Atap Hijau Rss

Are you saying I’m like an Elephant?

4

Posted by kalam hamba | Posted in Motivasi | Posted on 20-12-2009

“Nina, kak Lina tanya tadi kau nak jadi AJK Masakan tak untuk Program PUISI December nanti? Diorang tengah cari orang lagi tuh, tak cukup tenaga sebab ramai tarik diri”

“Hah? Kau tanya aku ke? Kau ni biar betul! Tak nak la aku. Aku dah serik. Kau tak ingat ke masa aku jadi AJK Masakan masa Program Jaulah Limerick hari tuh? Hancur masakan aku. Tak menjadi!! Nasib baik aku tak menangis kat situ. Tu baru masak untuk 40 orang. PUISI ni 200 orang tau. Tak nak..Tak nak..Takkan ada kali kedua. Kau cari orang lain la ye,” balas Nina kembali.

Tu dialog sahabat di Dublin. Sayup-sayup, terdengar pula perbualan sahabat di Cork,  Shahir yang merupakan Presiden Persatuan Pelajar Malaysia yang baru dilantik dalam AGM yang lepas.

” Shahir, kau ada ke hubungi Encik Kamaruzaman, Pegawai MSD tuh untuk minta peruntukan untuk program Family Day kita nih?” tanya Ude, bendahari persatuan yang amanah lagi komited itu.

“Nak minta ke kat MSD? Aku malas laa.. Bukan dapat pun nanti. Tahun lepas pon, Salman (bekas Presiden) kata diorang bagi E200 je, tu pun lepas berkali-kali kita hantar permohonan. Baik kita usaha sendiri. Leceh laa..Aku tak suka mengemis- mengemis ni.”

Di bumi Malaysia pula, di sebuah sekolah berasrama penuh yang terkenal dengan prestasi kecemerlangan pelajar-pelajarnya,

“Tahniah Zaff, aku dengar kawan-kawan kata kau dapat tawaran ke MRSM Taiping. Bestnya kau. Aku jeles tau..Aku nak sangat pergi, tapi nak buat camne, dah tak dapat. Takde rezeki kan. Tapi sebab kau kawan aku, aku tumpang gembira la juga. Semua cikgu kata MRSM Taiping tuh untuk budak-budak hebat. Kau beruntung sangat.”

Tapi riak kekecewaaan di wajah Zaff mengundang tanda tanya dalam diri Yuli. “Kenapa pulak nih?”

“Tak tau la. Aku tak rasa aku boleh terima tawaran tu. Ayah aku suka aku duduk sekolah agama. Kakak-kakak dan abang aku semua belajar kat sekolah agama sampai tamat SPM. Dulu pun masa aku dapat tawaran Sekolah Sri Puteri, dia sorokkan surat tawaran tu supaya aku tak tau. Kau tak ingat ke?”

“Alaa..kau ni pesimis laa Zaff. Belum apa-apa, dah fikir negatif. Lagipun kau tak cakap ngan ayah kau lagi kan? Kau bincanglah dulu..Pujuk dia sikit-sikit. Insyaallah lembut laa hati dia nanti.”

“Tak pe la Yuli, biarkan je la. Aku malas nak cakap ngan ayah, nanti kalau dia tak bagi, lagi kecewa aku jadinya. Jadi, baik aku diamkan aje,” Mendung berarak kelabu terus menyelubungi wajah Zaff.

Ini kisah-kisah kehidupan yang berlaku di sekeliling kita. Kalaupun ia tidak berlaku kepada kita, mungkin ia pernah berlaku kepada adik beradik kita, sahabat kita mahupun seseorang yang kita kenali.

Manusia merupakan insan yang cepat belajar. Orang-orang tua juga mengasak kita dengan pengalaman-pengalaman mereka. Kata mereka, pengalaman mematangkan kita dalam menguruskan kehidupan kita.

“Kami lebih dulu makan garam,” tambah mereka lagi dalam proses mereka mendidik kita dengan pengalaman mereka.

Namun, tidak semua pengalaman mampu membentuk keperibadian yang hebat. Pengalaman yang mengekat perkembangan potensi diri bukanlah satu pembelajaran yang bagus. Adakah hanya kerana kita pernah gagal dalam sesuatu perkara tersebut, kita takkan berani mencuba sekali lagi? Adakah kita akan terus mengalah dan mengalihkan perhatian kepada perkara lain?

Jika Ya, Itu pemikiran seekor gajah!


Elephant Thinking

An Elephant Thinking atau Pemikiran Seekor Gajah

Pernahkah sahabat-sahabat mendengar cerita tentang seekor anak gajah? Ketika anak gajah mula-mula dibawa ke sarkas untuk dilatih, kakinya diikat dengan rantai besi yang sangat berat. Rantai besi itu pula disambungkan pada suatu tiang yang dipacakkan ke tanah. Anak gajah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk melepaskan diri. Ia tidak mahu terus dikurung di penjara buatan manusia ini. Ia ingin bebas sebagaimana kawan-kawannya yang lain.”Help! Help!” hatinya menjerit.

Tapi rantai itu sangat berat dan kuat. Tiang itu juga sangat kukuh tertanam dalam pasak bumi. Ia gagal. Ia mencuba berkali-kali. Namun, ia gagal jua. Akhirnya anak gajah penat mencuba dan menerima nasib dirinya yang tak mungkin berjaya melepaskan diri daripada ikatan rantai itu. Hari-hari terus berlalu, dan anak gajah bukan lagi anak gajah yang bersaiz kecil dahulu. Tapi mentaliti anak gajah tidak berubah. Ia terus beranggapan bahawa ia tidak mungkin mampu memecahkan ikatan rantai pada kakinya itu.

