Seperti biasa rutin harianku adalah ke hospital dari tengah hari sehingga ke malam. Tibanya waktu malam, giliran berjaga ku tukar bersama bapa saudaraku untuk menjaga datukku yang sudah sebulan terlantar di hospital kerana penyakit yang tidak diketahui. Ternyata duduk menunggu di hospital bukanlah perkara yang mudah dan menyelesakan. Kerusi hanya satu, yang harus ku berikan kepada nenekku yang turut menunggu. Alhamdulillah ada kerusi roda yang menjadi kerusi rehatku.
Suasana Wad di hospital kerajaan yang ternyata sesak dengan pesakit dan panas sememangnya mampu membuatkan penjaga pesakit juga hilang arah. Tidak tahu apa yang harus dilakukan, akhirnya Al-Quran dan buku-buku jugalah yang menjadi teman hidup. Ku ingin berbicara dengan datukku, tapi ternyata dia bukan lagi seperti dahulu.
Dahulu dia seorang yang kuat dan aktif. Umur 70 tahun seperti orang yang 30 tahun, bahkan mungkin lebih kuat dari itu. Tetapi sekarang, dia bukan seperti dahulu. Makan minum mengharapkan suapan orang. Kencing berak bukan lagi di tandas, pergerakan sangatlah terbatas. Semuanya dilakukan di katil pesakit yang sempit itu. Aku sedih melihat datukku, sekarang dia bukan seperti dahulu, membuka mulut untuk sesuap makanan pun memerlukan sejuta kudrat dari tubuh yang lesu. Kesemuanya memerlukan bantuan dari orang lain.
Ku terpaksa menahan air mataku ketika melihat datukku menangis ketika aku dan ibuku menukar cadar katilnya yang terkena air kencing. Aku tahu, dia terasa malu, aku tahu dia sebolehnya ingin melakukannya sendiri, aku tahu dia sedih kerana dia tidak mampu bergerak sendiri walaupun hatinya menjerit ingin melakukannya.
Melihat keadaan datukku, ku teringat firman Allah s.w.t:
Cuba kita imbau kembali diri kita ketika masih kecil dahulu. Atau mungkin kita boleh perhatikan adik-adik kita yang baru lahir. Ternyata mereka semua insan kecil yang lemah. Hanya mampu menangis jika menginginkan sesuatu. Semuanya diuruskan oleh ibu dan ayah. Makan dan minum semua disuapkan, berak dan kencing semua diuruskan orang lain. Sesudah itu, ketika semua sudah membesar, semuanya mempunyai kekuatan untuk menguruskan diri sendiri tanpa memerlukan bantuan orang lain. Tiada lagi teriakan seperti bayi untuk meminta sesuatu. Semuanya mampu dilakukan sendiri.
Pastinya dengan kekuatan yang kita punyai sekarang, kita lupa bahawa suatu hari nanti kita akan kembali lemah, ketika Allah menarik semua nikmat kudrat dan kekuatan yang kita ada. Mungkin kita tidak perlu menunggu hari tua untuk tiba untuk ditarik kekuatan tubuh badan. Lihat sahaja keadaan kita semasa sakit, semua terlantar berehat diatas katil, tidak larat untuk bangun melakukan pekerjaan seharian seperti sediakala. Itu sepatutnya cukup untuk menjadi peringatan untuk diri kita supaya belajar untuk menghargai masa yang ada dan berlumba membuat kebaikan selagimana masih ada tenaga yang dikurniakan Allah untuk meneruskan perjuangan di muka bumi ini.
Subhanaallah, adakah kita hamba yang berfikir? Tidakkah apa yang berlaku disekeliling kita menjadi bukti kebenaran. Hari ini, Allah menunjukkan kepadaku bukti kebenaran kata-katanya di dalam Al-Quran. Semoga ia menjadi peringatan buat kita semua.
No related posts.







Good reminder
salam, cerita saudara mengingatkan saya kepada kisah saya dahulu di mana dalam setahun menghadapi 3 pemergian orang tersayang. begitu mencabar hati dan ketetapan iman. tapi dengan peristiwa itu juga mengingatkan saya akan kematian yang bakal menjamput tanpa mengira waktu. harap dengan dugaan ini kita dapat meraih cinta Illahi dengan lebih dekat lagi.