Posted by hikari189 | Posted in Motivasi | Posted on 23-06-2010

*picture from www.cyrusphotography.com.my*
Lewat petang itu, selesai kerja-kerjanya di bendang seperti kebiasaannya selalu, atuk duduk disampingku meneruskan kegemarannya yang satu itu. Mencari sedikit ruang, sekelumit masa dari cebisan usianya untuk menenangkan fikirannya. Menatap langit Tuhan. Langit luas lagi kebiruan. Langit ajaib tertegak tanpa tiang. Sambil menghayati kicauan unggas-unggas pulang ke sarang, setelah lelah seharian membanting tulang mencari sesuap nasi buat keluarganya.
Dan ternyata aku insan beruntung. Kerana selalunya, akulah yang pasti ada ruang untuk berteleku di sisinya di saat itu. Saat berharga yang pasti.
Sewaktu mula-mula dahulu, walaupun usiaku ketika itu masih terlalu muda, sekitar 7 tahun ku kira, aku meluahkan kehairananku pada atuk.
“Atuk, Iman tak faham la, kenapa agaknya atuk gemar sangat tengok langit petang-petang macam ini? Atuk tak bosan ke? Hari-hari pula tu. Abah dah belikan TV untuk atuk tonton, kenapa tak tonton TV sahaja? Pandang luar ni, nampak langit dan burung saja. Dalam TV tu ada macam-macam. Atuk nak tengok apa, pilih je. Langit pun ada dalam TV. Lagi seronok kan, tuk?” soal cucunya yang belum kenal dunia.
Atuk hanya memandangku sambil tersenyum manis. Wajah Jawa tulen itu kupandang sepuasnya . Mencari jawapan pada persoalanku..Aku sebaliknya terpana pada garis-garis tua yang terlukis di wajah atuk. Kulitnya hitam manis, apatah lagi ditambah dengan kesan akibat terlalu berlama-lama di bawah panahan terik mentari.. Walaupun begitu, hatiku ini tidak pernah bosan menatap wajahnya malah jika sehari tidak memandang wajah ini, hatiku dicengkam rindu yang berat.
Atukku dengan tenang menjawab.
“Iman, iman…TV itu untuk orang-orang muda macam Iman. Atuk bukan apa,sejak sebelum TV tu ada lagi, atuk dah biasa duduk di pangkin ini. Atuk suka. Atuk tenang tengok ciptaan Allah swt yang indah ini. Serasa kicau-kicau burung itu mengingatkan atuk pada zikir alam. Zikir kesyukuran. Seolah-olah diri atuk “melayang” pergi sejenak bersama burung-burung tu, cu”. Bening wajah atuk. Aku hanya mengangguk tanda faham.
Takut menganggu konsentrasi atuk, aku memilih untuk mendiamkan diriku. Duduk disampingnya sambil meniru tindakannya yang terus melemparkan pandangannya jauh ke langit tinggi. Aku tertanya-tanya. Apa agaknya yang mengisi kotak fikiran atuk di kala ini? Bagaimanakah sebenarnya perasaan atuk di waktu ini? Gembirakah dia? Risaukah dia? Rindukah dia pada anak-anak dan cucu-cucunya? Petang itu,kami masing-masing berperang dengan perasaan yang terbuku di hati. Tak siapa, ya tak siapa yang tahu kecuali Dia….
Ingin sahaja rasanya aku menjerit sambil mendakap dirinya dan menghadiahkan kucupan di pipi atuk. Ikhlas,buat meyakinkan dan menggembirakan atuk yang amat kusayangi.
“Atuk, atuk… Atuk jangan sedih tau. Iman sentiasa ada dekat dengan atuk. Atuk penat, Iman urut. Atuk lapar, Iman suapkan makanan. Atuk busuk,Iman mandikan. Atuk sakit, Iman jagakan. Pendek kata semualah Iman nak buat..”. Monologku sendirian. Hasrat seorang cucu. Otakku ligat menggali daripada laci-laci memori saat-saat pahit dan manis diriku dengan atuk sepanjang 13 tahun kebelakangan ini . Terbuai jauh.
