Fenomena membawa artis Hollywood ke Malaysia semakin menjadi-jadi. Lantaran permintaan yang hebat dari peminat dan tiadanya sekatan dari pihak kerajaan, Malaysia yang kononnya diiktiraf sebagai sebuah Negara Islam melalui gagasan Islam Hadhari, melambakkan konsert-konsert ini sebagai wadah merancak perkembangan ketamadunan Islam Hadhari. Tamadun Islam Hadhari akan dikenali dalan sejarah sebagai sebuah Tamadun Islam yang mengembangkan muzik dan konsert barat sebagai sebuah elemen ketamadunan unggul. Sungguh ironi sekali. Malang betul bagi Tun Abdullah yang mempunyai gagasan idea membawa Islam keperingkat yang lebih tinggi namun dicemari dengan konsert-konsert yang bukan sahaja tidak bermanfaat, malah mengundang pelbagai masalah sosial. Negara Islam terlebih beriya mengagungkan konsert artis Hollywood, pelik tapi itulah kenyataan.

Politik itu seumpama BARA. Jika digenggam terlalu erat ia akan melecurkan tangan, tetapi jangan pula ditiup untuk memadamkannya, kerana semakin ditiup semakin marak ia membakar dan membinasakan diri dan persekitaran. Menggunakan perumpamaan bara adalah sesuatu yang praktikal untuk menggambarkan politik. Politik itu kuasa yang mencengkam, kerana itu, jika kita menggenggamnya terlalu erat ia akan membinasakan diri, kerana manusia menjadi alpa dan rakus apabila berkuasa. Apabila itu berlaku, nescaya azab Allah yang sangat pedih menanti. Tetapi, politik itu tidak boleh dielak dan dipadam dalam kamus kehidupan walaupun untuk seketika dengan alasan kini bukan masa untuk berpolitik kerana ia adalah sebahagian dari aspek kehidupan. Jika diabai dan ditinggalkan politik, maka hancur individu, keluarga dan masyarakat kerana fungsi sebenar politik adalah untuk menjaga keharmonian hidup dan mentadbir masyarakat berteraskan ‘aqidah yang tulen dan unggul. Jika dibiar politik dipimpin golongan yang tidak memahami agama, Al-Quran dan Hadith yang wajar menjadi sumber perlembagaan, maka nescaya umat islam akan kembali kepada zaman kehancuran.
Manusia mewujudkan pelbagai falsafah politik dan fahaman masyarakat terhadap politik sangat berbeza-beza. Ada yang menganggap politik dan agama perlu diasingkan untuk menjaga kredibiliti kedua-dua institusi, ada pula yang menganggap politik itu adalah sebahagian dari agama, ada pula yang melihat politik itu sebagai medium menjaga kepentingan bangsa, dan pelbagai lagi perspektif masyarakat. Perbezaan fahaman politik sentiasa menjadikan dunia politik panas dan hangat dengan pelbagai berita dan ragam. Jika ada yang sudah bosan dengan karenah dunia politik yang pelbagai ragam itu, percayalah, sudah sunnatullah, politik itu akan sentiasa bergelora. Kita imbau sejarah dari zaman Rasulullah lagi, politik di Madinah tidak pernah-pernah sunyi dari pelbagai perkara. Tentangan Quraish, plot-plot jahat bani-bani Yahudi, ancaman kuasa-kuasa besar Rom dan Parsi dan pelbagai lagi mehnah dan tribulasi dunia politik yang menjadikannya bergelora. Di zaman Khulafa’ Ar-Rasyidin juga berlaku pekara yang sama, perpecahan politik antara Saidina Ali dan Muawwiyah, wujudnya golongan pemberontak menentang Khalifah Uthman dan di zaman-zaman seterusnya, perkara yang sama berlaku. Maka, jika ada yang muak dan bosan mendengar cerita politik di dada akhbar dan mengharapkannya surut suatu hari nanti, percayalah, perkara itu tidak akan berlaku.
Apabila kejatuhan system Khalifah di Turki, gerakan-gerakan Islam tumbuh ibarat cendawan selepas hujan. Ada pula gerakan Islam yang menjadikan politik sebagai medium dakwah, menyebarkan prinsip Islam, meningkatkan tarbiyah, mendaulahkan sebuah Negara Islam. Namun, persepsi masyarakat tidak pernah berubah walaupun setelah hampir seabad gerakan Islam muncul. Golongan gerakan Islam yang berkecimpung dalam politik kerap diabel sebagai golongan politik yang menjadikan agama sebagai modal untuk berpolitik dan untuk menarik masyarakat. Persepsi ini masih sesuatu yang jelas kelihatan apabila kita berbincang dalam konteks negara Malaysia. Gerakan Islam dilihat tidak lebih hanya sebagai satu parti politik yang menjadikan agama sebagai cara untuk memanipulasi pemikiran rakyat untuk menarik sokongan rakyat dalam pilihan raya.
Adapun perkara ini terjadi, mungkinkah persepsi ini dibuat berdasarkan pemikiran, tanggapan dan penilaian masyarakat terhadap perilaku, tindakan dan perbuatan ahli-ahli gerakan Islam sendiri?
Di kala ini, parti-parti politik cuba menggunakan elemen agama untuk menarik minat masyarakat untuk menyokong sesebuah parti. Elemen agama dilihat sebagai satu perkara yang berkesan untuk menarik undi kerana majoriti masyarakat Malaysia adalah beragama islam, maka sebarang perkara yang dikaitkan dengan Islam, akan menjadi batu loncatan buat parti-parti politik. Perkara ini semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini dalam konteks politik Malaysia. Agama hanyalah dijadikan alat, untuk mencapai tujuan politik dalam persaingan untuk mentadbir. Ini berlaku dalam kebanyakan parti-parti di Malaysia jika diteliti dengan lebih mendalam. Sentimen agama menjadi bahan untuk menyerang satu sama lain.
