Posted by Nur Islam | Posted in Dakwah | Posted on 16-05-2010
Kami adalah tentara Allah
Siap melangkah menuju ke medan juang
Walau tertatih kaki ini berjalan
Jiwa perindu syahid tak akan tergoyahkan
Wahai tentara Allah bertahanlah
Jangan menangis walau jasadmu terluka
Sebelum engkau bergelar SYUHADA
Tetaplah bertahan dan bersiap siagalah
Peperangan adalah suatu kepastian. Jalan peperangan telah ditentukan oleh Allah atas semua manusia untuk ditempuhi, sama ada suka mahupun tidak.
“Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu padahal itu baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui” (2:216)
Maka, perjuangan ini bukanlah baru bermula, sebaliknya, kita hanyalah mata rantai pewaris kepada perjuangan ini. Perang. Perang. Perang. Satu perkataan yang bila difikirkan dan cuba difahamkan, suatu rasa keberanian menyergah hati, suatu semangat membara membakar sukma, suatu rasa kepahlawanan menyerang nurani. Namun, ada juga, apabila disebut perkataan perang, sebaliknya yang berlaku. Hati menjadi kecut, jiwa menjadi takut, badan lantas terus lucut dari medan itu.
Namun, kita semua sedia maklum, perang itu bukanlah semata-mata diatas hujung pedang. Perang mendepani kita dari segenap sudut, depan, belakang, kiri, mahupun kanan. Hidup kita ini sentiasa menempuhi peperangan yang antara sedar atau tidak, sudah banyak kekalahan yang ditempuhi, namun banyak juga kemenangannya. Beruntunglah orang yang menang.
Allah telah menakdirkan, seluruh hamba-Nya untuk berperang, kerana perang itu adalah suatu kepastian yang ditetapkan keatas setiap anak Adam. Tiada syak dan dusta lagi akan kepastian tersebut. Perang satu kemestian. Ini perlu diserap resap kedalam hati dan sanubari, bahawa perang itu satu jalan dan kemestian yang perlu dilalui.
Persoalannya, mengapa kita ditakdirkan untuk berperang? Mengapakah manusia ini hanya tercipta atas dasar peperangan? Mari cuba kita singkap dan fahami konsep tersebut.
Konsep dan Matlamat Ketenteraan
Konsep – Semua manusia dilahirkan sebagai tentera Allah. Ketika penciptaan Manusia, Allah telah menciptakan Iblis sebagai musuh utama manusia. Selain itu Allah jadikan hawa nafsu dan syahwat sebagai perkara yang boleh menjadi kawan dan juga musuh kepada kita.
Firman Allah :
“Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu, maka anggaplah ia musuh (mu), karena sesuhngguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni Neraka yang menyala-nyala” (Al-Fathir : 6)
Ibn al-Qayyim menambah: “Ketahuilah bahawa apabila anak Adam diciptakan, dilengkapkan padanya hawa nafsu dan syahwat untuk dia menikmati apa yang mendatangkan manfaat bagi dirinya”.
Allah telah menciptakan manusia atas dasar penciptaan kita sendiri sebagai seorang tentera yang diutuskan keatas muka bumi ini untuk tidak lain dan tidak bukan menjadi tentera. Wahai sekalian manusia, kita adalah tentera ‘by nature’ yang telah dijadikan oleh Allah sebegitu kerana bersama-sama penciptaan kita, telah tercipta musuh yang dicipta khusus untuk manusia. Allah tidak menciptakan syaitan untuk menjadi musuh kepada malaikat. Tidak pula hawa nafsu menjadi musuh malaikat. Namun, manusia telah dipilih Allah dan dicipta atas satu dasar ketenteraan dan matlamat yang jelas untuk menjadi seorang tentera di atas muka bumi Allah. Satu konsep ketenteraan yang belum pernah kita fikirkan, bahawa kita sememangnya tercipta sebagai seorang tentera. Maka berbanggalah, disegenap arus darahmu yang mengalir didalam jasad, roh ketenteraan dicipta bersama setiap denyutan tersebut. Maka, bersemangatlah. Misi ketenteraan ini telah lama bermula, sejak zaman nabi Adam a.s dan kini, senjata itu diserahkan kepada kita, untuk diperjuangkan dari dalam dan luar.
Maka, saat ini, kita harus melihat diri kita, bukanlah lagi sebagai seorang manusia biasa. Tetapi kitalah tentera yang dicipta Allah untuk menegakkan panji-panji-Nya.
Namun, sebagai seorang tentera, apa pula misi ketenteraan sebenar untuk kita? Maka perlu juga difahami matlamat ketenteraan kita sebagi seorang tentera.
Matlamat – Matlamat kehidupan manusia adalah tidak lain dan tidak bukan untuk beribadah kepada Allah sebagaimana Firman Allah,
“Aku tidak menciptakan jin manusia melainkan untuk beribadah kepadaku” ( Az-Zariyat : 56)
Maka, jelas matlamat penciptaan kita sebagai seorang tentera adalah untuk menjadi tentera dalam medan ibadah. Ibadah untuk menghambakan diri kepada-Nya bukanlah satu jalan mudah, sebaliknya adalah satu medan pertempuran. Satu medan yang mana peperangan yang tiada pernah hentinya. Ia adalah satu-satunya medan peperangan yang tidak pernah ditinggalkan. Ia tetap menjadi medan perang sejak dari kita dilahirkan sehingga nafas di penghujung halqum.
Maka, perlu difahami, bahawasanya, kita adalah tentera Allah yang diciptakan untuk beribadah kepada-Nya. Kehidupan kita sebagai tentera adalah untuk beribadah semata-mata kepada Allah dengan sebenar pengabdian. Namun, ibadah itu sendiri adalah satu perjuangan.
Nantikan sambungannya dalam siri akan datang.
*Artikel ini dipetik dari pengisian OHANA ALLSTAR*
Related post(s):Persoalan Sebuah Perkahwinan Bila kita membuat keputusan untuk berkahwin, mesti kita buat keputusan dengan ‘purpose‘. Takkan la tetiba orang tuh bangun pagi tetiba rasa...
Pengenalan Tadhiyyah atau ertinya pengorbanan merupakan rukun ke 5 dalam arkanul ba’iah yang telah disusun oleh as-syahid imam hassan al banna. Rukun ini merupakan rukun selepas rukun...







