Posted by Saladin Safi | Posted in Miscellaneous | Posted on 05-04-2010
KEBIMBANGAN
Firman Allah S.W.T.:
“Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang yang mendapat keamanan dan mereka itu ialah orang yang mendapat petunjuk.” (Maksud Surah al-An’am (6):82).
“Sesungguhnya syirik pastilah kezaliman yang sangat besar.”(Maksud Surah Luqman (31):13).
“Akan Kami masukkan ke dalam hati orang-orang kafir rasa takut, disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah sendiri tidak menurunkan keterangan tentang itu. Tempat kembali mereka ialah neraka; dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal orang-orang yang zalim.” (Maksud Surah Ali ‘Imran (3):151).
“Sesungguhnya Allah Dialah Maha Pemberi rezeki Yang Mempunyai Kekuatan lagi Sangat Kukuh.” (Maksud Surah al-Zariyat (51):58).
“Dan di langit terdapat (sebab-sebab) rezekimu dan terdapat (pula) apa yang dijanjikan kepadamu.” (Maksud Surah al-Zariyat (51):22).
“Dan tidak ada suatu binatang melatapun di bumi melainkan Allahlah yang memberi rezekinya.” (Maksud Surah Hud 11:6).
“Maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat (pula) memajukannya.” (Maksud Surah al-A’raf (7):34).
“Dan sekali-kali tidak dipanjangkan umur seorang yang berumur panjang dan tidak pula dikurangi umurnya, melainkan (sudah ditetapkan) dalam Kitab (Lauh Mahfuzh). Sesungguhnya yang demikian itu bagi Allah adalah mudah.” (Maksud Surah Fatir (35):11).
“Apa yang ada di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada sisi Allah adalah kekal.” (Maksud Surah al-Nahl (16):96).
“Katakanlah, “Kesenangan di dunia ini hanya sebentar dan akhirat itu lebih baik untuk orang yang bertaqwa dan kamu tidak akan dianiaya sedikitpun.” (Maksud Surah al-Nisa’ (4):77)
Kebimbangan merupakan salah satu penyakit paling berbahaya yang menghantui manusia zaman sekarang yang sarat dengan bayang-bayang kemajuan material. Kebimbangan berlaku dalam berbagai- bagai aspek kehidupan. Kebimbangan tentang rezeki, makanan, minuman dan kebimbangan dalam menghadapi ajal serta nasib yang akan dihadapi kelak. Orang yang takut akan rezekinya dan juga bimbang akan kematiannya, maka ia dihinggapi semua bentuk penyakit jiwa, selalu berasa gementar dan takut akan manusia serta benci terhadap dirinya sendiri. Selain itu, bertambah pula kebimbangan, kesedihan dan kegelisahan, putus asa dan gagal serta tidak suka akan kebaikan mahupun kebenaran.
Islam mengatasi hal ini dengan bijak dan menjadikan iman sebagai sumber keamanan. Seperti firman Allah dalam Surah al-An’am (6):82. Rasulullah S.A.W. telah mentafsirkan kezaliman dalam ayat tersebut dengan kesyirikan. Seperti firman Allah dalam Surah Luqman (31):13. Allah menjelaskan bahawa kezaliman dan kesyirikan ini merupakan sebab terbesar munculnya ketakutan, kepanikan dan kegoncangan. Seperti firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran (3):151.
Pada pandangan Islam, manusia perlu mempercayai rezekinya kerana rezekinya itu daripada Allah semata-mata. Seperti firman Allah dalam Surah al-Zariyat (51):58. Dan seperti firman Allah dalam Surah al-Zariyat (51):22. Juga seperti firman Allah dalam Surah Hud 11:6.
Dengan jaminan-jaminan Allah inilah manusia menjalani kehidupannya dengan tenang tentang rezekinya dan berasa tenteram bahawa Allah tidak mungkin membiarkan dirinya, hanya Allahlah yang memberi makan kepada seekor ulat hitam di padang pasir yang gersang dan pada tengah malam yang gulita. Menurut pertimbangan Islam juga, manusia akan berasa tenang memikirkan kematiannya, kerana Allah yang menghidupkannya dan Dialah yang mematikannya. Seperti firman Allah dalam Surah al-A’raf (7):34. Dengan dasar ayat ini, orang yang beriman berkeyakinan bahawa semua ajal di tangan Allah, juga bahawa tidak seorang pun yang dapat mempercepat atau melewatkan ajal. Seperti firman Allah dalam Surah Fatir (35):11.
Islam telah memberikan penyelesaian bagi masalah takut akan kematian dan ajal dengan cara menganggap bahawa dunia adalah hina dan memalingkannya kepada masalah akhirat serta kepada apa yang ada di sisi Allah. Seperti firman Allah dalam Surah al-Nahl (16):96. Dan seperti firman Allah dalam Surah al-Nisa’ (4):77
Kematian dalam pengertian menurut batasan iman bukan hanya ketiadaan secara murni dan hilang begitu sahaja, namun ia merupakan perpindahan daripada satu kehidupan kepada kehidupan yang lain dan daripada satu perkembangan ke perkembangan yang lain. Dalam suatu athar disebut, “Tidaklah benci kepada kematian melainkan orang yang ragu, maka kematian itulah yang mendekatkan kekasih kepada yang dikasihi.”
Dikatakan kepada orang Arab Badwi yang sakitnya sangat tenat, “Kamu akan mati,” ia menjawab dengan bertanya, “Ke mana saya akan pergi setelah adanya kematian?” Orang ramai menjawab, “Kepada Allah.” Celakalah kalian, bagaimana aku takut pergi kepada Zat yang aku tidak melihat kebaikan melainkan dari sisi-Nya?”
No related posts.












