Atap Hijau Rss

Tanggungjawab Dalam Islam, Syarat-Syarat Dan Kewajipannya

0

Posted by Saladin Safi | Posted in Miscellaneous | Posted on 20-07-2012

TANGGUNGJAWAB DALAM ISLAM, SYARAT-SYARAT DAN KEWAJIPANNYA

Firman Allah S.W.T.:

“(Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil-kecil (yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunanNya. Ia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Ia mencipta kamu (berasal) dari tanah, dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu; maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.”( Maksud Surah al-Najm (53):32).

“Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambilah dia memjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”.” (Maksud Surah al-Qasas (28):26)

“Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya”.” (Maksud Surah Yusuf (12):55).

“Dan (mereka berkata lagi): “Janganlah kamu percaya melainkan kepada orang-orang yang mengikut ugama kamu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya petunjuk yang sebenar benarnya ialah petunjuk Allah”. (Mereka berkata pula: “Janganlah kamu percaya) bahawa akan diberi kepada sesiapa seperti apa yang telah diberikan kepada kamu, atau mereka akan dapat mengalahkan hujah kamu di sisi Tuhan kamu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi pengetahuanNya.” (Maksud Surah Ali ‘Imran (3):73)

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.” (Maksud Surah Ali ‘Imran (3):118).

Tanggungjawab dalam Islam merupakan suatu amanah dan bukan suatu bentuk penghormatan. Ia merupakan tindakan menunaikan kewajipan, memberikan hak kepada yang berhak. Seseorang tidak boleh menyucikan dirinya sendiri dalam usaha menunaikan tanggungjawab kerana Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud,

“(Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil-kecil (yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunanNya. Ia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Ia mencipta kamu (berasal) dari tanah, dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu; maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.”( Maksud Surah al-Najm (53):32). Bahkan jika seseorang memohon tanggungjawab atau jawatan dan ia sangat bercita-cita untuk mendapatkannya, maka ia adalah haram baginya.

Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, beliau berkata, “Aku masuk menemui Rasulullah S.A.W. bersama-sama dengan dua orang lelaki daripada kaumku, salah seorang daripada mereka berkata, ‘Perintahlah kami jawatan wahai Rasulullah S.A.W.’ sementara yang seorang lagi juga menyatakan perkara yang sama sepertinya. Baginda S.A.W. menjawab, ‘Sesungguhnya kami tidak akan memberikan kekuasaan kepada orang yang meminta dan tidak juga kepada orang yang berminat (mendapatkannya).”

Dengan ini kita mengetahui bahawa syarat-syarat pemilihan seseorang yang bertanggungjawab untuk memegang sesuatu jawatan seperti menteri suatu jabatan atau sesuatu jawatan yang memenuhi kemaslahatan manusia, yang bermaksud urusan, mereka harus memiliki beberapa sifat dan syarat, antaranya :

  1. Amanah dan memiliki kekuatan sehingga ia tidak melakukan pengkhianatan dalam apa yang diamanahkan kepadanya, tidak menipu dalam perkara yang diminta nasihat daripadanya sehingga ia tidak menjadi lemah yang menghalangnya daripada terus melakukan sesuatu tugas dan tidak segera melaksanakan(nya). Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud,

“Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambilah dia memjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”.” (Maksud Surah al-Qasas (28):26)

  1. Ucapan yang jujur, tingkah laku atau gaya hidup yang baik sehingga dapat dipercayai khabarnya dalam apa yang dilaksanakannya. Ia melaksanakan apa yang dikatakannya, dalam larangannya dan ia tidak berjanji kepada orang lain untuk memenuhi tuntutan mereka lalu mengkhianatinya. Tidak menjanjikan suatu perkhidmatan kepada mereka yang tidak mampu menunaikannya dan bukan juga suatu manfaat yang tidak tercapai. Ia akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menunaikan tuntutan mereka atau salah satu daripada tuntutan mereka. Jika ia tidak berkemampuan, ia tidak bakhil untuk mengucapkan perkataan yang baik dan nasihat yang ikhlas.
  2. Tidak mempunyai sifat tamak sehingga tidak mahu dirasuah dan tidak dapat ditipu lalu ia mempermudahkan orang lain. Keburukan paling besar yang ada pada orang yang memiliki tanggungjawab (kedudukan) ialah ia menjadikan jawatannya sebagai peluang atau kelebihan untuk melaksanakan kepentingan serta kehendak peribadi. Sesiapa yang mensia-siakan amanah, mengkhianati atau melakukan kezaliman semasa menjawat sesuatu jawatan, maka pada hari kiamat ia akan didatangi oleh mangsa kezaliman. Rasulullah S.A.W. bersabda, “Tidaklah seorang hamba yang diberikan kekuasaan oleh Allah untuk menjadi pemimpin, kemudian tidak memberi nasihat nescaya ia tidak akan mencium bau syurga.” (Riwayat Bukhari.)