“Iman..Iman..”. Serak basah suara atuk mematikan lamunanku.
“Ya, tuk. Ada apa tu, tuk?” jawabku sambil memandang atuk penuh minat.
“ Kita ini orang susah Iman. Kerja keluarga kita dari dulu membanting tulang, berbudi pada tanah , menjual hasil tani untuk mencari rezeki. Dengan duit itulah, atuk membesarkan mak ,Pak Ngah dan Pak Usu Iman. Atuk nak Iman belajar sungguh-sungguh , Iman. Dengan ilmulah,hidup Iman jadi berharga. Kenal baik dan buruk. Ilmu jaga iman. Bimbing iman. Sungguh-sungguh ya sayang. Sungguh-sungguhlah dalam semua perkara yang Iman lakukan. Semua bakal jadi ibadah cu, jika niat Iman selari syariat,” nasihat berharga dari atuk. Meski sedikit terkejut dengan luahan atuk, aku mengiyakan dengan sebuah senyuman.
Atuk kemudian menyambung lagi, “Jikalau Iman susah hati, Iman pandanglah alam ciptaan Allah swt yang sangat luas nan indah ni,cu. Alam ini hadiah Allah buat kita Iman. Hadiah buat khalifah yang setia dan jujur memegang amanahnya. Alam diciptakan untuk renungan buat mereka yang berfikir. Jadilah orang yang berfikir itu, Iman. Berfikir untuk mendapatkan ketenangan. Ketenangan yang tak tergambar dengan perkataan. Ketenangan dari dalam jiwa. Kadang-kadang kita sebagai manusia ini selalu lupa. Selalu ambil mudah benda-benda sekeliling kita. Selagi kita tak rasa susahnya hilang atau kurangnya nikmat deria lima yang Allah kurniakan, kita sambil lewa sahaja. Beringatlah Iman,hargailah segalanya sebelum Allah tarik semula pemberiannya itu.”
“Janganlah bersedih cu. Setiap masalah pasti ada jalan keluarnya. Kerana Allah sayanglah, Dia uji kita. Kita yang kena kuat berusaha, berdoa dan bertawakal. Allah swt tak sayang pada hambaNya yang mudah berputus asa..”Atuk mengenyitkan matanya di akhir katanya.
Telingaku bingit.. “Alarm clock” di tepi dinding menjerit. Mengejutkan aku daripada lena. Mataku basah. Tertidur dengan telekung lagi. Hampir setiap malam begini.
“Kenapalah dengan aku ini? Bila ada masalah, tidur dengan telekung jadi “habit” pula,”bisikku sendiri.
Berlari aku ke bilik air. Dingin air, sedingin hatiku pagi itu. Sebelum menunaikan solat subuh pagi itu, lama kutadah tangan memohon agar Allah swt kurniakan rahmat dah kasih sayangNya pada arwah Atukku. Rinduku membawa aku padanya.
Nasihatnya masih terngiang-ngiang di telingaku. Seolah-olah berkali-kali telah kudengar pesanan ini. Tentang ilmu, tentang alam,tentang bersyukur . Kudengar di rumah, dalam usrah, di kelas. Entah di mana-mana lagi. Atuk juga berpesan lagi. Aku lupa atau hatiku sudah lali. Aku berlindung padaMu ya Allah daripada hati yang keras.
“Tak kira seberapa “common” nasihat atau ilmu itu kita dah dengar, anggaplah seolah-olah setiap kali, itulah kali pertamanya kita mendengarnya supaya kita boleh selalu menghargai dan mengamalkannya”, terbayang pula kata-kata seorang rakanku.
Syukur ya Allah. Terima kasih Atuk. ..
Related post(s):Jenayah Hati : Pengajaran Dari Banduan Tengah hari itu, usai solat zohor di Pusat Dakwah Islam Negeri Kedah, sedang aku duduk ditangga mengenakan kasut...





thanks for using my photo~ appreciate it alot! =)