Atap Hijau Rss

Khusyuk Seperti Abbad

13

Posted by amrullah | Posted in Ibadah, Sains, Tazkiyatun nafs | Posted on 17-01-2010

Amran sering kali mengadu dan mengeluh bahawa dia sukar sekali untuk fokus ketika menghadiri kuliah. Fikirannya sentiasa melayang-layang dan berpusing-pusing ke serata perkara. Akibatnya, dia perlu mengulangi semula nota kuliahnya ketika teman-teman sudah maju membuat latih tubi. Perkara ini diadukannya kepada seorang sahabat yang amat dipercayai, Sulaiman. Sulaiman tersenyum dan berjanji untuk mengunjungi bilik Amran pada malamnya.

Ketika Sulaiman tiba, Amran sedang menunaikan solat Isyak. Sulaiman memperhatikannya dengan penuh teliti. Serta-merta dia tahu bagaimana menyelesaikan masalah sahabat lamanya itu.

“ Am, bagaimana solat kau tadi, seronok berjumpa dengan Allah?” Sulaiman membuka perbualan.

“ Entah, aku tak rasa apa-apa pun. Yang penting aku dah solat.” Amran menjawab malas.

Sulaiman mengangguk-anggukkan kepalanya, lalu diceritakan kisah seorang sahabat Nabi yang sungguh dikaguminya iaitu Abbad bin Basyir. Ketika di medan jihad, Abbad dan Ammar bin Yasir telah ditugaskan untuk berkawal pada waktu malam. Mereka bersetuju untuk bergilir-gilir berjaga pada sebahagian malam dan tidur pada sebahagiannya lagi. Sementara giliran Abbad berkawal, beliau telah menunaikan solat. Sedang beliau tekun membaca surah al-Kahfi, satu anak panah musuh hinggap ke tubuhnya. Beliau tetap meneruskan solatnya. Pihak musuh melepaskan anak panah kedua, juga tepat mengenai Abbad. Beliau tetap juga solat. Apabila anak panah ketiga dilepaskan, musuh datang menghampiri Abbad, lalu terlihatlah mereka kepada Ammar. Menyangkakan masih ramai lagi tentera Islam di situ, pihak musuh berpatah balik.

Dengan tubuh yang berlumuran darah, Abbad mengejutkan Ammar daripada lenanya. Terkejut Ammar melihat keadaan Abbad lalu bertanyakan kenapa tidak dikejutkannya sedari awal. Lalu Abbad menjawab, ketika itu beliau merasa sungguh nikmat dan malu dengan Allah untuk menghentikan solatnya. Tetapi apabila panah yang ketiga mengenai dirinya, beliau bimbang akan keselamatan Nabi saw, maka kerana itulah dia memberhentikan solatnya. Kalau tidak sudah pasti dia tidak akan menghentikan solatnya dan rela mati dalam keadaan demikian.

“Lihatlah mutu solat para sahabat. Bagaimana pula dengan solat kita hari ini? Seekor nyamuk pun boleh merosakkan solat kita. Jika kita gagal untuk khusyuk dalam solat, bagaimana kita hendak fokus semasa kuliah? Fokus adalah sebahagian daripada khusyuk.” Sulaiman menyudahkan kisahnya.

Amran terkesima. Kelu lidahnya untuk berkata-kata.Dia tidak sedar bahawa selama ini dia hanya solat pada fizikal. Hatinya tidak hadir dalam solat, lantas ia tidak khusyuk dan tidak dapat menghayati detik pertemuan dengan Allah. Patutlah dia sentiasa rasa gelisah dan susah untuk fokus terhadap sesuatu perkara. Dia gagal untuk mengecas semula ruhnya pada setiap kali dia solat.Selama ini dia terlalu mengambil ringan amalan solatnya. Astaghfirullah.

Melihat Amran yang nampak sebak, Sulaiman meneruskan bicaranya. Katanya, dalam dunia ini, sepatutnya orang Islamlah yang paling berjaya fokus terhadap sesuatu. Ini kerana orang Islam telah mula belajar sembahyang ketika berusia 7 tahun lagi, dan solat itu ibarat pertemuan dengan Allah, di mana orang Islam seakan-akan menerima didikan secara langsung daripada Tuhan Pencipta alam. Malangnya ia tidak berlaku kerana orang Islam sendiri gagal menghayati ruh solat itu, tidak khusyuk, lalu hilang fokus terhadap perkara tertentu.

