Atap Hijau Rss

Pengalaman Terindah

1

Posted by admin | Posted in Miscellaneous | Posted on 30-08-2010

Baris demi baris catatan dalam surat tawaran itu aku amati dengan teliti. Dalam hati kecilku bertanya, bagaimanakah agaknya kehidupan seorang pelajar perubatan di luar negara, lebih-lebih lagi di bumi Cork, Ireland?

Sesungguhnya aku amat bersyukur dan gembira dengan tawaran keemasan ini yang boleh diibaratkan sebagai peluang sekali seumur hidup. Inilah yang dinamakan rezeki.

‘’…Dan Engkau berikan rezeki kepada siapa yang Engkau kehendaki tanpa perhitungan.‘’ (Ali Imran:27)

Tahun demi tahun yang berlalu, suka duka, pahit maung, onak dan duri yang aku tempuhi mengajarku akan erti kehidupan. Semuanya demi mengejar segulung ijazah perubatan yang bakal melayakkan diriku bergelar seorang doktor. Jatuh dan bangun, tawa dan tangis serta beraneka lagi resepi kehidupan telahku lalui. Niat asalku mengembara ke bumi Irish ini sebagai seorang pelajar perubatan tidak bermakna hidupku hanyalah berhambakan buku-buku anatomy, clinical medicine mahupun surgery. Sebaliknya, sebahagian besar daripada kehidupanku di sini turut diisi dengan aktiviti keagamaan dan sosial. Pengalaman sebagai seorang pelajar mungkin agak tipikal jika dibandingkan dengan kehidupan pelajar di tempat-tempat lain. Apa yang membuatkan pengalaman hidupku di sini lebih menarik adalah perananku sebagai seorang duta agama dan negara.

Langkahan kakiku di sini seakan-akan membawa sepanduk Islam sedangkan kehadiranku hanyalah membawa passport antarabangsa Malaysia. Orang ramai memerhatikanku seolah-olah aku sedang memakai lilitan jihad di kepala,sedangkan aku hanya mengenakan tudung litup yang biasa. Aneh bukan?

Di sini juga aku dan sahabat-sahabatku berusaha untuk memperkenalkan Malaysia di mata dunia melalui beberapa aktiviti yang dijalankan di universiti. Salah satu daripada aktiviti tersebut adalah International Cultural Week, yang saban tahun diadakan di di sini. Pada minggu tersebut, para pelajar Malaysia bekerjasama menyiapkan pameran berunsurkan kebudayaan dan sejarah Malaysia untuk ditatapi oleh sekalian pelajar dan kakitangan di universiti. Para pelajar yang bertugas akan mengenakan pakaian tradisional Malaysia sambil berbual-bual dengan pengunjung tentang tanah air yang tercinta. Mungkin tuah diri, bak kata pepatah, tuah ayam nampak di taji, tuah manusia tiada siapa yang tahu, hendak dijadikan cerita, pada hari aku dan seorang teman bertugas, kami telah dikunjungi oleh kakitangan stesen televisyen TG4, salah satu daripada stesen televisyen tempatan yang menggunakan lebih 90% Bahasa Gaelic sebagai bahasa perantaraan utama. Mereka merakamkan gambar-gambar kami serta menemuramah beberapa pelajar lain yang turut berada di ruang pameran. Pulang sahaja ke rumah, aku dan teman terus menuju ke kaca televisyen, menunggu siaran berita ke udara. Tepat jam 8 malam, siaran berita bermula dan salah satu daripada berita yang dimuatkan adalah International Cultural Week di University College Cork! Aku berasa bangga melihat wajah sendiri menghiasai media elektronik di negara Ireland ini, sekaligus menunaikan tanggungjawabku sebagai duta kecil negara di sini. Mungkinkah para pelajar di sini patut diberikan penghargaan sebagaimana yang diberikan kerajaan kepada Shah Rukh Khan yang dikatakan telah mempromosikan Malaysia melalui filemnya?