Mengamalkan Agama dalam Politik
Agama bukan satu mainan politik yang boleh diguna sebagai umpan untuk memancing undi. Agama adalah dasar kepada politik. Setiap parti politik yang terdiri dari orang Islam wajib MENGAMALKAN AGAMA DALAM POLITIK, BUKAN MEMPERGUNAKAN AGAMA UNTUK POLITIK. Apabila pemimpin mempergunakan agama untuk kepentingan politik pelbagai perkara buruk akan terjadi. Contoh yang paling ketara adalah ketika zaman Khalifah Uthman, berlakunya fenomena mengada-ada kan hadis Maudu’(hadis Palsu) secara meluas untuk kepentingan politik. Dalam usaha menegakkan pemimpim-pemimpin dari golongan mereka, masyarakat Islam ketika itu sanggup mengada-adakan hadis palsu semata-mata mencapai kepentingan politk mereka. Maka wujudlah beberapa hadis palsu ciptaan penyokong-penyokong Saidina Ali (golongan syiah) seperti berikut :
“Apabila kamu melihat Muawiyyah atas mimbarku maka bunuhlah akan dia”
Golongan penyokong Muawiyah pula bertindak balas mengada-adakan hadis Palsu jua untuk meningkatkan martabat Muawiyyah
“Orang-orang yang kepercayaan itu 3 orang : aku(Rasulullah), Jibril dan Muawwiyah”
Pelbagai lagi hadis palsu yang dicipta oleh golongan yang pernah ditarbiyah secara langsung oleh Rasulullah dalam usaha mencapai motif politik mereka. Mereka mempergunakan agama demi mencapai tujuan politik, sedangkan Rasulullah telah bersabda:
“Janganlah kamu berdusta atas namaku, kerana bahawasanya barang sesiapa yang berdusta atas namaku, masuklah ia ke dalam neraka”
Sedangkan golongan yang pernah mendapat tarbiyah secara terus dari Rasulullah dibutakan dengan politik yang menjerat. Apatah lagi, masyarakat Malaysia pada hari ini yang sudah lama ditinggalkan Rasulullah. Pemimpin-pemimpin sedaya upaya dan berlumba-lumba memaparkan imej Islamik, yang hanya sedap dipandang mata, namunidiamal tidak. Masjid-nasjid indah bak istana berkaca kristal mempamerkan imej Islamik, namun isinya kosong. Sedangkan sebuah masjid gudang di bumi Cork ini jauh lebih imarah, meriah dan berfungsi sepenuhnya sebagai sebuah masjid. Apabila agama cuma digunakan sebagai alat, institusi masjid sendirinya menjadi lumpuh, kerana ianya hanyalah sebuah perhiasan untuk dijadikan alat memancing undi.
Mengapakah negara-negara Islam mendapat ‘pengiktirafan’ menduduki tangga tercorot dalam senarai Indeks Persepsi Rasuah? Sedangkan Malaysia mendapat tempat ke-47 dan Negara-negara islam lain mendapat tempat yg entah ke berapa ratus. Malu. Sangat memalukan. Malu untuk mengakui bahawa ajaran Islam itu sangat bersih dari rasuah sedangkan negara-negara majoriti umat Islam bergelumang dengan isu rasuah. Isu rasuah dalam politik dan perniagaan tidak lain dan tidak bukan disebabkan umat Islam tidak mengamalkan agama dalam berpolitik. Sebaliknya hanya menjadikan agama sebagai alasan demi alasan. Umat Islam dicorakkan dengan budaya dan cara hidup mengikut Islam. Jika Islam tidak diamalkan maka inilah yang berlaku. Mungkin kita mempersoalkan mengapa negara-negara yang dipimpin oleh golongan bukan Islam mampu mencegah rasuah dengan lebih baik dari kita yang beragama Islam? Masyarakat barat hidup tanpa berlandaskan agama, tetapi mereka mempunyai budaya kerja yang bagus, prinsip hidup peribadi yang kukuh dan juga persekitaran yang mencorakkan perlakuan dan tindakan mereka. Umat Islam sekiranya tidak kembali kepada prinsip dan pegangan agama, maka kita tidak ada budaya kerja, prinsip hidup dan persekitaran yang boleh mencorakkan kita untuk standing mereka kerana sejak mula Islam itulah yang membentuk budaya, pemikiran dan perlakuan penganutnya. Sekiranya agama tidak diamalkan, maka pembentukan budaya, pemikiran dan perlakuan umat islam tidak didasari oleh sebrang prinsip yang kukuh, maka syaitan akan mula menyimbah minyak, membakar nafsu yang marak membara.
Matlamat Tidak Menghalalkan Cara
Sejauh mana anda pasti, individu-individu yang mendakwa diri mereka bekerja atas dasar agama, tidak menjadikan agama sebagai alat untuk mereka mencapai objektif mereka? Sejauh mana anda pasti, mereka sebenarnya golongan yang mengamalkan agama dari mempergunakan agama dalam politik? Adakah golongan ini tidak dibutakan dengan agenda politik semata-mata seperti yang berlaku kepada golongan-golongan yang pernah mendapat didikan dan asuhan langsung dari Rasulullah di zaman Khalifah Uthman?
Gerakan Islam, mempunyai prinsip agama yang jelas dan kukuh, namun kadangkala ahlinya sendiri yang terjerat antara agama dan politik lantas menjadikan agama sebagai alasan untuk menyokong tindakan politik mereka. Saya pasti niat ahli-ahli gerakan Islam adalah murni untuk menegakkan Islam, namun kadangkala emosi, persekitaran telah menjerat mereka tanpa disedari lantas mereka sendiri yang sering memperkotak-katikan agama demi mencapai matlamat.
Matlamat tidak pernah menghalalkan cara. Prinsip Islam perlu ditegakkan atas manhaj yang betul, kerana prinsip yang syumul tidak akan subur melalui manhaj yang salah, dan sebaliknya juga. Prinsip dan dasar yang bertentangan dengan Islam tidak akan subur walaupun dengan manhaj yang betul. Mengambil contoh fenomena wujudnya hadis palsu secara tidak terkawal 40 tahun selepas hijrah, berlaku peristiwa di mana seorang yang bernama Nuh Ibn Abi Maryam telah banyak membuat hadis palsu mengenai kelebihan dan keutamaan surah-surah dalam Al-Quran dengan maksud mengajak dan menggemarkan manusia kepada bacaan Al-Quran. Dia pernah berkata waktu ditanya kepadanya mengenai perbuatan itu :
“Bahawa saya dapati kebanyakan manusia telah berpaling dari membaca Al-Quran dan mereka amat suka membaca kitab-kitab fiqh mazhab Abu Hanifah. Maka saya membuat hadis-hadis itu untuk menarik perhatian mereka kepada Al-Quran kembali”
Berdasarkan kisah ini, jelas akan matlamat dan niat nya untuk meninggikan Al-Quran, namun manhaj yang digunakan adalah ternyata salah, walaupun Al-Quran yang tiada keraguaan padanya yang ingin ditegakkan namun, jika manhajnya salah, maka Allah tidak akan mengizinkannya berlaku.