Sekarang, anak gajah dewasa itu mempunyai berat 6 tan. Ia membesar menjadi makhluk Allah yang sangat besar dan berat. Dengan sekali bersin sahaja dan sedikit daya tarikan tambahan, ia mungkin dapat memutuskan rantai itu dan boleh melepaskan diri. Tapi, ia tidak pernah mencuba lagi setelah pasrah dengan kegagalannya dahulu. Pelatih sarkas sendiri menyatakan sekiranya mereka menggantikan rantai besi itu dengan seutas tali halus sekalipun, gajah itu pasti tidak akan melepaskan diri, kerana ia pasti tidak akan pernah lagi mencuba untuk memutuskan ikatan pada kakinya itu. Hanya kerana satu sebab, ia telah mencuba dahulu, dan ia gagal!

Saya bukan seekor gajah!!

Pemikiran ini didorong oleh ‘Assumed Constraint’; Kepercayaan yang dimiliki oleh seseorang berdasarkan pengalaman lalu yang mengekang dan menyekat peluang seseorang untuk menerokai pengalaman baru pada masa itu atau pada masa akan datang.

Saya minta maaf sekiranya situasi-situasi di atas secara tidak sengaja berkait dengan pengalaman-pengalaman sahabat. Dan saya tahu sahabat-sahabat tidak mahu disamakan dengan seekor gajah. Manakan tidak, gajah tidak mempunyai akal, sedangkan kita manusia merupakan makhluk terbaik yang diciptakan oleh Allah swt.

Walau bagaimanapun, saya amat berharap sahabat-sahabat belajar dan menyedari sesuatu daripada kisah seekor gajah ini. Kita perlu melawan ‘assumed constraint’ ini! Tapi, persoalannya bagaimana?

Ia semudah mengenali diri dan pemikiran kita sendiri. Dan apabila kita telah mengenali pemikiran kita dan mengenal pasti kepercayaan yang mengikat diri kita daripada terus maju dan menerokai pengalaman-pengalaman baru, kita kenalah berusaha melawan kepercayaan tersebut. Selagi mana kita tidak mengenali musuh dalam diri kita, kita tidak mungkin dapat melawan dan memenangi permainan kehidupan ini. Kenalpasti! Dan Lawan!

Azam Percaya dan Berjaya

Azam: Percaya dan Berjaya

10 tahun lalu kita mungkin mempunyai pemikiran seekor gajah. Namun, kita pasti tidak mahu terus dewasa dengan pemikiran ini. Dan kita juga tidak mahu generasi didikan kita nanti mempunyai pemikiran seekor gajah. Kerana kita seorang MANUSIA YANG BERAKAL! Jangan mengalah dan berhenti mencuba. Teruskan menggali kualiti dan potensi dalam diri masing-masing. Jangan pernah takut mencuba, kerana mencuba merupakan anak tangga pertama menuju kejayaan. Jangan lari daripada kegagalan kerana kegagalan merupakan salah satu pintu yang menghubungkan ruang kejayaan itu.

Tanamkan dalam diri bahawa kita gagal dahulu mungkin kerana penguasaan ilmu kita yang masih sedikit. Sekarang kita telah berusaha menambahkan ilmu-ilmu asas kita, jadi tidak mustahil kita mampu berjaya sekiranya Allah mengizinkan.

5 Tahun dahulu, ayah mungkin tidak membenarkan kita membuat keputusan sendiri mengikut kehendak dan kemahuan kita, tapi sekarang ayah mungkin telah yakin dengan kematangan dan kedewasaan kita yang telah mencecah umur 20-an.

Ketua pernah menolak cadangan kita dahulu mungkin kerana kita memilih masa dan ayat yang kurang tepat dalam mengutarakan idea kita. Mungkin juga situasi pada ketika itu tidak sesuai untuk diaplikasikan cadangan tersebut.

Masa berlalu, Manusia juga berkembang dan bertambah matang. Diri kita sekarang tidak mungkin sama dengan diri kita 5 tahun yang lepas. Paling kurang pun, berat kita mesti tidak sama dengan berat kita ketika sekolah menengah dahulu! Jadi, jangan biarkan pengalaman pahit lepas menyekat pergerakkan langkah kita untuk berjaya.

Ada insan yang gagal dalam akademik, tapi berjaya dalam bidang profesional.

Ada insan yang gagal dalam bidang kerjaya, namun cemerlang dalam membentuk keluarganya.

Dan yang paling penting, ada insan yang gagal di pentas DUNIA, namun kejayaan besar menantinya di AKHIRAT nanti. Ini matlamat kita insyaallah.

Inspirasi: Self-Leadership and the One Minute Manager

No related posts.

Comments (4)

a very gooooood article.. mental block is really sickening us….
tp susah nk buang since dah established dalam otak…
tp kena ubah..sbb perkara susah yg paling susah untuk dibuat adalah untuk berubah… mcm senang je..tp susah la..tp kena berubah or berhijrah

*clap*

satu artikel yang menarik,,,

ya,, kita tidak mahu menjadi seperti seekor gajah
kita nak jadi manusia yang tahu berfikir

we learn by mistakes, scarificing and experience

kepada senior2 jugak,,, jangan dictate adik2 senantiasa,,, biarkan mereka lepas bebas,,,

remember guide them not dictate them…

suke!! tahniah penulis :)

nice post :) bg semangat

Post a comment

Ataphijau Facebook Group
youtube AJataphijau