Posted by marang merapu sekunder | Posted in Motivasi | Posted on 19-05-2010

Tahukah Anda?
Siri 1 ~ Angan-angan
Angan-angan, salahkah kita berangan-angan?
Jika ditanya kepada semua yang telah berjaya hari ini, mereka berjaya dengan adanya angan-angan. Angan-angan untuk menempatkan diri di persada kejayaan, mengimpikan kecemerlangan dalam kehidupan dan meletakkan diri pada mercu kebahagiaan. Tentunya jika angan-angan itu disalurkan kepada jalan yang betul, pasti angan-angan dapat membantu kita mengenalpasti potensi, arah tuju dan peluang untuk merealisasikannya.
Angan-angan, masih salahkah kita berangan-angan?
Tahukah anda siapakah Mat Jenin? Suatu kisah dongeng rakyat yang dikaitkan dengan sifat suka berangan-angan. Mat Jenin dikisahkan berangan-angan membeli ayam, itik, kambing dan lembu hasil upahnya memetik kelapa. Hasil ternakan yang semakin meningkat tahun demi tahun mahu dibuatnya modal ternakan yang lebih banyak lagi. Cita-cita akhir Mat Jenin adalah untuk menjadi kaya dan seterusnya berkahwin dengan anak raja.
Angan-angan, jauh sungguh berangan!
Mat Jenin ialah satu kisah yang boleh diambil pengajaran daripadanya. Tahukah anda, Mat Jenin ialah kisah contoh di mana angan-angan itu dibuat bagi memasang strategi melakukan sesuatu, dengan pengiraan yang tepat dan seterusnya berusaha ke arahnya. Namun kisah Mat Jenin mati begitu sahaja di atas pokok sewaktu bekerja memetik kelapa. Sungguh malang nasib Mat Jenin namun lagi malang jika kita tidak mampu menebak pengajaran.
Angan-angan, apa kaitan dengan pengajaran?
Penjajah yang menakluk tanahair suatu ketika dahulu, sungguh bijak mengatur strategi. Watak Mat Jenin ialah satu watak tipikal orang Melayu kampung. Tipikal Mat Jenin pada sikapnya yang berangan-angan itu menampakkan sifat begins with the end in mind ada dalam jiwa penduduk Tanah Melayu. Maka matilah watak Mat Jenin dalam kisah itu, sebagaimana matinya sifat Mat Jenin ini dalam jiwa kita, jika tidak berangan-angan, mana mahu nampak jalan? Maka akan hilang kemajuan. Itulah tujuan penjajah, mematikan watak, matilah jiwa merdeka. Tidak perlu berangan-angan kerana akibat itulah Mat Jenin mati di atas pokok!
Angan-angan, mahu berangan-angan sekarang?
Jangan disalahkan kepada angan-angan apabila masa terbuang berangan-angan, kerja tidak jalan. Fikirkan angan-angan sebagai satu usaha strategi, mengusahakan pelan tindakan. Perlu kepada perancangan dan perlu kepada persiapan, baik mental, fizikal dan spiritual. Contohilah Mat Jenin! Dia ingin mengajar kita apa itu sistematik dan langkah-langkah mencapai kejayaan. Berangan-angan, Usaha dan Perancangan!
Angan-angan, adakah anda masih malu untuk berangan-angan?
Tepuk dada nak buat apa?!
No related posts.




