Posted by amrullah | Posted in Berita, Concern, Dakwah, Perbincangan, Sosial | Posted on 11-06-2010
*Siri Penulisan WAR ini diadaptasi dari Modul Pengisian Tahajjud Cinta 4 : WAR, R – Ren*
“Minta diedarkan senarai barangan buatan Israel yang perlu diboikot.”
“Rakyat harus berganding bahu boikot barangan Yahudi!”
“Zionis kejam! Syukurlah wira-wira negara pulang dengan selamat.”
Sejak peristiwa serangan tentera Israel ke atas kapal Mavi Marmara yang membawa sejumlah anggota sukarelawan pelbagai negara baru-baru ini, warga Malaysia seakan-akan tersedar daripada satu lamunan yang panjang. Tiba-tiba sahaja Israel menjadi satu negara yang harus dibalasi kekejamannya. Tiba-tiba sahaja barangan keluaran kaum Yahudi itu perlu diboikot dan tiba-tiba juga rejim Zionis digelar pengganas sejati. Adakah rakyat Malaysia sebelum ini terlalu dikaburi oleh kabus tebal sehingga mereka kurang jelas akan kezaliman yang berlaku sejak berpuluh-puluh tahun lamanya ini, hinggalah berlaku peristiwa serangan kapal yang melibatkan rakyat Malaysia, barulah mereka ingin melihat dengan lebih teliti?
Rakyat Malaysia mungkin terlupa sebentar akan konsep jihad yang dikaitkan dengan kesungguhan. Kesungguhan menjaga diri, kesungguhan menjaga agama, kesungguhan menjaga negara serta kesungguhan menjaga diri orang lain. Menjaga daripada kerosakan yang pelbagai jenis.Dek kerana sibuknya memperbetulkan definisi dan konsep jihad menurut tafsiran ulama itu dan ulama ini, kita seola-olah terlupa akan tanggungjawab terhadap saudara seagama yang menanti jihad itu diamalkan.
Berjihadlah kamu di jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia tidak menjadikan kesukaran untukmu dalam agama… al-Hajj : 78
Jihad secara bermasyarakat, meliputi kelompok manusia di tanah air sendiri serta kelompok manusia duniawi, khususnya di negara-negara Islam. Jihad pada definisi telah dibicarakan ribuan kali.Carilah di mana-mana sumber pun,pasti akan terjumpa makna dan penjelasan yang panjang lebar tentang jihad Islami.Namun begitu, jihad dalam bentuk yang lebih praktikal sukar sekali untuk diterjemahkan ke dalam bahasa mudah untuk difahami, dihayati dan kemudiannya diamalkan.
Dalam konteks masyarakat dunia ini, penulis lebih gemar untuk mengajak kita semua menyelami kehidupan umat Islam di negara mereka;misalnya Palestin. Coretan hitam masyarakat Palestin bukan lagi perkara asing buat mereka yang prihatin. Rejim Zionis laknatullah begitu kejam melapah dan meratah hak asasi warga Palestin di bumi mereka sendiri. Untuk kita pergi ke sana dan mengangkat senjata lalu berdiri di saf hadapan menentang tentera Zionis itu mungkin sesuatu yang sukar, tetapi ia tidak mustahil. Lantaran itu, kita haruslah berusaha mencari alternatif jihad yang boleh dilakukan untuk saudara seagama kita itu. Tindakan sukarelawan-sukarelawan yang berani mempertaruhkan nyawa demi menghulurkan bantuan ke Palestin adalah satu tindakan jihad yang wajar dipuji dan dijadikan contoh. Sungguhpun hasrat mereka untuk menjejakkan kaki ke bumi Anbiya’ itu disekat, mereka tetap pulang sebagai wira umat Islam dan mereka telah berjihad untuk masyarakat Islam.
Apa pula yang kita mampu lakukan? Anjurkan satu lagi misi kemanusiaan ke Gaza? Membakar kedutaan Amerika Syarikat yang dibayangi Yahudi itu? Berdemonstrasi siang malam? Berdoa di hamparan sejadah? Boikot barangan keluaran Israel? Mengutuk kekejaman Zionis di internet?
Saudara seislam yang dikasihi; jalan mana pun yang kita pilih, berniatlah kerana Allah. Berazamlah untuk berjihad membantu Islam tegak kembali di bumi Allah ini. Kita adalah khalifah Allah yang dilahirkan untuk memelihara agama dan mentadbir bumi dengan agamaNya. Berjihadlah mengikut kemampuan dan kelebihan kita. Berjihadlah dengan ikhlas. Soal rasional atau tidak memboikot barangan Yahudi, usahlah dijadikan slot debat dalam ruang waktu kita yang sedikit ini. Tepuk dada, tanyalah iman. Sejauh mana jihad kita terhadap masyarakat Islam? Mungkin boikot dilihat sebagai jihad yang paling mudah, mungkin juga yang paling susah untuk mereka yang masih lagi berada di zon selesa. Zon bebas kerisauan. Mungkin juga bacaan Qunut Nazilah dan doa harian merupakan jihad terbesar yang boleh kita lakukan. Doa itu senjata bukan? Sekurang-kurangnya, jadilah masyarakat yang ambil peduli dan prihatin terhadap perkara yang berlaku di sekeliling kita. Itu belum lagi kita bicarakan soal saudara di selatan Thai atau di Afghanistan.