Perkara yang sama perlu diambil pengajaran oleh individu-individu dalam gerakan Islam. Jangan menjadikan agama sebagai sebuah mainan sedangkan ia perlu diamal dalam berpolitik. Apabila kata-kata nista, caci maki, buruk sangka dan hinaan menghujani mimbar-mimbar ceramah di masjid-masjid, kemudiannya disahut dengan laungan takbir yang bergema, ia sendirinya bertentangan dengan prinsip islam yang penuh hikmah, sentiasa menjaga lidah, sentiasa menyatakan kebenaran, menjauhi prasangka buruk dan menjauhi umpatan, cacian dan celaan yang memalukan. Tidak wajar menggunakan alasan memerangi kezaliman untuk menghalalkan cara untuk menuduh, mencaci, mengumpat dan mencela kerana ia merendahkan akhlak seseorang individu sebagai seorang muslim. Kebanyakkan individu-individu ini menggunakan gelaran-gelaran melucukan yang menjatuhkan martabat untuk melabel individu-individu lain dengan tujuan menjadi humor dan modal jenaka dalam berceramah. Pada pendapat saya adalah perkara yang tidak wajar dilakukan. Dimanakah keperluannya menjatuhkan maruah orang lain semata-mata untuk membuat jenaka? Amati ceramah-ceramah yang anda hadiri, pasti anda akan sedar, hinaan, celaan dan kutukan ini kebanyakkannya digunakan tidak lebih sebagai modal jenaka. Jika mengambil alasan, Rasulullah juga pernah melabel Amr bin Hisyam yang digelar Kafir Quraish Abu Alhakam (Yang bijaksana) dengan gelaran Abu Jahal( yang Jahil dan Bodoh) untuk menjustifikasi perbuatan tersebut, maka saya kira itu bukanlah perkara yang wajar. Rasulullah melabel dengan cara keras dan tegas sebagai satu cara ‘offensive’, bukan digunakan sebagai hiburan dan jenaka untuk memeriahkan ceramah-ceramah baginda. Rasulullah juga menggunakannya berdasarkan keperluan sahaja, tidaklah Rasulullah melabel semua musyrikin Mekah yang menentang Baginda dengan seribu satu gelaran seperti amalan individu-individu dalam gerakan Islam hari ini.
Inilah yang cuba saya katakan apabila saya mengajukan persolan berikut diatas. “Mungkinkah persepsi masyararakat ini dibuat berdasarkan pemikiran, tanggapan dan penilaian masyarakat terhadap perilaku, tindakan dan perbuatan ahli-ahli gerakan islam sendiri?”. Masyarakat bijak menilai setiap tindakan ahli politik, lebih-lebih lagi apabila mereka mendakwa sebuah gerakan Islam yang ingin menegakkan prinsip-prinsip islam di muka bumi Allah. Maka perlu lebih berhati-hati. Jangan sampai masyarakat melabel sebagai “Nama jer Ustaz, tapi suka caci maki orang. Islamik sangat la tu. Orang yang tak mengaku ustaz pun tak buat macam tu”. Maka secara automatiknya jatuh Tsiqah(kepercayaan) masyarakat terhadap ahli-ahli gerakan islam. Kredibiliti ulama’-ulama’, ustaz-ustaz dan professional-professional gerakan Islam akan dipandang hina hanya kerana tindakan yang segelintir ini. Maka pelbagai tohmahan, fitnah dan celaan akan dilemparkan kepada ulama’-ulama, ustaz-ustaz dan professional gerakan Islam seperti yang kerap berlaku sejak akhir-akhir ini. Masyarakat sudah bosan dengan caci-maki, tuduh-menuduh dalam politik yang kadang kalanya tidak berasas dan sangat kebudak-budakan. Masyarakat ingin melihat gerakan Islam mengamalkan nilaian agama dalam setiap aspek dan berpolitik mengikut acuan agama, matang serta bijak. Jika politik dicemari dengan caci maki, mana mungkin masyarakat akan berminat untuk mendekati politik. Jika mereka menjauhi politik kerana tindakan tersebut, alangkah malangnya. Tindakan normal manusia yang suka membuat ‘generalization’ secara automatiknya akan merosakkan imej gerakan Islam kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Untuk meyakinkan rakyat bahawa gerakan Islam benar-benar membawa Islam yang syumul dengan aqidah perjuangan hanya kerana Allah dan Rasul, maka kita perlu MENGAMALKAN AGAMA SECARA MENYELURUH DALAM POLITIK.
Saya berpendapat mimbar ceramah perlu ‘dibersihkan’ dari cacian dan makian sebaliknya perlu diserikan dengan laungan semangat membakar jihad untuk mengajak manusia memperjuangkan agama. Keyakinan rakyat terhadap gerakan Islam perlu dipupuk melalui tindakan-tindakan ahli-ahlinya yang mengamalkan akhlak Islam dalam berpolitik, ceramah, kehidupan peribadi, social dan keseluruhannya. Untuk mengubah persepsi masyarakat, diri sendiri dahulu yang perlu diperbetul. Gerakan Islam perlu lebih matang dalam berpolitik dan akhlak Rasulullah dalam berpolitik wajar menjadi contoh sepanjang zaman. Selagi tidak berubah, selagi itu masyarakat akan melabel gerakan Islam hanyalah sebuah parti politik yang menggunakan agama untuk berpolitik dan ustaz-ustaz gerakan Islam adalah tidak lebih dari sekadar pencaci dan pencela yang memanipulasi agama untuk meraih kepentingan politik walaupun ianya sama sekali tidak benar. Mari Amalkan Agama Dalam Politik, Jauhi Perbuatan Mempergunakan Agama Demi Politik.
