Dari Khudzaifah berkata : Rasulullah SAW bersabda : ” Tidaklah pantas bagi seorang mukmin menghina dirinya sendiri.” Sahabat bertanya : “Bagaimanakan dia menghina dirinya sendiri ?”. Beliau menjawab :” Iaitu dia segera berpaling (berkeluh kesah) dari cubaan yang belum tentu dia tidak sanggup mengatasinya” (HR.Tirmidzi)
Begitulah sindiran Rasul terhadap setiap mukmin, agar setiap mukmin itu tidak mudah berputus asa dalam menghadapi setiap musibah, ujian, cubaan, dan peringatan dari Allah. Kerana pada dasarnya, setiap apa yang Allah berikan , ujikan, anugerahkan kepada manusia, semua itu sesuai takaran Allah dengan tahap kemampuan manusia itu sendiri dalam menghadapinya.
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya…” Al-Baqarah : 286
Oleh itu, kita sebagai umat muslim, maka seharusnya malu kepada Allah, jikalau ketika ujian dan cubaan mendatang, kita merasa tidak mampu dan lalu putus asa atas rahmat dan kasih sayang Allah.
Apabila dijui dengan kekayaan,kita menjadi sombong, berbelanja dengan mewah dan berlebihan, serta bakhil untuk menghulurkan sumbangan.Tidak sedar bahawa sebenarnya kita sedang diuji, Allah sedang memberi peluang untuk kita membuat amal kebajikan dan menyediakan sebuah mahligai abadi di syurga kelak.Tidakkah kita mahu menjadi seperti Abu Bakar As-Siddiq yang menyedekahkan seluruh hartanya untuk perjuangan Islam?
Apabila diuji dengan kejayaan dalam pelajaran, kita berasa bangga, rasa diri inilah yang terbaik,lantas berasa jelek untuk berkawan dengan mereka yang agak lemah pelajarannya, serta enggan terlibat dalam aktiviti
kemasyarakatan,kerana takut mengurangkan masa belajar. Tidak sedar bahawa sebenarnya kita sedang diuji, Allah kurniakan kejayaan dan kepandaian kepada kita supaya kita dapat bantu orang lain, dan menjadi model contoh dari kalangan Muslim.Ilmu itu milik Allah,hanya Dia yang berhak untuk memberikannya kepada hamba yang terpilih.
Kata Imam Ghazali RahimahulLah Ta’ala :
`Ilmu yang meemberi manfaat itu ialah ilmu yang menambahkan perasaan takutmu kepada Allah Ta’ala; ( ilmu ) yang menambahkan celik mata hatimu terhadap keaiban-keaiban dirimu; (ilmu) yang menambahkan ibadahmu kepada Tuhanmu ‘Azza wa Jalla dengan sebab makrifatmu kepadaNya; (ilmu) yang mengurangkan gemar kasihmu kepada dunia; (ilmu) yang menambahkan gemar kasihmu kepada akhirat; (ilmu) yang membukakan pandangan mata hatimu terhadap kebinasaan-kebinasaan segala amalmu sehingga kamu dapat memeliharakan dirimu daripadanya; (ilmu) yang menampakkan kepada kamu segala perdayaan syaithan dan tipuannya‘.
Apabila diuji dengan kefakiran, kita sedih dan mengeluh, kita rasakan bahawa Allah tidak berlaku adil dengan kita, dan selalu tertanya-tanya,mengapakah kita yang diuji? Sesungguhnya kefakiran itu boleh membawa kepada kekufuran,andainya kita tidak memahami kenapakah kefakiran itu Allah wujudkan. Tidak sedar bahawa sebenarnya kita sedang diuji, Allah sedang melindungi kita daripada rasa megah dan takabbur, Dia mahu jadikan kita seorang yang tawadhuk, qanaah dan bersyukur, serta bergantung harap hanya kepadaNya.
Apabila diuji dengan kegagalan dalam pelajaran, kita rasakan dunia bagaikan sudah kiamat, habis semua perkara kita persalahkan. Tidak sedar bahawa sebenarnya kita sedang diuji, Allah sedang mempersiapkan kita untuk kejayaan yang lebih besar kelak, kerana sesungguhnya kegagalan pada hari ini bukanlah satu kekalahan, tetapi satu jalan menuju kejayaan pada hari esok.
Amirul Mukminin, Umar Al-Khattab pernah bertitah, ” Umat Islam menjadi izzah kerana keizzahan Islam, apabila hilang keizzahan Islam itu, maka hilanglah izzah umat Islam”.

Dewasa ini,Islam dihina kerana umat Islam sendiri yang menghina Islam.Al-Quran dan sunnah dipandang sepi, syariat Islam diletak tepi dan prinsip-prinsip Islam dipegang dengan sehelai benang,bila-bila masa saja boleh terputus.
Presiden Republik Islam Iran; Ahmadinejad, hanya menundukkan sedikit kepalanya tanda hormat tanpa menghulurkan tangan, apabila seorang pemimpin wanita ingin berjabat tangan dengannya. Itulah prinsip Islam yang cukup kemas dipegangnya iaitu; lelaki dan wanita bukan muhrim tidak boleh
sewenangnya berjabat tangan. Ahmadinejad sedikit pun tidak merasa janggal atau malu untuk berpegang pada prinsip Islam tersebut. Bahkan dia sangat berbangga dengan Islam yang dianutinya. Biarlah apa orang kata. Prinsip tetap prinsip. Mungkin perkara seperti ini dipandang remeh oleh sesetengah orang. Tapi, bayangkanlah, kalau perkara kecil seperti ini pun beliau sangat bertegas, bagaimana pula dengan hal yang lain? Atas ketegasan pada prinsip Islamlah, maka Iran menjadi negara umat Islam yang paling digeruni oleh Barat. Memang itu sunnah Allah. Umat Islam akan digeruni oleh lawannya, hanya apabila mereka berpegang teguh dengan prinsip dan aqidah Islam itu sendiri.
Siapakah yang patut berbangga dengan prinsip Islam kalau bukan umat Islam sendiri? Bagaimana dengan kita sendiri? Kuatkah kita dalam berpegang kepada prinsip Islam? Adakah kita layak untuk dihormati atas pegangan Islam yang kita junjungi?
Seorang yang berprinsip, walau dimana jua ia berada, dalam apa keadaan sekalipun, ia mesti teguh dan tegak mempertahankannya, walaupun nyawa hampir melayang. Prinsip seorang Muslim dibina di atas aqidah Islamiyah, jika prinsip sanggup digadaikan, dimanakah kedudukan aqidah dalam diri seorang Muslim?
“Cukuplah Allah bagiku; tidak ada Ilah selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakal” At-Taubah : 129