Ia juga berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W., “Pada hari kiamat nanti seorang penyeru menyeru, “Di manakah orang yang zalim dan orang yang menolong orang yang zalim, maka mereka semua dikumpulkan sehingga orang yang merautkan kalam (menyiapkan alat kezaliman) atau menyiapkan tempat tinta, semua mereka dikumpulkan lalu dicampakkan ke dalam neraka.”

  1. Tidak wujud antara dirinya dengan orang ramai permusuhan dan dendam. Permusuhan menghalang perasaan saling berkasih sayang dan menutup pintu pertolongan. Seseorang yang dibenci oleh manusia tidak layak menjawat sesuatu jawatan walaupun untuk menjadi imam dalam solat.
  2. Ia juga perlu memahami tugasnya dan mengetahui tanggungjawabnya. Allah S.W.T. berfirman melalui Perkataan Nabi Yusuf A.S. yang bermaksud,

“Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya”.” (Maksud Surah Yusuf (12):55). Kecekapan bekerja dan kemampuan dalam mengurus termasuk salah satu sebab datangnya taufik.

  1. Orang yang diserahkan tanggungjawab itu juga adalah seorang yang cerdas, bijaksana dan tidak dikaburi oleh berbagai-bagai perkara sehingga menyebabkan ia berasa ragu-ragu dan lalu ia menjadi keliru. Diriwayatkan dalam Hadith Sahih, “Mukmin itu bijaksana lagi bestari.”
  2. Ia juga tidak termasuk dalam golongan yang mementingkan hawa nafsu sehingga hawa nafsunya mengeluarkan dirinya daripada kebenaran menuju kebatilan, lalu seterusnya menyebabkan lenyapnya hak-hak.
  3. Ia memiliki kemampuan dari segi pengalaman dan ujian yang dapat mendorong kepada kebenaran pendapat dan ketepatan pentadbiran. Sesungguhnya ujian merupakan pengalaman bagi keputusan atau kesan bagi semua perkara.
  4. Tanggungjawab perlu diserahkan kepada orang melakukan kebaikan dan bertaqwa. Sebaliknya, ia tidak boleh diberikan kepada orang yang melakukan kerosakan, bodoh yang fasiq. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud,

“Dan (mereka berkata lagi): “Janganlah kamu percaya melainkan kepada orang-orang yang mengikut ugama kamu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya petunjuk yang sebenar benarnya ialah petunjuk Allah”. (Mereka berkata pula: “Janganlah kamu percaya) bahawa akan diberi kepada sesiapa seperti apa yang telah diberikan kepada kamu, atau mereka akan dapat mengalahkan hujah kamu di sisi Tuhan kamu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi pengetahuanNya.” (Maksud Surah Ali ‘Imran (3):73) kerana ia tidak terselamat daripada tipu daya dan kejahatan orang yang menentang agama.

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud,

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.” (Maksud Surah Ali ‘Imran (3):118).

Ini bermaksud, mereka tidak akan henti-henti (menimbulkan) kemudaratan bagi kamu dan mereka tidak membatasi satu jalan yang didapati oleh mereka untuk merosakan urusan kamu.

Demikianlah kita mendapati bahawa orang yang bertanggungjawab adalah yang memiliki pilihan untuk menunaikan apa sahaja tanggungjawab dan perlu memenuhi syarat-syarat yang telah dinyatakan atau sebahagian besarnya. Individu yang dapat memenuhi syarat-syarat tersebut tidaklah dianggap sebagai insan yang terbaik, namun sebagai insan yang paling banyak bebannya dan paling berat tanggungjawabnya. Pahala dan kedudukannya akan bertambah, bergantung pada sejauh mana ia melaksanakan semua tanggungjawab tersebut.

Related post(s):
  • Peranan ‘Ulama’ Dalam Kebangkitan Ummah
    PERANAN ‘ULAMA’ DALAM KEBANGKITAN UMMAH Firman Allah S.W.T.: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri”...

  • Post a comment

    Ataphijau Facebook Group
    youtube AJataphijau