Betulkah Allah Maha Adil?

Filed Under (Akhlak, akidah, ekonomi, politik) by Nur Islam on 26-06-2009

Tagged Under :

Setiap dari yang beriman dan mengaku diri sebagai Muslim itu wajib mempercayai tauhid Rububiyah, Uluhiyah dan Asma’ Wa Sifat. Sekiranya kita meragui biar pun satu dari bahagian Tauhid ini, maka pasti akan terbatalah ‘akidah kita. Salah satu dari Nama Allah yang mulia adalah Al-‘Adl yang bererti Yang Maha Adil.

Kita sering mendengar dan membacanya di dalam Al-quran mahupun Hadith bahawa Allah itu Maha Adil. Sebagai umat islam, wajib untuk kita mempercayai bahawa keadilah Allah S.W.T itu tiada tandingannya melebihi segalanya yg bergelar makhluk. Allah sebagai Tuhan Sekalian Alam telah memberi panduan kepada manusia akan bagaimana kita harus menjalankan hukum dalam mendepani tugas kita sebagai Khalifah. Atas dasar keadilan, Allah menetapkan hukum kepada manusia yang harus dipatuhi dan dijalankan.

Firman Allah dalam Surah Yusuf ayat 40, ‘Sebenarnya hukum(undang-undang) hanyalah bagi Allah’….

Maka sebagai umat islam wajib bagi kita mempercayai bahawa undang-undang yang diturunkan oleh Allah adalah sebaik-baik hukum kerana ianya datang dari Khaliq yang Maha Adil. Tiada undang-undang ideology manusia yang setara dengan Hukum yang datangnya dari Tuhan yang Maha Adil. Maka atas dasar kefahaman betapa Allah itu Maha Adil, mengapa masih lagi manusia memilih untuk berhukum dengan hukuman ciptaan manusia?Allah menurunkan Al-Quran sebagai panduan untuk kita menjalankan hokum dan Rasulullah mengajarkan kita cara pelaksanaannya melalui Sunnahnya.

Allah berfirman dalam surah Annisa’ ayat 45: ‘ Sesungguhnya kami turunkan kepadamu Kitab (Alquran)dengan sebenarnya, supaya kamu melaksanakan hukum di kalangan manusia dengan apa yang telah ditunjukkan kepadamu, dan janganlah kamu menjadi pembela kepada orang-orang yg khianat

Jika ditanya kepada umat islam pada hari betulkah Allah itu Maha Adil? Nescaya mereka akan berduyun-duyun mengakui keimanan mereka terhadap Keadilan Allah. Namun atas dasar keimanan apakah kita mengatakan Allah itu Maha Adil jika kita gagal dan ingkar dalam melaksanakan hukum Allah sedangkan iman itu adalah membenarkan dalam hati, menyebutnya melalui lisan dan menzahirkannya secara perbuatan. Jika kita menolak hukum Allah maka tepuk dada tanya iman, sejauh mana kita meyakini bahawa Allah itu Maha Adil. Jika kita masih lagi mahu menegakkan undang-undang manusia dan menepikan undang-undang Allah, maka betulkan kita meyakini bahawa Allah itu Maha Adil.

Firman Allah dalam Surah Al-An’am Ayat 115, ‘Telah sempurna Kalimat-Kalimat Tuhanmu dengan kebenaran dan Keadilan. Tidak ada perubahan-perubahan pada kalimatn-Nya. Ia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. ‘

Allah telah mengatakan bahawa setiap kalimah didalam Al-Quran itu adalah kebenaran dan keadilan maka setiap hokum dan perintah-Nya juga adalah kebenaran dan Keadilan. Namun umat islam pada hari ini lebih selesa memilih undang-undang ideology manusia dan menolak hukum yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita atas kesombongan dan kebongkakan kita. Lupakah kita akan mengapa Allah melaknat dan menghina kaum Bani Israel? Kerana mereka sombong, bongkak dan ingkar kepada hukum Allah.

