Atap Hijau Rss

Kalimah Allah – Siapa Yang Berhak? (2)

1

Posted by Abdullah | Posted in Concern, Politik | Posted on 05-01-2010

Assalamualaikum wrt.

Isu kalimah Allah kini telah hangat kembali. Penulis pernah menimbulkan isu ini dalam terbitan yang terdahulu iaitu artikel ‘Kalimah Allah – Siapa Yang Berhak? Pelbagai respon timbul daripada banyak pihak. Penulis sendiri agak terkejut dengan keputusan yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang membenarkan Akhbar Herald di Sabah dan Sarawak menggunakan kalimah Allah dalam ruangan bahasa Melayu mereka.

Berpeluang mengikuti perkembangan isu ini di kaca TV setiap hari, penulis dapat menyaksikan bermacam gelagat manusia terutama orang Melayu Islam yang membantah keras keputusan Mahkamah Tinggi tersebut. Penulis sendiri tidak bersetuju dengan membenarkan penggunaaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam kerana dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan terutamanya pada generasi yang akan datang. Hatta, Majlis Fatwa Kebangsaan juga telah menyatakan bahawa kalimah Allah ini adalah esklusif kepada orang Islam sahaja.

Namun begitu, penulis berasa agak pelik kerana ada sesetengah pihak yang seolah-olah terlebih respon dalam isu ini dan dalam pada masa yang sama menyalahkan orang lain yang tidak bersama mereka melakukan demonstrasi. Katanya isu ini sangat sensitif. Jadi apakah wajar dilakukan demonstrasi yang memungkinkan berlakunya pergaduhan dan menaikkan kemarahan orang bukan Islam pula tatkala melihatkan respon orang Islam yang terlalu keras? Pada penulis, walaupun kita marah dengan keputusan ini, setiap kita mestilah bertindak secara wajar dan mengikut saluran yang betul selagi masih ada ruang. Bukannya sambil menyelam sempat lagi minum air. Tidak salah membantah. Tidak salah marah. Tetapi biarlah marah itu bukan dibuat-buat atau sekadar menunjukkan kitalah hero membela agama Islam. Bagaimanapun, penulis gembira kerana Perdana Menteri telah mengingatkan semua agar semua pihak bertenang dan tidak bertindak secara keterlaluan.

Selain respon daripada Majlis Fatwa Kebangsaan dan PM, parti politik tertentu misalnya PAS telah menyatakan pendirian mereka berkenaan isu ini. Kenyataan akhbar PAS boleh dibaca di sini. Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat terlebih dahulu telah menyatakan bahawa beliau sendiri tidak bersetuju dengan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam. Beliau berkata walaupun Islam tidak melarang penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam, tetapi dari sudut fekah larangan boleh dikuatkuasakan kerana dibimbangi boleh mendatangkan kemudharatan kepada  orang Islam.

Namun begitu, ahli parlimen PAS bagi Shah Alam iaitu Khalid Samad telah menyatakan sokongan kepada keputusan Mahkamah Tinggi sebaik sahaja keputusan diumumkan sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai terhadapnya termasuk beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat seperti Zulkifli Nordin iaitu ahli Parlimen Bandar Baharu (PKR). Selain itu, pertikaian di antara beberapa tokoh Islam terkenal tanah air juga berlaku dalam isu ini. Pertikaian berlaku di antara Dr. Asri Zainal Abidin dan Dr. Harun Din yang boleh dibaca di sini. Tidak ketinggalan MCA telah menyatakan pendirian mereka bahawa keputusan Mahkamah Tinggi perlulah dipatuhi dan tidak perlulah dipertikaikan lagi.

Sekadar tinjauan di beberapa blog, penulis telah terbaca beberapa pendapat di blog-blog tertentu yang mungkin dapat memberi sedikit penjelasan kepada kita berkenaan isu ini. Antaranya di blog Che Det dan blog Peguam Kita.

Kesimpulannya, polemik isu Allah ini sememangnya telah menimbulkan pelbagai reaksi dan pendapat. Ada yang menyokong, ada yang membantah. Secara amnya, umat Islam di Malaysia membantah penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia termasuk penulis sendiri. Umat Islam di Malaysia perlulah berbincang bersama dan membuat keputusan tanpa mengira fahaman politik untuk menyelesaikan isu ini dengan bijak. Pada masa yang sama, perbincangan dengan penganut agama Kristian juga boleh diadakan untuk menyelesaikan isu ini seterusnya mengelakkan isu yang seakan ini timbul lagi pada masa akan datang.

Sekian, wassalam.

Related post(s):
  • Isu Hari Valentine – Salah siapa?
    Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Antara isu hangat yang kini dibincangkan di medium Facebook dan blog adalah isu operasi bagi membendung kegiatan tidak bermoral semasa sambutan Hari Valentine...

  • Comments (1)

    Can I install a different Wordpress theme to a Wordpress hosted blog?

    Post a comment

    Ataphijau Facebook Group
    youtube AJataphijau