Posted by Abdullah | Posted in Perbincangan, Politik | Posted on 03-10-2009

Assalamualaikum wrt.
Sudah agak lama saya bercadang untuk menulis di blog AJ ini. Alhamdulillah petang ini saya berkesempatan untuk menulis sedikit setelah mendapat kebenaran untuk pulang awal daripada GP saya di sebuah ‘medical centre’. Tidak banyak yang hendak diperkatakan. Cuma sedikit coretan berkenaan isu-isu tertentu yang saban hari menjadi tatapan kita semua. Membaca tulisan NUR ISLAM dalam beberapa post yang terdahulu, ternyata beliau seorang penulis yang hebat. Saya bukanlah seorang yang pandai berpuitis atau bersastera seperti beliau. Namun cukuplah sekadar agar tulisan ini menjadi bacaan yang dapat memberi manfaat buat kita semua dan sama-sama untuk kita memikirkannya.
Di sini saya berminat untuk memperkatakan tentang suasana politik di tanah air kita. Saban hari pelbagai isu politik dapat kita baca di dada-dada akhbar. Cuma sejak akhir-akhir ini, suasana perang saraf di antara parti pemerintah Barisan Nasional (BN) dan parti pembangkang Pakatan Rakyat (PR) agak reda. Barangkali kerana pandemik H1N1 yang melanda negara sejak beberapa bulan yang lepas telah mengalihkan perhatian media daripada isu politik buat sementara. Kini 77 nyawa telah melayang gara-gara virus rakus ini. Tetapi Alhamdulillah, bermula awal Ramadhan yang lepas, kematian semakin berkurang dan langsung tiada kematian dilaporkan buat beberapa minggu kebelakangan ini. Teringat perbincangan semasa bersama GP di ‘medical centre’ tadi, Ireland mungkin dilanda serangan H1N1 yang serius kerana semasa pusingan pertama serangan, hanya beberapa kematian dilaporkan. Buat masa ini, jumlah kes di UK pun sudah meningkat 3 kali ganda dan ini amat membimbangkan bagi Ireland kerana mungkin terkena tempiasnya juga. Baru pagi tadi juga, ‘medical centre’ tempat saya membuat GP posting menerima faks berkenaan ‘vaccination programme’ yang bakal dijalankan tidak lama lagi di seluruh Ireland.
Kembali kepada isu pokok, jika kita mengimbau kembali Tsunami politik pada Mac 2008, kekecohan dan perang mulut di antara BN dan PR tidak pernah reda sementelah keputusan pilihanraya umum (PRU) ke -8 diketahui. Pelbagai spekulasi timbul gara-gara isu lompat parti yang dimainkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim kira-kira setahun yang lalu adalah antara isu yang mewarnai suasana politik di negara kita. Beliau adalah antara karakter yang bertanggungjawab dalam mewujudkan suasana ‘political concious’ di kalangan rakyat Malaysia. Ramai yang pada mulanya langsung tidak mengambil tahu berkenaan isu politik sudah kembali celik berikutan kekalahan teruk BN dalam PRU yang lalu. Berbanding komponen PR yang lain iaitu PAS dan DAP, PKR yang dipimpin DSAI dilihat lebih berusaha keras untuk mengekalkan momentum kebangkitan rakyat dengan memainkan isu-isu tertentu sehingga menimbulkan rasa tidak senang parti pemerintah. Banyak lagi isu politik yang sangat menarik untuk diperkatakan seperti apa yang belaku di Perak misalnya yang seakan tiada penyelesaian sehingga sekarang.
Kini, setahun setengah telah berlalu sejak PRU yang lepas. Sejak dari itu, kita telah menyaksikan 8 pilihanraya kecil (PRK) telah diadakan bermula dengan Permatang Pauh. BN telah tewas hampir kesemua PRK yang telah diadakan dan ini amat membimbangkan terutama bagi BN. Cuma satu kerusi dimenangi BN iaitu di Batang Ai Sarawak dalam mini pilihanraya yang lepas yang diadakan pada masa yang sama dengan PRK Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Bagi peminat bola sepak, keputusan 7-1 tersebut pastinya mengingatkan mereka kepada kemenangan Manchester United ke atas Roma FC dalam Champions League 2 musim lepas, juga dengan keputusan 7-1 . Meyusul beberapa hari lagi, PRK Bagan Pinang pula akan diadakan pada 11 Oktober ini berikutan kematian penyandang kerusi DUN berkenaan dari PAS.
Baik PR mahupun BN, kedua-dua pihak telah pun mengumumkan calon masing-masing. PRK ini dilihat amat ’significant’ dalam memberi gambaran lanskap politik negara pada masa hadapan. Pola pengundian dalam tempoh dua tahun akan datang banyak ditentukan oleh perkembangan politik hari ini. Kebanyakan pemerhati politik menanti dengan penuh minat akan keputusan PRK ini nanti. Pada PRK2 yang lepas, kebanyakan kerusi yang dimenangi oleh PR adalah di kubu kuat mereka atau kerusi yang sudah mereka kuasai sebelumnya kecuali di Parlimen Kuala Terengganu di mana PR berjaya merampas kerusi Parlimen tersebut daripada BN. Berbeza di Bagan Pinang, DUN ini merupakan DUN yang dikuasai BN dan antara kubu kuat BN. BN menang dengan majoriti 2333 pada PRU tahun lepas. Melihat kepada angka ini, ianya merupakan laluan yang sukar bagi calon PAS untuk memenangi PRK ini. Bagaimanapun segala-galanya adalah mungkin. Era BN akan menang biarpun meletakkan ‘tunggul kayu’ sudah pun berakhir sekarang. Begitu jua di kawasan tradisi kubu kuat pembangkang, mereka boleh tewas jika mengambil sikap sambil lewa dan tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi hati pengundi.
