Posted by fairuz_azmi83 | Posted in Motivasi | Posted on 19-08-2010
Dua bulan sudah keputusan peperiksaan musim panas dikeluarkan oleh pihak universiti . Ada yang melompat kegembiraan atas keputusan yang cemerlang, ada yang sujud kesyukuran atas kurniaan Yang Esa dan ada yang bersedih hati seolah-olah bumi sudah menjadi begitu sempit.

Bagi yang lulus peperiksaan, sesi akademik baru akan menjelang tidak lama lagi. Bagi yang gagal, sudah semestinya degupan jantung makin laju kerana peperiksaan musim luruh hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Masa makin sedikit tetapi jumlah bahan yang perlu ditelaah bertambunan. Kadang-kadang pasti rasa ingin mengalah.
Kita selalu membacakan zikir ini pada akhir solat. Ayat 256 surah Al-Baqarah.
Maksudnya : ” ….Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya…”
Ayat ini perlu didalami oleh muslim dengan sebaiknya. Saya yakin jika kita benar-benar mengimani ayat ini, perasaan putus asa tidak akan timbul. Sahabat yang berjaya tidak akan memandang rendah akan sahabatnya yang gagal. Malah yang gagal mungkin lebih beruntung, lebih mulia dan lebih disayangi oleh Allah kerana dipilih untuk diuji.
Terdapat banyak contoh di kalangan manusia cemerlang yang telah mengalami kegagalan sebelum mengecapi kejayaan. Bukan satu atau dua kegagalan yang ditempuhi tapi boleh mencecah beberatus-ratus malah ribuan kali. Putus asa tiada dalam kamus hidup mereka. Kegagalan yang dulunya dicaci dan dimaki manusia sekeliling kini menjadi satu aset yang berharga untuk mencapai kejayaan.
Kita ambil contoh Thomas Edison, manusia pertama yang mencipta lampu mentol. Beliau hanya sempat bersekolah selama 3 bulan. Untuk menyara hidupnya, dia menjual surat khabar. Dia cuba mencipta mentol tetapi gagal sebanyak 1000 kali. Namun, beliau tidak pernah berputus asa dan akhirnya kejayaan milik beliau. Manusia yang tidak terpelajar akhirnya nama diukir dalam sejarah manusia.
Jangan putus asa
Saya yakin ramai sudah banyak kali mendengar kisah Mas Afzal. Beliau saya kenali ketika menuntut di Kolej Yayasan UEM (dulu dikenali dengan Kolej Matrikulasi Yayasan Saad). Hubungan kami agak rapat. Karakter beliau yang mesra dan berjiwa kepimpinan menyebabkan beliau mempunyai ramai kawan. Alhamdulillah beliau dapat melanjutkan pelajarannya di University of Sheffield.
Ketika beliau di tahun akhir pengajian, beliau telah didiagnos dengan Hodgkin Lymphoma, sejenis barah darah. Namun, nasib beliau kurang baik, walaupun sepatutnya penyakit itu majoriti pesakitnya sembuh, beliau berada kumpulan pesakit yang sebaliknya. Pelbagai perubatan moden dilalui namun penyakit beliau masih tidak dapat diubati. Apa yang menakjubkan adalah semangat beliau yang tidak pernah luntur, bersikap optimis dan positif.
Dalam keadaan beliau sakit, beliau masih dapat memberikan kebaikan kepada manusia lain. Beliau dijemput untuk berkongsi pengalaman, memberikan semangat kepada manusia lain tentang erti tidak putus asa. Dugaan yang Allah kenakan kepada hamba-Nya perlu dihadapi redha, tanpa putus asa. Begitu juga dengan hal akademik. Kegagalan dalam peperiksaan setelah usaha yang cukup diberikan, mungkin satu ujian. Maka, hadapilah ujian dengan tabah dan redha.
