Uhud, memahat sejarah, menjadi saksi tumpah darah, membakar harum Syurga bauan Syuhada’. Kisahnya menggamit aku untuk ke sana. Siapa mungkin bisa lupa akan pengorbanan para sahabat yg semangat jihadnya bisa menenggelamkan Uhud. Coretan Uhud masih segar dalam lipatan sejarah. Tatkala membaca lembaran Uhud, rasa mendetik jiwa untuk turut berjihad sama. Namun, apakah masih ada medan Uhud buatku?Aku masih tertanya? Apakah medan Uhud masih terbentang buatku yg sedang leka dalam kealpaan dunia.
Kusingkap helaian kisah Mus’ab Bin Umair. Seorang rupawan dari keluarga bangsawan. Hidupnya dilimpahi kesenangan dan kemewahan, berpakaian terbaik dari sutera sulaman tangan yang membalut tubuh tampannya. Namun, Uhud menjadi saksi merungkai segalanya. Naqib pertama yang dihantar Rasulullah ke bumi Yathrib itu gugur syahid mengejar Jannah. Saat matinya, tiada lagi sutera mewah yg bias menjadi kapan. Sehelai kain hanya cukup untuk menutup wajah ,mendedahkan kaki sehingga meruntun hati suci Rasulullah. Pemuda kacak yang pernah berpakaian terbaik di Kota Mekah itu meninggalkan segalanya demi Islam dan bumi Uhud bakal menjadi saksi kelak akan pengorbanannya menegakkan bendera Islam sehingga kedua tangannya dipotong musuh Allah. Namun, apakah aku bisa menjejaki Pejuang Uhud itu tatkala helaian baju mewah masih membaluti tubuhku sehingga aku lupa bahawa itu hanya semata-mata dunia. Tatkala aku mengejar jenama pakaian terkemuka, melabur wang untuk segak bergaya, aku terlupa akan pengorbanan Pejuang Uhud ini. Pakaian dan perhiasan yang menghiasi tubuh ini membuat aku leka dan alpa. Aku tertanya, apakah masih ada medan Uhud buatku? Ya Allah, seandainya pakaian dan perhiasan ini membuatkan aku lupa dan leka akan tanggungjawabku untuk menegakkan agamamu, membuatkan aku semakin menjauhi rahmatmu, Kau padamkanlah kecintaanku pada pakaian dan perhiasan. Ya Allah, jika pakaian dan perhiasaan ini akan melambatkan aku untuk sampai ke SyurgaMu, Kau hapuskanlah kecintaanku padanya. Ya Allah jika pakaian dan perhiasan ini memberatkan aku tika meniti Titian Sirat, Kau lunturkanlah nafsuku padanya. Read the rest of this entry »
Hidupku serba kekurangan. Dilahirkan dalam keluarga yang miskin, namun kaya dengan kebahagiaan. Hari ini Hari Ibu tiba lagi. Di sekolah kawan-kawan sibuk bercerita dan sibuk membanding-banding hadiah untuk ibu mereka. Ahmad membelikan ibunya seutas jam tangan, Ali menghadiahkan ibunya seutas rantai dan Aminah bercadang membelikan sejambak bunga buat ibunya. Melihat gelagat mereka hatiku sedih dan hiba.
‘Azim, tahun ni kau bagi hadiah apa untuk mak kau’?Aku terpaku sejenak mendengarkan pertanyaan Ali. Belum sempat ku menjawab Cikgu Saadiah masuk ke kelas dan Ali beralih ke mejanya.
‘Hari ini Hari Ibu, maka jangan lupa untuk mengucapkan Selamat Hari Ibu dan belikan hadiah untuk ibu kamu’ kata Cikgu Saadiah memulakan bicara.
Hatiku dihambat kecewa dan luka. Setiap tahun apabila tibanya Hari Ibu, aku pasti sedih kerana aku tak punya wang yang cukup untuk membeli hadiah buat ibu. Aku rasa sungguh tidak berdaya. Dihimpit kemiskinan dari segenap sudut, mana mungkin untukku mampu membelikan seutas jam, rantai dan juga bunga buat ibuku.