Kita akan mengkeji dan mencebikkan bibir tatkala mendengarkan nama Mustafa Kamal At-Tartuk, bapa pemodenan Turki kononya sedangkan dialah yang menjadi punca kejatuhan Khalifah Islam. Dialah juga yang menjadi duri dalam daging menyemai ideology sekularisme dalam masyarakat islam. Dalam kekejian dan kebencian yang kita lemparkan kepada Mustafa Kamal At-Tartuk kita terlupa bahawa kitalah yang kini menjadi pewaris legasi perjuangannya. Mustafa Kamal At-Tartuk berjaya menyemai sekularisme dalam kehidupan masyarakat islam disebabkan kitalah yang menjadi pengikut setianya. Maka apakah layak bagi kita untuk mengkeji dia sedangkan dia berbangga mempunyai waris seperti kita.

Sekularisme yang menjadi kunci kepada demokrasi ideology barat, kini makin menjadi barah yang menghancurkan umat islam sendiri. Sekularisme menyerang system pemerintahan, system pentadbiran, system pendidikan dan juga system ekonomi. Kita semakin menjauhkan agama dari aspek kehidupan terutamanya dalam soal pentadbiran, perundangan dan pemerintahan.

‘Sesungguhnya akan terputus ikatan islam satu persatu. Dan setiap kali ikatan itu terputus manusia akan berpaut pada ikatan berikutnya. Bermula dengan ‘Al-hukm’ dan berakhir dengan ‘As-Solah’

Sistem nilai dalam kehidupan umat islam semakin hancur kerana tiadanya penguasaan oleh system pentadbiran dan pemerintahan yang berlandaskan syariat islam. Imam Al-Ghazali telah berpesan Agama itu satu asas. Pemerintah adalah pengawal. Maka sesuatu yang tidak ada asas akan runtuh dan sesuatu yang tidak ada pengawal akan hilang.” Kita semakin kehilangan nilai-nilai islam yang murni dalam kehidupan lantaran kealpaan dan kelekaan pemerintah yang sewajarnya bertindak menjadi pembela dalam mengukuhkan agama, dan sekiranya ini berlarutan maka nescaya agama islam akan runtuh dan binasa.

Allah juga telah menetapkan hukum-Nya yang hak dalam system ekonomi.

Firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 130, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah supaya kamu berjaya.”

Jelas Allah telah menetapkan hukumnya terhadap riba bahawa ianya haram dan dilarang sama sekali. Maka mengapa masih lagi kita dalam system pemerintahan dan pengendalian perbendaharaan Negara dan juga pengendalian ekonomi individu memilih dan berlumba-lumba untuk menggunakan system perbankan konvensional? Inilah pengaruh sekularisme yang menjalar dalam system ekonomi umat islam pada hari ini.

Usah kita katakan bahawa tiada pilihan selain perbankan konvensional kerana tatkala kejatuhan system nilai menyebabkan runtuhnya system ekonomi dan pentadbiran, system ekonomi barat yang berteraskan riba semakin menunjukkan kelemahan dan kepincangan, system ekonomi islam mula menunjukkan hasil dan kemajuannya. Maka, institusi perbankan konvensional berlumba-lumba untuk mencontohi system perbankan islam maka lahirlah CIMB Islamic, Maybank Islamic, HSBC Islamic dan pelbagai lagi yang berteraskan system islam. Inilah pilihan yang nyata bagi semua. Maka mengapa masih kita ragu Keadilan Allah dalam menetapkan hokum terhadap system ekonomi?

Sekiranya kita beriman dengan Keadilah Allah S.W.T, ianya tidak cukup disebut dan dilaung-laungkan dengan lafaz sebaliknya perbuatan dan amalan kitalah lah yang sewajarnya menjadi cerminan iman yang kukuh terhadap Allah. Marilah bersama-sama kita perangi Sekularisme mahupun dalam perundangan, pentadbiran, pemerintahan, pendidikan dan juga ekonomi.

Firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 104 ‘Hendaklah ada dikalangan kamu segolongan yang menyeru kepada kebaikn, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, mereka itulah orang yang mendapat kejayaan’.

Hikmah Berwudhuk

Filed Under (fikh, ibadah, penulisan, politik, tazkirah) by Trick Tracks on 22-06-2009

Tagged Under :

1.Ketika berkumur, niatlah “Ya Allah, ampunilah dosa mulut dan lidahku ini.”

Ini kerana kita hari-hari bercakap tentang perkara yang tidak  berfaedah.

2. Ketika membasuh muka, niatlah ” Ya Allah, putihkanlah mukaku di akhirat kelak, janganlah kau hitamkan muka ini.”

Ini kerana ahli syurga mukanya putih berseri-seri.

3.  Ketika membasuh tangan kanan, berniatlah kamu dengan, “Ya Allah, berikanlah hisab-hisabku melalui tangan kanan ku ini.”

Ini kerana ahli syurga diberikan hisabnya melalui tangan kanannya.

4.  Ketika membasuh tangan kiri, berniatlah kamu dengan, “Ya Allah, janganlah Kau berikan hisab-hisabku melalui tangan kiri ini.”

Ini kerana ahli neraka diberikan hisabnya melalui tangan kiri.

5.  Ketika membasuh kepala, niatlah “Ya Allah, lindungilah aku dari terik matahari di Padang Masyar dengan Arasy-Mu.”

Ini kerana panas di Padang Masyar macam matahari terletak hanya sejengkal di atas kepala kita.

6. Ketika membasuh telinga, niatlah “Ya Allah, ampunilah dosa telingaku ini.”

Ini kerana setiap hari kita tidak akan terlepas dari mendengar orang mengumpat dan memfitnah.

7. Ketika membasuh kaki kanan, niatlah “Ya Allah, permudahkanlah aku untuk melintasi titian Siratul Mustaqim.”

Ini kerana ahli syurga melintasi titian Siratul Mustaqim dengan pantas.

8. Ketika membasuh kaki kiri, niatlah “Ya Allah, bawalah aku pergi ke masjid-masjid, surau-surau dan bukan ke tempat-tempat maksiat.

Ini kerana Qada’ dan Qadar kita di tangan Allah.

Ramai antara kita tidak sedar akan hakikat bahawa setiap yang dituntut dalam Islam mempunyai hikmahnya tersendiri.  Pernahkah kita terfikir kenapa kita mengambil wuduk?

Pernahkah kita terfikir kenapa kita dilahirkan sebagai umat Islam?

Sekadar peringatan….

Dari Nu’im bin Mujmir r.a, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari Kiamat nanti dengan ‘Ghurran Muhajjilin’ kerana bekas wudhuknya yang bercahaya… (AL BUKHARI)

Sempurnakan wuduk, ratakan basuhan, jangan membazir air, lebihkan dari sempadan anggota wudhuk dan makruh melebihi 3 basuhan.

Bersyukurlah dan bertaubatlah selalu.

Author: Unknown

Edited by: Trick Tracks

Perkahwinan dan Politik

Filed Under (Sejarah, baitulmuslim, politik) by Nur Islam on 10-06-2009

Tagged Under : ,

Musim cuti sekolah adalah musim mengawan bagi manusia. Ramai pasangan yang mengambil peluang cuti sekolah untuk melangsungkan perkahwinan. Penulis yang kini berada di Malaysia sempat menghadiri beberapa majlis perkahwinan. Ibunda dan Ayahanda memang setia menghadiri majlis perkahwinan walaupun undangan yang diterima sehari hampir 10 undangan, namun digagahi diri untuk dipenuhi. Pernah penulis beberapa hari yang lalu pergi memenuhi undangan perkahwinan dan dalam perjalanan menuju ke rumah kenduri, penulis bertembung dengan tidak kurang dari 20 majlis perkahwinan di rumah-rumah yg berdekatan dengan jalan besar yang diadakan pada hari itu. Itu belum termasuk kenduri di rumah-rumah yang tidak berada di tepi jalan. Memang meriah musim perkahwinan di Malaysia ini.

