bertanya kepada sang pipit, adakah air itu mampu untuk memadamkan api yang menggila marak dan besar itu? Lalu sang pipit menjawab, yang dia tahu bahawa air yang dibawa tidak terpadamkan api yang ganas itu. Namun, sekurang-kurangnya dia telah menjalankan tanggungjawabnya; tidak berdiam diri apabila melihat kekasih Allah dizalimi oleh orang kafir.

Lanjut

Spesis: Merpati
Nama saintifik:Columbia livia (Rock Pigeon)
Era: Nabi Muhammad s.a.w.
Sinopsis: Ketika Nabi Muhammad s.a.w. bersembunyi di dalam gua Thur bersama Abu Bakar, mereka nyaris dikesan oleh kaum kafir Quraisy yang ikut mengejar. Mereka diyakinkan oleh sarang labah-labah yang dianyam kemas di pintu gua dan burung merpati yang bersarang di dalam gua tetapi tidak mengeluarkan bunyi(sebagaimana lazim, burung merpati berbunyi jika ada manusia berhampiran mereka)

Lanjut

Tentang hasanah

Subhanallah. Makhluk Allah yakni burung juga berusaha untuk membantu agama Allah S.W.T. Hal ini dirakamkan dalam kisah-kisah para Anbia’ sepanjang sejarah mereka. Di sana terdapat pengajaran yang sangat besar yang boleh diteladani oleh manusia, umat Islam khususnya.

Saya suka untuk mengambil ‘ibrah(pengajaran) daripada contoh yang ditunjukkan oleh burung pipit semasa insiden Namrud cuba membakar Khalilullah, Nabi Ibrahim a.s. Sungguh, jika mahu mengira mengikut logik matematika, nisbah air yang dibawa oleh si burung pipit dengan api yang Namrud sediakan, hampir kepada sia-sia. Namun, Allah Azzawajalla Maha Adil dan Saksama. Allah tidak melihat kepada hasil, tetapi Allah memandang dan mengambil kira usaha yang dilakukan.

Manusia jika menyertai satu-satu pertandingan, atau menduduki satu-satu peperiksaan, atau menyiapkan satu-satu tugasan, apa yang terdaya untuk dinilai hanyalah output kepada segala usaha yang tidak terukur. Biarlah usaha yang di belakang itu berlumur nista dan celaka, jika hasilnya baik, maka baiklah kata manusia. Walaupun ada yang berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan yang terbaik, dengan cara baik, tetapi tidak berhasil, maka buruklah kata manusia biasa. Kerdilnya kita berbanding keadilan Allah Ta’ala.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w:

“Senyum anda di hadapan saudara anda adalah sedekah. Jangan menganggap remeh suatu kebaikan, meskipun hanya menampakkan wajah yang berseri saat anda bertemu dengan saudara anda“.

(Riwayat Muslim)

Tidak ada kebaikan yang boleh kita pandang enteng. Kita tidak pernah mengetahui dengan amalan apakah yang menjadi sebab kita diredhai Allah untuk masuk ke syurgaNya. Walaupun amalan itu dipandang kecil oleh manusia ramai, tetapi jika Allah berkenan (mungkin lantaran keikhlasan sang pelaku di saat itu) maka kita akan diganjari olehNya.

Saya amat terkesan dengan salah satu wasiat Luqman a.s. kepada anaknya. Katanya:

“…Janganlah engkau tertipu dengan kebaikanmu walaupun banyak kerana engkau tidak tahu adakah ianya diterima atau tidak.”

Lalu berbuat baiklah, di mana sahaja kita berada dan berdaya. Jangan memperlekeh kebaikan yang dibuat oleh manusia lain sungguhpun ianya sedikit. Semoga Allah menggolongkan saya dan para pembaca yang budiman dalam kelompok manusia yang senantiasa melakukan kebaikan dan dipimpin-Nya.

artikel ini dipetik dari http://lensahati.wordpress.com karangan saudara Nazmie.

