
Buat insan yang budiman,
“If you have much, give of your wealth; if you have little, give of your heart”
Hari ini kami; lembu dan kambing ingin berbicara tentang pengorbanan. Lalu kami mulakan dengan sepotong pepatah Arab di atas. “Give of your heart” itu bukanlah bermaksud memberi hati kita pada orang lain, tetapi memberi kebaikan yang ada dalam hati kepada orang lain. Ada orang yang lebih tinggi kemuliaannya dengan mendermakan hatinya kepada insan lain.Bukan mudah nak menyerahkan sebahagian daripada organ dalaman kita kepada orang lain, nak dermakan sedikit darah pun susah.Sifat sedia berkorban perlu ada dalam diri setiap insan.Walaupun hanya pengorbanan yang kecil, ia tetap satu pengorbanan, kerana perkara yang kecil bagi kita mungkin tampak besar di mata orang lain, apatah lagi pada pandangan Allah.
Hari ni juga lembu dan kambing nak ucapkan salam Aidiladha buat semua umat Islam.Masa lembu kecil dahulu, selalu dengar orang bercerita, “Lembu korban ni, semalam dia mimpi pakai rantai emas di lehernya.” Lembu pun seronoklah, siapa tak suka kalau dapat hadiah rantai emas,mati hidup semula pun lembu sanggup dikorbankan untuk kali kedua.Rupa-rupanya kisah itu hanyalah dongengan semata-mata.
Korban dalam Islam ni bermula daripada kisah Habil dan Qabil, dua saudara hasil zuriat Nabi Adam A.S. dan Hawa.Atas satu persengketaan, Allah menurunkan perintah melalui Nabi Adam agar kedua saudara itu memberikan korban.Habil mempersembahkan seekor kambing yang sihat dan gemuk, sedangkan Qabil hanya memberikan hasil tanaman yang kurang segar dan kurang elok rupanya. Ditakdirkan Allah, korban Habil yang diterima, lalu Qabil berasa dengki dan membunuh Habil, saudara sedarahnya sendiri.
Firman Allah :

“Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua-dua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya ketika mereka mempersembahkan korban maka diterima daripada salah seorang daripada mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): Aku pasti membunuhmu! Berkata Habil: Sesungguhnya Allah hanya menerima korban daripada orang yang bertakwa.” (Surah al-Maidah, ayat 27)
Seterusnya, cerita korban ini diteruskan oleh kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Lembu dan kambing sangat kagum dengan kemuliaan mereka berdua ini.Manakan tidak, si ayah sanggup mengorbankan anak kesayangannya sendiri, semata-mata untk memenuhi perintah Allah, dan si anak juga merelakan dirinya dikorbankan. Akhirnya Allah itu Maha Besar dan Dia telah menggantikan seekor kibas sebagai korban Nabi Ibrahim.
Firman Allah:

Maka ketika anak itu sampai (pada umur) sanggup berusaha bersamanya (Ibrahim) berkata, “Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu.Maka fikirkanlah bagaimana pendapatmu!” Dia (Ismail) menjawab, “Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insyaAllah engkau akan mendapatiku termasuk orang yang sabar.”
as-Saffat : 102
Manusia pada hari ini, sanggupkah berkorban hingga ke tahap itu? Lembu dan kambing merasa ragu-ragu pula…
Insan yang budiman,
Perayaan yang diraikan umat Islam bukan semata-mata aktiviti sosial tetapi adalah satu ibadat yang dituntut dalam agama. Pada zaman jahiliyah dahulu, manusia juga mempunyai cara tersendiri untuk meraikan perayaan.Datangnya Islam membawa pembaharuan dan penambahbaikan terhadap cara manusia menyambut sesuatu hari kebesaran.Hari raya adalah kurniaan Allah kepada orang Islam Ansar bagi menggantikan amalan hari perayaan jahiliah sebelum kedatangan Islam di Madinah.
Diriwayatkan Imam Abu Daud dan an-Nasai daripada Anas dalam hadis :
“Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu yang lebih baik daripada keduanya iaitu Aidiladha dan Aidilfitri.”
Ibn Taimiyah juga menyebut perayaan ini adalah suatu ’syariat’ seperti ditegaskan dalam firman Allah :

“Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama atau ibadat (yang wajib diikuti oleh masing-masing).” (Surah Al Maidah, ayat 48)
Seingat lembu dan kambing, macam-macam gelaran yang manusia berikan kepada Aidiladha ni. Ada yang panggil hari raya haji, sebab ketika ini umat Islam mengerjakan salah satu daripada rukun Islam iatu ibadat haji di Makkah. Ada yang panggil hari raya korban, sebab antara syiar semasa merayakannya adalah mengorbankan haiwan seperti unta, lembu, kambing dan biri-biri.
Aidiladha hendaklah dibesarkan dengan sewajarnya, dengan mengucapkan takbir secara berterusan pada malam hari raya hinggalah pada hari raya keempat. Pada Aidilfitri disunatkan menjamah makanan sebelum ke masjid tetapi untuk Aidiladha kita disunatkan pergi ke surau atau masjid lebih awal untuk menunaikan solat sunat Aidiladha dan mendengar khutbah, kemudian barulah menjamah hidangan.Selain itu, umat Islam juga disarankan untuk saling bermaafan dan menziarahi antara satu sama lain.Kambing nak tanya ni, sudahkah anda wahai manusia memohon maaf dan memberi maaf kepada manusia lain? Lebih-lebih lagi kepada ibubapa di rumah tu. Sudah? Belum?

