Atap Hijau Rss

Tafsir : Asma-ul Husna

3

Posted by admin | Posted in Uncategorized | Posted on 24-12-2010

Intisari Kandungan Ayat 180 Surah al-A‘raf

Firman Allah :

Hanya milik Allah Asma-ul Husna (nama-nama yang agung yang sesuai dengan sifat-sifat Allah), maka bermohonlah kepadaNya dengan menyebut nama-nama baik itu, dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-namaNya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan”. (Surah al-A‘raf :ayat 180)

Di dalam meneliti intisari kandungan ayat ini, Imam Ahmad Mustafa al-Maraghi menyatakan bahawasanya al-Asma’ merupakan jama‘ daripada perkataan ism (nama) iaitu lafaz yang menunjukkan zat atau menunjukkan sesuatu zat itu dengan salah satu sifatNya. al-Husna pula merupakan mu‘annah daripada al-ahsan yang membawa erti yang terbaik atau yang terindah.

Selain itu , beliau juga menjelaskan bahawa yang dimaksudkan serulah Allah dengan nama-namaNya dianjurkan kepada hambaNya untuk menyebut nama Allah dan panggillah Dia dengan Asma-ul Husna samada melalui pujian, doa atau memohon hajat kepadaNya. Sesungguhnya, hanya Allah yang memiliki segala nama yang menunjukkan erti terbaik dan sifat yang paling sempurna berbanding selain daripada Allah.
Oleh itu, sebutlah nama Allah dan panggillah Dia dengan mengucapkan nama-nama yang baik itu. Pada waktu yang sama, kita perlu meyakini, dengan menyebut nama Allah banyak faedah yang bakal diperolehi. Di antaranya ia memberi makanan kepada iman kita, menyatakan rasa takut kita kepada Allah, senantiasa khusyu’ dan menginginkan apa yang ada di sisiNya. Adapun, segala nikmat dunia yang mempesona tidak akan dihiraukan oleh mereka yang sentiasa menyeru nama Allah dan redha dengan segala penderitaan yang dialami.

Syed Qutb pula menyatakan tujuan nama-nama indah Allah hanya dipakai untuknya dan memerintahkan orang beriman supaya menggunakan nama itu semata-mata untuk Allah tanpa mengubah struktur dan menukarnya, di samping mengabaikan orang-orang yang menyelewengkan nama Allah seperti al-‘Aziz dengan al-‘Uzza.

Seterusnya ayat yang bermaksud “dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-namaNya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan. Maka Ibn al-Sakit telah berkata: al-mulhid bererti melencong daripada kebenaran dan meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Ahli bahasa pula menyatakan al-ilhad ialah melencong daripada sesuatu yang lurus dan menggali lubang di penjuru kubur.

Al-Ilhad berlaku kepada nama Allah dalam 3 bentuk iaitu :

1. Menyandarkan nama-namaNya Yang Maha Suci kepada berhala seperti al-Latta daripada Allah, al-‘Uzza daripada al-‘Aziz, al-Mannah daripada al-Mannan. Musailamah al-Kazzab pula telah menamakan dirinya sebagai al-Rahman.

2. Menamakan diriNya dengan sesuatu yang tidak harus bagiNya sebagaimana yang kita dengar daripada orang-orang Badwi yang berkata : Ya Aba al-Makarim (Wahai Bapa Kemuliaan) dan Ya Abyad al –Wajh (Wahai Tuhan Yang Memiliki Wajah Ynag Putih) sekalipun untuk tujuan memuji.

3. Mereka enggan menamakan Allah dengan sebahagian daripada nama-namaNya yang baik seperti al-Rahman.

Ia juga memberikan peringatan kepada orang-orang beriman supaya jangan menghiraukan mereka yang menyembah nama Allah dengan nama-nama yang tidak sesuai dengan keagungan Allah, menyelewengkannya, mengurangkan kesempurnaan nama-namaNya, menambah perkara yang tidak sepatutnya ke atas nama-namaNya, mendustakan nama-namaNya dengan maksud untuk menodai nama Allah atau mempergunakan Asma-ul Husna untuk nama-nama selain Allah.

