*Siri Penulisan WAR ini diadaptasi dari Modul Pengisian Tahajjud Cinta 4 : WAR, W – Watashi*
Thabat bermakna teguh pendirian dan tetap dalam menghadapi ujian serta cubaan di jalan kebenaran. Dan thabat bagai benteng bagi seorang da’i. Ia sebagai daya tahan dan pantang menyerah. Ketahanan diri di atas berbagai hal yang merintanginya. Hingga ia mendapatkan cita-citanya atau mati dalam keadaan mulia kerana tetap istiqamah di jalan-Nya.
Dalam Majmu’atur Rasail, Imam Hasan Al Banna menjelaskan bahwa yang dimaksud dengan thabat adalah orang yang sentiasa bekerja dan berjuang di jalan dakwah yang amat panjang sampai ia kembali kepada Allah SWT. dengan kemenangan, baik kemenangan di dunia ataupun mati syahid.
“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah SWT. maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada pula yang menunggu-nunggu dan mereka sedikitpun tidak merubah janjinya”.
(Al- Ahzab: 23)
Sesungguhnya jalan hidup yang kita lalui ini adalah jalan yang tidak sederhana. Jauh, panjang dan penuh liku, lebih-lebih jalan dakwah yang kita tempuh saat ini. Ia jalan yang panjang dan ditaburi dengan halangan dan rintangan, rayuan dan godaan. Kerana itu dakwah ini sangat memerlukan orang-orang yang memiliki muwashafat ‘aliyah, yakni orang-orang yang berjiwa ikhlas, itqan (profesional) dalam bekerja, berjuang dan beramal serta orang-orang yang tahan menghadapi berbagai tekanan. Dengan modal itu mereka sampai pada harapan dan cita-citanya.
Disamping itu, dakwah ini juga sentiasa menghadapi musuh-musuhnya di setiap masa dan zaman sesuai dengan kedudukan masing-masing. Tentu mereka sangat tidak menginginkan dakwah ini tumbuh dan berkembang. Sehingga mereka berusaha menggagalkan pertumbuhan dakwah atau mematikannya. Sebab dengan tumbuhnya dakwah akan bertaburan dan musnahlah kepentingan hidup mereka. Oleh karena itu dakwah ini memerlukan para du’at yang berjiwa teguh menghadapi perjalanan yang panjang dan penuh liku serta musuh-musuhnya yang pelbagai. Merekalah orang-orang yang mempunyai ketahanan daya juang yang kukuh.
Kita dapat melihat kethabatan Rasulullah SAW. Ketika beliau mendapatkan tawaran menggiurkan untuk meninggalkan dakwah Islam tentunya dengan imbuhan. Ganjaran kekuasaan, kekayaan atau wanita. Tetapi dengan tegas beliau menjawab dan berkata dengan ungkapan penuh keyakinannya kepada Allah SWT.
‘Demi Allah, wahai bapa saudaraku seandainya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku agar aku meninggalkan dakwah ini. Nescaya tidak akan aku tinggalkan urusan ini sampai Allah SWT. memenangkan dakwah ini atau semuanya akan binasa’.
Demikian pula para sahabatnya ketika menempuh ujian dan cubaan dakwah, mereka tidak pernah undur kebelakang sedikitpun langkah dan jiwanya. Malah semakin mantap komitmen mereka pada jalan Islam ini. Ka’ab bin Malik pernah ditawari Raja Ghassan untuk menetap di wilayahnya dan mendapatkan kedudukan yang menggiurkan. Tapi semua itu ditolaknya sebab tawaran itu akan menimbulkan mudharat yang jauh lebih besar lagi.
Kita dapat juga saksikan peristiwa yang menimpa umat Islam pada masa Khalifah Al Mu’tsahim Billah tentang fitnah dan ujian ‘khalqul Qur’an’. Imam Ahmad bin Hambal sangat thabat menghadapi ujian tersebut dengan tegas ia menyatakan bahwa Al Qur’an adalah kalamullah, bukan makhluk sebagaimana yang didoktrin oleh Khalifah. Dengan tuduhan sesat dan menyesatkan kaum muslimin, Imam Ahmad bin Hambal menerima penjara dan hukuman dipukul tanpa belas kasihan. Dengan kethabatan beliau kaum muslimin terselamatkan aqidah mereka dari kesesatan.