Hidup ini ibarat cerita dongeng Sinderella. Dalam pentas kehidupan ini, kitalah yang memeran watak Sinderella itu. Hidup yang penuh pancaroba namun, dihujung jalan ini ada sinar harapan yang membawa kebahagiaan yang kekal abadi.
Musuh utama Sinderella tentulah Ibu tirinya, Puan Sri Syaitan Durjana. Puan Sri Syaitan durjana sangat murka terhadap bapa Sinderella, Adam kerana Adam telah diangkat Allah menjadi Khalifah. Puan Seri Syaitan Durjana telah bersumpah untuk memusnahkan Sinderella dengan perancangan kejinya. Malanglah sekiranya Sinderella jatuh dalam perangkap ibu tirinya itu yang akan tertawa jika Sinderella terjelepuk dalam perancangan kejinya. Ibu Tiri Sinderella tidak pernah berhenti untuk memusnahkan Sinderella. Satu demi satu taktik dirancang, membuai mata Sinderella sehingga terlena dengan celaknya yang menggoda ketika Sinderella sedang tekun menuntut ilmu. Ibu Tiri Sinderella akan sentiasa menyuruh Sinderella untuk melakukan kejahatan, namun Sinderella perlu menahan godaan Ibu Tiri dengan sepenuh hati kerana jika tidak Sinderella sendiri yang akan rugi.
Selain itu, sebagai Sinderella, kita juga ada musuh lain. Kecantikkan iman Sinderella telah berjaya memikat Putera Raja, Al-Wildan(Pemuda Syurga). Namun, Sinderella akan sentiasa dicemburui oleh Kakak Tiri, Cik Hawa Nafsu yang mahu menjauhkan Sinderella dari Putera Rajanya. Cik Nafsu adalah musuh dan kakak tiri Sinderella. Nafsu tak pernah puas, ingin sentiasauntuk menjatuhkan iman Sinderella dengan godaan dan pujuk rayu supaya Putera Raja tawar hati terhadap Sinderella. Kakak Tiri, Cik Nafsu akan sentiasamendorong Sinderella untuk mengimpikan dunia yang hanya pura-pura. Nafsu takkan pernah puas. Nafsu takkan pernah tunduk dan jika Sinderella lemah dan naïf, nafsu akan menguasai setiap tindak tanduk Sinderella. Sinderella perlu tegas untuk membantutkan perancangan jahat Kakak Tiri yang suka untuk menghancurkan Sinderella. Sinderella perlu lawan kakak tiri sedaya mampu, supaya Putera Raja, Al-Wildan(Pemuda Syurga) akhirnya menjadi milik Sinderella.
Putera Raja, Al-Wildan, tinggal di Istana Syurga yang mewah dan penuh kebahagiaan. Majlis Tari Menari di Syurga hanya untuk sesiapa yang mendapat jemputan pemiliknya, Allah. Kad Jemputan telah dihantar lebih 1400 tahun dahulu, Kad Jemputan bernama Al-Quran. Jika kita tidak menyimpan dan membaca kad jemputan tersebut mana mungkin untuk kita pergi ke Istana Syurga yang kekal abadi. Jika kaki ini ingin menuju ke Istana Syurga, perlulah mendapat keizinan Allah. Allah sudah memberi janji-NYA kepada Sinderella, jika Sinderella ingin ke Istana Syurga, Sinderella perlu menurut perintah-Nya. Jika Sinderella tiba di Istana Syurga nanti, Sinderella pasti dirias cantik seperti bidadari yang tak kalahnya Ainul Mardhiah. Sinderella akan mendapat sepatu kaca yang diimpikannya.
Namun, untuk sampai ke Istana Syurga, Sinderella perlu menaiki Kereta Kuda, Al-Ibadah namanya. Kereta kuda ini sangat cantik dan manis sehingga mendapat gelaran Halawatul Iman. Kereta kuda ini perlu dipukul pedatinya supaya ia berjalan, perlu diistiqamahkan kereta kuda ini supaya ia bergerak menuju ke Siratol Mustaqim(jalan yang lurus). Sinderella perlu pantas bergerak dengan kereta kudanya kerana jam di dinding sudah menunjukkan pukul 12, menandakan Pintu Istana Syurga, Al-Mati bakal di tutup. Penjaga pintu Al-Mati, Izrail namanya akan datang menjemput Sinderella ke alam lain terlebih dahulu sementara menunggu masa untuk ke Istana Syurga. Adalah lebih mudah untuk berjumpa Penjaga Izrail sekiranya, Sinderella menaiki kereta kuda, Al-Ibadah yang cantik dan lengkap tetapi Izrail sangat menakutkan sekiranya kereta kuda Sinderella adalah buruk dan selekeh.
