Posted by Saladin Safi | Posted in Perbincangan | Posted on 18-04-2010
BEKERJA DAN BERJAYA
Firman Allah S.W.T.:
“Tentulah Kami tidak akan menyia-nyiakan pahala orang-orang yang mengerjakan amalan (nya) dengan baik.” (Maksud Surah al-Kahfi (18):30).
“Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula.”(Maksud Surah al-Zalzalah (99):7-8).
“Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah sebanyak-banyaknya supaya kamu beruntung.” (Maksud Surah al- Jumu’ah (62):10).
Sebahagian orang menganggap bahawa beriman kepada agama dan berpegang teguh dengan akidah serta prinsip-prinsipnya melambatkan pengeluaran dan menghalang perjalanan semangat kerja dan aktivitinya. Sesungguhnya pengeluaran ekonomi secara khusus memerlukan kebebasan tanpa terikat pada peraturan agama dan akhlak. Demikian juga dalam pekerjaan yang tidak mempunyai peluang untuk beribadah, inilah anggapan sebahagian orang.
Realitinya, ini merupakan kesalahan besar dan pembohongan yang sangat jelas terhadap Islam, sekali gus terhadap pekerjaan dan pengeluaran itu sendiri. Islam menyeru supaya (umatnya) bekerja dan menganjurkan supaya memantapkan serta melipatgandakannya, Islam juga menjadikan kerja sebagai usaha mendekatkan diri kepada Allah, kerana Rasulullah S.A.W. pernah bersabda, “Sesungguhnya Allah suka bila salah seorang antara kamu bekerja dan ia memantapkan kerjanya.”
Menurut tabi’inya, sesuatu pekerjaan tidak akan berkembang, bertambah dan berganda melainkan jika ia dilaksanakan dalam keadaan penuh amanah, ikhlas dan terdapat faktor pendorong yang bersifat maknawi mahupun fizikal. Faktor-faktor pendorong ini tidak akan sempurna kecuali daripada keimanan dan akhlak yang diimani oleh manusia. Disebabkan pentingnya bekerja dalam Islam, dalam ayat-ayat Al-Qur’an telah disebut tentang bekerja (melaksanakan amal) lebih daripada tujuh puluh kali yang dikaitkan dengan salihat, hingga amalan (pekerjaan) tersebut menjadi bermanfaat untuk kebaikan di dunia dan akhirat.
Untuk mewujudkan pekerjaan dan pengeluaran yang cemerlang, Islam telah menyediakan jalan yang berikut :
-
Berkeyakinan bahawa pahala di akhirat bergantung pada sahnya amalan seseorang dan kebaikannya. Seperti firman Allah dalam Surah al-Kahfi (18):30. Seperti juga firman Allah dalam Surah al-Zalzalah (99):7-8. Faktor ini merupakan dorongan terbesar dalam gerakan dan amalan yang bermanfaat serta penghasilan yang berfaedah.
-
Takut kepada Allah, bimbang sekitarnya meremehkan atau mengabaikan (pekerjaan). Sesungguhnya seorang Muslim melakukan pekerjaan dengan kesungguhan yang berlipat ganda dan memantapkannya kerana perasaannya yang mendalam dan keyakinannya yang teguh bahawa Allah mengawasi segala amalan serta perbuatannya dalam keadaan apa pun juga. Dengan asas ini, akan baiklah pekerjaannya kerana keyakinan bahawa Allah melihatnya meskipun ia tiadak melihat-Nya.
-
Ketenangan jiwa yang dihasilkan daripada keimanan merupakan kesan yang sangat jelas dalam pekerjaan dan penghasilan. Sesungguhnya manusia yang fikirannya melayang atau tidak teguh, tidak stabil atau putus harapan, maka sukar baginya untuk memperbaiki pekerjaannya dan sukar pula menghasilkan kebaikan.
-
Seorang Muslim sangat menyedari tentang kepentingan waktu dan larangan daripada mensia-siakannya dalam perkara yang tiada faedahnya. Waktu (bagi seorang Muslim) akan memberikan hasil dalam mendorong putaran roda kerja untuk mencapai kemajuan, ini berperanan dalam menambah dan meningkatkan pengeluaran.
-
Dalam Islam, ibadah solat, puasa, haji dan yang lain-lain memberikan sumbangan dalam mengatur rentak kehidupan seorang Muslim dan memberikan sokongan kepadanya untuk meningkatkan kerja dan aktiviti. Seperti firman Allah dalam Surah al- Jumu’ah (62):10.
-
Islam memuliakan dan memberi galakan supaya bekerja serta menyeru supaya memberikan perhatian terhadap persoalan ini sehinggalah juga jika seorang Muslim melihat ajal berada di hadapan matanya dan ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah S.A.W., “Apabila kiamat menimpa salah seorang daripada kalian dan di tangannya ada bibit pohon kurma, maka tanamlah (terlebih dahulu).”
No related posts.








teringat satu pepatah ni (rsanya bkn hadith, x sure) : “bekerjalah seperti kamu akan hidup 1000 tahun lg, tp beribadatlah seperti kamu akn mati pada esok hari”…
Dalam setiap kerja kita, jika dilakukan secara ikhlas, insyaAllah, Allah akan beri ganjaran yg setimpal…
~begin with the end in mind -> syurga yg Hakiki ~