
Mengapa manusia enggan memberi, meskipun hanya memberi sebuah kemaafan, sekuntum senyuman atau selirik kata-kata yang manis? Hal-hal yang mungkin dianggap kecil seperti itupun manusia masih kedekut untuk memberi, apatah lagi untuk menyumbang harta, ilmu dan tenaga? Alasan-alasan yang sering kita lemparkan adalah apabila kita memberi,ia akan mengurangkan ‘saham’ kita, orang yang menerima tidak berterima kasih, tiada apa yang mampu diberikan, bimbang akan dieksploitasi dan dimanipulasikan, tidak adil apabila kita telah berusaha sedaya upaya namun hasilnya perlu diberikan kepada insan lain pula dan bimbang jika tidak mendapat balasan. Ayuh kita sama-sama teladani kisah yang mungkin dapat membuka hati nurani kita untuk menyumbang dengan ikhlas tanpa sebarang alasan.
Rasulullah SAW, Manusia paling banyak memberi
Salah satu sifat wajib yang ada pada Rasulullah SAW ialah tabligh, ertinya menyampaikan. Menyampaikan adalah sinonim kepada memberi. Apabila baginda mendapat wahyu, baginda terus menyampaikannya tanpa menyembunyikan hatta satu ayat pun. Baginda sangat suka memberi, sewaktu senang dan juga ketika susah.
Pernah Baginda tidak dapat tidur kerana memikirkan jika masih ada wang berbaki yang belum disedekahkan. Dan ketika di penghujung hayatnya, Baginda masih sempat memberi peringatan kepada umatnya mengenai keperluan solat,walaupun dengan kata-kata yang terputus-putus.. “Assolah, assolah..” Baginda masih memberikan peringatan! Rasulullah SAW mengorbankan masa, tenaga, dan jiwa bagi menyebarkan dakwah, menyampaikan ilmu dan membimbing umat manusia.
Asma’ r.a menerangkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda (kepada Asma): “Nafkahkanlah dan janganlah kamu menyempitkan sedekah yang menyebabkan Allah menyempitkan (tidak mengeluarkannya) untuk kamu.” Dan janganlah kamu menyembunyikan sesuatu dalam bungkusan yang kerananya Allah memutuskan berkatnya dan kesuburannya.”
(al-Bukhari dan Muslim)
Allah,al-Wahhab (Maha Pemberi)
Allah mengurniakan begitu banyak nikmat, rahmat dan kurnia-Nya kepada setiap manusia, walaupun tidak dibalas oleh hamba-hambaNya yang kufur atau dibalas secara tidak setimpal oleh hamba-hambaNya yang taat. Kita meminjam terlalu banyak daripada Allah. Ironinya, walaupun pinjaman itu masih tertunggak, namun Allah tidak menarik semula nikmat pinjaman-Nya kepada kita.
Allah Maha Penyayang, Dia memberikan kita rezeki, perlindungan, keamanan dan nikmat kesihatan meskipun kita sering alpa untuk memintanya. Mampukah kita bernafas pada ketika ini sedangkan kita ‘terlupa’ untuk memohon nikmat oksigen? Mampukah kita membaca artikel ini jika Allah tidak mengurniakan deria penglihatan kepada kita? Subhanallah…
Jauh berbeza dengan sifat manusia yang mengharapkan balasan apabila memberi, Allah sebaliknya Maha Kaya dan Maha Perkasa daripada sebarang sifat kekurangan dan kelemahan. Allah tidak memerlukan makhluk, sebaliknya makhluk yang memerlukan-Nya, Allah Maha Mengetahui tentang hakikat balasan hamba-hambaNya, namun Allah tetap terus memberi. Kasih sayangNya tidak bertepi, hingga Dia mahu memberi berulang kali dan berterusan. Sebaliknya, kasih sayang dan kekuasaan makhluk ada batasnya. Sesungguhnya, segala yang kita miliki di dunia adalah milik Allah, dan tidak layak untuk kita bersikap mementingkan diri, padahal pada harta kita,terdapat hak orang-orang lain juga.
Jadi, masih adakah alasan untuk kita tidak memberi? Renung-renungkanlah…
Sumber rujukan: Majalah Solusi, Isu No 14.
Related post(s):Suatu masa dahulu, raja-raja, orang-orang kaya dan masyarakat amnya suka mengirim elaun sara diri kepada individu-individu yang berilmu menjadikan mereka golonganyang berpendapatan tinggi dalam...





huhu..jzkk atas peringatan ni.. malu bila fikirkan sifat Allah yang maha pemurah yang tak mengharapkan sedikit balasan pun dari kita. dan Rasulullah s.a.w yang sentiasa memberi x kira dalam masa senang atau susah. sedangkan manusia kadang2 bila memberi sesuatu tu, selalu mengharapkan pembalasan. contohnya masa malaysian day haritu. kena cari orang yang nak balas balik dedication card kita, baru nak beli card tu =P ish2.. lepasni kena lebih ikhlas ye kwn2~ ^^
memberi kerahmatan kepada seluruh alam, sekurang kurangnya mencuba, ramai yg lupa dan buat buat lupa