Atap Hijau Rss

Taubat seorang hamba…

10

Posted by Ailurophilia | Posted in Tazkirah, Tazkiyatun nafs | Posted on 07-07-2010

Menurut kata-kata ulama, terdapat beberapa penyakit yang mudah ‘menjangkiti’ hati seorang Muslim. Antara penyakit tersebut adalah apabila dia berbicara, dia mungkin berbohong; apabila berilmu, dia mudah lupa; apabila beribadat, timbul rasa riak; apabila berbudi pekerti, dia memuji diri; apabila diberi keberanian, dia bersikap keterlaluan; apabila menjadi pemurah, dia menyebut-nyebut sumbangannya; apabila dijadikan Allah sebagai seorang yang cantik, dia menjadi sombong; apabila menjadi bangsawan, dia bangga diri; apabila malu keterlaluan, dia menjadi lemah diri; apabila diberi kemuliaan, dia menonjol-nonjol; apabila kaya, dia menjadi kedekut; dan apabila memberi ketaatan, dia berlebih-lebihan. Sebagai seorang hambaNya yang lemah, kita mudah terperangkap dalam setiap amalan yang dilakukan tanpa keikhlasan kepadaNya. Di sinilah Allah mengajar kepada hambaNya agar sentiasa bertaubat dan perbetulkan niat.

Dalam ayat 135 surah Ali Imran, Tuhan menjelaskan sifat baik di kalangan orang beriman yang ‘ashi, apabila melakukan perkara keji dan mendedah diri kepada bahaya api neraka. Lalu mereka ingat dan beristighfar kepada Allah SWT.  Mereka bertaubat kepada Allah kerana derhaka kepada-Nya, dengan anggota yang dikurnia oleh Allah SWT. Menderhaka dengan mata kerana memandang perkara yang haram. Menderhaka dengan lidah kerana mengumpat serta berkata perkara haram. Derhaka dengan mulut kerana makan rezeki yang haram. Semua anggota tubuh badan adalah kurniaan Tuhan, yang sepatutnya digunakan untuk taat dan berbakti kepada-Nya, bukan sebaliknya.

Firman-Nya lagi yang bermaksud: Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian dia mohon ampun kepada Allah, nescaya dia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah An-Nisa ayat 110)

Allah berfirman dalam surah Al-Taubat,ayat 118, “Kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.

Syarat Taubat Diterima.

Syarat taubat yang mesti dipenuhi oleh seseorang yang ingin bertaubat adalah sebagai berikut:

  1. Taubat dilakukan dengan ikhlas, bukan kerana makhluk atau untuk tujuan duniawi.
  2. Menyesali dosa yang telah dilakukan dan tidak ingin mengulanginya kembali.
  3. Tidak terus menerus dalam berbuat dosa. Dan jika berkaitan dengan hak manusia, maka ia segera menunaikannya atau meminta maaf.
  4. Bertekad untuk tidak mengulangi dosa tersebut lagi kerana jika seseorang masih bertekad untuk mengulanginya maka itu pertanda bahawa dia tidak benci kepada maksiat.
  5. Taubat dilakukan pada waktu diterimanya taubat iaitu sebelum datang ajal atau sebelum matahari terbit dari arah barat. Jika dilakukan setelah itu, maka taubat tersebut tidak lagi diterima.

Setiap hamba pernah berbuat salah, namun hamba yang terbaik adalah yang rajin bertaubat. Dari Anas, Rasulullah SAW bersabda,“Semua keturunan Adam adalah orang yang pernah berbuat salah. Dan sebaik-baik orang yang berbuat salah adalah orang yang bertaubat.

Orang yang bertaubat akan digantikan dengan kebaikan bagi kesalahan yang pernah dilakukan. Allah Ta’ala berfirman, ”Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh; maka itu kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al Furqon: 70)

Al Hasan Al Bashri mengatakan, ”Allah akan mengganti amalan kejahatan  yang dilakukan oleh seseorang dengan amalan soleh. Allah akan menggantikan kesyirikan yang pernah dilakukan dengan keikhlasan. Allah akan menggantikan perbuatan maksiat dengan kebaikan. Dan Allah pun menggantikan kekufurannya dahulu dengan keislaman.”

Tanda taubat diterima Allah

  1. Bagi hamba-hamba yang bertaubat itu bila dia merasakan di dalam dirinya masih ada dosa-dosa yang masih belum terhakis.
  2. Hatinya lebih tenteram dan suka mendekati orang-orang yang soleh daripada mendekati mereka-mereka yang fasik.
  3. Bila dia merasakan di dalam dirinya telah hilang perasaan gembira, sebaliknya sentiasa datang perasaan sedih kerana takutkan azab Allah.
  4. Bila dia melihat pada dirinya yang sentiasa sibuk dengan menunaikan kewajipan terhadap Allah .
  5. Sungguhpun sedikit rezeki yang diperolehinya di dunia ini namun dia tetap melihatnya banyak, tetapi walaupun banyak amalan untuk akhirat yang telah dikerjakannya namun ia tetap merasa sedikit.
  6. Bila dia melihat pada dirinya yang sentiasa menjaga lidah dan ucapannya, sering bertafakur dan selalu berada di dalam keadaan sedih dan menyesal.

