
KEBEBASAN
Firman Allah S.W.T.:
“Dan jikalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?” (Maksud Surah Yunus (10):99)
“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam), sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat.” (Maksud Surah al-Baqarah (2): 256).
“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam).” (Maksud Surah al- Baqarah (2):256).
“Katakanlah, “Sesungguhnya aku hendak memperingatkan kepadamu suatu hal sahaja, iaitu supaya kamu menghadap Allah (dengan ikhlas) berdua-dua atau sendiri-sendiri; kemudian kamu fikirkan (tentang Muhammad)” (Maksud Surah Saba’ (34):46)
“Katakanlah: “Perhatikanlah apa yang ada di langit dan di bumi.” (Maksud Surah Yunus (10):101).
“Sesungguhnya persangkaan itu tiada berfaedah sedikitpun terhadap kebenaran.” (Maksud Surah al-Najm (53):28)
“Dan demikianlah, Kami tidak mengutus sebelum kamu seorang pemberi peringatan pun dalam suatu negeri, melainkan orang-orang yang hidup mewah di negeri itu berkata, “Sesungguhnya kami mendapati bapa-bapa kami menganut suatu agama dan sesungguhnya kami adalah pengikut jejak-jejak mereka.” (Maksud Surah al-Zukhruf (43):28).
Kebebasan yang dimaksudkan oleh orang yang memperjuangkannya ialah manusia perlu bebas tanpa wujudnya ikatan, batasan dan syarat. Manusia perlu menjalankan aktiviti kehidupannya menurut yang diingini oleh hawa nafsunya dan yang diajar oleh cita-citanya tanpa bimbingan agama, akhlak ataupun norma-norma masyarakat.
Ini merupakan pengertian kebebasan yang lazim pada kebanyakan manusia. Wujudkah kebebasan dengan maksud lain yang diseur oleh Islam?
Sesungguhnya kebebasan yang diseru oleh Islam merupakan kebebasan hakiki dan bijaksana, yang memelihara kemaslahatan individu dan memenuhi aspirasi serta kecenderungannya dan ia dilihat berdasarkan kepentingan masyarakat serta umat. Meskipun kebebasan dalam Islam terbatas, tetapi batasan-batasannya berperanan dalam mengukuhkan serta memeliharanya.
Dalam Islam, terdapat beberapa bentuk kebebasan yang mencakupi seluruh aspek kehidupan:
Dalam Islam juga terdapat kebebasan beri’tiqad. Islam melarang paksaan ke atas seseorang untuk menganut Islam. Seperti firman Allah dalam Surah Yunus (10):99, juga dalam Surah al-Baqarah (2): 256.
Sebab penurunan ayat ini menjelaskan kepada kita perhatian yang diberikan oleh Islam terhadap kebebasan. Pada zaman jahiliyyah, kebebasan yang diamalkan oleh kaum Aus dan Khazraj ialah apabila seseorang wanita hamil, ia akan bernazar. Jika ia melahirkan anak lelaki, maka ia akan menjadikannya sebagai orang Yahudi. Demikianlah bagaimana berkembangnya sebahagian anak-anak Yahudi di kalangan kaum Aus dan Khazraj, dua kabilah Arab. Setelah Islam dating dan Allah memuliakan mereka dengan agama ini, sebahagian bapa ingin mengembalikan anak-anak mereka ke dalam Islam dan mengeluarkan anak-anak mereka daripada agama Yahudi. Walau bagaimana sekalipun situasi yang menyebabkan mereka masuk ke dalam agama Yahudi dan bagaimana jua pun peperangan yang berlaku antara kaum Muslimin dengan orang Yahudi, Islam tetap melarang paksaan atas seseorang supaya keluar daripada agamanya untuk masuk dalam agama lain, walau untuk masuk ke dalam Islam. Justeru itu turunlah ayat, seperti firman Allah dalam Surah al- Baqarah (2):256.
Islam memelihara kebebasan beri’tiqad ini dengan batasan-batasan yang penting, iaitu komitmen terhadap agama ini setelah masuk ke dalamnya dengan penuh ketaatan dan kepuasan. Jika tidak, maka orang yang meninggalkan Islam diancam dengan hukuman kesalahan murtad.
Dalam Islam juga terdapat kebebasan berfikir, berteori dan berbahas, dengan meninggalkan taqlid dan kejumudan, seperti firman Allah dalam Surah Saba’ (34):46, dan juga dalam Surah Yunus (10):101.
Bagi golongan yang menyeru kepada sangkaan dan taqlid, Islam meletakkan di bahu mereka risiko yang berat, seperti firman Allah dalam Surah al-Najm (53):28, dan Allah juga berfirman dalam Surah al-Zukhruf (43):28.
Perbezaan dalam kebebasan berfikir dan kajian ilmiah tidak merosakkan perasaan saling mencintai. Dalam Islam juga wujud kebebasan bersuara, mengkritik dan menyampaikan pendapat. Islam mengiktiraf semuanya jika ia berkaitan dengan kemaslahatan ummah, akhlak, etika umum dan amar ma’ruf dan nahi munkar serta dalam rangka menyampaikan nasihat. ‘Umar ibn al-Khattab r.a. menegaskan (Dalam kata-katanya yang masyhur, “Tiada kebaikan pada kamu jika kamu tidak mengucapkannya dan tiada kebaikan pada kami jika kami tidak mahu mendengarnya.”
Batasan kebebasan dalam hal ini, bertujuan supaya tidak melanggar dan membahayakan hak-hak orang lain dan dalam Islam, terdapat kaedah yang mengatakan, “Tidak boleh ada mudarat dan memudaratkan”. Demikianlah luhurnya asas kebebasan dalam Islam, sehingga ‘Umar ibn al-Khattab mencela orang yang tidak mengetahui dasar ini dan beliau mengucapkan kata-kata yang masyhur, “Kenapa kamu semua memperhamba manusia, sedangkan ibu-ibu mereka telah melahirkan mereka sebagai orang yang merdeka?”
No related posts.





Assalamualaikum wbt…
Pada pendapat peribadi saya, tulisan ini sangat matang, membicarakan tentang isu kebebasan dalam konteks yang cukup matang, dgn memberikan dalil yang matang untuk menyokong hujah…saya suka pada cerita Aus dan Khazraj, pertama kali mendengarnya, juga kata2 Saidina Umar yg mahsyur, tp x pernah dgr lagi..artikel ini sangat menari, tahniah kepada penulis..