Atap Hijau Rss

Hulurkan Tanganmu Sebelum Terlambat…

2

Posted by corniche | Posted in Cerpen, Dakwah | Posted on 22-08-2010

Di dalam sebatang sungai, kelihatan beberapa orang remaja sedang bermandi manda. Masing-masing menunjukkan kehebatan skill berenang masing-masing. Seorang hebat berenang kuak lentang, seorang dengan gaya bebas dan bermacam-macam lagi. Hari pun semakin gelap…

sekadar gambar hiasan. (sumber)

Remaja-remaja tersebut mula mempersiapkan diri untuk pulang. Kecuali ada seorang yang masih tidak menunjukkan tanda untuk pulang. Dia hanya merenung sungai di depannya sejak tadi. Rupa-rupanya beliau seorang sahaja yang tidak pandai berenang dalam kalangan kawan-kawannya tadi.

Kawan-kawannya yang lain mula bergerak pulang. Masing-masing penat setelah bersungguh-sungguh berlatih dengan teknik renang masing-masing. Bagaikan tidak menyedari kewujudan seorang sahabat yang sedari tadi hanya duduk menunggu di tepi tebing, mereka berlalu pergi…

Tanpa disangka-sangka, sahabat di tepi tebing tadi tiba-tiba terjun ke dalam sungai. Dia cuba menguak-nguakkan tangannya untuk berenang seperti sahabat-sahabatnya yang lain. Dalam sesaat dua, kelihatan seperti dia sudah berjaya, namun tidak lama selepas itu, sahabat itu mula terkapai-kapai. Suaranya tersekat-sekat meminta tolong dengan air yang mula memasuki kerongkong.

Sementara itu keadaan kecoh di tepi sungai. Masing-masing bertelagah dalam memutuskan siapa yang perlu menyelamatkan sahabat yang lemas itu. Sahabat A berasa terlalu letih dan tidak berdaya setelah lama berlatih berenang tadi. “Aku tak boleh weh, serius. Dah nak putus nafas aku ni berlatih tadi! Karang baru nak tarik kawan tu, dengan aku-aku sekali lemas!” Bentak A.

Sahabat B memberi alasan bahawa dia tidak berapa mengenali sahabat yang sedang terkapai-kapai itu. “Dia bukan member aku! Korang la pegi selamatkan dia. Kalau aku yang mati lepasni, sia-sia je. Aku tak kenal dia!” B pula meninggikan suara membantah.

Sahabat C pula merasakan skill renangnya masih belum cukup hebat untuk menyelamatkan mangsa “Aku tak layak weh, aku bukan reti sangat berenang. Kuak lentang tu aku baru je belajar semalam!” kata C pula ketakutan.

Dalam mereka bertengkar, tangan sahabat di dalam sungai itu mula terkulai, berhenti terkapai-kapai. Tubuhnya juga mula hanyut dibawa arus. A tersentak, B kaget dan C mula menjerit. Ketiga-tiga mereka terus terjun ke dalam sungai itu dan sama-sama berusaha menarik sahabat tadi keluar.

D dibaringkan, bibirnya sudah kebiruan dan dadanya tidak berombak nafas lagi. A, B dan C mula memberi bantuan kecemasan. B membuat CPR sambil menekan-nekan dada D. Pada ketika itu, sekeras mana pun usaha mereka untuk menyelamatkan D, the damage has already been done…

***

Jika diperhatikan semula kisah di atas, begitulah juga realitinya jalan da’wah dalam kehidupan. Ramai insan yang bergelar da’ie dilihat begitu cintakan ilmu, dan berlumba-lumba dalam mengutip segala mutiara hikmah dan pengalaman. Tidak kurang juga yang menyampaikan apa yang dipelajari melalui ceramah atau perkongsian dalam halaqah (pertemuan).

Namun jika dilihat semula, berapa ramaikah yang benar-benar bersedia untuk terjun ke medan sebenar da’wah dalam menyuruh yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar? Berapa ramaikah da’ie yang benar-benar nasihat-menasihati kepada keluarga, kawan-kawan dan masyarakat sekeliling yang penuh dengan ‘mangsa-mangsa lemas’ duniawi?

Tidak perlu lihat terlalu jauh. Kita tanya sendiri diri kita…

Pernahkan tercetus,

“Ah..kerja aku dah lah banyak gila, diorang nak harapkan aku jugak? Penat tahu tak, penat!”

Jika pernah, mungkin kerana bentakan kita itu, seorang sahabat akan terlepas dan terus terhanyut…

Atau mungkin situasi ini juga menjadi kebiasaan…

“Tak pelik ke weh…aku bukannya kenal dia sangat. Tetibe nak suruh nasihat pakai tudung pulak kan. Apa kes?”

Atau juga ini…

“Saya rasa tak mampu lagi. Saya pun baru lagi nak kenal balik agama, tak layak rasanya nak pergi berda’wah..”