Tapi bukanlah soal walimatul urus yang menarik perhatian penulis untuk mencoret sedikit pandangan. Penulis di zaman kecil selalu menonton drama-drama epic dari Hong Kong mahupun Korea. Drama-drama epic selalu menggambarkan puteri raja akan dikahwinkan dengan putera raja dari negeri lain untuk mengeratkan hubungan politik. Inilah yang dinamakan perkahwinan politik yang dijalankan untuk menguatkan politik sesebuah negara.

Perkahwinan merupakan seuatu elemen yang penting dalam amalan system politik dunia sejak berkurun lamanya. Dunia islam juga tidak lari dari amalan perkahwinan politik. Penulis selalu mendengar amanat bahawa perkahwinan itu adalah sebahagian dari perjuangan islam, namun gagal difahami oleh penulis. Penulis masih kabur akan konsep bahawa perkahwinan merupakan sendi kepada dasar dalam memperjuangkan agama Allah. Bukanlah penulis bebal mahupun benak hati, cumanya konsep itu tidak melekat dihati kerana penulis gagal menghayati apa itu erti sebuah perkahwinan. Namun, penulis cuba menyingkap Sirah Rasulullah dan cuba mencari jawapannya, Alhamdulillah penulis menemui sedikit bahan untuk menambahkan kefahaman.

Mari kita susuri sirah nabawiyah yang wajar menjadi sandaran dan contoh Jundullah pasca moden. Rasulullah menjadikan perkahwinan sebagai satu cara untuk mengikat dirinya bersama-sama sahabat-sahabat yang menjadi tulang belakang kepada perjuangannya. Rasulullah berkahwin dengan Saidatina ‘Aisyah binti Abu Bakar dan Hafsah binti Umar bin Khattab untuk mengukuhkan ikatan bersama Sahabat baik Baginda, Abu Bakar dan Umar. Dalam pada itu Baginda mengahwinkan Puteri-Puteri baginda bersama sahabat-sahabat yang dikasihi. Fatimah dikahwinkan dengan Ali bin Abi Talib dan Uthman bin Affan dikahwin dengan Ruqayyah dan Ummu Kalthum.

Selain itu, Rasulullah mengahwini Safiyah binti Huyai bin Akhtab, dari Bani Israel selepas Tentera Islam meraih kejayaan dalam Perang Khaibar. Sebagai menghormati Huyai bin Akhtab yang merupakan Ketua Kabilah, Rasulullah sendiri mengahwini anak gadis Huyai dengan matlamat untuk membuka jalan damai antara Islam dan Yahudi di zaman tersebut. Rasulullah juga telah berkahwin dengan Ummu Habibah Ramlah binti Abu Sufyan, anak perempuan Abu Sufyan, pembesar terkemuka Kota Mekah setelah suami Ummu Habibah murtad menjadi Kristian setelah berhijrah ker Habsyah. Selain itu, Rasulullah juga telah berkahwin dengan Juwairiyah binti Al-Harith, anak perempuan kepada ketua Bani Al Mustaliq. Perkahwinan Rasulullah bersama ketiga-tiga Ummul Mukminin ini telah Berjaya menjadi benteng pertahanan yang besar dalam menyekat provokasi dan serangan kabilah-kabilah yang memusuhi Islam.