Sedar ataupun tidak, sebenarnya Allah telah menjanjikan banyak kebaikan dan kebajikan kepada mereka yang bertaubat. Maka tidak syak lagi bahawa, jalan keluar ke pintu kebaikan terbuka luas untuk mereka yang sedang bergelumang dalam dosa maksiat. Jangan berputus  asa atas keampunan dan rahmat Allah. Ingatlah, bahawa Allah sentiasa menyayangi dan bersama orang-orang yang ingin mendekati-Nya.

Segala perlakuan bermula daripada anggota zahir atas dorongan hati. Jika bertasbih dan beristighfar terbit daripada sanubari insaf, hasil daripada sikap tersebut dalam jangka masa yang tidak lama, akan terbit rasa malu kepada diri untuk mengingkari istighfar yang diucapkan.

Dalam hadith Riwayat Muslim, Rasulullah  bersabda, “Aku bertaubat lebih daripada 70 kali dalam satu hari.” Rasulullah yang diciptakan Allah dengan sifat-sifat maksum, sering bertaubat kepada Allah meskipun telah dijanjikan syurga dan menjadi kekasihNya. Oleh itu, kita sebagai hambaNya yang lemah dan sering alpa kepadaNya, haruslah bertaubat demi mengejar keredhaan Allah dan kebahagiaan di akhirat nanti.

Semoga Allah menerima setiap taubat dan keampunan kita. Semoga Allah senantiasa memberi taufik kepada kita untuk menggapai redha-Nya. Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya segala kebaikan menjadi sempurna.

No related posts.

Comments (10)

Adakah Allah murka denganku? apabila aku sudah bertaubat, kemudian hari aku masih mengulangi dosa-dosaku. kadang2 aku sudah berfikir utk melakukan dosa itu kembali.. kemudian aku bertaubat lagi… kemudian aku mengulanginya lagi… sepertinya aku mempermainkan taubat.. tetapi benar ya Allah, tiap kali aku bertaubat, aku benar-benar yakin untuk meninggalkan segala dosaku. Aku benar-benar terasa diriku kecil dan hina dan benar2 menyesal dgn perbuatanku…. tetapi bila alpa dengan kehidupan harian…aku mula cuba mengulanginya. Hatiku mudah benar digoda syaitan… adakah Allah masih menyayangi umat seperti ini? seperti aku?

Assalamu’alaikum akh/ukhti natniey..

Ada hadith nabi s.a.w utk kita renungkan bersama..

Daripada Anas r.a. beliau berkata: aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Allah Ta’ala berfirman: Wahai anak Adam! Selagi mana engkau meminta, berdoa dan mengharapkan Aku, Aku akan ampunkan apa-apa dosa yang ada pada dirimu dan Aku tidak peduli.

Wahai anak Adam! Seandainya dosa-dosamu banyak sampai mencecah awan langit kemudian engkau memohon ampun kepadaKu, nescaya Aku akan ampunkan bagimu.

Wahai anak Adam! Sesungguhnya engkau, andainya engkau datang mengadapKu dengan dosa-dosa sepenuh isi bumi, kemudian engkau datang menghadapKu tanpa engkau mensyirikkan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku akan mengurniakan untukmu keampunan sepenuh isi bumi.

[HR Tarmizi, beliau berkata hadith ini adalah Hasan Sahih]

Subhanallah, betapa luasnya rahmat Allah. selagi dosa yg kita lakukan bukan dosa syirik, Allah takkan pernah abaikan permohonan ampun dr kita. kita manusia biasa, bukan mcm malaikat yg boleh istiqamah melakukan kebaikan tanpa kejahatan. dan lalai & alpa tu sunnah manusia..cuma bila kita dah sedar, cepat2lah meminta ampun dr Allah. imam ghazali ada b’kata, ‘membuang rasa berdosa ketika melakukan dosa adalah sebesar2 dosa..’

wallahua’lam..

Assalamualaikum wbt,

setiap kali aku melakukan dosa2 besar ku rasakan diri ini sangat jauh dari cinta kasihnya…jiwa ku rasa tak tenteram ..mengapa harus aku lakukan perbuatan yang di murkainya .acap kali aku bertaubat ,acap kali juga aku melakukan dosa2 itu kembali semata2 untuk memuaskan nafsu syaitan ku ini…ya allah aku ingin kembali di jalan mu

assalamualaikum,

mohon share :)

mohon bertanya
sekiranya seseorang yg tahu ajalnye akan smpai seminggu atau lebih adakah taubatnya pd masa itu diterima??

