
Hari ini saya nak berkisah tentang seorang Ayahanda yang saya sayang, bernama Ayahanda Pak Pin, bukan Ayah Pin yer semua. Nama sebenar beliau adalah Ayahanda Ariffin. Beliau merupakan pengetua saya tatkala di sekolah menengah dahulu. Di sebalik kegarangan dan ketegasan beliau, saya sangat kagum dan menyanjungi beliau. Tak banyak sejarah hidup beliau yang saya tahu. Tetapi setahu saya belaiu merupakan lulusan Kolej Islam Kelang ( kini KISAS). Saya masih teringat kisah beliau tatkala menuntut di KIK dahulu, beliau pernah bercerita bahawa beliau pernah mengikat dirinya di kerusi bagi mengelakkan beliau tertidur ketika mentelaah. Begitulah tegas dan berdisiplinnya beliau.
Tatkala keadaan sekolah ketika itu sangat berkecamuk, dengan masalah disiplin pelajar yang sangat meruncing, Pengetua yang lama telah dipindahkan ke sekolah harian biasa, dan pihak Kementerian telah melantik seorang pengetua baru untuk mengemudi sekolah asrama penuh yang sangat dikagumi suatu masa dulu. Masih teringat akan ketegasan beliau tatkala perjumpaan pertama beliau dengan pelajar-pelajar dalam perhimpunan mingguan di dewan sekolah. Beliau telah memarahi kami semua yang tidur dan terhangguk-hangguk dengan lantang. Kemudian beliau bercerita pengalamannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Kaduk, Kelantan, dimana beliau pernah menampar seorang pelajar sewaktu perhimpunan pertama beliau di sekolah itu, dan pelajar tersebut merupakan anak kepada Penolong Pengetua sekolah tersebut. Cerita itu diperolok-olokkan oleh kami yang nakal dan memberi gelaran Kaduk kepada beliau. Begitulah nakalnya kami di sekolah dahulu. Begitulah cerita seorang Pak Kaduk, yang bijak, tegas, alim dan soleh. Ini cerita Pak Kaduk yang bukan seperti yang biasa kita dengar.
Tatkala di sekolah menengah dahulu, Solat berjemaah hanya ‘diwajibkan’ kepada pelajar-pelajar Form 1 dan hanya untuk Solat Maghrib berjemaah pula diwajibkan kepada semua pelajar. Dan pelajar-pelajar lain bebas untuk solat di Dorm. Frasa SODORM (Solat Dorm) begitu popular dibibir pelajar ketika itu. Namun, kedatangan Pak Kaduk merubah segalanya. Beliau mewajibkan semua pelajar untuk Solat berjemaah di Surau pada setiap waktu solat. Maka yang paling susah sudah tentulah solat subuh kerana pelajar sangat susah untuk bangun di awal pagi. Maka, beliau sendiri yang bangun untuk mengejutkan semua pelajar di setiap pagi hari. Pada permulaannya beliau mengejutkan kami seperti seorang bapa dengan panggil dan kejutan yang sangat mesra. “ Nak, bangun nak. Solat Subuh”. Namun dengkuran kami mengatasi suaranya yang kian dimamah usia. Maka beliau sedikit demi sedikit mengubah caranya menjadi lebih keras sehinggalah suatu pagi, kami semua dikejutkan untuk bangun subuh dengan rotan yang menyirat di punggung. Dirotan ketika tidur maka semua bangun dalam keadaan terkejut akan apa yang berlaku. Setelah mata didegenyeh barulah tersedar, Pak Kaduk sedang mengejutkan kami untuk solat subuh. Hari itu tiada lagi kata-kata mesra, “ Nak, bangun nak. Solat Subuh”. Sejak itu, setiap hari beliau dan warden bertugas akan mengejutkan kami setiap pagi dengan rotan. Saya juga sudah tidak mampu mengira berapa kali saya dirotan setiap pagi kerana lambat bangun. Haha.