PR telah mengumumkan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan iaitu Zulkefli Mohamad bin Omar sebagai calon mereka dalam PRK Bagan Pinang nanti. Seperti biasa calon yang diumumkan PAS adalah benar-benar bersih. Manakala BN telah memilih Tan Sri Isa Samad sebagai calon mereka. Pemilihan calon PAS memang sudah dijangka awal-awal lagi. Namun begitu, pemilihan Tan Sri Isa Samad sebagai calon BN agak mengejutkan saya kerana rekod beliau yang telah terpalit dengan isu rasuah semasa pemilihan UMNO pada tahun 2004. Beliau telah digantung dari Umno selama 3 tahun berikutan kes politik wang beliau atau lebih tepat dinamakan rasuah politik. Ini seolah-olah BN khususnya UMNO ketandusan calon dan pencalonan ini dilihat tidak menggambarkan BN serius dalam usaha mereka membanteras rasuah. Berdepan dengan desakan penyokong kuat Tan Sri Isa Samad, BN terpaksa akur dengan kehendak mereka atau berdepan dengan tindakan boikot oleh penyokong sendiri. Pada saya situasi ini agak menarik di mana BN terpaksa mengambil risiko dengan meletakkan calon yang tidak bersih walaupun pada dasarnya mereka yakin dengan adanya sokongan padu penyokong sendiri kemenangan bakal berpihak kepada mereka. BN mungkin juga menghampiri kekalahan yg ke-8 jika isu pemilihan calon yang tidak bersih ini berjaya dieksploitasi sepenuhnya oleh PR dalam tempoh kempen pilihanraya.
Menulis berkenaan isu rasuah, baru-baru ini saya telah terbaca satu laporan daripada Transparency International (TI) yang melaporkan bahawa kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah terus merudum ke tangga 47 pada tahun 2008 berbanding di tangga 43 pada tahun sebelumnya. Malah, kedudukan Malaysia lebih buruk dari Israel yang dilabel sebagai entiti haram pengganas dan negara yang dianggap kurang membangun seperti Botswana dan Bhutan. Israel berada pada kedudukan ke-33, Botswana ke-36 manakala Bhutan berada pada kedudukan ke-45. Paling mendukacitakan ialah apabila indeks yang dikeluarkan oleh TI itu menunjukkan negara-negara umat Islam tidak mengamalkan ajaran Islam yang memerangi rasuah. Negara-negara seperti Somalia, Iraq, Afghanistan dan Sudan berada di tangga paling bawah. Somalia berada di kedudukan tercorot iaitu ke-180, Iraq ke-178, Afghanistan ke-176 dan Sudan ke-173. Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low berkata, usaha mencegah rasuah di negara ini tidak ubah seperti melepas batuk di tangga sahaja jika tidak dilaksanakan tindakan drastik untuk memisahkan hubungan selesa antara kerajaan, perniagaan dan politik.
Isu rasuah, kroni dan penyalahgunaan kuasa adalah antara faktor terbesar yang menyumbang kepada kekalahan teruk BN dalam PRU umum yang lalu. Ketika para pemimpin Umno khususnya masih berbangga bahawa parti inilah yang telah membawa kemerdekaan kepada tanah air, semakin ramai anak muda yang seakan melupakan sumbangan Umno kepada kemerdekaan negara kira 50 tahun yang lalu seperti yang mereka pelajari dalam matapelajaran Sejarah. Ada yang berpendapat bukannya Umno semata-mata yang berusaha keras mendapatkan kemerdekaan tetapi usaha ke arah kemerdekaan telah awal-awal lagi dipelopori oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy yang mengasaskan Kesatuan Melayu Muda dan juga mantan Yang Dipertua Agung PAS yang ke-3. Situasi politik sekarang menuntut BN untuk berkerja keras bagi memenangi semula hati pengundi terutama pengundi Cina dan India bagi meneruskan legasi pemerintahan negara selama 52 tahun kini. Jika sesuatu tidak dilakukan, BN mungkin mengalami nasib yang sama seperti Parti Liberal Demokratik (LDP) yang ditolak rakyat negara Jepun baru-baru ini. LDP yang telah memerintah Jepun sejak Perang Dunia Kedua telah disingkirkan oleh Parti Demokratik Jepun (DPJ) yang memenangi 308 daripada 480 kerusi parlimen di negara itu. PR pastinya sedang mengintai peluang keemasan mereka dalam PRU yang akan datang untuk mengambil alih tampuk pemerintaan negara. Pada masa yang sama, PR juga perlu membuktikan yang mereka juga mampu mentadbir dengan baik terlebih dahulu di negeri-negeri yang dikuasai mereka.
Apapun yang berlaku, baik BN ataupun PR, kedua-dua mestilah berpolitik secara bijak dan professional. Suasana ‘politik damai’ perlu ada di tanahair. Perbezaan politik tidak seharusnya mewujudkan persengketaan lebih-lebih lagi antara kita yang beragama Islam. Begitu juga kita di bumi Cork ini, walaupun kita tidak terlibat secara langsung dalam kancah politik di tanahair, apa yang berlaku di tanahair sebaiknya kita ambil pengajaran dalam menempuh kehidupan kita di sini. Selain itu, kitalah yang bakal mencorakkan masa depan negara pada masa hadapan. Seharusnya kita berfikir secara terbuka dan bijak menilai yang mata satu intan permata dan yang mana satu kaca. Sekian sahaja penulisan saya buat masa ini. Semoga bermanfaat.
Wassalam.
Setiap dari yang beriman dan mengaku diri sebagai Muslim itu wajib mempercayai tauhid Rububiyah, Uluhiyah dan Asma’ Wa Sifat. Sekiranya kita meragui biar pun satu dari bahagian Tauhid ini, maka pasti akan terbatalah ‘akidah kita. Salah satu dari Nama Allah yang mulia adalah Al-‘Adl yang bererti Yang Maha Adil.
Kita sering mendengar dan membacanya di dalam Al-quran mahupun Hadith bahawa Allah itu Maha Adil. Sebagai umat islam, wajib untuk kita mempercayai bahawa keadilah Allah S.W.T itu tiada tandingannya melebihi segalanya yg bergelar makhluk. Allah sebagai Tuhan Sekalian Alam telah memberi panduan kepada manusia akan bagaimana kita harus menjalankan hukum dalam mendepani tugas kita sebagai Khalifah. Atas dasar keadilan, Allah menetapkan hukum kepada manusia yang harus dipatuhi dan dijalankan.
