Atap Hijau Rss

Cuti-Cuti Musim Salju

0

Posted by amrullah | Posted in Al-Quran, Dakwah, Hadith, Ibadah | Posted on 13-12-2009

CUTI musim sejuk menjelang lagi bagi rantau Eropah dan yang sewaktu dengannya. Kedinginan musim sejuk seakan-akan dilupakan sebentar oleh kehangatan dan keterujaan untuk bercuti. Bila lagi, inilah masanya untuk melancong, jalan-jalan cari angin.

Ke manakah destinasi utama percutian anda? Turki? Mesir? Sepanyol? Itali? Perancis? England? Melanconglah ke mana pun, semuanya adalah bumi Allah jua, tidak terkurang walau seinci pun.

“Katakanlah, milik siapakah apa yang di langit dan di bumi? Katakanlah, milik Allah.Dia telah menetapkan kasih sayang pada diriNya.Dia sungguh akan mengumpulkan kamu pada hari kiamat yang tidak diragukan lagi.Orang-orang yang merugikan dirinya, mereka itu tidak beriman.”

Surah al-An’am: 12

Cuti-cuti juga, namun lebih indah lagi jika ia diberkati dan mengikut garis panduan agama kita. Jadi, bagaimana nak menjadikan melancong sebagai satu ibadah?

1. Niat

Niat membesarkan perkara yang kecil, niat juga mengecilkan perkara yang besar. Tetapkan niat, melancong kerana Allah, mengejar keredhaan Allah, bukan semata-mata untuk berseronok dan bersuka ria. Mengembara di bumi Allah adalah satu tuntutan, seperti mana Allah SWT telah berfirman:

“Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu yang mudah dijelajahi, maka jelajahilah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezekiNya.Dan hanya kepadaNyalah kamu (kembali setelah) dibangkitkan.”

Surah Al-Mulk : 15

Allah menyuruh kita keluar berkelana, melihat alam ciptaanNya dan mengambil pengajaran daripadaNya, bahawa Allahlah yang Paling Berkuasa untuk menjadikan sesuatu. Sebijak mana pun manusia, masih lagi tidak dapat menyaingi kehebatan Allah.

Jika bercuti di Turki, singkaplah kembali kisah-kisah di zaman kegemilangan Islam semasa pemerintahan Turki Uthmaniyah dahulu. Hayati setiap detik peristiwa yang berlaku serta ambillah pengajaran daripadanya.


“Pergilah berjalan (mengembara) di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana akibat orang yang mendustakan Allah.”
Surah al-Anam: 11

Apabila berada di tempat orang, niatlah untuk berdakwah, menyebarluaskan ajaran Islam yang mulia ini. Anggaplah diri sebagai duta kecil Islam yang datang membawa risalah kebenaran, imbau kembali saat-saat susah payah Rasulullah saw bermusafir ke Thaif, khusus untuk berdakwah. Tunjukkan akhlak yang mulia, persis seorang Muslim sejati, sebagai dakwah kepada golongan bukan Muslim. Berbudi bahasa apabila berurusan dan berpakaian menutup aurat apabila berjalan-jalan.

“Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.”

Surah an-Nahl: 125

Niatkan juga untuk mengeratkan silaturrahim apabila menziarahi para sahabat dan kenalan di tempat lain. Ambil tahu keadaan mereka dengan bertukar-tukar cerita, serta jangan sesekali menyusahkan mereka.

2. Destinasi

Apabila memilih destinasi percutian, semaklah dengan teliti.Pastikan tempat yang ditujui itu bermanfaat dan bukan terang-terangan tempat yang mengandungi maksiat seperti kelab malam dan pusat karaoke.Ya, memang sukar sekali untuk mencari tempat yang ‘suci’ di rantau Eropah ini, maklumlah, penduduknya majoriti bukan beragama Islam. Oleh itu, jagalah adab dan tingkah laku ketika bercuti ke negara-negara seperti ini.

Jika menjejakkan kaki ke Cathedral di Sepanyol, jangan pula teruja sampai turut serta dalam upacara atau ritual yang berlangsung.Cukuplah sekadar melihat seni ukiran dalaman bangunan itu serta mengambil tahu asal-usulnya sebagai sebuah masjid. Seeloknya carilah tempat yang boleh mendekatkan kita kepada Allah dan Rasul, iaitu tempat-tempat yang terlakar padanya sejarah Islam dan sejarah umat Islam. Jika menjumpai masjid, singgahlah sebentar untuk bersolat dan mendengar kuliah jika ada.