Semua pelajar diwajibkan hadir kesurau sebelum azan subuh, siapa yang lambat akan disuruh tekan tubi sebanyak 30 kali. Senaman ringkas di pagi hari yang menyeronokkan. Pelajar-pelajar yang ditangkap kerana ‘escape’ solat subuh, akan di denda lari padang 50 pusingan. Kedegilan pelajar untuk solat subuh disurau sehingga seorang pelajar pernah ditangkap tidur di tepi longkang Block Asrama kerana mahu ‘escape’ solat subuh. Begitulah degilnya kami di zaman remaja dahulu.
Ketegasan beliau, terutamanya dalam bab-bab agama sangat nyata. Jika dahulu saf-saf ketika solat subuh hanya diisi oleh adik-adik Form 1, kini abang-abang Form 5 yang mengisi saf-saf pertama. Selepas solat kami akan membaca al-quran seperti biasa, dan beliau akan menafsirkannya untuk kami faham. Beliau boleh bertutur dalam bahasa arab dengan baik. Beliau menunjukkan contoh yang sangat baik. Jika sebelum ini perhimpunan harian bermula 7.20 dan pelajar tiba pada 7.30, lebih lambat dari pengetua dan guru-guru yang telah lama menunggu, kini perhimpunan bermula jam 7.15 dan semua pelajar telah berada disana. Jika dahulu Dorm asrama seperti tongkang pecah, kini kami boleh berbangga kerana Dorm Sekolah kami telah dijadikan ‘Bench Mark’ untuk Asrama Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh kerana kebersihan, kekemasan dan keceriannya.
Suasana di sekolah bertukar pada skala 360 darjah. Guru-guru juga menjadi lebih berdisplin dan bersemangat. Masalah-masalah disiplin Berjaya dikurangkan dengan mendadak. Pernah beliau bertindak nekad mengeluarkan 20 orang pelajar sekaligus atas masalah disiplin dan mendapat liputan hebat dari media massa. Sekolah kami terpampang di Headline-Headline surat-surat khabar dan ianya sangat mengujakan. Ketegasan beliau sebagai seorang ketua yang memimpin institusi pendidikan anak-anak bangsa telah merubah sekolah menjadi lebih baik, dan menghasilkan pelajr-pelajar yang lebih berakhlak dan berdisiplin.
Begitulah sedikit sebanyak cerita seorang Pak Kaduk yang Berjaya merubah suasana menjadi lebih baik. Beliau menerapkan islam dalam pendidikan agar ia menjadi panduan hidup pelajar. Ia merupaka perkara yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pengetua-pengetua sebelumnya kerana status pendidikan dan sekolah secular yang melekat pada jenama sekolah kami.
Mampukah Pak Kaduk, merubah suasana dan menerapkan nilai-nilai islam dalam diri pelajar yang dipimpinnya sekiranya beliau hanya menjadi seorang guru biasa, bukan seorang pengetua yang berkuasa akan hal ehwal sekolah sepenuhnya? Sudah tentu beliau tidak mampu untuk melakukan perubahan tersebut. Beliau sudah pasti tidak mampu untuk mendidik kami untuk lebih berakhlak sekiranya beliau tidak mampu untuk melaksanakan peraturan-peraturan sekolah.