Kemudian di akhir ayat 180 surah al-A‘raf, Allah mengancam mereka yang menyimpang daripada nama-nama Allah bahawasanya mereka akan dibalas dengan balasan yang setimpal di atas perbuatan jahat yang telah mereka lakukan.

Munasabah Ayat 180 Surah al-A‘raf

Setelah Allah menerangkan tentang sifat ahli neraka Jahannam pada ayat sebelumnya iaitu ayat 179, yang mana sesungguhnya mereka merupakan golongan yang lalai kerana tidak menggunakan aqal dan hati mereka untuk memahami al-Qur’an, di samping membersihkan jiwa mereka dengan iman dan ilmu yang bermanfaat, maka ayat 180 ini hadir sebagai petunjuk tentang cara terbaik untuk merawat penyakit lalai dengan senantiasa mengingati dan menyeru nama-nama Allah yang baik itu.

Kemudian, ayat selepasnya menghuraikan tentang 2 golongan umat Muhammad iaitu golongan yang memberi petunjuk dengan hak dan adil , manakala satu golongan lagi merupakan golongan yang mendustakan ayat Allah dan menyesatkan. Justeru, ternyata kesinambungan ayat sebelum dan selepas bagi ayat 180 surah al-A‘raf telah disusun oleh Allah dengan begitu rapi dan menjadi pengajaran yang berguna kepada kita.

Sabab al- Nuzul Ayat 180 Surah al-A‘raf

Muqatil berkata mengenai sabab nuzul ayat ini : Sesungguhnya seorang lelaki berdoa kepada Allah pada kali pertama , kemudian diikuti dengan lafaz al-Rahman pada kali kedua. Maka berkata Abu Jahal “ Bukankah Muhammad dan para sahabatnya menyembah Tuhan Yang Esa, jadi mengapakah pemuda ini menyeru Allah dengan dua nama ?”. Lalu turunlah ayat ini untuk menempelak Abu Jahal dengan menegaskan bahawa nama-nama yang terbaik (Asma-ul Husna) adalah milik mutlak Allah yang Maha Esa dan bukannya milik selain daripadaNya.

tribute to disertasi

RUJUKAN

al-Zuhaily ,Dr.Wahbah, al-Tafsir al-Munir fi al-Aqidah wa al-Syari ‘ah wa al-Manhaj, Juz.Kelapan, Dar al-Fikr,Damsyiq, 1998, hal.133.
Manna’ Khalil al-Qattan, Mabahith fi ‘Ulum al-Qur’an, cet.3, Mansyurat al-Asr al-Hadith, hal.212.
Prof.Dr.Syeikh Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah(HAMKA), Tafsir al-Azhar, Juz.7-9, cet. 1984, Panji Masyarakat,Indonesia, hal.203
Ibid, hal.204
al-Zuhaily ,Dr.Wahbah, Op-Cit, hal.134.

al-Maraghi, Ahmad Mustafa, Tafsir al-Maraghi, Juz.. Ketujuh, Cet.Ketiga, 1974, Dar al-Fikr, hal.116
Syed Qutb, Fi Zilal al-Qur’an, Jil. 3, Juz. 8- 11, Dar al-Syuruq, 1973, hal. 1402
al-Nisaburi , Al-‘Allamah Nizamuddin al-Hassan bin Muhammad bin Husain al-Qammi, Tafsir Ghara’ib al-Qur’an wa Ragha’ib al-Furqan, Jil.Ketiga, Juz. 7- 11,Dar al-Kutub al-Ilmiah, hal.351.
Ibid
al-Maraghi, Ahmad Mustafa, Op-Cit, hal.118

al-Zuhaily ,Dr.Wahbah, Op-Cit, hal.180.
Ibid, hal. 172

No related posts.

Comments (3)

apa maksud Ya Matin -ayat quran dari surah mana?

tolong carikan

ustaz,blh ke sy nak namakan anak sy dgn abyad muhammad?sbb sy ada tebca dlm buku usazsharhan bhw nama itu adalah nama jin,boleh ustaz komen?

ustaz,blh ke sy nak namakan anak sy dgn abyad muhammad?sbb sy ada tebca dlm buku ustaz sharhan bhw nama itu adalah nama jin,boleh ustaz komen?

Post a comment