Firman Allah dalam Surah Yusuf ayat 40, ‘Sebenarnya hukum(undang-undang) hanyalah bagi Allah’….
Maka sebagai umat islam wajib bagi kita mempercayai bahawa undang-undang yang diturunkan oleh Allah adalah sebaik-baik hukum kerana ianya datang dari Khaliq yang Maha Adil. Tiada undang-undang ideology manusia yang setara dengan Hukum yang datangnya dari Tuhan yang Maha Adil. Maka atas dasar kefahaman betapa Allah itu Maha Adil, mengapa masih lagi manusia memilih untuk berhukum dengan hukuman ciptaan manusia?Allah menurunkan Al-Quran sebagai panduan untuk kita menjalankan hokum dan Rasulullah mengajarkan kita cara pelaksanaannya melalui Sunnahnya.
Allah berfirman dalam surah Annisa’ ayat 45: ‘ Sesungguhnya kami turunkan kepadamu Kitab (Alquran)dengan sebenarnya, supaya kamu melaksanakan hukum di kalangan manusia dengan apa yang telah ditunjukkan kepadamu, dan janganlah kamu menjadi pembela kepada orang-orang yg khianat”
Jika ditanya kepada umat islam pada hari betulkah Allah itu Maha Adil? Nescaya mereka akan berduyun-duyun mengakui keimanan mereka terhadap Keadilan Allah. Namun atas dasar keimanan apakah kita mengatakan Allah itu Maha Adil jika kita gagal dan ingkar dalam melaksanakan hukum Allah sedangkan iman itu adalah membenarkan dalam hati, menyebutnya melalui lisan dan menzahirkannya secara perbuatan. Jika kita menolak hukum Allah maka tepuk dada tanya iman, sejauh mana kita meyakini bahawa Allah itu Maha Adil. Jika kita masih lagi mahu menegakkan undang-undang manusia dan menepikan undang-undang Allah, maka betulkan kita meyakini bahawa Allah itu Maha Adil.
Firman Allah dalam Surah Al-An’am Ayat 115, ‘Telah sempurna Kalimat-Kalimat Tuhanmu dengan kebenaran dan Keadilan. Tidak ada perubahan-perubahan pada kalimatn-Nya. Ia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. ‘
Allah telah mengatakan bahawa setiap kalimah didalam Al-Quran itu adalah kebenaran dan keadilan maka setiap hokum dan perintah-Nya juga adalah kebenaran dan Keadilan. Namun umat islam pada hari ini lebih selesa memilih undang-undang ideology manusia dan menolak hukum yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita atas kesombongan dan kebongkakan kita. Lupakah kita akan mengapa Allah melaknat dan menghina kaum Bani Israel? Kerana mereka sombong, bongkak dan ingkar kepada hukum Allah.
Kita akan mengkeji dan mencebikkan bibir tatkala mendengarkan nama Mustafa Kamal At-Tartuk, bapa pemodenan Turki kononya sedangkan dialah yang menjadi punca kejatuhan Khalifah Islam. Dialah juga yang menjadi duri dalam daging menyemai ideology sekularisme dalam masyarakat islam. Dalam kekejian dan kebencian yang kita lemparkan kepada Mustafa Kamal At-Tartuk kita terlupa bahawa kitalah yang kini menjadi pewaris legasi perjuangannya. Mustafa Kamal At-Tartuk berjaya menyemai sekularisme dalam kehidupan masyarakat islam disebabkan kitalah yang menjadi pengikut setianya. Maka apakah layak bagi kita untuk mengkeji dia sedangkan dia berbangga mempunyai waris seperti kita.
Sekularisme yang menjadi kunci kepada demokrasi ideology barat, kini makin menjadi barah yang menghancurkan umat islam sendiri. Sekularisme menyerang system pemerintahan, system pentadbiran, system pendidikan dan juga system ekonomi. Kita semakin menjauhkan agama dari aspek kehidupan terutamanya dalam soal pentadbiran, perundangan dan pemerintahan.
‘Sesungguhnya akan terputus ikatan islam satu persatu. Dan setiap kali ikatan itu terputus manusia akan berpaut pada ikatan berikutnya. Bermula dengan ‘Al-hukm’ dan berakhir dengan ‘As-Solah’
Sistem nilai dalam kehidupan umat islam semakin hancur kerana tiadanya penguasaan oleh system pentadbiran dan pemerintahan yang berlandaskan syariat islam. Imam Al-Ghazali telah berpesan “Agama itu satu asas. Pemerintah adalah pengawal. Maka sesuatu yang tidak ada asas akan runtuh dan sesuatu yang tidak ada pengawal akan hilang.” Kita semakin kehilangan nilai-nilai islam yang murni dalam kehidupan lantaran kealpaan dan kelekaan pemerintah yang sewajarnya bertindak menjadi pembela dalam mengukuhkan agama, dan sekiranya ini berlarutan maka nescaya agama islam akan runtuh dan binasa.
Allah juga telah menetapkan hukum-Nya yang hak dalam system ekonomi.
Firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 130, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah supaya kamu berjaya.”
Jelas Allah telah menetapkan hukumnya terhadap riba bahawa ianya haram dan dilarang sama sekali. Maka mengapa masih lagi kita dalam system pemerintahan dan pengendalian perbendaharaan Negara dan juga pengendalian ekonomi individu memilih dan berlumba-lumba untuk menggunakan system perbankan konvensional? Inilah pengaruh sekularisme yang menjalar dalam system ekonomi umat islam pada hari ini.
Usah kita katakan bahawa tiada pilihan selain perbankan konvensional kerana tatkala kejatuhan system nilai menyebabkan runtuhnya system ekonomi dan pentadbiran, system ekonomi barat yang berteraskan riba semakin menunjukkan kelemahan dan kepincangan, system ekonomi islam mula menunjukkan hasil dan kemajuannya. Maka, institusi perbankan konvensional berlumba-lumba untuk mencontohi system perbankan islam maka lahirlah CIMB Islamic, Maybank Islamic, HSBC Islamic dan pelbagai lagi yang berteraskan system islam. Inilah pilihan yang nyata bagi semua. Maka mengapa masih kita ragu Keadilan Allah dalam menetapkan hokum terhadap system ekonomi?
