Percayakah anda jika kita memberi, kita akan mendapat lebih banyak? Ya, semakin banyak kita memberi harta seperti material, ilmu, iman, tenaga dan lain-lain, semakin bertambahlah harta kita. Inilah janji Allah yang Maha Pemurah yang akan meluaskan pintu rezeki, ilmu dan iman.
“Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas, Maha Mengetahui. “ (Al-Baqarah : 261)
Sesetengah individu mungkin berasa berat untuk bersedekah kerana menganggap sedekah hanya boleh dilakukan dengan memberi wang kepada insan yang memerlukan. Namun, konsep sedekah bukan hanya melibatkan material semata-mata, malahan melibatkan urusan yang jauh lebih besar daripada wang. Terdapat banyak cara untuk bersedekah jika kita kesempitan wang.
Tips sedekah tanpa wang
1. Sedekah dengan hati
Niat yang ikhlas dalam melakukan sebarang pekerjaan. Rasulullah bersabda, “Seorang hamba yang dikurniakan Allah ilmu dan niat yang tulus,ia berkata: ‘Seandainya aku memiliki harta, nescaya aku akan beramal sebagaimana yang diperbuat oleh si polan (golongan yang diberi harta dan ilmu).’ Dengan niatnya tersebut, maka pahala kedua-dua hamba ini adalah sama.” (Riwayat al-Tirmizi)
2. Sedekah secara lisan
Kita boleh juga bersedekah secara lisan, iaitu melalui tasbih,tahmid, tahlil dan takbir. Ucapan yang baik juga adalah sedekah, misalnya memberi salam, amar makruf nahi munkar, dan berlemah lembut sewaktu bercakap dan tidak mengguris perasaan orang.
3. Sedekah melalui perbuatan
Senyuman, solat, berjalan ke masjid, puasa sunat, solat Dhuha, membuang atau mengalihkan sesuatu yang menghalang laluan, membersihkan masjid, menolong orang lain, mendamaikan 2 pihak, memberi pinjaman wang, mengajar ilmu dan menanam apa jua tanaman. Perbuatan ini semua termasuk sedekah yang mampu dilakukan oleh orang miskin dan kaya serta boleh dilakukan pada setiap saat.
“Barangsiapa yang melepaskan daripada seorang muslim satu kesukaran daripada kesusahan duniawi, maka Allah SWT akan melepaskan satu kesukaran daripada kesukaran akhirat dan Allah SWT akan membantu seseorang hamba selagi mana hamba itu membantu saudaranya.” (Riwayat Muslim, no. 7028)
Alangkah baiknya, jika kita berusaha untuk membantu hamba Allah yang dalam kesulitan dan cuba memudahkan urusannya. Sekecil mana pun bantuan tersebut, Allah tetap akan membalasnya, insyaAllah.
“Dan jika (orang berhutang itu) dalam kesulitan, maka berilah senggang waktu sampai dia memperoleh kelapangan. Dan jika kamu menyedekahkan, itu lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.” (Al-Baqarah : 280)
Dan ingatlah, bahawa segala amal kebaikan yang kita lakukan, pahalanya terus kekal dan mengalir walaupun selepas kematian selagi mana ia memberikan kebaikan kepada insan lain.
Dari Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Seorang mukmin selepas kematiannya akan terus mendapat ganjaran daripada amal kebaikannya iaitu melalui ilmu yang dipelajari lalu diajarkan kepada orang lain dan terus disebarkannya. Anak-anak yang soleh yang ditinggalkan, Al-Quran yang diwariskan atau masjid-masjid yang dibinanya atau rumah-rumah musafir di perjalanan yang didirikannya atau anak-anak sungai yang dialirinya atau sedekah yang dikeluarkan daripada hartanya ketika sihat dan hidupnya yang berterusan selepas kematiannya (ini berupa wakaf yang berkekalan untuknya).” (Ibn Majah)
Islam amat menggalakkan umatnya memberi sedekah, bukan sahaja kepada yang hidup, bahkan kepada yang telah meninggal dunia. Sedekah kepada orang yang telah meninggal dunia boleh dilakukan dengan memberi sedekah al-Fatihah, doa tahlil dan juga menjalankan hak seorang Muslim kepada muslim yang lain iaitu mengikuti jenazah ke tanah perkuburan.
Dengan memberi sedekah, kita dapat menangkis sifat mazmumah seperti sombong, hasad dengki, tamak, pemarah dan lain-lain dan seterusnya mampu menjadi terapi bagi penyakit ‘hati’ seorang muslim. Dengan memberi juga, kita akan merapatkan hubungan silaturrahim. Terdapat konsep kasih sayang yang menyatakan bahawa jika hendak disayangi, mesti terlebih dahulu menyayangi. Bak kata bijak pandai – “All getting separates you from others; all giving unites you to others.” Jika ingin disayangi, sayangilah makhluk Allah yang lain terlebih dahulu. Apabila kita berfikir untuk memberi, kita akan mampu merapatkan hubungan,sebaliknya sikap tidak mahu memberi akan mencetuskan perbalahan dengan mudah. Semoga niat ikhlas kita untuk memberi, bukan untuk menjadi kaya di dunia, tetapi menjadi kaya di akhirat nanti. Kaya dengan pahala dan rahmat Allah…InsyaAllah.
Tak susah untuk memberi kan? Oleh itu, jom jadi insan yang memberi!
Related post(s):Di sebuah daerah, ada seorang lelaki yang kedekut dan tidak taat kepada perintah Allah. Dia pernah bersumpah menceraikan isterinya sekiranya memberi sedekah. Pada suatu...






ingatkan kena ada harta baru bole bersedekah..rupa-rupanya kita terlupa,boleh kaya pahala hatta dengan punyai niat baik dan senyum kepada saudara kita..
nice entry!