Posted by marang merapu sekunder | Posted in Cerpen | Posted on 11-04-2010

Berada di bumi Ireland yang nun beribu batu nautika jauhnya dari tanahair Malaysia menjadikan nilai sahabat itu sangat tinggi di mataku. Tambahan pula dengan keluarga yang tiada di sisi, maka sahabatlah yang menjadi tempat pergantungan, berkongsi masalah, suka duka, susah dan senang. Namun bagiku, tidaklah semua sahabat itu dapat memuaskan hati kita seperti yang kita mahukan. Ada yang kadangkala mudah sahaja membaca fikiran daripada raut wajah kita namun tidak kurang juga yang seringkali membuatkan kita berasa serba tidak kena. Ada sahaja perbuatan kita yang tidak enak di matanya walaupun kita mencuba sedaya upaya melakukan yang terbaik
Apatah lagi apabila kita tinggal di sebuah rumah yang sama, beramai-ramai seperti di sini. Bermacam ragam yang boleh dilihat. Tambahan pula, hampir kesemuanya harus dikongsi bersama. Baik daripada sudut tandas, barang-barang, sehinggakan kepada wang perbelanjaan. Mana tidaknya, kadangkala barang-barang yang baru sahaja dibeli terutamanya barang makanan, jika diletakkan di tempat umum ada sahaja yang kurang walaupun baru sekali sahaja digunakan. Pinggan mangkuk yang telah digunakan ada kalanya dibiarkan begitu sahaja mengharapkan ada tangan-tangan lain yang membasuhkan untuknya. Begitu juga dengan dapur, tidak dikemaskan selepas memasak dan memang banyak lagi perkara-perkara lain yang sememangnya benar-benar menguji kesabaran.
Namun, dari sinilah aku banyak belajar untuk menjadi seorang yang boleh bertoleransi dan berlapang dada. Aku perlu ikhlas melakukan semua itu. Alhamdulillah, tidaklah susah kurasakan kerana aku sudahpun tinggal di asrama 7 tahun sebelum menjejakkan kaki ke sini. Walaupun kadangkala kesabaran tercalar dan masa juga terkorban, namun aku berasa gembira dan bersyukur. Sahabat-sahabat inilah yang menjadi teman di sini. Apa sahaja masalah boleh dikongsikan bersama dan beramai-ramai mencari penyelesaiannya.
Aku sering tertunggu-tunggu detik ketika makan malam kami. Tambahan pula kami di rumah ini berjumlah tujuh orang, maka setiap daripada kami hanya perlu menyediakan makan malam sekali sahaja seminggu. Semua orang akan menunjukkan bakat memasak masing-masing. Ketika inilah kami semua akan berkumpul dan berkongsi cerita sepanjang hari yang kami lalui. Bayangkanlah jika tujuh orang yang bercerita. Justeru, makan malam kami tidak pernah sebentar – sekurang-kurangnya 30 ke 40 minit. Dan waktu inilah aku akan jadikan sebagai terapi diri dan waktu untuk aku menghiburkan hati.
Di sini aku ingin berkongsi beberapa hadith tentang sahabat. Renungkanlah.
Telah bersabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari & Muslim: Maksudnya perumpamaan teman yang baik dan teman yang tidak baik ialah umpama wangi-wangian dan tukang besi. Adapun pembawa wangi-wangian, sama ada dia memberinya sedikit ataupun anda membeli daripadanya sedikit ataupun kamu dapat mencium daripadanya bau yang wangi. Manakala tukang besi, sama ada dia membakar bajunya ataupun kamu akan mencium daripadanya bau-bauan yang busuk.
Telah bersabdanya Rasulullah SAW sebagaimana yg diriwayatkan oleh Al-Tirmizi yang bermaksud, seseorang itu akan terpengaruh dengan temannya. Maka hendaklah seseorang kamu itu memilih siapa yang harus dijadikan teman.
Daripada Abu Hurairah r.a. yang maksudnya, bahawasanya ada seorang lelaki yang pergi menziarahi saudaranya yakni sahabatnya di sebuah kampung yang lain. Lalu Allah menyuruh seorang malaikat untuk memerhatinya di dalam perjalanan.
Lalu malaikat itu bertanya kepada lelaki itu, “Hendak ke mana engkau?”
Lelaki tersebut menjawab, “Aku hendak menemui seorang sahabatku di kampung itu”.
Malaikat bertanya lagi, “Adakah bagimu bumi kepadanya yang engkau mengharap balasan daripadanya?”
“Tidak, aku mencintainya kerana Allah SWT.”
Maka berkatalah malaikat itu kepadanya, “Bahawa sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah kepada engkau. Bahawa sesungguhnya Allah SWT telah mencintaimu sebagaimana kamu mencintai dia kerana Allah”. (Hadith riwayat Muslim).
Sekarang, sudah hampir setahun kami tinggal bersama. Hujung semester ini kami semua akan berpisah dan membawa haluan masing-masing. Kami akan tinggal di rumah yang berasingan bermula semester hadapan. Mungkin inilah pilihan terbaik yang kami harus kami lakukan demi kepentingan bersama. Kepada sahabat-sahabatku ini, inginku kalungkan ucapan terima kasih buat kalian kerana banyak mengajarku erti persahabatan dan semoga pengalaman dan memori kita bersama sentiasa segar di ingatan.
Ukhuwwah fillah abadan abada.
No related posts.





baik atau buruk seorg sahabat itu, dia masih lg sahabat kita…mungkin akn ada saat2 pahit dan manis dlm bersahabat…tp saat2 itulah yg akn mematangkan kita utk mnjadi seseorg yg lebih baik … anyway, berlapang dada is the best way n sgt2 crucial in frenship… wallahualam..
hurm,saya setuju dgn kisah yg dikongsikan..pahit manis harus kita telan..tetapi sbg sahabat yg baik,be sensible..memang ada masa kita kena mengalah,tapi cubalah memahami rakan2 kita sebaiknya..
Riwayat Anas,Nabi saw bersabda: Demi Allah yang menguasai diriku. Seseorang di antara kalian tidak dianggap beriman,kecuali jika dia menyayangi saudaranya sesama mukmin sama seperti dia menyayangi dirinya sendiri…Hadith diriwayatkan Bukhari..sama2 kita renungkan..