3. Pelancong

Peserta-peserta pelancongan, sedikit peringatan untuk anda, pastikan kumpulan kembara anda adalah yang mengikut syarie. Jika berbuat perkara yang Allah murka, bagaimana Dia mahu melindungi kita ketika melancong? Perempuan yang berjalan jauh hendaklah ditemani oleh suami atau mahramnya, ataupun oleh perempuan-perempuan yang thiqah, yakni yang boleh dipercayai. Elakkan daripada percampuran lelaki dan perempuan melainkan jika sesuai dan perlu. Misalnya, tidak salah melancong bersama sahabat perempuan yang membawa suaminya, ataupun dua tiga pasangan suami isteri yang melancong bersama-sama. Pergaulan hendaklah dijaga sebaiknya bagi mengelakkan fitnah dan perkara-perkara yang tidak diingini.


“Ditimpakan kehinaan di mana saja mereka berada, melainkan mereka yang menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia.”
Surah Ali Imran: 112

Pastikan keselamatan anda terjaga, usahlah berjalan seorang diri, tidak kira lelaki ataupun perempuan, lebih-lebih lagi di tempat asing yang tidak diketahui keselamatannya. Mungkin di sesetengah tempat, adalah perlu untuk mencari seorang pemandu pelancong, sama di kalangan orang tempatan, para pelajar yang belajar di situ ataupun pemandu pelancong rasmi dari syarikat pelancongan.

Daripada Ibn Umar r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Jikalau manusia mengetahui apa yang aku ketahui perihal bersendirian, tentulah tidak ada penunggang di malam hari seorang diri”. [al-Tirmizi, al-Jihad, no. 1673].

Lantiklah seorang ketua sebelum memulakan permusafiran, seperti mana pesan Rasulullah saw, “Apabila kamu keluar bermusafir dua atau tiga orang, lantiklah seorang ketua.” [Abu Daud, no. 2608, Hasan Sahih].

Melantik seorang ketua sangat penting ketika membuat sesuatu keputusan, serta menjadikan ahli-ahli percutian lebih berdisiplin dan teratur. Jika membeli-belah di kota London ketika Boxing Day, ketualah yang akan menetapkan tempat dan waktu berkumpul, agar tiada yang tersesat atau tertinggal bas pula.

4. Aktiviti

Melancong ni, takkan sekadar berjalan-jalan dan mengambil gambar? Isilah masa dengan aktiviti yang berfaedah.Sambil berjalan, berbincanglah tentang kebesaran Allah yang mencipta alam ini dan jika mengunjungi Piramid di Mesir, ambillah pengajaran daripada kisah Nabi Musa menghadapi Firaun dahulu. Ataupun luangkan sedikit masa untuk belajar Bahasa Arab di Mesir atau Syria, ramai Sheikh-Sheikh Lughatul Arabia yang sudi mengajar. Selain itu, boleh juga belajar teknik-teknik mengambil gambar yang berkualiti, sekarang kan ramai dah ada kamera SLR?

Hindarilah aktiviti yang tidak berfaedah seperti berjudi dan menyertai festival tari-menari jalanan jika singgah di Rome. Jangan cuba-cuba, takut nanti Allah yang mencuba kita pula.

Carilah makanan yang diyakini halalnya. Selidiki betul-betul kandungannya, terutama apabila berada di negara-negara yang kurang peka tentang keperluan Muslim terhadap makanan halal. Janganlah terlalu mengambil mudah semata-mata untuk mencuba makanan tersebut ataupun jika sudah terlalu lapar.

BUAT PERSEDIAAN SECUKUPNYA

Jika sudah selesai empat perancangan di atas, buatlah persediaan yang rapi sebelum bertolak. Doalah banyak-banyak, semoga Allah merahmati dan memudahkan perjalanan, serta jangan lupa untuk meminta izin dan memaklumkan kepada keluarga.

Bawa kelengkapan secukupnya, seperti peta, makanan, wang, kompas dan arah kiblat untuk solat, pakaian yang sempurna untuk solat pada bila-bila masa serta kamera yang berfungsi. Pastikan tempahan pengangkutan dan penginapan dibuat dengan betul.Lengkapkan diri dengan ilmu musafir, dalami rukhsah-rukhsah serta adab-adab seorang musafir. Berbincanglah dengan ahli-ahli percutian dan sediakan jadual perjalanan yang kemas. Sebelum bertolak, lakukanlah solat sunat musafir dua rakaat, semoga perjalanan akan diredhai oleh Allah.

Akhir sekali, pesanan penulis, janganlah lupa membeli cenderahati untuk keluarga serta sahabat-sahabat di sini !!!

 

Related post(s):
  • Cuti-cuti musim sejuk
    PUISI tahun ini adalah di bawah anjuran Persatuan Pelajar Islam Malaysia Ireland, Dublin dan Persatuan Pelajar Malaysia Cork .. jom sama-sama sertai .. Tontoni video...

  • Post a comment

    D.I.A