Perkahwinan dan Politik

3

Posted by Nur Islam | Posted in Baitulmuslim, Politik, Sejarah | Posted on 10-06-2009

Musim cuti sekolah adalah musim mengawan bagi manusia. Ramai pasangan yang mengambil peluang cuti sekolah untuk melangsungkan perkahwinan. Penulis yang kini berada di Malaysia sempat menghadiri beberapa majlis perkahwinan. Ibunda dan Ayahanda memang setia menghadiri majlis perkahwinan walaupun undangan yang diterima sehari hampir 10 undangan, namun digagahi diri untuk dipenuhi. Pernah penulis beberapa hari yang lalu pergi memenuhi undangan perkahwinan dan dalam perjalanan menuju ke rumah kenduri, penulis bertembung dengan tidak kurang dari 20 majlis perkahwinan di rumah-rumah yg berdekatan dengan jalan besar yang diadakan pada hari itu. Itu belum termasuk kenduri di rumah-rumah yang tidak berada di tepi jalan. Memang meriah musim perkahwinan di Malaysia ini.

Tapi bukanlah soal walimatul urus yang menarik perhatian penulis untuk mencoret sedikit pandangan. Penulis di zaman kecil selalu menonton drama-drama epic dari Hong Kong mahupun Korea. Drama-drama epic selalu menggambarkan puteri raja akan dikahwinkan dengan putera raja dari negeri lain untuk mengeratkan hubungan politik. Inilah yang dinamakan perkahwinan politik yang dijalankan untuk menguatkan politik sesebuah negara.

Perkahwinan merupakan seuatu elemen yang penting dalam amalan system politik dunia sejak berkurun lamanya. Dunia islam juga tidak lari dari amalan perkahwinan politik. Penulis selalu mendengar amanat bahawa perkahwinan itu adalah sebahagian dari perjuangan islam, namun gagal difahami oleh penulis. Penulis masih kabur akan konsep bahawa perkahwinan merupakan sendi kepada dasar dalam memperjuangkan agama Allah. Bukanlah penulis bebal mahupun benak hati, cumanya konsep itu tidak melekat dihati kerana penulis gagal menghayati apa itu erti sebuah perkahwinan. Namun, penulis cuba menyingkap Sirah Rasulullah dan cuba mencari jawapannya, Alhamdulillah penulis menemui sedikit bahan untuk menambahkan kefahaman.

Mari kita susuri sirah nabawiyah yang wajar menjadi sandaran dan contoh Jundullah pasca moden. Rasulullah menjadikan perkahwinan sebagai satu cara untuk mengikat dirinya bersama-sama sahabat-sahabat yang menjadi tulang belakang kepada perjuangannya. Rasulullah berkahwin dengan Saidatina ‘Aisyah binti Abu Bakar dan Hafsah binti Umar bin Khattab untuk mengukuhkan ikatan bersama Sahabat baik Baginda, Abu Bakar dan Umar. Dalam pada itu Baginda mengahwinkan Puteri-Puteri baginda bersama sahabat-sahabat yang dikasihi. Fatimah dikahwinkan dengan Ali bin Abi Talib dan Uthman bin Affan dikahwin dengan Ruqayyah dan Ummu Kalthum.

Selain itu, Rasulullah mengahwini Safiyah binti Huyai bin Akhtab, dari Bani Israel selepas Tentera Islam meraih kejayaan dalam Perang Khaibar. Sebagai menghormati Huyai bin Akhtab yang merupakan Ketua Kabilah, Rasulullah sendiri mengahwini anak gadis Huyai dengan matlamat untuk membuka jalan damai antara Islam dan Yahudi di zaman tersebut. Rasulullah juga telah berkahwin dengan Ummu Habibah Ramlah binti Abu Sufyan, anak perempuan Abu Sufyan, pembesar terkemuka Kota Mekah setelah suami Ummu Habibah murtad menjadi Kristian setelah berhijrah ker Habsyah. Selain itu, Rasulullah juga telah berkahwin dengan Juwairiyah binti Al-Harith, anak perempuan kepada ketua Bani Al Mustaliq. Perkahwinan Rasulullah bersama ketiga-tiga Ummul Mukminin ini telah Berjaya menjadi benteng pertahanan yang besar dalam menyekat provokasi dan serangan kabilah-kabilah yang memusuhi Islam.

Agama islam amat menitik beratkan soal ikhtilat iaitu pergaulan diantara lelaki dan perempuan. Rasulullah adalah seorang lelaki dan ini menyukarkan penyebaran islam terhadap golongan wanita Arab. Maka, dilihat disinilah kepentingan peranan yang dimainkan oleh Ummul Mukminin yang menjadi Sulbah(tulang belakang) kepada perjuangan Rasulullah. Mereka menyebarkan islam kepada kaum wanita dari bani-bani mereka yang memusuhi islam. Mereka mengajarkan islam kepada muslimat kerana mereka sangat dekat dan mendapat tarbiyah secara langsung dari Rasulullah.

