Tak lama lagi kita akan menyambut ketibaan bulan Ramadhan. Sudahkah kita bersedia? Bersedia untuk merebut ganjaran-ganjaran yang Allah sediakan pada bulan yang istimewa ini. Bagi sebahagian daripada kita, ada yang hanya mampu meluangkan masa yang singkat untuk beribadat pada bulan Ramadhan bagi tahun ini bersama keluarga tercinta, dan seterusnya meraikan keistimewaan bulan ini di perantauan. Walau di manapun kita berada, semoga kita dapat berlumba-lumba mengejar keredhaan Allah melalui ibadat-ibadat yang dikhususkan pada bulan Ramadhan.
Ditegaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa’i dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan…….”
Bulan Ramadhan merupakan bulan mulia yang Allah kurniakan kepada hambaNya yang tahu menghargai.
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa”.
Terdapat beberapa sebab bulan Ramadhan diutamakan kepada umat Islam. Pada bulan inilah Al-Quran diturunkan. “Bulan Ramadan, yang diturunkan di dalamnya Al Quran menjadi petunjuk kepada manusia.” (Al Baqarah: 185). Allah turut memberi ganjaran yang berlipat ganda kepada hambaNya yang berpuasa sepanjang bulan Ramadan. “Barangsiapa yang mengerjakan puasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan kepada Allah dan benar-benar mengharapkan keampunan, nescaya Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Umat Islam juga dapat membersihkan diri dengan mengeluarkan zakat fitrah “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan sebanyak satu sa’ (2.3 kg) kurma atau gandum kepada tiap-tiap orang Islam merdeka atau hamba lelaki atau perempuan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam menjalani ibadah puasa, rasanya lebih baik jika kita menilai puasa yang pernah kita lakukan sebelum ini. Di manakah tahap puasa kita? Pada lazimnya, manusia berpuasa pada tahap puasa umum iaitu puasa mukmin yang masih melakukan perbuatan maksiat kepada Allah SWT. Puasanya sangat mudah iaitu tidak makan, tidak minum, dan tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa. Tapi anggota lahirnya seperti mata, telinga, mulut, kaki, tangan tidak ‘berpuasa’ sama dan masih melakukan dosa. Manakala hatinya bersarang dengan sifat mazmumah seperti hasad dengki, pemarah, sombong, riyak. Puasa ini tidak dapat memelihara diri dari kejahatan nafsu dan syaitan. Rasulullah SAW bersabda; “Berapa banyak orang yang berpuasa tetapi tidak dapat apa-apa daripada puasanya itu melainkan lapar dan dahaga sahaja.”
Tahap kedua pula adalah puasa khusus iaitu puasa orang soleh, berpuasa seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT. Dia juga dapat menahan anggotanya dari melakukan dosa termasuk berjaya memelihara hatinya daripada sifat mazmumah antaranya pemarah, sombong, riyak, ujub, takabur, gila puji. Tahap yang paling tinggi adalah puasa Khususul Khusus iaitu puasa orang yang hatinya hampir dengan Allah. Berpuasa segala anggota lahir dan batin, bahkan hatinya turut berpuasa daripada mengingati hal-hal dunia. Hatinya sepanjang masa mengingati Allah. Ini adalah bentuk puasa para nabi, rasul dan aulia. Sama-samalah kita renungkan di manakah tahap puasa kita selama ini. InsyaAllah, mungkin pada Ramadhan kali ini, kita dapat tingkatkan tahap puasa kita!
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang sangat mulia di sisi Allah. Pada bulan inilah, Allah memberikan ganjaran yang berlipat ganda bagi yang merebut ganjaranNya. Beberapa amalan yang boleh dilakukan bagi meraikan keistimewaan bulan Ramadhan ini :
1. Solat Sunat Tarawih
Solat ini hanya boleh dikerjakan di bulan Ramadan sahaja. Hukumnya adalah Sunnat muakkad. Solat ini dilakukan setelah seseorang itu selesai mengerjakan solat fardu Isyak. Afdal dikerjakan berjemaah di masjid. Menurut hadis Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah maksudnya: “Adalah Rasulullah saw sangat sukacita menganjurkannya supaya beramal di malam-malam bulan Ramadan, hanya baginda itu tidak menganjurkannya dengan keras. Baginda bersabda: “Siapa yang menunaikan ibadat solat pada malam-malam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan semata-mata kerana Allah nescaya diampunkan oleh Allah dosa-dosanya yang lalu.
2. Solat Witir dan Solat Tahajjud
3. Iktikaf
Iktikaf ertinya berhenti seketika atau lebih di dalam masjid dengan niat beribadat atau menghampirkan diri kepada Allah. Hukumnya sunat dan istimewa sesudah tanggal 20 Ramadan hingga ke akhirnya. Aisyah ra meriwayatkan yang maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW melakukan iktikaf sesudah tanggal 20 Ramadan, hal ini menjadi amalan Baginda hingga Baginda wafat.” Niat Iktikaf: “Sahaja aku beriktikaf dalam masjid ini kerana Allah Taala.”
4. Lailatul Qadar
Firman Allah dalam surah al Qadr ayat 1-3: “Kami telah menurunkan al Quran pada malam Lailatul Qadar. Apakah malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar itu terlebih baik dari seribu bulan…” Para ulama berselisih pendapat tentang masanya Lailatul Qadar. Pendapat menyatakan bahawa malam Lailatul Qadar jatuh pada malam-malam yang ganjil selepas tanggal 20 Ramadan iaitu: 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan. Pada malam-malam itu sangat disarankan agar kita memperbanyakkan ibadat seperti solat, membaca al Quran, berselawat, berzikir dan memohon doa minta diampunkan dosa. Imam Ahmad Ibni Majah dan Al Tarmidzi telah melaporkan sebuah hadis yang diterimanya dari Aisyah: Bahawa Rasulullah telah mengajarkan kepadanya doa yang diucapkan pada malam Lailatul Qadar iaitu: “Wahai Tuhanku, bahawasanya Engkau Tuhan yang Maka Pemaaf, Engkau menggemari kemaafan, maka maafkanlah daku.”
Semoga Allah memberi kesempatan kepada kita untuk menjalani ibadah ketika bulan Ramadhan dan menerima setiap ibadat yang kita lakukan bukan sahaja pada bulan Ramadhan, tetapi juga pada bulan-bulan lain. Ikhlaskan hati kita demi mencapai keredhaan Allah. InsyaAllah.
Related post(s):