Agama islam amat menitik beratkan soal ikhtilat iaitu pergaulan diantara lelaki dan perempuan. Rasulullah adalah seorang lelaki dan ini menyukarkan penyebaran islam terhadap golongan wanita Arab. Maka, dilihat disinilah kepentingan peranan yang dimainkan oleh Ummul Mukminin yang menjadi Sulbah(tulang belakang) kepada perjuangan Rasulullah. Mereka menyebarkan islam kepada kaum wanita dari bani-bani mereka yang memusuhi islam. Mereka mengajarkan islam kepada muslimat kerana mereka sangat dekat dan mendapat tarbiyah secara langsung dari Rasulullah.

Diatas merupakan beberapa contoh petikan sirah Rasulullah dan jika hendak dibincang secara terperinci memanglah tiada kesudahannya. Tetapi yang lebih penting adalah Ibrah dari Sirah tersebut.Dapat dilihat betapa besarnya peranan institusi perkahwinan dalam menegakkan syiar islam. Bukan sahaja perkahwinan itu membentuk Baitul Muslim yang Soleh, tetapi ia juga menjadi wadah perjuangan islam yang sangat berkesan. Jika kita melihat perkahwinan dari sudut milikan peribadi atau hal persendirian, maka konsep itu sangat salah. Rasulullah mengahwini para isteri baginda bukanlah atas dasar kehendak, nafsu dan kepentingan diri semata-mata tetapi apa yang dilakukan adalah demi menegakkan agama. Sekadar memetik dialog dari filem ‘Cinta’ bahawa isteri itu bukan hak milik tetapi adalah anugerah dari Allah, anugerah yang bakal menjadi pembakar semangat kepada perjuangan Jundullah. Perkahwinan pasti mempunyai matlamat. Bukanlah semata-mata kita berkahwin atas dasar politik, tetapi biarlah matlamat perkahwinan tersebut untuk bersama menegakkan Islam yang syumul.

Perkahwinan itu melengkapkan separuh dari agama dan sesungguhnya lelaki yang baik itu pasanganya adalah wanita yang solehah. Maka kawan kawan marilah menjadi lelaki dan wanita yang Soleh dan Solehah agar kita mendapat pasangan yang bersesuaian buat kita. Amin.

Demokrasi Alat Dakwah Islam

Filed Under (dakwah, politik) by Abdullah on 22-05-2009

Tagged Under : ,

islam-demokrasi

DEMOKRASI ALAT DAKWAH ISLAM

Islam berkembang dengan dakwah. Bermula dengan dakwah fardiyyah hinggalah jihad fi sabilillah. Dakwah merupakan perkara penting dalam Islam. Dengan dakwah, manusia akan merasakan kehebatan islam. Dengan dakwah, manusia akan menjadikan Islam sebagai cara hidup. Dengan dakwah, manusia akan mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Manusia pula memerlukan kehidupan yang sempurna. Mereka inginkan keamanan, keselamatan, kedamaian dan berbagai-bagai lagi keinginan. Semuanya adalah keinginan fitrah kemanusiaan yang sememangnya wujud dalam jiwa manusia.

Dunia telah berada dalam kegelapan. Kegelapan berlaku dengan sebab manusia tidak dapat menyediakan dasar kehidupan yang boleh memimpin mereka membawa kepada kesesuaian dengan kehidupan fitrah.

Kesemua kehendak fitrah ini tidak dapat dikecapi dengan tidak menjadikan Islam sebagai dasar kehidupan. Allah SWT merupakan tuhan yang telah mencipta manusia. Dengan penciptaan itu menggambarkan Allah bersangatan mengetahui cara kehidupan manusia bagi mencapai kehendak fitnah kemanusiaan tersebut.

Dengan itu, Allah telah mendatangkan sistem kehidupan dengan mengutuskan Nabi dan Rasul bagi menyampaikan ajaran-Nya, yang hakikat ajaran itu sebenarnya mendidik manusia agar tidak menuruti kehendak nafsu yang boleh membawa kepada penghapusan terhadap kehendak fitrah insani tersebut.