Diatas merupakan beberapa contoh petikan sirah Rasulullah dan jika hendak dibincang secara terperinci memanglah tiada kesudahannya. Tetapi yang lebih penting adalah Ibrah dari Sirah tersebut.Dapat dilihat betapa besarnya peranan institusi perkahwinan dalam menegakkan syiar islam. Bukan sahaja perkahwinan itu membentuk Baitul Muslim yang Soleh, tetapi ia juga menjadi wadah perjuangan islam yang sangat berkesan. Jika kita melihat perkahwinan dari sudut milikan peribadi atau hal persendirian, maka konsep itu sangat salah. Rasulullah mengahwini para isteri baginda bukanlah atas dasar kehendak, nafsu dan kepentingan diri semata-mata tetapi apa yang dilakukan adalah demi menegakkan agama. Sekadar memetik dialog dari filem ‘Cinta’ bahawa isteri itu bukan hak milik tetapi adalah anugerah dari Allah, anugerah yang bakal menjadi pembakar semangat kepada perjuangan Jundullah. Perkahwinan pasti mempunyai matlamat. Bukanlah semata-mata kita berkahwin atas dasar politik, tetapi biarlah matlamat perkahwinan tersebut untuk bersama menegakkan Islam yang syumul.

Perkahwinan itu melengkapkan separuh dari agama dan sesungguhnya lelaki yang baik itu pasanganya adalah wanita yang solehah. Maka kawan kawan marilah menjadi lelaki dan wanita yang Soleh dan Solehah agar kita mendapat pasangan yang bersesuaian buat kita. Amin.

Akukah Pejuang Uhud?

2

Posted by Nur Islam | Posted in Akhlak, Cerpen, Dakwah | Posted on 07-06-2009

Uhud, memahat sejarah, menjadi saksi tumpah darah, membakar harum Syurga bauan Syuhada’. Kisahnya menggamit aku untuk ke sana. Siapa mungkin bisa lupa akan pengorbanan para sahabat yg semangat jihadnya bisa menenggelamkan Uhud. Coretan Uhud masih segar dalam lipatan sejarah. Tatkala membaca lembaran Uhud, rasa mendetik jiwa untuk turut berjihad sama. Namun, apakah masih ada medan Uhud buatku?Aku masih tertanya? Apakah medan Uhud masih terbentang buatku yg sedang leka dalam kealpaan dunia.

Kusingkap helaian kisah Mus’ab Bin Umair. Seorang rupawan dari keluarga bangsawan. Hidupnya dilimpahi kesenangan dan kemewahan, berpakaian terbaik dari sutera sulaman tangan yang membalut tubuh tampannya. Namun, Uhud menjadi saksi merungkai segalanya. Naqib pertama yang dihantar Rasulullah ke bumi Yathrib itu gugur syahid mengejar Jannah. Saat matinya, tiada lagi sutera mewah yg bias menjadi kapan. Sehelai kain hanya cukup untuk menutup wajah ,mendedahkan kaki sehingga meruntun hati suci Rasulullah. Pemuda kacak yang pernah berpakaian terbaik di Kota Mekah itu meninggalkan segalanya demi Islam dan bumi Uhud bakal menjadi saksi kelak akan pengorbanannya menegakkan bendera Islam sehingga kedua tangannya dipotong musuh Allah. Namun, apakah aku bisa menjejaki Pejuang Uhud itu tatkala helaian baju mewah masih membaluti tubuhku sehingga aku lupa bahawa itu hanya semata-mata dunia. Tatkala aku mengejar jenama pakaian terkemuka, melabur wang untuk segak bergaya, aku terlupa akan pengorbanan Pejuang Uhud ini. Pakaian dan perhiasan yang menghiasi tubuh ini membuat aku leka dan alpa. Aku tertanya, apakah masih ada medan Uhud buatku? Ya Allah, seandainya pakaian dan perhiasan ini membuatkan aku lupa dan leka akan tanggungjawabku untuk menegakkan agamamu, membuatkan aku semakin menjauhi rahmatmu, Kau padamkanlah kecintaanku pada pakaian dan perhiasan. Ya Allah, jika pakaian dan perhiasaan ini akan melambatkan aku untuk sampai ke SyurgaMu, Kau hapuskanlah kecintaanku padanya. Ya Allah jika pakaian dan perhiasan ini memberatkan aku tika meniti Titian Sirat, Kau lunturkanlah nafsuku padanya. Read the rest of this entry »

Ataphijau Facebook Group
youtube AJataphijau