Sambil melayan perasaan kesalnya, Amran teringat kepada satu kisah yang didengarinya dua tahun lepas dalam satu ceramah agama.

Pada suatu ketika, seorang lelaki bertemu sahabat Rasulullah SAW, Abdullah ibn Masud dan berkata: “Wahai Ibn Masud, nasihatilah aku dengan sesuatu yang dapat meredakan kegelisahanku. Buat masa ini, jiwaku tidak tenteram, fikiranku kusut, tidurku tidak nyenyak dan seleraku hilang.”

Abdullah menjawab: “Bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat, pertama, ke tempat orang membaca Al-Quran tidak kira sama ada kamu ikut membacanya atau kamu sekadar mendengar bacaan orang lain.”

“Kedua, kamu menghadiri majlis pengajian yang mengingatkan kamu kepada Allah.”

“Ketiga, kamu mencari satu waktu sunyi. Contohnya, pada waktu malam, dan ketika itu kamu bangun melaksanakan ibadah kepada Allah serta memohon kepada-Nya agar diberikan ketenangan dan kedamaian hati kepadamu.”

“Jika selepas melakukan semua ini jiwamu masih juga tidak tenteram, mintalah kepada Allah agar digantikan hatimu dengan hati yang lain kerana hati yang kamu miliki sekarang ini bukannya hatimu.”

Lelaki itu pun kembali ke rumahnya dan terus mengambil wuduk dan membaca al-Quran dengan penuh khusyuk. Selesai membaca al-Quran, didapati jiwanya berubah menjadi tenang, fikirannya menjadi jernih dan kegelisahan yang selama ini melanda hatinya hilang sama sekali.

Subhanallah.

Kajian saintifik juga telah membuktikan bahawa jika kita bersolat dan berzikir dengan khusyuk, jantung berdenyut dengan kadar yang lebih rendah daripada biasa dan gelombang theta dalam otak meningkat dengan jelasnya.
theta
Gelombang theta adalah gelombang otak yang wujud apabila seseorang berada pada saat yang sangat menenangkan, terutama ketika hampir terlena. Pada waktu itu ibadah kita meredakan tekanan dan menjadikan kita lebih tenang lagi ceria.

Semua itu akan memberi kesan positif kepada kesihatan jantung dan mampu menipiskan lemak yang menyelimuti pembuluh darah. Hormon stress yang bernama ‘cortisol’ juga sangat rendah di kalangan mereka yang beribadah dengan khusyuk.

Benarlah firman Allah bermaksud: “Ketahuilah, dengan berzikir kepada Allah hati akan tenang.” (Surah ar-Ra’d, ayat 28).

Amran berasa tenang sekarang. Dia telah menemui penyelesaiannya. Allah telah kirimkan Sulaiman untuk menyedarkannya. Sepeninggalan Sulaiman dari biliknya, Amran segera menyelak buku usrah yang pernah berjasa kepadanya, lalu terjumpa nota tulisan tangannya bertajuk, “Mencari khusyuk dalam solat”.

Khusyuk itu maknanya MENYEDARI (tidak sekadar tahu dan ingat) bahawa Allah SWT itu dekat dengan kita dan menyedari bahawa Allah SWT sentiasa melihat setiap apa yang kita lakukan. Kita sentiasa berada di dalam sedar hal yang dikatakan Ihsan ini. Tips untuk khusyuk dalam solat:

1.Hudhur al-qalbi [menghadirkan hati]

2.At-tafahum [memahami perbuatan dan bacaan solat]

3.At-ta’zim [merasai kebesaran Allah yang disembah]

4.Al-haibah [merasa gerun terhadap keagungan Allah]

5.Ar-rajaa’ [menaruh harapan besar kepada Allah]

6.Al-hayaa’ [merasa malu kepada Allah atas kelalaian]

Wallahualam.

No related posts.