Jangan Memandang Rendah
Memang mudah untuk menasihatkan manusia agar sabar dengan kegagalan yang dihadapi. Tetapi yang sukar adalah untuk mendidik manusia agar tidak memandang rendah terhadap manusia yang gagal.
Dek kerana gagal satu kertas peperiksaan, macam-macam teori yang diada-adakan. Si gagal dituduh itu dan ini. Tambah pula, cerita si gagal dijaja di sana-sini.
Bukan jarang kita dengar cerita di mana jiran tetangga ber’gosip’ cerita kegagalan anak jiran yang lain. Anak-anak dibanding-bandingkan. Yang ke ‘oversea’ disanjung tinggi, yang tidak dapat melanjutkan pelajaran, dipandang hina, ‘Tengoklah Ahmad tu, kerja mekanik je, begitulah jadinya kalau belajar tak tinggi’
Walaupun si gagal dapat terus bersikap optimis selepas kegagalan demi kegagalan, jika manusia di sekeliling terus menerus merendah-rendahkan beliau, semestinya ia mampu untuk melunturkan semangat.
Allah Maha Adil
Kita perlu keluar kepompong pemikiran di mana hanya yang ke universiti sahaja yang akan berjaya. Allah telah mencipta hamba-hambaNya dengan pelbagai kelebihan. Ahmad mungkin tidak pandai dalam menghafal tetapi dia hebat dalam praktikal lebih-lebih lagi perihal enjin. Jika diterokai minat dan kelebihan beliau, insyaAllah beliau akan berjaya dalam bidangnya. Tidak mustahil untuk beliau pada suatu hari nanti akan menjadi ‘boss’ besar kepada beberapa cawangan bengkel mekanik. Cacian dan makian sejak awal mampu membantut perkembangan seperti ini.
Jika semua manusia ke universiti dan menjadi doktor, jurutera, arkitek, pakar komputer, pensyarah dan akauntan, siapa pula nak ke laut menangkap ikan? Siapa pula nak ke ladang menuai padi? Siapa pula nak ke hutan menebang pokok? Hinakah pekerjaan mereka? Adakah doktor yang cukup hebat pada mata manusia boleh hidup tanpa makanan yang ikannya ditangkap nelayan dan padinya dituai petani?
Kita perlu kembali kepada ajaran Islam. Hina atau hebat seorang manusia tidak dinilai dari segi harta dan pangkat oleh Allah. Seorang jurutera binaan yang hidup di sebuah kondomium mewah, berkereta Mercedes C class dan berbaju jenama Prada tiada nilai di sisi Allah jika tidak solat, endahkan puasa, derhaka ibu bapa dan sebagainya. Kita wajib menfokuskan mendidik anak-anak menjadi manusia beriman dan berakhlak daripada manusia yang berharta.
Kesimpulan
Kegagalan yang dihadapi terutama dalam peperiksaan mungkin satu ujian yang Allah timpakan kepada kita. Yang penting, pastinya ujian itu kita mampu menghadapinya sebagaimana yang Allah telah janjikan dalam ayat 286 Surah Al-Baqarah. Walaubagaimanapun, jika tiada usaha baik dari segi ulangkaji mahupun doa dan solat, maka bagaimanakah kita mahu menjustifikasikan bahawa kita layak untuk berjaya?
Kepada yang kenal dengan sahabat yang tidak berjaya, janganlah dipandang hina. Kurangkanlah bercakap tentang perihal tersebut dengan kawan-kawan lain. Carilah jalan bagaimana kita ingin membantu mereka. Jangan dilupakan mereka dalam doa dan solat kita.
Selamat menjalani peperiksaan kepada yang akan mendudukinya tidak lama lagi. InsyaAllah doa kami bersama kalian. Ganbate !!!
No related posts.








salam wbt
a well-shared opinion.
had been there and only then we know the true power of du’a and patience. not to forget those who keep on praying for us too.
salam… kegagalan membuat kita lebih kenal diri serta memperbetulkan diri dengan jalan yang lebih indah lagi…