Posted by Ailurophilia | Posted in Ekonomi, Miscellaneous | Posted on 19-06-2010
Islam menyarankan umatnya supaya sentiasa bersederhana dalam setiap perkara. Ini termasuklah dalam soal berbelanja. Sebagai panduan bersama, terdapat beberapa panduan penting yang dapat kita amalkan dalam menguruskan perbelanjaan kita agar mampu bersederhana dalam berbelanja.Terdapat banyak panduan dalam menguruskan perbelanjaan yang boleh kita perolehi daripada sunnah Rasulullah SAW berkaitan cara baginda yang bersederhana mengambil makanan.
1. Secara kebiasaannya, Rasulullah hanya makan apabila baginda berasa lapar. Ini dapat kita aplikasikan iaitu disamping pengambilan diet yang sihat, kita juga dapat mengawal perbelanjaan. Bagi memastikan kita bijak berbelanja, keutamaan untuk berbelanja perlulah diberikan kepada barang-barang yang diperlukan sahaja.
2. Kita juga digalakkan agar mengambil makanan pada kadar yang diperlukan sahaja walaupun dihidang dengan pelbagai jenis juadah. Sikap membazir dan berlebih-lebihan perlu dijauhi.
3. Rasulullah juga makan dengan tertib dan mengunyah makanannya dengan baik. Baginda sentiasa bersyukur dengan setiap rezeki yang dikurniakan oleh Allah. Sikap Rasulullah mengajar kita supaya sentiasa bersyukur dengan setiap harta yang dimiliki dan menggunakan harta tersebut sebaik-baiknya.
4. Bukan sekadar itu sahaja, baginda juga berhenti makan sebelum baginda berasa kenyang. Amalan ini menunjukkan betapa pentingnya agar kita tidak terlalu mengikut dorongan hawa nafsu semata-mata dalam soal pemakanan dan perbelanjaan. Amalan ini membolehkan seseorang itu betul-betul mengecapi nikmat makanan yang dimakan ataupun barangan yang digunakan. Ini dapat melahirkan rasa cukup dalam diri seseorang dan menjadikannya hamba yang bersyukur.
Tips menguruskan perbelanjaan.
Hanya orang yang bijak dapat berjimat, bersederhana dan seterusnya menyimpan dan melabur. Bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas dalam mengatur perbelanjaan, berikut adalah beberapa tips mudah yang dapat kita aplikasikan dalam kehidupan seharian.
1. Sediakan senarai barangan yang sememangnya perlu dibeli. Siapkan senarai ini sebelum pergi membeli-belah dan berbincanglah bersama ahli keluarga bagi mendapatkan senarai keperluan mereka.
2. Pilih tempat membeli-belah yang memberikan harga yang terbaik buat wang kita
3. Jangan membeli-belah semasa perut sedang kosong dan berkeroncong. Apabila lapar, semua barang yang dilihat terutamanya makanan akan kelihatan begitu menyelerakan dan seterusnya meningkatkan keinginan kita untuk membeli.
4. Tinggalkan kad kredit di rumah. Hanya bawa sejumlah wang tunai yang memadai bagi memenuhi pembelian yang dirancang. Ini dapat mengelakkan daripada membuat pembelian melebihi bajet ataupun yang tidak disengajakan kerana terpengaruh dengan promosi oleh jurujual. Membeli secara tunai adalah lebih menjimatkan berbanding membeli secara hutang. Selain bebas daripada riba, kita juga boleh belajar untuk menyimpan. Kadangkala, selepas jumlah simpanan mencukupi, kita akan berasa sayang untuk menggunakannya kerana mempertimbangkan kesusahan semasa kita berjimat cermat bagi menyimpan.
Bertepatanlah dengan pepatah orang-orang tua ‘ukur baju di badan sendiri’, bagi memastikan kita berhemat dalam perbelanjaan. Dalam berbelanja, berbelanjalah mengikut kemampuan diri sendiri agar diri tidak merana kemudian hari.
Related post(s):Dari Khudzaifah berkata : Rasulullah SAW bersabda : ” Tidaklah pantas bagi seorang mukmin menghina dirinya sendiri.” Sahabat bertanya : “Bagaimanakan dia menghina dirinya sendiri...