@Ahmad,

Sekadar berkongsi pandangan, mungkin ada pandangan sahabat2 lain yg lebih tepat.

Tiada seorang manusia pun yang tahu bila ajalnya akan tiba. Mungkin bagi sesetengah individu yang mendapat jangkaan jangka hayat hidupnya yang tinggal hanya seminggu setelah disahkan menghidap penyakit tertentu, namun itu hanyalah jangkaan semata-mata. Insan tersebut masih lagi boleh berusaha untuk bertaubat meskipun mendapat jangkaan bahawa ajalnya sudah hampir, selagimana nyawa masih dikandung badan.

Sabda Nabi SAW,”Bahawasanya Allah yang Maha Mulia lagi Maha Besar menerima ia akan taubat hamba selama belum sampai rohnya kepada halkumnya.” (Imam At-Tirmizi).
Nabi mengatakan bahwa Allah bersedia menerima taubat manusia, tetapi Allah meletakkan syarat; iaitu selagi mana roh tak sampai di halkum.

Allah masih membuka pintu taubat kepadanya dan insyaAllah taubatnya akan diterima oleh Allah jika dia benar-benar ikhlas bertaubat dan memohon maaf daripada manusia, jika kesalahan itu melibatkan insan-insan lain.

Sedangkan Rasulullah yg maksum pn bertaubat lebih daripada 70 kali, apatah lagi, kita sebagai hamba Allah yg lemah dan sering melalakukan dosa, perlulah berazam untuk beristighfar & bertaubat pd setiap hari.

“Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebihan (dalam) urusan kami dan tetapkanlah pendirian kami, dan tolonglah kami terhadap orang-orang kafir.” (Surah Ali-Imran:147)
Wallahualam.

minta petik tulisan awk ye..terima kasih

apabila aku sudah bertaubat, kemudian hari aku masih mengulangi dosa-dosaku. kadang2 aku sudah berfikir utk melakukan dosa itu kembali.. kemudian aku bertaubat lagi… kemudian aku mengulanginya lagi… sepertinya aku mempermainkan taubat.. tetapi benar ya Allah, tiap kali aku bertaubat, aku benar-benar yakin untuk meninggalkan segala dosaku. Aku benar-benar terasa diriku kecil dan hina dan benar2 menyesal dgn perbuatanku…. tetapi bila alpa dengan kehidupan harian…aku mula cuba mengulanginya. Hatiku mudah benar digoda syaitan… adakah Allah masih menyayangi umat seperti ini? seperti aku?

@Tina : setiap manusia biasa takkan dpt lari drpd melakukan dosa. Dan apabila ingin berubah, pasti ada yg ‘mengganggu’, bukan sahaja drpd syaitan, malah manusia sendiri pun boleh menjadi penghalang. Cuba muhasabah setiap kali sebelum tidur. Sekurang-kurangnya kita sedar setiap apa yg kita telah lakukan sehari-hari. Soalan saudari tentang adakah Allah masih syg umat yg bertaubat tetapi masih melakukan dosa, secara jujurnya agak sukar untuk saya jawab.

Berusahalah & berazamlah untuk berubah, biarpun sedikit demi sedikit tetapi istiqamah/berterusan. Dan bersangkabaiklah kepada Allah, bahawa Allah akan mengampunkan kita dan memberikan rahmatnya, dan pada masa yg sama jgn biarkan Dia murka dengan dosa-dosa kita.

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Allah Taala sangat gembira menerima taubat seseorang kamu melebihi kegembiraan seseorang yang menemui kembali barangnya yang hilang.”(HR Muslim)

Ada satu tips yg boleh kita amalkan dalam proses untuk berubah menjadi lebih baik. Bila kita menyesal dengan dosa yg lalu dan berazam utk berubah, cuba beritahu azam tersebut kpd seseorang yg kita percaya. Misalnya, kita bertaubat & bersedia untuk menutup aurat. Beritahu kepada sahabat/keluarga agar mereka dpt menegur kita seandainya aurat kita belum ditutup dgn sempurna. InsyaAllah, jika dia adalah insan yg baik, dia pasti dpt membantu kita drpd terjerumus kembali kedalam dosa yg pernah kita lakukan selama ini. Wallahualam.

Teringat kata-kata Imam Al-Ghazali : ‘Membuang rasa berdosa ketika masih melakukan dosa adalah sebesar-besar dosa.’ Semoga kita tidak tergolong dalam golongan tersebut.

Assalamualaikum,Ya Allah,aku mengakui yg aku telah byk buat salah kepada ibuku,aku membuat dia menangis.Aku sgt merasakan kesesalan dalam diriku.Adakah Kamu akan menerima taubat hamba Mu ini ?Aku hanya mampu bergantung kepada Mu ya Allah.Aku harap Kamu menerima hamba Mu yg banyak dosa ini.Astaghfirullahalazim.

Post a comment

Ataphijau Facebook Group
youtube AJataphijau