Posted by hikari189 | Posted in Akhlak | Posted on 05-07-2010
Kebahagiaan merupakan antara elemen terpenting dalam kehidupan seseorang manusia.Nikmat yang dikejar dan ingin dikecapi oleh semua orang. Bahkan, salah satu perkara yang diburu oleh ramai orang dalam kehidupan ini adalah untuk menjadi orang yang paling bahagia pernah bernafas di atas muka bumi ciptaan Ilahi ini dan seterusnya menyambung kepada kebahagiaan hakiki di alam akhirat sana.
*sekadar gambar hiasan
Namun, setiap orang mempunyai definisi bahagia yang berbeza-beza. Ada orang yang bahagia dengan harta wang ringgit yang melimpah, ada yang bahagia dengan wajah yang tampan rupawan, ada yang kerana memiliki anak yang ramai dan pelbagai lagi sebab-sebab bergantung kepada individu tersebut.
Tidak salah rasanya jika dikatakan bahawa kebahagiaan tidak datang bergolek. Ia merupakan sesuatu yang akan diperolehi tetapi mestilah diiringi dengan perjuangan dan mujahadah yang bertungkus-lumus.
Menurut Al-Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyah dalam buku karangannya Cinta & Rindu kepada Allah terdapat 11 kunci kebahagiaan. Untuk lebih memudahkan pembacaan & penghadaman yang menghasilkan kefahaman, maka lebih molek kiranya jika saya membahagikan perkongsian ini kepada dua bahagian. Siri 1 membincangkan lima kunci kebahagiaan yang pertama & nantikan kemunculan siri 2 yang membincangkan ciri-ciri yang berbaki.
Kunci kebahagiaan yang pertama:
Iman kepada Allah dan beramal soleh
Allah swt berfirman dalam Surah An-Nahl:97 yang bermaksud:
“Siapa sahaja yang beramal kebaikan, baik lelaki mahupun perempuan sedangkan dia dalam keadaan beriman maka Aku akan hidupkan mereka dalam kehidupan yang baik.”
Abu Yahya Shuhaib bin Sinan r.a. meriwayatkan, Rasulullah saw bersabda:
“Sungguh menghairankan urusan seorang Mukmin. Sesungguhnya segala urusannya baginya memberikan kebaikan, hal ini tidak dimiliki oleh seorang pun melainkan oleh seorang Mukmin. Bila mendapatkan harta atau kejayaan selalu bersyukur maka jadilah itu kebaikan baginya dan bila mendapatkan kesengsaraan dia selalu bersabar dan itu pun menjadikan kebaikan baginya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Pengaruh iman dalam kehidupan sangat nyata sekali. Contohnya, ketika disoal siasat di Damsyik dengan berbagai bentuk penyeksaan yang keji, Ibnu Timaiyah malah mengatakan:
“Apa yang diperbuat musuh-musuhku itulah syurgaku, penjara bagiku adalah tempat menyepi danpenyeksaan terhadapku itulah syahadahku (syahidku), sedang pengusiran terhadapkuitulah temasyaku.”
MasyaAllah! Bukannya penyesalan yang keluar dari mulut beliau, malah ucapan yang begitu memotivasikan yang lahir dari hati yang telah dihunjam kuat imannya di dalam dada.
Kunci kebahagiaan yang kedua:
Beriman kepada Qada’ & Qadar
Beriman kepada rukun iman yang terakhir ini membantu kita untuk menjadi hamba yang redha dengan bahagian rezeki kurniaan Allah dan tabah menerima pelbagai kemungkinan yang bakal ditimpakan Allah kepada kita.
Contoh teladan dapat dilihat daripada kisah seorang sahabat yang bernama Urwah in Zubair yang kakinya ditimpa suatu penyakit sehingga ia mesti dipotong. Keadaan itu diterima beliau dengan tabah.
