Posted by pinkipinku | Posted in Akidah, Dakwah, Miscellaneous, Motivasi | Posted on 03-04-2010
*Siri Penulisan HOPE ini diadaptasi dari Modul Pengisian Tahajjud Cinta 3 : HOPE, H – Have Faith*
“Without faith a man can do nothing; with it all things are possible.”
- Sir William Osler
Saya mulakan entri ini dengan memetik kata-kata Sir William Osler seperti di atas. Beliau merupakan seorang Canadian Physician yang terulung suatu ketika dahulu dan terkenal sebagai Father of Modern Medicine. Kalau difikirkan, mengapa beliau mengucapkan ungkapan sedemikian? Saya percaya bahawa beliau menganggap faith ataupun kepercayaan merupakan satu perkara yang wajib ada dalam diri setiap manusia, kerana tanpanya manusia akan lengah, lesu, lemah dan tidak akan mampu untuk menjalani kehidupan.

Sebagai seorang Muslim, soal kepercayaan atau keimanan adalah suatu perkara tunjang dalam agama yang wajar diberi perhatian. Kita diajar sejak dari kecil lagi untuk sentiasa meletakkan Allah sebagai kedudukan yang paling tinggi dalam kehidupan kita. Tidak ada satu apa pun dalam dunia ini yang layak diberikan kedudukan seperti ini kerana pendek kata, Allah adalah Pencipta Sekalian Alam dan Dialah yang turut menciptakan apa yang berlaku ke atas diri kita.
“…dan Allah jua yang menciptakan kamu dan apa yang kamu lakukan…”
As – Saffat: 96
Kita menyaksikan beberapa dekad kebelakangan ini bagaimana prinsip hidup yang tidak berteraskan kepada Allah Taala menjadikan tindakan manusia itu beragam, dengan pemikiran dan tujuan hidup masing-masing. Mereka seolah-olah hilang pedoman dan tanpa segan silu merosakkan diri mereka sewenang-wenangnya terutama pabila diserang seribu satu masalah dalam kehidupan. Buktinya, di Jepun, ada budaya Harakiri di mana tatkala seseorang merasa bersalah atau putus asa, mereka akan menusukkan pedang Katana dan menikam bahagian ginjalnya, lalu mati perlahan-lahan.
Harakiri di Jepun
Jambatan Golden Gate di San Francisco yang sangat terkenal si seluruh pelosok dunia itu juga, rupa-rupanya ada kisah ngeri di sebaliknya. Jambatan itu sebenarnya merupakan tempat membunuh diri yang sangat popular di kalangan penduduk Amerika Syarikat!
Ini membuktikan bahawa sekiranya yang teratas itu bukannya Allah, maka rosaklah seluruh kehidupan seseorang manusia itu. Ia hanyalah seperti sebuah binaan besar yang tampak kukuh, tetapi hakikatnya ternyata sedang retak menanti belah.
Kita melihat bagaimana Allah mendidik umat manusia untuk meletakkan kepercayaan sepenuhnya terhadap-Nya dalam setiap urusan kehidupan. Kerana itulah kepercayaan kepada Qada’ dan Qadar diletakkan sebagai asas sebelum tertegaknya iman di dalam diri setiap individu Muslim. Sabda Nabi Muhammad S.A.W apabila ditanya oleh Jibril A.S tentang iman:
Maksudnya: “Hendaklah kamu percaya kepada Allah, MalaikatNya, Kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya, Hari Akhirat, dan beriman pula dengan Qadar (ketentuan) baik dan buruk”.
[al-Bukhari, Muslim].
Keimanan terhadap Qada’ dan Qadar sebenarnya membantu kita untuk redha dengan ujian yang diturunkan oleh Allah Taala sepertimana yang tercatat di dalam Al-Quran:
“…setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh yang demikian itu mudah bagi Allah (22) Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput dari kamu, dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membanggakan diri (23)”
Al – Hadid: 22 – 23
Sungguhpun begitu, beriman dengan Qada’ dan Qadar tidak bermaksud untuk menjadikan kita seorang manusia yang perlu duduk sahaja, tanpa perlu melakukan apa-apa. Apabila dilanda sesuatu yang menyesakkan, ramai orang akan berkata,
“Biarlah..nak buat macam mana…Semua ini dah takdir.”
Selama ini, sebahagian orang memahami takdir secara sepotong-potong, tanpa melihat proses keseluruhannya. Namun, sedarkah kalian bahawa kita tidak boleh berhenti berfikir hanya sampai di situ? Kerana sebenarnya, sebelum mencapai sesuatu kejayaan atau keberhasilan, ada proses yang dilalui satu persatu. Cuba perhatikan rajah di bawah:
“Kamu pasti menjalani (keadaan) tingkat demi tingkat.”
Al-Insyiqaq, 84:19
Sepertimana ayat Al-Quran di atas, begitu jugalah yang berlaku dalam proses kita mencapai sesuatu kejayaan. Pada setiap proses yang akan dan telah kita lalui, terdapat takdir atau hukum ketetapan Allah, yang bersifat pasti. Namun, kita sendiri berhak untuk memilih setiap langkah yang akan menentukan takdir kita. Contohnya, apabila kita kurang study , maka akan berlaku sebuah hukum kepastian bahawa kita akan kurang ilmu pengetahuan. Di sini yang tidak pasti adalah keinginan kita dari pilihan untuk study atau tidak. Pilihan inilah yang sebenarnya meyebabkan kegagalan atau kejayaan kita iaitu merupakan suatu rentetan dari suatu pilihan. Kita tidak boleh menyalahkan Allah kerana pilihan kita sendiri. Namun, sekiranya kita sudah berusaha semaksimum mungkin (menurut diri sendiri) tetapi masih juga gagal, bererti bahawa sebenarnya kita belum berusaha secara sempurna. Sabda Nabi S.A.W,
Maksudnya: “Tidaklah ada seorang daripada kamu melainkan telah ditetapkan baginya tempat sama ada di syurga atau neraka”.
Tanya Sahabat: ‘Wahai Rasulullah, tidak bolehkah jika demikian kami bertawakkal sahaja?’
Jawab baginda: “Berusahalah kerana setiap kamu dimudahkan baginya (berdasar apa yang ditetapkan padanya)”.
Lalu Nabi s.a.w membaca :
hingga firman Allah:
[Hadis riwayat al-Bukhari & Muslim].
Maka, rakan-rakan sekalian, berusahalah sehabis baik dan letakkanlah Allah Taala di tempat yang tertinggi dalam kehidupan seharian kita. Yakinlah bahawa setiap yang Allah berikan merupakan sesuatu yang terbaik buat kita sama ada perkara itu indah mahupun sukar untuk ditempuhi. Sesungguhnya Allah itu amat mengenali kita daripada luar mahupun dalam dan Dia lebih hampir dengan kita dari carotid artery kita sendiri. Subhanallah!
Rujukan: The ESQ Way 165, Ary Ginanjar Agustian
Related post(s):Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Antara isu hangat yang kini dibincangkan di medium Facebook dan blog adalah isu operasi bagi membendung kegiatan tidak bermoral semasa sambutan Hari Valentine...