Sekiranya kita beriman dengan Keadilah Allah S.W.T, ianya tidak cukup disebut dan dilaung-laungkan dengan lafaz sebaliknya perbuatan dan amalan kitalah lah yang sewajarnya menjadi cerminan iman yang kukuh terhadap Allah. Marilah bersama-sama kita perangi Sekularisme mahupun dalam perundangan, pentadbiran, pemerintahan, pendidikan dan juga ekonomi.
Firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 104 ‘Hendaklah ada dikalangan kamu segolongan yang menyeru kepada kebaikn, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, mereka itulah orang yang mendapat kejayaan’.
Posted by T-Classic 1853 | Posted in Fikh, Ibadah, Penulisan, Politik, Tazkirah | Posted on 22-06-2009
1.Ketika berkumur, niatlah “Ya Allah, ampunilah dosa mulut dan lidahku ini.”
Ini kerana kita hari-hari bercakap tentang perkara yang tidak berfaedah.
2. Ketika membasuh muka, niatlah ” Ya Allah, putihkanlah mukaku di akhirat kelak, janganlah kau hitamkan muka ini.”
Ini kerana ahli syurga mukanya putih berseri-seri.
3. Ketika membasuh tangan kanan, berniatlah kamu dengan, “Ya Allah, berikanlah hisab-hisabku melalui tangan kanan ku ini.”
Ini kerana ahli syurga diberikan hisabnya melalui tangan kanannya.
4. Ketika membasuh tangan kiri, berniatlah kamu dengan, “Ya Allah, janganlah Kau berikan hisab-hisabku melalui tangan kiri ini.”
Ini kerana ahli neraka diberikan hisabnya melalui tangan kiri.
5. Ketika membasuh kepala, niatlah “Ya Allah, lindungilah aku dari terik matahari di Padang Masyar dengan Arasy-Mu.”
Ini kerana panas di Padang Masyar macam matahari terletak hanya sejengkal di atas kepala kita.
6. Ketika membasuh telinga, niatlah “Ya Allah, ampunilah dosa telingaku ini.”
Ini kerana setiap hari kita tidak akan terlepas dari mendengar orang mengumpat dan memfitnah.
7. Ketika membasuh kaki kanan, niatlah “Ya Allah, permudahkanlah aku untuk melintasi titian Siratul Mustaqim.”
Ini kerana ahli syurga melintasi titian Siratul Mustaqim dengan pantas.
8. Ketika membasuh kaki kiri, niatlah “Ya Allah, bawalah aku pergi ke masjid-masjid, surau-surau dan bukan ke tempat-tempat maksiat.
Ini kerana Qada’ dan Qadar kita di tangan Allah.
Ramai antara kita tidak sedar akan hakikat bahawa setiap yang dituntut dalam Islam mempunyai hikmahnya tersendiri. Pernahkah kita terfikir kenapa kita mengambil wuduk?
Pernahkah kita terfikir kenapa kita dilahirkan sebagai umat Islam?
Sekadar peringatan….
Dari Nu’im bin Mujmir r.a, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari Kiamat nanti dengan ‘Ghurran Muhajjilin’ kerana bekas wudhuknya yang bercahaya… (AL BUKHARI)
Sempurnakan wuduk, ratakan basuhan, jangan membazir air, lebihkan dari sempadan anggota wudhuk dan makruh melebihi 3 basuhan.
Bersyukurlah dan bertaubatlah selalu.
Author: Unknown
Edited by: Trick Tracks
Posted by Nur Islam | Posted in Baitulmuslim, Politik, Sejarah | Posted on 10-06-2009
Musim cuti sekolah adalah musim mengawan bagi manusia. Ramai pasangan yang mengambil peluang cuti sekolah untuk melangsungkan perkahwinan. Penulis yang kini berada di Malaysia sempat menghadiri beberapa majlis perkahwinan. Ibunda dan Ayahanda memang setia menghadiri majlis perkahwinan walaupun undangan yang diterima sehari hampir 10 undangan, namun digagahi diri untuk dipenuhi. Pernah penulis beberapa hari yang lalu pergi memenuhi undangan perkahwinan dan dalam perjalanan menuju ke rumah kenduri, penulis bertembung dengan tidak kurang dari 20 majlis perkahwinan di rumah-rumah yg berdekatan dengan jalan besar yang diadakan pada hari itu. Itu belum termasuk kenduri di rumah-rumah yang tidak berada di tepi jalan. Memang meriah musim perkahwinan di Malaysia ini.
Tapi bukanlah soal walimatul urus yang menarik perhatian penulis untuk mencoret sedikit pandangan. Penulis di zaman kecil selalu menonton drama-drama epic dari Hong Kong mahupun Korea. Drama-drama epic selalu menggambarkan puteri raja akan dikahwinkan dengan putera raja dari negeri lain untuk mengeratkan hubungan politik. Inilah yang dinamakan perkahwinan politik yang dijalankan untuk menguatkan politik sesebuah negara.
Perkahwinan merupakan seuatu elemen yang penting dalam amalan system politik dunia sejak berkurun lamanya. Dunia islam juga tidak lari dari amalan perkahwinan politik. Penulis selalu mendengar amanat bahawa perkahwinan itu adalah sebahagian dari perjuangan islam, namun gagal difahami oleh penulis. Penulis masih kabur akan konsep bahawa perkahwinan merupakan sendi kepada dasar dalam memperjuangkan agama Allah. Bukanlah penulis bebal mahupun benak hati, cumanya konsep itu tidak melekat dihati kerana penulis gagal menghayati apa itu erti sebuah perkahwinan. Namun, penulis cuba menyingkap Sirah Rasulullah dan cuba mencari jawapannya, Alhamdulillah penulis menemui sedikit bahan untuk menambahkan kefahaman.
