
Aku Takut Letih
Malam itu, dirasakan tekanan semakin memuncak. Bebanan kerja bertubi-tubi. Semua pihak menuntut disiapkan itu dan ini. Panggilan telefon berdering-dering meminta untuk diangkat. Sahabat-sahabat menelefon untuk bertanyakan nasihat dan panduan akan gerak kerja. Masalah-masalah yang memerlukan penyelesaian segera yang menuntut kebijaksanaan mula menyesakkan nafas. Otak perlu ligat berfikir mencari penyelesaian bagi setiap permasalahan, badan perlu cergas untuk menyelesaikan semua tugasan. Namun, otak telah lesu, badan telah lembik. Saat itu dirasakan semua bebanan dunia ini diletakkan diatas pundakku sahaja, sedangkan umat islam dimuka bumi ini mencecah angka billion. Namun mengapa harus aku melakukan semuanya?
Semua perasaan negative, sesak, tertekan, rungsing, putus asa, letih bersatu menjadi satu rasa yang cukup hebat menolak diri untuk lari sejauh mungkin dari segala persoalan yang membelengu. Lantas ku capai jaket ‘bubble’ kesukaanku kerana ketebalannya cukup melindungi tubuh kurusku dari kesejukkan, ku ambil kunci dan ku sarungkan kasut, aku berjalan keluar dari rumah pada jam 12 malam itu. Udara didalam bilik kecil itu ibarat kekurangan oksigen membuatkan aku tercungap menghirup nafas bagi mencari kekuatan meneruskan sebuah perjalanan panjang bernama perjuangan.
Aku berjalan keluar tanpa sebarang arah tuju dan panduan. Tidak tahu mahu lari kemana. Tidak pasti destinasi ‘perlarianku’ berkiblat ke mana. Aku hanya mampu merewang-rewang dipersekitaran itu tiada tempat untuk dituju. Lalu aku berhenti dan duduk sebentar di ‘bus stand’. Aku duduk. Aku menarik hela nafas panjang. Aku cuba bertenang.
Aku mendongakkan kepala ke langit untuk mencari Tuhan, untuk meminta diberikan kekuatan. Lalu ku lihat bintang bergemerlapan. Ku terpana, ku terpaku. Ku lihat bintang berkilau indah. Walau hanya sekerdip cahayanya di lautan langit gelap yang luas membentang, dia mampu bergemerlapan, walau hanya sebintik cuma. Perjalanan cahayanya dari semesta sana mengambil masa beribu tahun mungkin untuk menerjah muka bumi, namun, hasil yang kelihatan hanyalah sebintik cuma. Kutanya bintang, adakah berbaloi perjalanan cahayanya yang jauh itu, hanya untuk sekelumit kerlipan di langit yang sangat luas. Kutatap bintang di langit dan kurenung ciptaan tuhan itu untuk mendapatkan jawapan. Ku mahukan jawapan yang pasti. Semakin lama kutenung, semakin lama ku pandang, gundah gulana hati semakin menghilang. Keresahan jiwa semakin pudar. Kekuatan semakin menerjah hati. Ku temui jawapannya. Satu yang pasti, sang bintang hadir untuk memberikan ketenangan kepadaku. Perjalanan jauhnya sungguh berbaloi, walaupun hanya seorang insan yang merasakan ketenangan dek kehadirannya dalam gelap malam. Ia sungguh berbaloi. Allah mencampakkan ketenagan kepada hati saat menilai makhluk ciptaan-Nya.
Lalu aku menundukkan kepala untuk bertanya diri. Mengapa aku merasakan keletihan ini?
Saat hati menjadi hampa, apabila usaha kita tidak mendatangkan hasil. Banyak usaha dilaburkan untuk menjayakan program, aktiviti, dan sebagainya, namun, hasilnya tidak seperti dijangka. Ingin sahaja ku laungkan, apa lagi yang harus kulakukan, agar kau mengerti. Hati mula berbisik, berbaloikah ini semua? Lantas hati menjadi lesu dan kecewa. Keletihan datang menjelma.
Saat manusia menidakkan kata-kataku, aku menjadi bingung. Tidak keruan bagaimana untuk memenangi hati manusia. Saat sokongan tidak langsung memihak kepadaku, aku menjadi kecewa. Ku melalak melaungkan betapa aku inginkan sokongan orang sekelilingku, namun, mungkin ada yang hanya memekakkan telinga atau ada yang tidak mampu menyahut seruan itu. Maka, apa lagi yang mampu kulakukan? Pasti ku tidak berdaya melakukannya seorang diri tanpa orang disekeliling menyokongku. Maka, hati menjadi lemah. Badan menjadi letih untuk meminta sokongan. Kurasakan ia tidak akan kunjung tiba walau aku menggegak gempita keseluruh dunia? Aku kecewa, lantas kurebahkan diri ketanah kerana keletihan yang sangat berbisa.
Lalu kubertanya diri, menilai hati.
Mengapakah ku lakukan semua ini? Adakah ku lakukannya demi Tuhan yang satu? Adakah ikhlas yang menjadi asas kepada perbuatan ku? Jika ya, aku pasti aku tidak akan merasakan keletihan itu?
Adakah aku benar yakin akan janji Allah bahawa dia mengganjarkan sebaik-baik pahala atas tiap satu usahaku menegakkan kalimah-Nya? Jika ya, aku pasti tidak merasakan keletihan itu.
Lantas, aku menginsafi keletihan itu adalah ujian Allah, menilai sejauh mana keimanan. Andai aku terperangkap dalam sarang keletihan itu dan tidak bias keluar, aku akan lemas selamanya.
Ya Allah, Aku takut letih. Sekiranya, keletihan itu menjadi asbab Engkau tidak memilihku menjadi sebahagian dari golongan yang menegakkan syiarmu.
Ya Allah, Aku takut letih. Sekiranya ia menjadi asbab Engkau menapis aku dari perjuangan ini.
Ya Allah, Aku takut letih. Sekiranya saat aku letih dan ingin berehat, aku tidak mampu untuk bangun semula menggalas amanah-Mu dan Rasul-Mu.
Ya Allah, Aku takut letih. Sekiranya letih itu, bakal mencampakkan aku ke jurang neraka, yang tiada lagi cahaya bintang yang berkerdipan.
Harusku padamkan rasa letih itu dari kamus diri kerana ia bisa merosakkan hati. Kehidupan ini bukan masa untuk berehat-rehat. Ia masa untuk bekerja. Rehat yang hakiki dan abadi hanya menanti di Syurga Firdausi.
No related posts.





manusia akan sentiasa disibukkan
cuma bezanya
disibukkan dengan benda yang baik a.k.a Allah suka
atau tak baik…
btw,
He does not judge us with the result
but our efforts…
Cuba analisis mana kesilapan
insyaAllah.mohon petunjuk
“InsyaALLAH..u’ll find your way”