Atap Hijau Rss

Saudagar Beristeri Empat

0

Posted by hikari189 | Posted in Tazkiyatun nafs | Posted on 20-04-2010

Alkisah, seorang saudagar kaya yang mempunyai empat orang isteri. Dia  sangat mencintai isteri yang keempat kerana kecantikannya yang mempesona. Sebagai tanda kasihnya, kehidupan isteri keempat ini diulit kemewahan.

Kasihnya juga tumpah pada isteri ketiga yang selalu menjadi kebanggaannya. Isteri ketiga ini selalu berusaha menghiburkan hatinya dan ceria dengan gelak tawanya. Dia sering memperkenalkan isterinya ini di majlis-majlis keramaian yang dihadirinya. Namun timbul juga perasaan bimbang di hatinya, kalau-kalau isteri ketiganya ini lari bersama lelaki lain.
Begitu juga dengan isterinya yang kedua. Cintanya sentiasa mekar. Baginya, isteri kedua ini adalah seorang isteri yang sabar dan penuh pengertian. Isteri kedua inilah tempatnya bergantung dan meminta pandangan bernas tentang segala masalah yang menimpanya.Dia selalu mendampingi suaminya melalui masa-masa yang sulit.

Bahagia sungguh saudagar ini!Umpama berada dalam syurga dunia.. Ditambah pula lagi dengan isteri pertama yang sangat setia dan bijak mengatur semua kekayaan dan hasil usaha sang suami. Akan tetapi begitu pelik kerana si pedagang ini tidak begitu mencintainya dan jarang sekali memperdulikan sang isteri pertama ini sungguhpun isterinya ini mencurahkan kasih sayangnya yang tidak berbelah bahagi.

Arakian dijadikan cerita, si saudagar jatuh sakit. Dia pun menyedari hakikat bahawa umurnya mungkin sudah tidak panjang. Dia mulai merenungi kehidupannya yang indah dan bermonolog sendiri, “ Saat ini aku punya empat orang isteri. Namun apabila aku meninggal, aku tinggal sendiri. Betapa menyedihkan jika aku harus hidup sendiri.”

Lalu dia pun meminta semua isterinya berkumpul dan mulai bertanya pada isteri yang keempat,”Kaulah yang paling kucintai,kuberikan kau gaun dan perhiasan yang indah. Nah sekarang aku akan mati, mahukah kau mendampingiku dan menemaniku?

Isteri keempat terdiam. “Pasti tidak!’,jawab isterinya yang keempat sambil berlalu begitu sahaja meninggalkannya pergi. Jawapan itu, begitu menyakitkan hati saudagar itu seakan-akan ada belati yang menghiris kalbunya.

Saudagar yang sedih itu kemudian bertanya kepada isteri ketiganya, “ Aku pun mencintaimu sepenuh hati dan saat ini hidupku akan berakhir. Mahukah kau ikut denganku dan menemani akhir hayatku?. “ Hidup begitu indah di sini. Jika kau mati,aku pasti menikah lagi!”kata isterinya yang ketiga. Terpana saudagar itu mendengarkan jawapan yang umpama halilintar membelah dirinya.

Tiba pula giliran isterinya yang kedua. “Aku selalu berpaling padamu setiap kali diriku ditimpa masalah. Dan kau selalu mahu membantuku. Kini aku perlu sekali pada pertolonganmu. Kalau aku mati, mahukah kau ikut mendampingiku?. Isteri kedua menjawab perlahan, “Maafkan aku, sayang. Aku tak mampu membantumu kali ini. Aku hanya mampu menghantarmu ke liang lahad sahaja. Nanti akan kubuatkan makam yang indah buatmu”. Pedih rasanya hati mendengar pengakuan isteri kedua.

Tidak dapat digambarkan betapa hampanya hati saudagar itu. Seperti kaca terhempas ke batu. Hanya tinggal isteri pertama sebagai sandaran harapan. Tidak semena-mena terdengar satu suara, “ Aku tidak akan meninggalkanmu. Aku mahu ikut ke mana sahaja kau pergi. Aku akan setia bersamamu.” Si saudagar lalu menoleh ke arah suara itu dan terlihatlah isteri pertamanya yang berkata begitu.

Isteri pertamanya tampak begitu kurus. Tubuhnya menggeletar seperti kelaparan. Bibit-bibit penyesalan timbul di hati saudagar sambil bibirnya mengumam, “Kalaulah dahulu aku melayanmu dengan lebih baik pada saat aku mampu,tak akan aku biarkan kau seperti ini sayangku.”

Sahabatku sekalian, sesungguhnya kita ada empat orang isteri dalam hidup ini:

ISTERI KEEMPAT adalah tubuh kita. Betapa banyak wang yang kita belanjakan supaya tubuh dan wajah tampak menawan dan indah. Tetapi tanpa kita sedari semuanya akan hilang menjadi  makanan ulat berengga di liang lahad nanti.Tidak ada keindahan dan kegagahan yang tersisa sewaktu kita bertemuNya.

ISTERI KETIGA adalah status sosial dan kekayaan kita. Saat kita meninggal semuanya akan ditinggalkan. Mereka akan berpindah dan akan melupakan kita yang pernah memilikinya.

ISTERI KEDUA pula adalah kerabat dan teman-teman. Seberapa erat pun hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu bersama kita selamanya. Mereka hanya mampu mengiringi perjalanan kita ke kubur.

Dan sesungguhnya ISTERI PERTAMA adalah iman dan amal kita. Mungkin kita seringkali melupakannya demi mengejar harta dan kesenangan duniawi.Namun, iman dan amal inilah yang nantinya jadi kayu ukur kedudukan kita di sisi Allah kelak.

Akhirul kalam, molek kiranya jika saya kongsi hadis yang biasa kita dengar ini. Renung-renungkanlah dan selamat beramal!

Hadis Riwayat Muslim: Rasululllah saw bersabda, Apabila seorang anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak yang soleh yang  mendoakan orang tuanya.

Moga kita tergolong dalam golongan muflihuun..

Wallahu’alam…

Related post(s):
  • Sedekah kerana Allah
    Di sebuah daerah, ada seorang lelaki yang kedekut dan tidak taat kepada perintah Allah. Dia pernah bersumpah menceraikan isterinya sekiranya memberi sedekah. Pada suatu...

  • Post a comment

    Ataphijau Facebook Group
    youtube AJataphijau