Ketika doctor menyarankan agar beliau minum khamar untuk mengurangkan rasa sakit saat dipotong, beliau menolak. Beliau berkata, “ Biar aku tunjukkan cara lain, yakni tatkala aku sedang solat maka kerjakanlah apa yang tuan inginkan, kerana hati, tatkala sedang bergantung kepada Allah maka tidak akan merasa dengan apa yang sedang mengenai dirinya.
Benar! Tatkala Urwah sedang bertakbir & solat, pembedahan pun dilakukan, beliau tidak bergerak sedikit pun dan pemotongan itu pun berjaya. Allahu Akbar! Itulah buah iman dan cinta yang sungguh-sungguh kepada qada’ & qadar.
Sebagaimana Firman Allah swt di dalam Al-Quran (Al-Fussilat:35):
“Dan tidak akan diberikan sifat itu kecuali kepada orang-orang yang sabar dan tidak diberikan melainkan kepada orang yang mempunyai kebahagiaan.”
Kunci kebahagiaan yang ketiga:
Yakin dengan pertolongan Allah
Keyakinan ini muncul dengan adanya ilmu dan kefahaman yang membawa kepada kenalnya kita kepada Allah lalu dengan itu terbit pula rasa cinta pada-Nya.
Seperti kisah Abu Al-Hasan az-Zahid, kerana keberaniannya menentang penguasa zalim di Mesir pada masanya, iaitu Ahmad Toulon, makabeliau dimasukkan ke dalam kandang singa. Singa yang lapar itu dengan pantas mengaum dan mendekat.
Abu Al-Hasan tetap tenang duduk,tidak bergerak malah tidak berganjak sedikit pun. Orang kebanyakan yang menyaksikan keadaan itu tampak tegang. Malah ada yang menangis ketakutan. Singa itu maju mundur, kadang meraung lalu diam. Sesudah itu, ia mengangguk-anggukkan kepalanya, mendekati Abul Hsan lalu menciumnya & pergi tanpa berbuat apa-apa.
Apakah perkara yang lebih hebat daripada itu?
Tatkala Ahmad Toulun bertanya tentang Abu al-Hasan tentang apa yang ada di fikirannya ketika itu, dia menjawab “ Aku berfikir tentang air liur singa tersebut, seandainya mengenaiku, apakah najis atau tidak?”
“Apakah kamu tidak takut kepada singa itu?”,tanya Ahmad Toulun lagi.
Abu Al-Hasan menjawab,” Tidak, kerana sesungguhnya Allah melindungiku.”
*sekadar gambar hiasan
Kunci kebahagiaan yang keempat:
Banyakan berzikir & membaca Al-Quran
Firman Allah swt:
“Ketahuilah dengan zikir kepada Allah akan tenanglah hati.” (Al-Ra’d:28)
Cinta terbukti bila sang pencinta akan selalu menyebut nama kekasih hatinya. Maka begitulah orang yang cinta kepada Allah, lidahnya akan sentiasa basah dengan zikir dan ingat kepada Allah akan membuat hatinya tenang.
Firman Allah swt dalam Surah Thaha: 124,
“Dan siapa sahaja yang berpaling dari zikir ( ingat) kepada Aku maka adalah baginya penghidupan yang sempit dan Kami akan kumpulkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan buta.”
Kunci kebahagiaan yang kelima:
Berbuat baik kepada manusia
Orang yang mencintai Allah pasti bersifat kasih sayang sesama manusia, kerana ia merupakan sifat para Nabi & Rasul. Para Nabi diutuskan Allah untuk menyampaikan rislah dengan rasa cinta & kasih sayang, bukan dengan permusuhan.
Menurut Imam Ibnul Jauzi, orang yang suka berbuat baik kepada manusia, dialah orang yang paling bahagia.
Bersambung…
Related post(s):
Alhamdulillah, bertemu lagi kita dalam Kunci-Kunci kebahagiaan Siri 2. Kunci kebahagiaan yang keenam: Memandang urusan dunia lebih rendah daripada urusan akhirat Sabda Rasulullah saw:...