Kesusahan hidup Sinderella di bumi ini akan terbalas setibanya di Istana Syurga yang abadi. Sinderella akan bertemu cintanya yang hakiki di sana. Hidup Sinderella di Istana Syurga mengalahkan hidup seorang puteri raja. Hidupnya serba mewah dan kebahagiaan sentiasa melimpah ruah. Indahnya kehidupan Sinderella di Istana Syurga. Hidup ini ibarat cerita dongeng Sinderella yang bersusah dahulu dan bersenang kemudian dan Akulah Sinderella itu….
Bila musim main guli, semua ramai-ramai pakat main guli…aku akan pulun ajak ayah pergi ke kedai untuk membeli guli untuk dipertaruhkan di medan bulat atas tanah..sasaran ku tuju, guli-gulian ku perolehi…setelah beberapa bulan, musim guli pun tamat…guli-guli yang beraneka warna tu aku letak bersepah2…akhirnya mak juga yang menyimpannya untuk aku kerana dia tahu, pada tahun depan musim guli akan tiba lagi dan aku akan kembali mencari guli-guli ku untuk dipertaruhkan….
Masih teringat zaman kecil2 dulu…
Bila musim terjun sungai, semua pakat ramai-ramai terjun sungai…aku akan pulun mencari seluar pendek dan mengajak abang-abang dan kawan-kawan ku ke sungai…mak kata bahaya tapi aku pergi juga..zaman kanak-kanak, cabaran pasti ku suka…terjun sungai pelbagai gaya, bila dah besar nak berenang pun masih tak kena gaya, terkuak2 dalam air mengapung haramnya tidak…setelah beberapa bulan musim terjun sungai pun tamat, seluar pendek ku campak entah kemana… akhirnya mak juga yang menyimpannya untuk aku kerana dia tahu, pada tahun depan seluar itu akan ku cari untuk bermandi ria di sungai lagi
CHICKEN A LA CARTE - TRUE STORY ABOUT THE HUNGER AND POVERTY BROUGHT BY GLOBALIZATION
Bismillahirahmanirahim.
Assalamualaikum wbt,
Sebaik menonton video pendek yang dikongsi oleh saudara Adlan di YG PPIMI ini, saya berasa sangat terkesan dan malu pada diri sendiri. Betapa beruntungnya kita, dengan nikmat dan rahmat yang Allah swt berikan kepada kita, namun kadang-kala diri ini masih lagi mengeluh dan tidak bersyukur dengan apa yang ada.
Mata yang dianugerahi Allah masih lagi menjeling nikmat-nikmat yang dimiliki oleh orang lain, yang tidak dimiliki oleh kita.
Hati sendiri sentiasa iri dengan kejayaan dan kelebihan orang, malah sering juga terdetik mempersoalkan pemberian Allah kepada orang lain, tetapi tidak pada diri kita.
Bisikan-bisikan yang syaitan sentiasa hantarkan kepada kita, hati manusia-manusia yang lemah dengan tipu daya sehingga kita berasa tidak redha dengan apa yang kita miliki. Ada sesetengah orang, berburuk sangka pula dengan Allah swt kerana merasakan Allah swt tidak berdengar doa, rintihan hatinya.Astaghfirullahal ‘azim.
Sebaiknya sebagai seorang hamba yang bersyukur, kita perlu sentiasa memuji dan sekurang-kurangnya berterima kasih kepada Allah swt atas kemurahanNya memberikan kita peluang untuk hidup sehari lagi.
Ingatlah bahawa setiap apa yang berlaku pada diri kita adalah yang terbaik dalam pengetahuan Allah, walaupun bukanlah yang terbaik dan diingini oleh diri kita. Hatta perkara itu merupakan musibah. Ia adalah yang terbaik! Diulangi, yang terbaik, dari Rabb-mu. Read the rest of this entry »