Pun begitu, di sana terdapat manusia yang nafsunya agak buas sehinggakan kandungan ajaran Allah itu ditinggalkan disamping melawan dengan hebatnya.

Tidak kira yang melawan itu bernama kafir atau munafiq atau seumpama dengannya. Serangan terhadap Islam itu hebat dilakukan oleh mereka, bermula dari zaman nabi-nabi terdahulu sehinggakan umat Nabi Muhammad SAW.

Read the rest of this entry »

Isra’, Palestine & Rasulullah

Filed Under (Sejarah, politik) by Nur Islam on 28-04-2009

Tagged Under : , , ,


Saya pasti ramai diantara kita yg mengetahui akan peristiwa Isra’ dan Mikraj yang dimaktubkan oleh Allah dalam Al-Quran, dimana Rasulullah diperjalankan dari Tanah Haram Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestine (Isra’) dan seterusnya dibawa ke Sidratul Muntaha (Mikraj). Namun tahukah kita apakah mesej yang ingin disampaikan disebalik peristiwa Isra’ itu sendiri.

Mengikut buku Ar-Raheequl Makhtum(The Sealed Nectar), Peristiwa Isra’ dan Mikraj dirumuskan dalam ayat pertama Surah Isra’, kemudian pertukaran mendadak dengan pembongkaran jenayah-jenayah dan kelakuan jahat kaum yahudi pada ayat-ayat berikutnya kemudian disusuli dengan peringatan bahawa Al-Quran akan membimbing manusia ke jalan keadilan.

Ini bukanlah perkara kebetulan, tetapi mesej yang ingin disampaikan melalui peristiwa Isra’ dan cara perkhabarannya didalam Al-Quran adalah untuk memberitahu kepada kaum yahudi dan seluruh alam bahawasanya Allah telah mengangkat pangkat Kaum Yahudi sebagai khalifah manusia disebabkan kejahatan dan jenayah yang mereka telah lakukan dan seterusnya menidakkan pendudukan mereka di Bumi Palestine.

Allah secara rasminya telah melantik dan mengamanahkan dua bumi Barakah ajaran Nabi Ibrahim, yakni Makkah dan Masjidil Aqsa kepada Rasulullah S.A.W dan seluruh umatnya. Umat Nabi Muhammad telah dipilih untuk untuk menjaga, memelihara dan mempertahankan bumi Palestine seperti mana kita mempertahankan bumi Haram Makkah. Pengistiharan rasmi ini jelas dipaparkan dalam peristiwa Isra’ dan gambaran peristiwanya dalam Al-Quran.
Maka setiap dari kita yang mengaku menjadi umat Muhammad, perlulah mempertahankan amanah yang Allah sendiri kurniakan kepada Rasulullah S.A.W. Alangkah malunya kita pada hari ini atas kegagalan kita untuk mempertahankan kesucian Masjidil Aqsa. Ingatlah kita telah gagal menunaikan kewajipan menjaga amanah Allah yang khusus untuk Rasulullah Muhammad. Maka apakah kita masih mahu terus berlangut dan mengkritik setiap tindakan manusia tanpa mahu membantu. Palestine bukan setakat perlu didodoi tapi perlu dipertahankan sebaik-baiknya.  Jika Amanah sesama manusia kita wajib menjaga sebaik-baiknya, inikan pula amanah yang Allah kurnia kepada nabi kita sendiri. Jika di Padang Mahsyar Allah bertanya, “Apakah yang telah kamu lakukan terhadap amanah aku, bumi Palestine?” apakah jawapan kita? “Aku telah memperkecilkan usaha manusia untuk menjaganya” atau “aku langsung tidak pernah berusaha menjaganya”. Seeloknya jawapan kita, “Ya Allah aku tahu usaha dan kemampuan ku sangat terbatas, namun telah ku usahakan utk menjaganya sehabis mungkin walaupun aku telah gagal”

Atap Hijau
Subscribe to Rss Feed : Rss