Atap Hijau Rss

Sikap Toleransi Islam Kepada Bukan Muslim

0

Posted by Saladin Safi | Posted in Miscellaneous | Posted on 28-02-2010

Kairouan's Great Mosque courtyard

SIKAP TOLERANSI ISLAM KEPADA BUKAN MUSLIM

Firman Allah S.W.T.:

Capture

Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangi kamu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka itulah orang-orang yang zalim.” (Maksud Surah al-Mumtahanah (60): 8-9)

Capture

Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu pula halal bagi mereka. (Dan dihalalkan mengahwini) wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al Kitab sebelum kamu.” (Maksud Surah al-Ma’idah (5): 5)

Capture

Dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik.” (Maksud Surah Luqman (31):15)

Capture

Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan.” (Maksud Surah al-Insan (76): 8)

Capture

Sesungguhnya sadaqah untuk orang fakir dan orang miskin” (Maksud Surah al-Taubah (9):60)

Kadangkala Islam digambarkan dengan buruk, sama ada dengan sengaja ataupun tidak sengaja dalam soal yang berkaitan dengan sikap terhadap bukan Muslim. Demikian juga tentang cara berinteraksi dengan orang yang berselisih pandangan dengannya. Sebahagian orang menggambarkan bahawa sikap Islam sangat sarat dengan permusuhan, fanatisme dan kebencian yang membara kepada setiap orang yang berbeza agama. Pihak yang lain pula menggambarkan Islam tidak mempunyai toleransi kepada orang kafir; bagaimana juga jenis orang kafir tersebut, kelompok yang sangat ekstrem terhadap manusia sehingga kelompok ini menganggap tidak mengapa menghalalkan darah orang lain dan harta mereka. Bagaimanakah sebenarnya sikap Islam dalam masalah ini?

Dalam Islam terdapat beberapa hakikat yang dipegang dalam berinteraksi dengan orang bukan Islam, antaranya :

  • Jika orang menentang Islam ini daripada kalangan Ahli al-Kitab iaitu yang memerangi, memusuhi dan membunuh kaum Muslimin, maka ada hubungan tertentu yang telah diwajibkan oleh Islam dalam berinteraksi dengan mereka. Apatah lagi dalam suasana peperangan. Dalam keadaan tersebut, tidak boleh berlebih-lebihan, mencincang jasad orang yang sudah mati, menebang pohon, menghancurkan bangunan, membunuh kanak-kanak, membunuh kaum wanita serta orang tua dan yang diperangi hanyalah orang yang memerangi kaum Muslimin.

  • Jika orang yang bertentangan dengan Islam daripada kalangan Ahl al-Kitab yang berdamai atau melakukan perjanjian maka janji mereka harus ditepati dan haknya diberikan, iaitu sikap baik, keadilan dan hubungan (sesama manusia). Seperti firman Allah dalam Surah al-Mumtahanah (60): 8-9

Perkataan al-Birr dalam ayat tersebut bermaksud kebaikan dan al-Qist bermaksud keadilan.

Di sudut yang lain terdapat juga orang yang mempunyai perjanjian untuk tempoh tertentu. Orang yang seperti itu janjinya ditepati sehingga tamat tempoh waktunya sahaja.

  • Suatu kelompok yang mempunyai perjanjian yang bersifat kekal dan abadi, mereka itulah yang dinamai oleh kaum Muslimin sebagai Ahl al-Zimmah, bererti mempunyai jaminan daripada Allah dan Rasulullah S.A.W. Serta kaum Muslimin. Ahli fiqh menjelaskan hak mereka, “Ada hak bagi mereka sebagaimana yang ada pada kami dan ada kewajipan bagi mereka sebagaimana yang ada pada kami, kecuali tuntutan yang disebabkan perbezaan agama.”

  • Orang yang memerangi kaum Muslimin tidak secara langsung dibalas dengan diperangi, kecuali setelah ditawarkan agama Islam terlebih dahulu. Jika mereka menolak, maka mereka ditawarkan untuk membayar jizyah, jika mereka menolak juga, barulah diperangi.

  • Bagi golongan Ahl al-Kitab dalam Islam, mereka diberi layanan yang istimewa. Islam mengharuskan makanan mereka dan makanan mereka halal serta baik, sebagaimana diharuskan untuk berbesan dan berkahwin dengan wanita mereka, seperti firman Allah dalam Surah al-Ma’idah (5): 5

Toleransi Islam dalam berinteraksi dengan Bukan Islam sangat ketara dalam beberapa gambaran:

  • Berpesan supaya (berbuat baik) kepada kedua-dua ibu bapa yang musyrik. Seperti Allah dalam Surah Luqman (31):15

  • Berpesan supaya (berbuat baik) kepada tawanan yang musyrik, seperti firman Allah dalam Surah al-Insan (76): 8

  • Berhubung dengan keluarga dan kerabat yang musyrik. Diriwayatkan daripada Asma binti Abi Bakar, beliau mengatakan, “Ibuku datang dan dia masih musyrik semasa perjanjian Quraisy, aku menemui Nabi S.A.W. Dengan bertanya, “Wahai Rasulullah S.A.W., ibuku datang dan dia dalam keadaan senang?, apakah aku boleh menyambungnya?” Baginda S.A.W. Menjawab, “Ya, sambunglah (ikatan keluarga) ibumu.”

  • Menziarahi Ahl al-Kitab yang sakit. Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W. Pernah menziarahi seorang Yahudi yang sakit, lalu Baginda S.A.W. Menawarkan Islam kepadanya, lantas Baginda S.A.W. Keluar dengan mengucapkan, “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkannya daripada api neraka.”

  • ‘Umar ibn al-Khattab R.A. Memerintahkan supaya biaya hidup sepanjang hayat bagi orang Yahudi dan keluarganya diambil daripada Baitul Mal kaum Muslimin. Seperti firman Allah dalam Surah al-Taubah (9):60. Orang Yahudi ini termasuk orang miskin daripada kalangan Ahl al-Kitab.

  • Toleransi yang diseru oleh Islam terhadap orang yang menentang atau berselisih dengannya merupakan cara yang bijak dalam mengajak mereka untuk memasuki agama yang benar ini dan juga untuk memupuk keimanan dalam diri mereka.

Wallahua’lam

Related post(s):
  • Islam Menolak Ghuluw (Berlebih-Lebihan)
    ISLAM MENOLAK GHULUW (BERLEBIH-LEBIHAN) Firman Allah S.W.T.: “Katakanlah, “Hai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah...
  • Asas-Asas Umat Islam Pada Setiap Masa dan Tempat
    ASAS-ASAS UMAT ISLAM PADA SETIAP MASA DAN TEMPAT   Firman Allah S.W.T:   “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada...
  • Zikir kepada-Nya
    Adakah kita seringkali terdetik di kalbu, perasaan ingin disenangi oleh Allah? Sesungguhnya sifat manusia mudah alpa dan leka, hanya menginginkan yang zahir dan duniawi...
  • Aku Bukan Orang Suci
    Assalamualaikum wbt.. Firman Allah : “Katakanlah : Wahai hamba-hambaku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah...
  • Islam dan Asas Perbezaan
    ISLAM DAN ASAS PERBEZAAN Firman Allah S.W.T.: “Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa antara kamu.”(Maksud...

  • Post a comment

    D.I.A