Kisah duka umat Islam di tanah air sendiri pula makin lama makin begitu pahit untuk ditelan serta pedih untuk dipandang. Sadis sekali, bayi-bayi yang tidak mengerti dosa dicampak dan ditinggalkan begitu sahaja, bagai insan tidak bernyawa. Sedangkan ibu kucing pun sayangkan anak-anak kecilnya, dan kanak-kanak juga sayangkan patung beruangnya yang tidak bernadi itu. Kes pembuangan bayi yang memuncak akibat daripada penzinaan atau bahasa lainnya hubungan seks bebas yang majoritinya melibatkan umat Islam. Astaghfirullah. Ke mana perginya jihad melawan nafsu? Jihad memelihara maruah diri? Tatkala bulatan jihad ini tidak lagi dapat dipagari, maka masyarakatlah yang harus bangun daripada lena, bertindak membanteras sekeras-kerasnya gejala sosial ini melalui pengamalan jihad yang sebenar.
Hidup bermasyarakat, bergotong-royong membersihkan parit, membina khemah untuk majlis perkahwinan, namun apabila maksiat dan kemungkaran berlaku di hadapan mata, masyarakat bergotong-royong ini lantas menjalani transformasi menjadi masyarakat yang tuli, buta dan bisu. Biarkanlah…bukan anak kita, biarkanlah…mereka tengah muda,biarkanlah…mereka sekadar keluar berkawan-kawan. Kawan sepermainan bowling, jika tiada jihad nafsunya, akhirnya boleh bertukar menjadi kawan sepermainan ranjang tanpa ikatan yang sah. Nauzubillah.
Masyarakat harus diingatkan tentang peranan jihad dalam diri mereka. Jihad masyarakat di dalam negara yang bebas daripada pencerobohan fizikal dan peperangan senjata, adalah jihad amar makruf nahi mungkar. Menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Amar makruf harus seiring dan sejalan dengan nahi mungkar. Tidak boleh buat satu dan tinggal satu. Serulah umat Islam beribadah di masjid, dalam masa yang sama, tegahlah perbuatan tidak senonoh pasangan kekasih bercumbuan di tebing sungai. Galakkan gadis-gadis Islam menutup aurat, dalam masa yang sama, tegurlah mereka yang berpakaian menjolok mata, ingatkan mereka tentang azab api neraka dan kemurkaan Allah SWT.
Malaysia aman, Alhamdulillah, daripada peperangan fizikal, tetapi Malaysia begitu ribut dan kacau sekali dengan peperangan dosa dan noda. Rasuah di kalangan ahli politik dan ahli perniagaan semakin menjadi-jadi, kilang arak dibenarkan membuka cawangannya, arak dijual dengan lebih berleluasa bagai berada di negara dominan kafir, gejala perjudian makin mendapat tempat dengan menjenamakannya semula sebagai pertaruhan, golongan penkid, gay dan lesbian makin membiak, semakin ramai wanita sukarela menawarkan diri untuk menjadi pelacur, anak tikam bapa, bapa sembelih anak, bunuh sana bunuh sini, ragut itu, ragut ini…Bagai sesak dada mahu menyenaraikan sejuta satu peperangan yang merajai masyarakat kita ini. Aman? Ingin sekali penulis menarik balik kenyataan bahawa Malaysia kita aman.
Masyarakat perlu berhenti bermimpi. Masyarakat harus bangkit menghadapi realiti bahawa negara tanah tumpah darah ini tidak lagi satu tempat yang selamat untuk anak-anak kita membesar dan belajar tentang kehidupan. Masyarakat harus berjihad! Berjihad dalam erti kata bersungguh-sungguh menyeru kebaikan dan menentang kemungkaran dalam usaha untuk meninggikan kalimah Allah dan mendirikan daulah Islamiyah.
Masyarakat, bangkitlah dan sahutlah seruan jihad!
Related post(s):*Siri Penulisan WAR ini diadaptasi dari Modul Pengisian Tahajjud Cinta 4 : WAR, W – Watashi* …..Ayuh kita berfikir sejenak….. Sejauh manakah jihad yang...
*Siri Penulisan WAR ini diadaptasi dari Modul Pengisian Tahajjud Cinta 4 : WAR, Circle of Influence* Circle of Influence – Alasan demi Alasan Jihad itu...
*Siri Penulisan HOPE ini diadaptasi dari Modul Pengisian Tahajjud Cinta 3 : HOPE, H – Have Faith* “Without faith a man can do nothing; with...









