Atap Hijau Rss

Keizzahan Islam Kerana Si Mata Sepet

0

Posted by amrullah | Posted in Dakwah, Sejarah | Posted on 19-02-2010

Bermata sepet, berkulit kuning langsat dan berambut hitam. Itulah gambaran seorang bangsa Cina. Di negara Tirai Bambu China, terdapat kira-kira 59 etnik Cina hidup di serata pelusuk negara yang begitu luas keluasan geografinya.Majoritinya dikuasai oleh etnik Han, manakala etnik Hui yang beragama Islam hanyalah golongan minoriti dan menerima pelbagai cabaran dan tekanan hidup.

Ketika Islam sudah berkembang  di Madinah, di seberang lautan negara China pula sedang memasuki fasa penyatuan dan pertahanan. Catatan sejarah awal China melaporkan bahawa masyarakat itu sudah pun mengetahui adanya agama Islam di Timur Tengah. Mereka menyebut pemerintahan Rasulullah SAW sebagai Al-Madinah. Orang Cina mengenal Islam dengan sebutan Yisilan Jiao yang membawa maksud  ’agama yang murni’. Mereka menyebut Makkah sebagai tempat kelahiran ‘Buddha Ma-hia-wu’ (Nabi Muhammad SAW)

Terdapat beberapa perbezaan hikayat tentang sejarah awal  Islam mula bersemi di dataran China.Hikayat pertama menyebutkan, ajaran Islam  dibawa oleh para sahabat Rasul yang berhijrah ke al-Habasha Abyssinia (Ethopia). Para sahabat berhijrah ke Ethopia untuk menghindari kecaman dan ancaman kaum Quraisy. Mereka mendapat perlindungan dari Raja Atsmaha Negus di Kota Axum. Ada antara  sahabat yang memilih untuk menetap dan tidak kembali ke tanah Arab. Konon, mereka inilah yang kemudian berlayar dan tiba di China pada zaman Dinasti Sui berkuasa (581 M – 618 M).

Sumber kedua menyebutkan, ajaran Islam pertama kali tiba di China ketika Sa’ad Abi Waqqas dan tiga sahabatnya berlayar ke China dari Ethopia pada tahun 616 M. Setelah sampai di China, Sa’ad kembali ke Arab dan 21 tahun kemudian kembali lagi ke Guangzhou membawa kitab suci Al-Quran.

Hikayat ketiga pula menyebutkan, ajaran Islam pertama kali tiba di China pada 615 M – kurang lebih 20 tahun setelah kewafatan Rasulullah SAW.  Khalifah Utsman bin Affan yang menugaskan Sa’ad bin Abi Waqqas untuk membawa ajaran Illahi ke China. Dikisahkan bahawa Sa’ad meninggal dunia di China pada tahun 635 M. Kuburannya dikenal sebagai Geys’ Mazars. Utusan khalifah itu diterima secara terbuka oleh Kaisar Yung Wei dari Dinasti Tang. Kaisar telah memerintahkan pembangunan Masjid Huaisheng atau masjid Memorial di Canton – masjid pertama yang didirikan di China. Ketika Dinasti Tang berkuasa, China  mencapai masa keemasan dan menjadi kosmopolitan budaya sehingga dengan mudahnya  ajaran Islam tersebar.

Terdapat beberapa tokoh Muslim di China yang terkemuka dalam lingkaran dinasti-dinasti China pada abad pertengahan.Laksamana Cheng Ho, yang telah menghantar ekspedisi dakwah ke Tanah Melayu, dipercayai seorang Muslim, malah empat pendekar yang tersohor dalam sejarah Melayu juga dipercayai berasal dari China dan memeluk Islam – Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekiu dan Hang Lekir. Cuma Hang Kasturi sahaja diyakini berbangsa Melayu dan bersahabat baik dengan empat pendekar itu. Fakta ini terus-menerus menjadi perbahasan sejarah yang tiada noktahnya.

Yusuf Ma Dexin, ialah penterjemah Al-Quran pertama ke dalam bahasa Cina manakala  Muhammad Ma Jian, meneruskan usaha murni tersebut dan menjadi seorang penulis dan penterjemah Al-Quran terkemuka di China. Sumbangan mereka terhadap perkembangan Islam bukan persoalan lagi. Selain itu, seorang lagi Muslim dari China yang terkenal ialah Noor Deen Mi Guangjiang. Beliau merupakan seorang ahli kaligrafi yang telah mengembangkan hasil seni Islam ke serata negara China.

Di Malaysia pula, bangsa Cina adalah bangsa kedua terbesar, yang rata-rata mereka berasal –usul dari tanah besar China. Sungguhpun bilangan Cina Muslim di Malaysia tidaklah menjangkau angka seperti di China, golongan ini begitu giat sekali menyumbang terhadap perkembangan Islam di Malaysia. Nama besar seperti Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah atau nama Cinanya; Tee Chuan Seng, bukan lagi asing di kalangan kita. Sumbangannya terhadap aktiviti dakwah Islamiyah begitu jelas sekali, bermula sebagai pengacara Forum Perdana Ehwal Islam di RTM1, hinggalah kini menjadi Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Malaysia, merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia.

Islam asalnya begitu sinonim sekali dengan bangsa Arab sehinggakan jika yang bermata sepet bak kacang almond itu dikatakan Muslim, mereka dilihat sebagai pelik dan kurang diterima masyarakat. Begitu juga di Malaysia, Islam sangat sinonim dengan bangsa Melayu, hinggakan semua yang bermata sepet mahupun yang berkulit gelap dianggap sebagai muallaf jika mereka bersolat di masjid.

Sempena  masuknya tahun baru bagi calendar Cina ini, sengaja penulis timbulkan sejarah Islam dalam bangsa Cina, bukanlah bertujuan untuk membangkitkan sentimen perkauman dan yang sewaktu dengannya. Apa yang  penulis harapkan daripada secebis penulisan ini adalah untuk mengingatkan kita semua bahawa Islam itu diturunkan sebagai rahmat untuk sekalian alam, untuk semua manusia tanpa mengira rupa dan bangsa. Islam pernah berkembang lantaran cemerlangnya bangsa Arab, maka tidak mustahil jika bangsa-bangsa lain seperti Cina, India dan Melayu juga mampu untuk mengembalikan kegemilangan dan keizzahan Islam.

Allah berfirman dalam surah Muhammad ayat 38:

“Ingatlah, kamu adalah orang-orang yang diajak untuk menginfakkan hartamu di jalan Allah.Lalu di antara kamu ada orang yang kikir, dan barangsiapa kikir maka sesungguhnya dia kikir terhadap dirinya sendiri. Dan Allahlah Yang Maha Kaya, dan kamulah yang membutuhkan kurniaNya.Dan jika kamu berpaling (dari jalan yang benar)Dia akan menggantikan dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan derhaka seperti kamu.

Wallahualam.

Related post(s):
  • Aduhai Mesir : Gajah Depan Mata
    Aduhai Mesir : Gajah Depan Mata Kebangkitan kuasa rakyat yang inginkan perubahan sering mendapat perhatian masyarakat. Akhirnya, rakyat kembali menunjukkan kuasa mereka yang selayaknya....

  • Post a comment

    Ataphijau Facebook Group
    youtube AJataphijau