
Jaulah Islamiyyah : Halal & Haram Bersatu
Mengembara kebumi asing sememangnya sesuatu yang mengujakan kerana banyak pengalaman baru ditimba. Pelbagai pengalaman baru yang menarik dapat dirasa. Baru-baru ini, saya berpeluang melangkahkan kaki ke bumi Munich di Jerman. Memandangkan saya bukan peminat bola sepak, maka tujuan kesana sudah pasti bukan untuk ke Stadium atau melihat pasukan bola sepak beraksi. Pengalaman di Munich sangat menarik kerana perkara asing dan pelik yang saya alami membuatkan saya berfikir sejenak.
Munich, atau Munchen dalam bahasa Jerman nya berasal dari perkataan Muniken yang bermaksud Monk dalam bahasa inggerisnya. Munich sangat berbangga dengan warisan Bavarianya dan juga buat pengetahuan anda, Munich merupakan pengeluar terbesar beer di Eropah tetapi sudah pasti Masyarakat Irish adalah peminum utamanya.
Namun yang lebih menarik untuk dikongsikan adalah suasana Masyarakat Islam disana. Saya dan rakan berjalan-jalan sekitar bandar Munich untuk mencari makanan halal, dan kami tiba di satu kawasan dimana saya rasakan kawasan itu merupakan majority umat islam tinggal di situ. Terdapat banyak kedai makanan halal di situ, dan juga kedai-kedai runcit orang-orang islam. Malah terdapat juga sebuah masjid, walaupun bukanlah seperti masjid berkubah atau masjid Kristal tersergam indah seperti di Malaysia. Namun, yang tersangat peliknya adalah, kawasan tersebut juga merupakan lorong-lorong maksiat, dimana diselang seli dengan kedai halal, adalah kedai-kedai seks, kedai-kedai tarian bogel dan sebagainya. Bukan hanya satu atau dua buah kedai tetapi berbelas-belas kedai seperti itu di satu lorong sahaja. Turut membingungkan adalah apabila kedai-kedai itu berselang seli dengan kedai-kedai makanan halal. Pelbagai poster mengghairahkan dipamerkan di hadapan kedai untuk menarik Nafsu Lelaki ke lembah maksiat itu. Mujur sahaja saya juga tidak tergoda untuk turut serta. Untuk menundukkan pandangan seperti saranan Rasulullah adalah sesuatu yg sukar untuk dipraktiskan di saat itu kerana perasaan ingin tahu yang meluap-luap untuk melihat dan meneliti keadaan persekitaran.Benar sungguh Firman Allah :
“Dia mengetahui (pandangan) mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati” (QS Al Mu’min :19
Memang tersangat pelik keadaan di situ. Kehidupan ini penuh dengan kepelikkan yang saya sendiri sukar untuk menafsirnya. Namun, keadaan tersebut membuatkan saya banyak berfikir akan situasi umat islam masa kini. Apabila yang halal dan yang haram bersatu, bagaimana pula keadaanya? Kasihan masyarakat islam disana. Iyalah, keluar sahaja dari kedai halal, imej wanita bogel terpampang di depan mata. Sungguh menduga iman. Nafsu lelaki mana yang dapat bertahan. Namun disitu, wujud satu kekaguman pada mereka yang dapat menjaga syahwat di saat maksiat melata di depan mata. Bagaimana pula dengan keadaannya anak-anak kecil di kawasan itu. Membesar di tengah-tengah maksiat. Ia merupakan cabaran yang utama buat ibu bapa dalam mengasuh anak-anak. Tempat tersebut merupakan terpat berkumpul masyarakat islam setempat kerana terdapat pelbagai kedai halal, dan kedai runcit halal dan juga Masjid di situ. Di kawasan tempat orang islam berkumpul untuk merapatkan ukhuwah dan membina iman, disitulah pesta-pesta maksiat berlangsung. Kehidupan yang dipenuhi zina dari segenap penjuru, cabaran berat yang dipikul oleh masyarakat islam disitu. Zina tidak lagi menjadi satu keasingan.Benarlah Sabda Rasulullah S.A.W
“Setiap anak adam telah ditulis baginya bagian dari zina. Ia pasti melakukannya tanpa bisa dihindari, zina mata adalah memandang, zina lisan adalah berbicara, zina telinga adalah mendengar, zina tangan adalah menggunakannya, zina kaki adalah melangkah, jiwa berharap dan berhasrat, dan kemaluanlah yang membenarkan atau mendustakannya”(HR Bukhari dan Muslim).
Teringat saya tentang keadaan jahiliyyah di Makkah dahulu, dimana perempuan-perempuan bogel mengelilingi Kabaah yang suci. Begitulah juga keadaan yang jahil yang berlaku di bumi Munich. Maka yang halal dan yang haram berkumpul disatu tempat, sungguh pelik, sungguh pening. Itulah cabaran umat islam masa kini yang perlu ditempuh. Iman diuji dengan pelbagai cara, dan syahwat merupakan ujian terbesar yang mana manusia seringkali tewas kerana iman yang senipis kulit bawang. Di tengah-tengah hiruk pikuk maksiat, Masyarakat islam perlu menjaga iman, menonjolkan diri sebagai seorang muslim sejati dan berbangga dengan keislamannya. Itulah ujian dari Sang Pencipta buat manusia yang beriman. Jadilah seorang muslimin yang sejati walaupun anda berada ditengah-tengah lembah maksiat dan kehinaan, Jangan biarkan noda hina itu mencalit garisan pada diri anda.
Dakwah dan perjuangan sebenar adalah ditengah-tengah masyarakat yang bergelumang maksiat, untuk menyeru manusia meninggalakan kejahilan dan maksiat, tanpa diri sendiri terjerumus dan tergoda olehnya.
Inilah yang dimaksudkan oleh Al-Syahid Sayyid Qutb sebagai ‘Uzlah Syu’uriyyah ( Pengasingan jiwa). Uzlah Syu’uriyyah yang di maksudkan adalah dari dikotori atau dijangkiti oleh noda-noda masyarakat Jahiliyyah, memisahkan jiwa dengan cara merasi ketinggian iman disamping terus mara dalam gerak kerja menghapuskan jahiliyyah dengan mendedahkan kepalsuan, mencabar kebatilan, terus berkorban dan berjihad tanpa takut kepada celaan orang-orang yang suka mencela. Namun ‘Uzlah dari sedut gerak kerja, harakah dan da’wah tidak ada ‘uzlah sama sekali dan tidak ada pengasingan diri. Sekiranya berlaku pengasingan diri nescaya terhentilah gerak kerja, harakah, pergaulan dan dakwah.
Uzlah Syu’uriyyah wajar menjadi pegangan semua Daei yang perlu bergaul dan bercampur dengan masyarakat untuk dakwah, namun pada masa yang sama perlu mengasingkan diri dari terpengaruh oleh kekotoran jahiliyyah, memisahkan jiwa hanya kepada Allah tanpa mengasingkan diri dari masyarakat jahiliyyah kerana dakwah sebenar hanya bermula apabila kita berada ditengah Jahiliyyah dan menyeru kepada Ma’ruf dan mencegah yang mungkar, tanpa diri sedikit pun terpalit oleh noda jahiliiyah. Itulah cabaran yang diterima oleh Rasulullah dalam menyebarkan islam, maka kini adalah peranan kita menyambung warisan perjuangan dan dakwah baginda di tengah-tengah kejahilan manusia tentang Sang Pencipta, Allah Yang Berkuasa.
No related posts.





same la….dkt ofis sy, maksiat merata2…laki org, bini org…anak dara org…camner la sy nak buat?