Atap Hijau Rss

Sepohon Iman Yang Bertapak Kukuh

4

Posted by amrullah | Posted in Akidah, Hadith, Tazkirah | Posted on 02-02-2010

Semasa kecil dahulu, seringkali terdengar orang-orang di sekeliling menyebutkan, “kebersihan itu sebahagian daripada iman”, ataupun “sabar itu separuh daripada iman”, tetapi tidak pernah mengerti apakah yang dimaksudkan dengan iman pada usia muda sebegitu.

Masuk ke alam persekolahan, ustaz yang mengajar subjek Pendidikan Islam berulang-ulang kali menerangkan bahawa iman itu ialah kepercayaan, yakni meyakini dengan hati, berikrar dengan lidah dan melaksanakan dengan anggota badan, perlu hafal katanya, nanti akan ditanya semasa peperiksaan.

Banyak lagi perumpamaan yang menggunakan perkataan iman, menunjukkan signifikasinya iman dalam kehidupan seorang Mukmin. Iman yang kukuh di dalam diri akan menghasilkan taqwa yang mendalam kepada Allah SWT. Iman umpama sepohon pohon, untuk ia tumbuh dengan subur, memerlukan kepada akar yang kuat, dan akar ini perlu dibajai oleh aqidah yang sahih dan ibadah yang konsisten. Barulah pohon tersebut dapat membuahkan taqwa.

Rasulullah saw pernah meninggalkan lima wasiat berkenaan kaedah untuk menjadi orang yang sempurna imannya.

Jauhilah perkara-perkara yang haram, maka kamu akan mendapat kelazatan beribadat kepada Allah;

Redhalah dengan apa yang Allah anugerahkan kepada kamu, maka kamu akan menjadi orang yang paling kaya;

Lakukanlah sesuatu perkara kepada orang lain sebagaimana kamu suka perkara itu dilakukan kepada kamu, maka kamu akan menjadi seorang Islam;

Berlaku baiklah kepada jiran-jiran, maka kamu akan menjadi seorang yang beriman dengan sebenar-benarnya;

Janganlah kamu banyak ketawa, kerana ketawa yang berlebihan boleh menyebabkan hati menjadi mati.”

-Hadith riwayat Tirmizi.

Percaya atau tidak, akhlak dan tingkah laku manusia memang ada kaitan dengan iman. Iman tidak dapat diukur dengan sistem metrik. Namun, iman dapat dilihat pada cerminan keperibadian seseorang. Tidak mungkin seorang yang sedang melakukan zina dikatakan tinggi imannya pada ketika itu.Walhal, iman adalah perisai diri daripada perbuatan yang dimurkai Allah.

Rasulullah saw pernah bersabda: “Tidak berjalan Umar di suatu lorong melainkan syaitan memilih jalan lain (supaya tidak bertembung dengan Umar).” Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Perasaan gerun yang ditunjukkan oleh syaitan adalah disebabkan oleh kecemerlangan iman dan taqwa yang wujud di dalam diri Umar. Sedangkan manusia sekarang lebih gentar kepada syaitan, lantaran lemahnya iman di dalam diri.Syaitan pula yang kesukaan kerana bukan sahaja dapat menakutkan manusia, malahan dapat memperdayakan manusia dengan tipu helahnya.

Pernah berlaku satu peristiwa seperti diriwayatkan oleh Ibn Sa’ad yang berkata: “Ada seorang lelaki yang melewati di hadapan Rasulullah SAW, lalu Baginda bertanya kepada sahabat yang duduk di sebelah Baginda: Apakah pendapatmu mengenai orang ini?”

“Maka sahabat itu pun berkata: Dia adalah seorang lelaki dari kalangan terhormat. Demi Allah! Orang ini sangat layak untuk dinikahi jika dia datang melamar, diberi syafaat jika dia meminta syafaat.”

“Rasulullah pun diam seketika. Kemudian, datang pula seorang lelaki melewati hadapan Baginda. Baginda kembali bertanya: Apakah pendapatmu tentang orang ini pula?”

“Lantas sahabat itu pun berkata: Wahai Rasulullah! Dia ini adalah dari kalangan orang fakir miskin. Dia ini sememangnya layak ditolak jika datang melamar, tidak layak diberi syafaat jika dia meminta dan juga tidak layak diberi perhatian jika dia berbicara.”

“Maka Rasulullah bersabda yang bermaksud: Orang ini (yang kedua) jauh lebih baik daripada orang yang pertama tadi.

Daripada kisah yang dipaparkan itu, jelas bahawa nilai dan taraf seseorang manusia bukannya diukur daripada kebesaran rupa lahiriyahnya. Begitu juga bukannya daripada kekayaannya, kemuliaan nasab keturunannya, keterampilannya yang menarik dan kemasyhuran atau ketinggian pangkatnya di kalangan manusia ramai.

Sebaliknya, neraca piawaian sebenar di sisi Allah SWT ialah sepohon iman yang bertapak kukuh di dasar hatinya dan amalan-amalan yang dilakukan dengan penuh keikhlasan. Begitu juga dengan ketakwaan dan ketundukan yang penuh tulus ke hadrat Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujurat, ayat 13 :

“Sungguh,yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya.

Di negara barat ini, persekitaran sekeliling kita begitu mencabar iman. Pandang depan, nampak aurat wanita, pandang belakang, nampak pergaulan bebas, pandang kiri nampak hiburan melampau, pandang kanan pula nampak minuman keras. Andainya tiada iman yang bertapak kukuh, ke mana agaknya langkahan kaki kita?

Tepuk dada, tanyalah iman. Cermin diri, hiasilah peribadi.



Related post(s):
  • Signs of Weak Iman
    Have we ever concern about our Iman? Here are the signs of weak IMAN … 1) Committing sins and not feeling any guilt. 2) Having...
  • 7 Golongan Yang Dapat Naungan Di Akhirat
    Pada hari pertama pengadilan di padang mahsyar, seluruh manusia berhimpun semenjak manusia pertama iaitu Nabi Adam sehinggalah manusia terakhir. Keadaan manusia pada hari itu sesuai...

  • Comments (4)

    Pendek, namun menyampaikan mesej yang cukup jelas.

    Manusia menilai dengan penampilan luaran, Allah menilai pada kekuatan iman (Taqwa).

    Kalau nak mulia pada pandangan manusia, jagalah penampilan luaran ie Pemakaian, Pertuturan, Pemikiran, Pergaulan, Pemakanan etc..

    Kalau nak berada di tempat istimewa di sisi Allah, maka jagalah taqwa dan buah iman kita.

    2-2 pun perlu dan penting..Penampilan luaran yang cantik didasari iman kepada Allah pasti tidak gagal untuk mencerminkan hati seseorang yang menjurus kepada ketaqwaan kepada Yang Maha Esa. Wallahua’lam.

    Terima kasih wahai sahabat atas penulisan ini~

    teringat pulak dekat cerita sorang kawan ni masa kecik2 dulu..dalam exam pendidikan agama, ada soalan “apakah erti iman?”

    dengan konfidennya dia jawab,

    “iman adalah mutiara”

    hehe..terima kasih raihan ;p

    haha..lawak2..iman adalah mutiara..bagus btul budak tuh..mesti minat nasyed neh..

    menarik. suka baca.

    Post a comment

    FUIYO
    PPMC