Comments (13)

assalamualaikum wrbt,

kepada penulis, jazakallahu khayrul jazaa’.. terima kasih sgt2 atas artikel yang menyedarkan ni. sangat2 terkesan di hati.. esp cerita sahabat nabi saw, abbad ibnu basyir tu. subhanallah! sampai macam tu sekali dia dapat merasa nikmat solat tu..

selama ni ada jugak rasa tak faham, kenapa walaupun berusaha jugak untuk fokus dalam kelas, walaupun dah baca doa penerang hati byk2 kali sebelum mulakan pelajaran, fikiran tetap senang menerawang. tapi kat sini la rupanya punca dia. khusyu’ dalam solat tak cukup lagi. sangat terharu bila diingatkan balik, yang solat ni ibarat pertemuan kita dengan Allah. malah seperti dapat didikan terus dari Allah. subhanallah..

berazam untuk lebih khusyu’ dalam solat lps ni, insyaAllah!

“Dan mohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Dan (salat) itu sungguh berat, kecuali bagi orang yang khusyuk”

“(yaitu) mereka yang yakin, bahawa mereka akan menemui Tuhannya, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya”

…khusyuk dalam solat! =)…

jazakalllahu khoir for sharing!

Terima kasih penulis atas artikel yg best ni..

Selama ni selalu terfikir..kenapa susah sgt nak concentrate masa study..dlm klas, yela, mungkin penyusunan lecture from 8.30am-6pm tu mmg dapat agak dah by the end of the day mesti otak rasa tepu sangat2..tapi even kat rumah pun max time boleh duduk diam is 30mins lepas tu pg dapur buka peti sejuk laa..surf internet laa..

barulaa faham puncanya kat sini..solat tak cukup khusyu’..walaupun dari umur yg sangat muda kita dah dilatih untuk solat, tapi “kemahiran” khusyu’ dalam solat blum dapat di’grasp’ sepenuhnya lagi..
bak kata penulis, masa solat ni kita masa kita bertemu dengan Allah, seakan-akan dapat didikan terus dari-Nya..Subhanallah..Even dapat tutorial one-to-one dari org2 yang hebat seperti consultants pun ana dah rasa bangga yg teramat sangat, inikan pula dari pencipta yang Maha Agung..

inshaAllah lepas ni akan cuba sehabis baik..

hebat2
ada gaya boleh jadi penulis novel da ni

best baca dan memang terkesan dihati..

Ya Allah..kusyuk’kan lah hati2 ini..
dan permudahkanlah segala kerja2 kami..
amin..

thanks or such a good article..really like it=)

Mungkin sebab kita dah berbelas-belas tahun solat maka dah rasa biasa dengan ibadat ini ie x betul2 tumpukan perhatian kita ketika solat,otak asyik pikir mende lain dll. Sama2 review balik ibadat yg menjadi tiang agama ini. InsyaAllah khusyuk dlm solat,khusyuk jugalah kita dlm belajar :-D *thanks for sharing such a nice story*

“Telah berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya”[Surah Al-Mukminun : ayat 1-2].

Kadang-kadang kita rasa bad mood, buat apa pun tak menjadi..cuba refleks balik solat kita, terutamanya solat Subuh, iaitu solat pertama kita sebelum memulakan hari baru, sebab Allah dah janjikan, orang yang khusyuk dalam solat ni pasti akan berjaya.

Peringatan untuk diri sendiri ni..

siap ada fakta saintifik lagi.. menarik.
dan jzkk atas peringatan tambahan kat atas ni.. suka =)

Masyaallah…sungguh menarik..jzkk dah tahniah kepada penulis..keep it up..good work..

khusyu’=focus

kalo ada tendency utk tidur dlm lecture, apa kebarangkalian utk tidur dalam solat, terutama solat subuh???..hahaha..time sekolah dulu, solat subuh jer mesti org sujud lama2..tau dah kenapa..haha

Artikel yang menarik..jzkk

salam…
masyaAllah, sgt bgs article ni…rase cam bace saifulislam… mabruk untuk akhi amrullah…

Quote kata2 nur islam:”kalo ada tendency utk tidur dlm lecture, apa kebarangkalian utk tidur dalam solat, terutama solat subuh???”..
Nur Islam jgn la buat generalization gtu~ mungkin bukan semua org yg tdo dlm kelas turut tdo dlm solat…haha terasa pulak… tp bila ckp psl khusyuk dlm solat tu.. sememangnya harus diperbaiki… ikhlaskan hati ketika nak beribadah, dan solatlah diawal waktu…

Post a comment

youtube AJataphijau
Ataphijau Facebook Group