Mari kita susuri sirah nabawiyah yang wajar menjadi sandaran dan contoh Jundullah pasca moden. Rasulullah menjadikan perkahwinan sebagai satu cara untuk mengikat dirinya bersama-sama sahabat-sahabat yang menjadi tulang belakang kepada perjuangannya. Rasulullah berkahwin dengan Saidatina ‘Aisyah binti Abu Bakar dan Hafsah binti Umar bin Khattab untuk mengukuhkan ikatan bersama Sahabat baik Baginda, Abu Bakar dan Umar. Dalam pada itu Baginda mengahwinkan Puteri-Puteri baginda bersama sahabat-sahabat yang dikasihi. Fatimah dikahwinkan dengan Ali bin Abi Talib dan Uthman bin Affan dikahwin dengan Ruqayyah dan Ummu Kalthum.
Selain itu, Rasulullah mengahwini Safiyah binti Huyai bin Akhtab, dari Bani Israel selepas Tentera Islam meraih kejayaan dalam Perang Khaibar. Sebagai menghormati Huyai bin Akhtab yang merupakan Ketua Kabilah, Rasulullah sendiri mengahwini anak gadis Huyai dengan matlamat untuk membuka jalan damai antara Islam dan Yahudi di zaman tersebut. Rasulullah juga telah berkahwin dengan Ummu Habibah Ramlah binti Abu Sufyan, anak perempuan Abu Sufyan, pembesar terkemuka Kota Mekah setelah suami Ummu Habibah murtad menjadi Kristian setelah berhijrah ker Habsyah. Selain itu, Rasulullah juga telah berkahwin dengan Juwairiyah binti Al-Harith, anak perempuan kepada ketua Bani Al Mustaliq. Perkahwinan Rasulullah bersama ketiga-tiga Ummul Mukminin ini telah Berjaya menjadi benteng pertahanan yang besar dalam menyekat provokasi dan serangan kabilah-kabilah yang memusuhi Islam.
Agama islam amat menitik beratkan soal ikhtilat iaitu pergaulan diantara lelaki dan perempuan. Rasulullah adalah seorang lelaki dan ini menyukarkan penyebaran islam terhadap golongan wanita Arab. Maka, dilihat disinilah kepentingan peranan yang dimainkan oleh Ummul Mukminin yang menjadi Sulbah(tulang belakang) kepada perjuangan Rasulullah. Mereka menyebarkan islam kepada kaum wanita dari bani-bani mereka yang memusuhi islam. Mereka mengajarkan islam kepada muslimat kerana mereka sangat dekat dan mendapat tarbiyah secara langsung dari Rasulullah.
Diatas merupakan beberapa contoh petikan sirah Rasulullah dan jika hendak dibincang secara terperinci memanglah tiada kesudahannya. Tetapi yang lebih penting adalah Ibrah dari Sirah tersebut.Dapat dilihat betapa besarnya peranan institusi perkahwinan dalam menegakkan syiar islam. Bukan sahaja perkahwinan itu membentuk Baitul Muslim yang Soleh, tetapi ia juga menjadi wadah perjuangan islam yang sangat berkesan. Jika kita melihat perkahwinan dari sudut milikan peribadi atau hal persendirian, maka konsep itu sangat salah. Rasulullah mengahwini para isteri baginda bukanlah atas dasar kehendak, nafsu dan kepentingan diri semata-mata tetapi apa yang dilakukan adalah demi menegakkan agama. Sekadar memetik dialog dari filem ‘Cinta’ bahawa isteri itu bukan hak milik tetapi adalah anugerah dari Allah, anugerah yang bakal menjadi pembakar semangat kepada perjuangan Jundullah. Perkahwinan pasti mempunyai matlamat. Bukanlah semata-mata kita berkahwin atas dasar politik, tetapi biarlah matlamat perkahwinan tersebut untuk bersama menegakkan Islam yang syumul.
Perkahwinan itu melengkapkan separuh dari agama dan sesungguhnya lelaki yang baik itu pasanganya adalah wanita yang solehah. Maka kawan kawan marilah menjadi lelaki dan wanita yang Soleh dan Solehah agar kita mendapat pasangan yang bersesuaian buat kita. Amin.

DEMOKRASI ALAT DAKWAH ISLAM
Islam berkembang dengan dakwah. Bermula dengan dakwah fardiyyah hinggalah jihad fi sabilillah. Dakwah merupakan perkara penting dalam Islam. Dengan dakwah, manusia akan merasakan kehebatan islam. Dengan dakwah, manusia akan menjadikan Islam sebagai cara hidup. Dengan dakwah, manusia akan mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Manusia pula memerlukan kehidupan yang sempurna. Mereka inginkan keamanan, keselamatan, kedamaian dan berbagai-bagai lagi keinginan. Semuanya adalah keinginan fitrah kemanusiaan yang sememangnya wujud dalam jiwa manusia.
Dunia telah berada dalam kegelapan. Kegelapan berlaku dengan sebab manusia tidak dapat menyediakan dasar kehidupan yang boleh memimpin mereka membawa kepada kesesuaian dengan kehidupan fitrah.
Kesemua kehendak fitrah ini tidak dapat dikecapi dengan tidak menjadikan Islam sebagai dasar kehidupan. Allah SWT merupakan tuhan yang telah mencipta manusia. Dengan penciptaan itu menggambarkan Allah bersangatan mengetahui cara kehidupan manusia bagi mencapai kehendak fitnah kemanusiaan tersebut.
Dengan itu, Allah telah mendatangkan sistem kehidupan dengan mengutuskan Nabi dan Rasul bagi menyampaikan ajaran-Nya, yang hakikat ajaran itu sebenarnya mendidik manusia agar tidak menuruti kehendak nafsu yang boleh membawa kepada penghapusan terhadap kehendak fitrah insani tersebut.
Pun begitu, di sana terdapat manusia yang nafsunya agak buas sehinggakan kandungan ajaran Allah itu ditinggalkan disamping melawan dengan hebatnya.
Tidak kira yang melawan itu bernama kafir atau munafiq atau seumpama dengannya. Serangan terhadap Islam itu hebat dilakukan oleh mereka, bermula dari zaman nabi-nabi terdahulu sehinggakan umat Nabi Muhammad SAW.



