Posted by Saladin Safi | Posted in Miscellaneous | Posted on 12-02-2010

ISLAM MENOLAK GHULUW (BERLEBIH-LEBIHAN)
Firman Allah S.W.T.:
“Katakanlah, “Hai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang yang telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus.”(Maksud Surah al-Maídah (5): 77).
“Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.” (Maksud Surah al-Baqarah (2):143).
Ghuluw ialah bersungguh-sungguh dalam sesuatu dan sangat rigid dalam sesuatu perkara sehingga melampaui batas. Sinonim bagi perkataan ghuluw ini ialah tanattu’, iaitu melampaui batas dalam perkataan dan perbuatan.
Pada hari ini, banyak orang yang membincangkan masalah ghuluw, sehingga perbincangan ini pun telah sampai kepada tahap ghuluw yang memerlukan kepada kesederhanaan dan kesedaran. Jelas bagi orang yang berakal bahawa musuh-musuh Islam sangat prihatin terhadap masalah ini dengan giat mempromosikannya. Mereka berupaya mengambil kesempatan dengan tujuan untuk mengaburkan hakikat Islam dan memiliki kecenderungan untuk meruntuhkan keimanan kaum Muslimin.
Musuh-musuh Islam telah membuat istilah-istilah khusus dalam masalah ini yang dinamai oleh mereka sebagai tatarruf (berlebihan). Istilah ini dahulunya tidak dikenali oleh kaum Muslimin. Ia bertujuan menambah lagi kekaburan (kefahaman tentang Islam), dan juga mendorong orang ramai menjauhkan diri daripada penyeru kepada agama dan kebenaran. Ia juga sebagai penentangan terhadap kebangkitan kaum Muslimin yang diberkati dan yang sudah menjadi kenyataan.
Pada hakikatnya, masalah ghuluw dalam agama merupakan permasalahan lama. ‘Ulama’ telah menulis dan menghasilkan bab-bab berkaitan dengannya dalam kitab-kitab hukum dan ibadah. Mereka juga telah memberikan penyelesaian untuk mengatasinya dengan kaedah penyelesaian yang tepat tanpa kekerasan dan tindakan memperlekeh. Mereka menetapkan bahawa penyelesaian masalah ini, sama ada merupakan pemikiran mahupun tingkah laku tidak akan sempurna kecuali dari celah-celah pemikiran, dialog dan mengungkap hujah serta penjelasan. Demikian juga telah ditekankan kepentingan adab berdialog dengan bijak dan adil serta memperlihat rasa kasih kepada pihak yang bertentangan. Mereka menganggap bahawa ia merupakan faktor terbesar dalam mendorong kejayaan pendekatan pandangan dan mengurangkan perselisihan.
Antara dalil yang kuat dan jelas yang dijadikan oleh ‘ulama’ sebagai sandaran dalam mencela ghuluw dan supaya ia ditinggalkan. Seperti firman Allah dalam Surah al-Ma’idah (5): 77.
Sabda Rasulullah S.A.W. dalam Hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim, “Celakalah kaum mutanatti’un (orang yang berlebih-lebihan).” Baginda mengucapkannya sehingga tiga kali. Imam Nawawi mengatakan, “Mutanatti’un ialah orang yang mendalam, berlebih-lebihan, melampaui batas dalam perkataan dan perbuatan.” Mereka ialah orang yang bersikap sangat keras dalam beragama tetapi bukan pada tempatnya.
Selain itu, disebut dalam Sahih Bukhari daripada Ibn ‘Abbas, beliau berkata, “Ketika Rasulullah S.A.W. berkhutbah, tiba-tiba ada seseorang yang berdiri. Maka Rasulullah S.A.W. bertanya tentang dia, orang memberitahu kepada Baginda dengan mengatakan, “Abu Isra’il bernazar akan berdiri dan tidak akan duduk, tidak akan berlindung, tidak akan bercakap dan akan berpuasa.” Lantas Nabi S.A.W. Bersabda, “Suruhlah dia agar bercakap, berlindung, duduk dan sempurnakanlah puasanya.” Hujah paling mantap yang sudah pasti bagi setiap Muslim yang jujur bahawa Islam ialah agama yang sederhana dan seimbang dalam akidah, ibadah serta akhlak. Umat Islam ialah umat yang berada di tengah-tengah.
Seperti firman Allah dalam Surah al-Baqarah (2):143. ‘Ulama’ tafsir mengatakan, “Penganut agama yang berada dipertengahan antara yang melebihkan dan meremehkan, kerana kedua-duanya tercela dalam agama.” Dalam sebuah Hadith yang mulia disebut, “Sebaik-baik perkara adalah yang didipertengahan.” Ini merupakan dalil syar’i yang paling kuat untuk menghapuskan sikap berlebih-lebihan dan meninggalkan sikap yang terlalu keras.
Apabila kita melihat sebahagian pemuda terjerumus dalam masalah ghuluw, maka janganlah diselesaikannya dengan menimbulkan keraguan dan jangan pula ditentang dengan memfitnah. Kekerasan hanya akan menambah lagi sikap kerasnya, memfitnah hanya membuat mereka semakin tenggelam. Begitu pula jangan kamu menyelesaikannya dengan membuat keraguan atau tuduhan. Sesungguhnya tiada seorang pun yang dapat membuat keraguan dalam keikhlasan dan kejujuran pemuda-pemuda itu dengan Tuhan serta diri mereka. Caranya hanyalah dengan mendekati mereka, memahami sikap-sikap dan pemikiran mereka dengan baik, serta berbaik sangka terhadap niat dan faktor pendorong mereka (melakukan perkara itu) lalu diikuti dengan seruan yang baik dan dialog yang tenang.
Related post(s):KONSEP ATAU FALSAFAH ISLAM TENTANG PENDIDIKAN Firman Allah S.W.T.: “Maka adakah orang yang mengetahui bahawa Al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu (wahai Muhammad)...
ETIKA BERDIALOG DALAM ISLAM Firman Allah S.W.T.: “Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang...
ISLAM DAN SIHIR Firman Allah S.W.T.: ““Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun,...





Terima kasih..Satu artikel dan isu yang sangat baik untuk diperkatakan.Jzkk penulis..
Bersederhana dalam beragama adalah suatu seni yang harus setiap dr kita kuasai. Sebab takut juga bersederhana sehingga jatuh ke dalam golongan yang memudahkan agama.
Sebagai Daie, janganlah sampai kita menjadi seorang yang sangat keras dan jumud kerana prinsip Islam adalah Tetap pada Prinsip, Namun Fleksible pada perlaksanaan. (Thabat wa Murunah)
SeLain itu, bersederhana dan tidak berlebih-lebihan/ melampau batas dalam berbincang/ berdiskusi/ bermusyawarah juga penting agar ukhuwah tetap terjaga dalam kita membuat hubungan kerja.
Wallahua’lam..
salam..artikel yang sangat baik..
saya ada sedikit kekeliruan sebenarnya, berkenaan pendekatan dakwah yang berlebihan..
tapi isu ini agak sensitif..bolehkah saya menghubungi tuan melalui email berkaitan isu tersebut?