Demikian pula kita merasakan ketegasan Imam Hasan Al Banna dalam menghadapi tribulasi dakwahnya. Ia terus bersabar dan bertahan. Meskipun akhirnya, dia pun menemui Rabbnya pada muncung senjata api. Dan Syed Qutb yang menerima hukuman mati dengan jiwa yang lapang lantaran aqidah dan menguatkan semangatnya berhadapan dengan tiang gantung. Beliau dengan yakin menyatakan kepada saudara perempuannya, ‘Ya ukhtil karimah insya Allah naltaqi amama babil jannah. (Wahai saudaraku semoga kita dapat berjumpa di depan pintu syurga kelak’).
Namun memang tidak sedikit pendakwah yang kendur daya tahannya. Ada yang berguguran kerana tekanan kebendaan. Tergoda oleh rayuan harta benda. Setelah mendapatkan kereta mewah, rumah mewah dan sejumlah wang yang dimasukkan ke dalam akaunnya. Membuat semangat dakwahnya luntur. Bahkan ia akhirnya sangat haus dan rakus pada harta benda duniawi yang fana itu. Dan ia jadikan harta benda itu sebagai tuhannya.
Ada pula yang tumpul daya juangnya kerana tekanan keluarga. Keluarganya menghendaki sikap hidup yang berbeza dengan nilai dakwah. Keluarganya ingin mencontohi kebanyakan keluarga yang terdapat dalam masyarakat sekular. Dengan gaya dan stailnya, sikap dan perilakunya sehingga ia pun mengikuti selera keluarganya.
Ada juga yang tidak tahan kerana tekanan politik yang sangat keras dan mencengkam jiwanya dan keluarga. Tuduhan pelampau, ancaman, kekerasan, hukuman dan penjara selalu menghantui dirinya sehingga dia tidak tahan kemudian meninggalkan jalan dakwah ini dan hidup seperti manusia biasa seolah-olah tiada pernah mengenali dan berada di atas jalan dakwah. Inilah matlamat yang dikehendaki oleh syaitan dan golongan sekular.
Melalui sikap teguh ini perjalanan panjang menjadi pendek. Perjalanan yang penuh onak dan duri tidak menjadi hambatan untuk meneruskan langkah-langkah panjangnya. Bahkan dia dapat melihat kepentingan daripada sikap thabat dalam dakwah.
Di saat ini kita memasuki era di mana tentangan dan peluang sama-sama terbuka. Mendapat kemusnahan lantaran tidak tahan menghadapi tentangan atau dia berjaya kerana mampu membuka pintu peluang seluas-luasnya. Kerana itu kita dituntut untuk bersikap thabat dalam apa jua keadaan atau situasi. Senang mahupun susah, sempit ataupun lapang. Tidak pernah tergoda oleh bisikan-bisikan kemewahan dan kegemerlapan lalu tertarik padanya dan menyeleweng dari jalan dakwah.
Thabat tidak mengenal waktu dan tempat, dimana pun dan bila masapun. Kita tetap menggalas misi dan visi dakwah kita yang suci ini. Untuk menyelamatkan umat manusia dari kehinaan dan kemudharatan. Dengan jiwa thabat ini duat bersama kafilah dakwah memiliki harga diri di mata Allah SWT. mahupun di mata musuh-musuhnya. Melalui sikap ini para du’at lebih istimewa dari pada kebanyakan orang. Dan ia menjadi contoh yang tak ternilai harganya.
Imam Hasan Al Banna menegaskan, ‘janganlah kamu merasa kecil diri, lalu kamu samakan dirimu dengan orang lain. Atau kamu tempohi dakwah ini jalan yang bukan jalan kaum mukminin. Atau kamu bandingkan dakwahmu yang cahayanya diambil dari cahaya Allah dan manhajnya diserap dari sunnah Rasul-Nya dengan dakwah-dakwah lainnya yang terbentuk oleh berbagai kepentingan lalu musnah dan terungkai begitu saja dengan berlalunya waktu dan terjadinya berbagai peristiwa. Kuncinya adalah Thabat dalam jalan dakwah ini’. Kalau begitu bagaimana bangunan thabat yang kita miliki?.
Oleh itu wahai para da’i, jadikanlah doa ini sebagai wirid anda :
“Wahai pemilik hati, wahai pembolak balik jiwa, teguhkanlah hati dan jiwa kami untuk sentiasa berpegang teguh pada agamaMu dan ketaatan di jalanMu”.
No related posts.