Maka sudah pasti, pemerintahan itu merupakan medan yang sangat berguna kepada islam, untuk melaksankan islam di muka Bumi Allah. Maka yang sewajarnya memegang tampuk pemerintahan adalah mereka yang memahami apa itu Ad-Deen, supaya masyarakat dibawahnya dibentuk dan di tarbiyah menjadi muslim yang sejati. Tanpa kuasa dan pemerintahan, tiada apa yang mampu dilakukan untuk kebaikan umat islam. Undang-undang tidak dapat dilaksanakan, dakwah tidak dapat diteruskan, maksiat tidak dapat dibendung dan pelbagai lagi. Maka mengapa kita masih mahu berdalih akan kepentingan umat islam untuk mengusai pemerintahan agar kita mampu membina dan menegakkan islam dalam diri masyarakat
Pak Kaduk membina diri pelajar melalui islam, berbekalkan kuasa yang beliau ada. Sekiranya beliau tidak mempunyai kuasa merotan pelajar setiap pagi, maka adakah kami akan bangun untuk solat subuh setiap pagi memenuhkan saf-saf di rumah Allah? Sungguh kami tidak mampu. Kuasa dan amanah yang diberikan kepada Pak Kaduk yang menjadikannya mampu menjana perubahan dan membawa islam dalam pendidikan. Setelah beliau bersara, dan pengetua digantikan dengan pengetua yang tidak mempunyai basis agama sekuat beliau, sekolah kembali ke keadaan asal. Sungguh menyedihkan apabila saya mendapat berita dari rakan yang pulang ke Malaysia dan melawat sekolah pada cuti Musim Panas yang lepas, beliau berkata kini solat subuh berjemaah tidak lagi ‘wajib’ kepada semua pelajar, maka hanya adik-adik Form 1 yang kembali menghuni rumah Allah itu. Sedih tapi itulah hakikat yang jelas bahawa kuasa dan pemimpin itu akan menentukan jatuh bangun islam. Salah pilih pemimpin, islam akan terus dihina. Kalau masih mahu berlengah dalam urusan kepimpinan, islam akan hancur terlebih dahulu sebelum anda sempat mentarbiyah diri anda sendiri untuk mengukuhkan diri anda seorang diri.
Ini adalah Cerita Pak Kaduk Moden. Jika dahulunya, Pak Kaduk Tradisi pernah menggadai sebuah kampong kerana kejahilannya dalam agama, Pak Kaduk Moden kini mampu berbangga kerana dengan ilmunya, dia mampu memerdekakan sebuah kampong. Masihkah kita mahu membiarkan Pak Kaduk Tradisi memerintah kita dan menggadai kampong kita?
No related posts.





salam wrt
subhanallah. a very good way of triggering people to think. jazakumullahukhair.
Satu, hebatnya guru yang digelar Pak Kaduk tu mendidik pelajar.
Dua, nakalnya pelajar-pelajar masa tu, sanggup tidur tepi longkang sebab tak nak solat subuh berjemaah!
Tapi, pengajarannya yang paling penting. Gunakan kuasa untuk mendidik secara Islam.Kadang-kadang kita perlu memiliki kuasa, bukan untuk menunjuk-nunjuk atau menyalahgunakan,tetapi untuk lebih mudah nak sebarkan Islam.
Setuju dengan Jamilah, nakal betul budak tu..sanggup tidur tepi longkang tuh. Saya terfikir agak2 ada tak budak2 Maresmart buat perangai camni bila Cikgu Rizalmi buat round kejut pagi subuh2 hari.hehehe..
Tapi saya tahu ada sorang Doktor di Cork sanggup wat camtu.. Masa prog winter, dia tidur di bilik solat.Orang kejutkan dia sebab dah tiba waktu utk Qiam n orang nak guna bilik semayang.Jadi die gulingkan diri (masih dalam sleeping bag) ke bawah meja…sambung tido~~ Hahaha..
Terima kasih atas artikel ini. Satu contoh seseorang yang berjaya ‘Menegakkan Agama dan Mentadbir Dunia Dengannya’ melalui Kuasa. Kuasa itu boleh menjadi senjata yang boleh membunuh lawan, atau senjata yang bisa melukakan diri sendiri. Diri sendirilah yang menentukan bagaimana senjata itu hendak digunakan.
Selain kuasa, penting juga untuk orang-orang yang mempunyai pengaruh untuk menarik orang mengamalkan agama dan mendekatkan diri kepada Allah.. Jangan sampai pengaruh yang ada dalam diri menarik orang untuk melaksanakan maksiat atau kelalaian~~
Salam juang buat semua.. Jzkk
i can tell the writer was from STAR Ipoh. I ran 50 laps for missing solat jemaah subuh on unlucky day.Missed the whole morning prep.Cant think of practicality of this type of punishment.