Atap Hijau Rss

Menggapai Bintang

0

Posted by Nur Islam | Posted in Motivasi | Posted on 05-06-2010

Menggapai Bintang

Kerap kali mendengar ungkapan Bekas Presiden Sukarno “ Gantunglah cita-citamu setinggi bintang di langit” , kini ungkapan itu kedengaran biasa-biasa sahaja. Cita-cita itu ada, namun untuk apa digantung setinggi itu sedangkan, ku tahu mustahil sekali untuk ku gapai bintang di langit. Hanya yang boleh di lakukan, hanya merenung bintang-bintang tersebut lalu terpaku dek kerlipan dan kemilaunya.

Namun, itulah tabiat dan perbuatanku. Selalu menggantungkan cita-citanya di langit. Suka melakukan sesuatu yang orang katakana mustahil Mustahil itulah cabarannya. Namun, terkadang kita kecewa dalam usaha menggapai cita-cita itu. Namun, benar, yang penting adalah untuk menggantungkan cita-cita setinggi langit. Andaipun kamu tidak mampu menggapainya dan hanya mampu merenungnya, sekurang-kurangnya kamu merenung dan mendongak keatas, bukan ke bawah. Ia cukup untuk melonjakkan diri kita untuk mendaki lebih tinggi.

Saat membelek buku-buku sirah nabawiyah, berkisar tentang Peperangan Badar yang sangat terkenal, terbaca lembaran cerita pembunuhan Abu Jahal. Kisah pembunuhannya, ibarat menggapai mimpi dan bintang. Mari kita soroti kisah penuh inspirasi.

Saad bin Abu Waqas a.s menceritakan. Ketika aku berada dalam pasukan peperangan badar tiba-tuba disebelah kanan dan kriku ada 2 orang budak yang terlalu muda umurnya, masing-masing berbisik kepadaku supaya tidak didengar oleh kawannya. Salah seorang darinya berkata, “Wahai bapa, tunjukkan saya Abu jahal”. Aku bertanya, “Kamu mahu buat apa padanya?”. Dia berkata, “Demi Tuhan yang diriku berada dalam Tangan-Nya, kalau saya bertemu dengannya tidak tahulah siapa yang cepat membunuh siapa”. Sa’ad meneruskan ceritanya, “ Aku merasa kagum dengan keberaniannya”. Kemudian kawannya mengenyit matanya kepadaku supaya memberitahu yang mana satu Abu Jahal. Mereka berdua ialah Mu’adh Bin Amru bin Jamuh dan Mua’dh bin ‘Afra.

Ibn Ishaq menceritakan di dalam kitabnya Sirah Al-Nabawiyyah; Mua’dh bin Amru telah mermepuh lapisan lembing dan tombak yang mengelilingi Abu Jahal sehingga ia dapat menetak di tengah betisnya, tiba-tiba anak Abu Jahal (Ikrimah) menetak kearah leher Mu’adh bin Amru lalu terkena tangannya. Apabila terasa sakit, dia pun memijak tangan yang terkulai itu dengan kakinya supaya putus. Kemudian Mua’dh bin ‘Afra menyerang Abu Jahal dan Berjaya menetaknya sehingga hamper maut. Ketika Abu Jahal dalam keadaan nazak, datang Abdullah bin Masu’d yang sememangnya mencari Abu Jahal di celah-celah mayat yang bergelimpangan. Kemudian, Ibnu Mas’ud memancung lehernya dan kepalanya dibawa di hadapan Rasulullah.

Begitulah Ironinya, kisah kematian seorang Pemimpin hebat Bani Quraisy sehingga digelar Abu Alhakam(Yang bijaksana) oleh kaumnya, namun mati dibunuh oleh hanya dua orang kanak-kanak kecil. Begitulah Allah menghina seorang makhluk yang dikeji sehingga seluruh umat ini mencelanya dengan gelaran Abu Jahal (Yang Jahil).

Namun, yang ingin diambil pengajaran adalah kisah dua orang kanak-kanak ini. Semangat dan keberanian mereka sahaja sudah cukup menggegar jiwa kita. Bayangkan kita ketika seusia itu, tengok cerita hantu pun takut, kemudian tidur malam dengan emak dan ayah. Namun, kisah dua kanak-kanak bernama Mu’adh ini sangat memberi inspirasi.

Mereka hadir ke medan perang dengan sebuah cita-cita menggunung langit. Lebih tinggi dari bintang. Mahu membunuh Ketua dan pemimpin perang Pihak Quraisyh ketika itu, Abu Jahal. Jika difikirkan kembali, adakah kanak-kanak berdua ini sedang bergurau? Apakah kudrat mereka itu sudah cukup untuk membunuh seorang ketua angkatan tentera sehebat Abu Jahal? Sungguh mereka sedang bermimpi. Bermimpi disiang hari.

Namun, begitulah takdir Allah. Tiada apa yang mustahil. Kesungguhan dan keberanian mereka itu membakar sebuah cita-cita yang setinggi bintang dilangit. Allah mengurniakan mereka bintang-bintang yang bergemerlapan, yang dibaca dan diingati kisah mereka sehingga ke hari kiamat.

Hidup ini memerlukan sebuah cita-cita yang besar. Cita-cita itu akan memandu kita kearah bintang. Sebuah cita-cita akan menjadi pembakar kepada kesungguhan kita. Kesungguhan itu ibarat api, dan yang menyalakannya ada minyak. Maraknya sebuah kesungguhan itu dibakar oleh sebuah cita-cita.

Namun, jika sekadar bercita-cita tanpa usaha dan kesungguhan, itu adalah angan-angan kosong semata-mata. Gantunglah cita-cita itu setinggi bintang dilangit. Usahalah dengan kesungguhan yang tiada taranya. Biarkan hasilnya kepada Sang Pencipta untuk memutuskannya. Di sisi-Nya, kesungguhan itulah yang lebih utama.

Jihad itu memerlukan sebuah cita-cita, cita-cita itu perlu lebih besar dari semangat jihad itu sendiri.

No related posts.

Post a comment

youtube AJataphijau
Ataphijau Facebook Group