Sahabat, dunia da’wah tidak akan putus dari mehnah dan tribulasi (ujian dan kesusahan). Sering kita akan berasa penat dan lelah dengan cabaran-cabaran yang perlu ditempuhi. Mungkin juga pernah terdetik yang jasa kita kepada agama sudah begitu banyak.

Namun pernahkah kita terfikir, ujian & jasa kita itu sebenarnya masih tidak cukup besar jika mahu dibandingkan dengan ujian para nabi dan Rasul? Adakan kita fikir, perjuangan da’wah sudah cukup hanya dengan menjadi naqib usrah, atau mungkin pengarah atau komiti sebuah program da’wah? Rasulullah SAW sendiri telah mengharungi ujian yang lebih dasyat lagi berbentuk pelbagai komplot, fitnah, hinaan, cacian & penyeksaan fizikal dan mental dari mereka yang menentang da’wah Islamiyah, namun bentakan, menarik diri dan lemah semangat bukanlah sikap yang ditunjukkan.

Firman Allah swt,

Mereka merasa berjasa kepadamu dengan keislaman mereka. Katakanlah, ” Janganlah kamu merasa berjasa kepadaku dengan keislamanmu, sebenarnya Allah yang melimpahkan nikmat kepadamu dengan menunjukkan kamu kepada keimanan, jika kamu orang yang benar.” ( Al Hujurat : 17)

Tidak dinafikan, kadang-kadang terasa penat dan tidak berdaya untuk bangun, namun di situlah pentingnya untuk sentiasa bersama sahabat-sahabat yang lain. Sahabat-sahabat yang akan terus menarik dan membimbing kita untuk terus berjalan dan mengharungi jalan da’wah ini bersama. Malah Allah sendiri menyukai mereka yang bergerak secara berkumpulan dan berstrategi sepertimana firmannya di dalam Al-Qur’an,

“Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berperang dijalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” [as Saff :4]

sekadar gambar hiasan. (sumber: google image)

Maka sebagai penyambung mata rantai da’wah yang menegakkan agamaNya, haruslah kita sentiasa bersedia untuk menghulurkan tangan kepada umat ini. Sedarlah bahawa di luar sana, masih ramai umat yang terkapai-kapai menanti tangan-tangan penyelamat yang dapat menarik mereka keluar dari terus lemas dan hanyut dengan arus dunia. Berusahalah untuk membuang rasa angkuh dan mengatasi rasa malu, pesimis dan segala yang negatif dalam diri untuk berda’wah.

Ya, ilmu dan tarbiyah memang penting bagi mempersiapkan diri di medan da’wah, namun ilmu tanpa amal tiada gunanya. Tarbiyah dan da’wah haruslah berjalan seiring. Jangan sesekali jadikan alasan ‘belum cukup ilmu’ atau ‘masih tak layak’ untuk tidak berda’wah. Percayalah, setiap dari anda mampu melakukannya. Jika merasakan tidak mampu untuk mendekati masyarakat, kenapa tidak mulakan dulu dengan adik beradik, ibu bapa, dan kawan-kawan? Kadang-kadang mereka yang paling dekat dengan kitalah yang kita terlepas pandang untuk didekati. Janganlah tunggu masalah menjadi parah sebelum usaha dan tindakan dikerah. It is better to treat the symptom, rather than the problem…

***

Di dalam sebatang sungai, kelihatan beberapa orang remaja sedang bermandi manda. Masing-masing menunjukkan kehebatan skill berenang masing-masing. Seorang hebat berenang kuak lentang, seorang dengan gaya bebas dan bermacam-macam lagi. Sedang bermandi manda, A mendongak.

“D, buat apa duduk je kat situ?” A menyapa. Tangannya dihulurkan. “Jom, aku ajar kau berenang!”

No related posts.

Comments (2)

suke artikel ini!!!
double triple like!
betul2…bukan setakat jadi naqib usrah je
terjun ke medan sebenar
“kita tak kan merasai sakitnya berdepan musuh selagi belum pernah disakitinya”
jzkk corniche dan warga atap hijau!

Jazakallahukhairan jaza’

A very good article indeed..bila baca balekkan, statement2 tuh mungkin extreme dan kita rasa kita bukan lah individu A, B mahupun C..kita mungkin fikir kita sudah berkesedaran untuk berdakwah, mungkin mereka lain yg sebegini..Cuba duduk dan fikir kembali, kita masih mempunyai sisa-sisa baki sikap2 demikian dalam diri kita..

Ayat, rasa xmampu lg nak berdakwah..

Dalam diri daei hari ini terlalu banyak sikap inferiority seperti ini, jgn katakan mad’u sahaja..

Berapa banyak kerja yg kita tolak sebab rasa ish x mampulah, bg org lain yg lagi hebat kot..kerap dan sering terjadi..

Wallhu’alam..

p/s : suka cara article ini ditutup…creative..!!

Post a comment

youtube AJataphijau
Ataphijau Facebook Group