Selain itu, tugasku sebagai Duta Agama Islam di negara Katolik ini bermula sebaik sahaja menyertai Muslim Cultural Society , sebuah persatuan yang berdaftar dengan universiti. Bermula sebagai ahli biasa, hinggalah memegang tampuk kepimpinan di dalam persatuan ini, aku telah terlibat dengan pelbagai aktiviti dakwah dan kebajikan. Sebenarnya, kebajikan itu sendiri adalah sebahagian daripada dakwah. Di sini, aku berpeluang untuk berbicara dengan golongan bukan Islam dengan menggunakan medium yang sesuai dengan keadaan semasa. Banyak aktiviti telah kami jalankan, antaranya ialah kempen berpuasa sambil menderma One Day National Fast, kempen derma kilat untuk mangsa gempa bumi di Pakistan pada tahun 2005, ceramah – ceramah daripada penceramah antarabangsa dan banyak lagi.

Semua pengalaman ini banyak membentuk diriku untuk menjadi seorang yang lebih berkeyakinan dan matang. Aku sendiri tidak percaya akan keberanianku berdiri di tengah-tengah bandar Cork sambil menghulurkan tabung derma kepada setiap insan yang lalu-lalang di situ. Semuanya demi membantu saudara seagama di Pakistan dan negara-negara sepertinya, atas dasar agama dan kemanusiaan. Sesuatu yang tidak pernah terfikirkan di benak sanubari untuk dilakukan di negara asing ini. Hasilnya kutipan terkumpul berjumlah empat angka yang berjaya diperoleh daripada kutipan derma ini, sesuatu yang tidak terjangkakan dan membuatkan aku merasa puas dan bersyukur. Semoga niat ikhlas dan amalan murni ini diterima Allah swt.

“ Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu, dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat “ (Al-Hujurat:10)

Terlalu banyak kisah suka dan duka untuk dicoretkan, biarpun ada yang pahit, ia tetap menjadi kenangan indah yang akan sentiasa terpahat di hatiku, sesuatu yang tidak akan diperolehi di tempat lain. Beberapa tahun di sini, segala mehnah dan tribulasi berdiri mengejar ilmu dan bernafas dalam kehidupan dapatku tempuh atas pertolongan sahabat-sahabat di Cork ini, tanpa mereka siapalah aku sekarang. Aku tidak akan sesekali melupakan jasa mereka yang bekerja di dalam Persatuan Pelajar Malaysia Cork (PPMC), yang telah bertungkus-lumus membantuku dan rakan-rakan lain ketika kami mula-mula menjejakkan kaki di sini sehinggalah sekarang. Di dalam persatuan inilah aku mengenali wajah-wajah mesra warga Malaysia di Cork, sama ada yang belajar mahupun yang telah bekerja. Persatuan ini jugalah yang menghidupkan sistem usrah dan menyegarkan kembali iman yang lesu melalui pengisian-pengisian rohani.

Sekali lagi seribu kesyukuran aku panjatkan kerana ditempatkan di County Cork ini, suatu tempat yang di dalamnya terselit keharmonian dan kedamaian untuk pembelajaran dan kehidupan bersosial. Sesungguhnya niat dan tujuan asalku ke sini adalah untuk mendalami ilmu perubatan tetapi itu tidak menghalang aku daripada turut mencari ilmu dan pengalaman hidup lain yang begitu berharga. Masa yang semakin suntuk di bumi Ireland ini menggamit pilu di hati, apabila mengenangkan segala pengalaman yang ditempuhi dan masih adakah peluang buat aku untuk kembali menjejakkan kaki di sini lagi?

*Penulis ialah seorang graduan perubatan dari University College Cork dan kini berada di tanahair seusai pengajiannya.*

*Pengalaman Terindah adalah artikel sempena Sambutan Pelajar Baru yang akan tiba di Cork tidak lama lagi. Kami di AtapHijau ingin mengucapkan selamat datang kepada semua pelajar-pelajar baru ke Cork, Ireland*

No related posts.

Comments (1)

likes this article!!
and the author reminded me of my innocency in 1st year and how the surrounding,the people and experiences gained year by year,help in making me wiser everyday:)

Post a comment

Ataphijau Facebook Group
youtube AJataphijau