Insan yang budiman,
Bercakap tetang korban lembu dan kambing ni, kami nak sentuhlah sedikit tentang hukum serta garis panduan korban Aidiladha.
Pertama, ada ulama’ mengatakan bahawa korban ni wajib bagi yang mampu. Ini merupakan pendapat Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Rabi’ah al-Ra’yi, al-Auza’i, al-Laits bin Saad, salah satu dari pendapat Imam Ahmad bin Hanbal dan pendapat ini telah dirajihkan (dibenarkan) oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Dalil-dalil yang menyokong pendapat ini adalah seperti berikut:
1) 
“Oleh itu, kerjakanlah solat kerana TUHANmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).” – Surah al-Kautsar: 2.
Ayat ini menggambarkan kewajipan ibadah korban sebagaimana kewajipan mengerjakan solat. Ini kerana, kedua-dua ibadah tersebut dihubungkan dengan kata penghubung wau bermaksud ‘dan’ yang mana ia menunjukkan ada persamaan hukum.
2) Jundab bin Abdillah bin Sufyan al-Bajali r.a berkata:
“Nabi s.a.w solat pada hari al-Nahr (Aidiladha) kemudian berkhutbah lalu menyembelih (bintang) korbannya lantas bersabda: Sesiapa yang menyembelih sebelum solat (hari raya Aidiladha), sembelihlah yang lain sebagai penggantinya dan sesiapa yang belum menyembelih maka sembelihlah dengan nama ALLAH.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 985.
Perintah Rasulullah s.a.w agar mengulangi ibadah korban jika ia dilakukan sebelum solat hari raya Aidiladha menunjukkan ia termasuk perkara wajib. Jika tidak, sudah pasti baginda tidak akan memerintahkan agar penyembelihan diulangi.
3) Menurut Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda:
“Sesiapa yang memiliki kemampuan (keluasan rezeki) dan tidak menyembelih, maka jangan dekati tempat solat kami.” – Hadis riwayat Imam Ibn Majah di dalam Sunan Ibn Majah, hadis no: 3114
Hadis ini berupa ancaman bagi golongan yang memiliki kemampuan untuk menyembelih pada hari raya Aidiladha tetapi tidak mengerjakan ibadah korban. Ancaman berat ini tidak akan dikeluarkan oleh baginda melainkan ia sebagai bukti mengenai kewajipannya.
Kedua, hukumnya ialah sunat muakkad bagi yang mampu, iaitu sunat yang sangat dituntut.
Inilah pendapat jumhur (majoriti) ulama dan pendapat Imam Syafie rahimahullah. Golongan ini berpegang kepada dalil-dalil seperti berikut:
1) Menurut Ummu Salamah r.a, Nabi s.a.w telah bersabda:
“Jika masuk sepuluh hari pertama Dzulhijjah dan salah seorang daripada kamu semua ingin menyembelih (haiwan) korban, janganlah memotong sedikitpun dari rambut dan kukunya.” – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1977.
Dalil ini menunjukkan bahawa ibadah korban tidak wajib berdasarkan kata-kata baginda ‘dan salah seorang antara kamu semua yang ingin’. Ia menggambarkan kepada kita bahawa baginda memberi pilihan kepada sesiapa sahaja sama ada untuk menyembelih atau sebaliknya. Seandainya ibadah korban itu wajib, pasti baginda memberi pilihan kepada seseorang sambil berkata: “Janganlah memotong rambut dan kukunya sehingga selesai menyembelih haiwan korban.”
2) Jabir r.a berkata:
“Aku menyaksikan bersama Nabi s.a.w solat Aidiladha di musolla (tanah lapang). Ketika selesai berkhutbah, baginda turun dari mimbar lalu dibawakan seekor kambing lantas Rasulullah menyembelihnya dengan tangannya sendiri sambil berkata: Bismillah wallahu Akbar (Dengan nama ALLAH dan ALLAH Maha Besar). Ini daripadaku dan daripada umatku yang belum meyembelih.” – Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 2427.
Selain itu, kata-kata baginda ‘ini dariku dan dari umatku yang belum menyembelih’ diungkapkan secara lafaz mutlak dan umum bukan secara khusus. Bermakna, memadai ibadah ini diwakilkan kepada seseorang sebagaimana baginda mewakili seluruh para sahabat yang masih belum melakukan korban.
Inilah dalil menunjukkan ibadah korban tidak wajib. Sekiranya ia wajib, tentu bagi mereka yang meninggalkan ibadah tersebut berhak dihukum dan tidak memadai baginda mewakilkan korbannya itu kepada seseorang.
3) Abu Sarihah al-Ghiffari, beliau berkata:
“Aku mendapati Abu Bakar atau melihat Abu Bakar dan Umar tidak menyembelih (haiwan) korban – dalam sebahagian hadis mereka – khuatir dijadikan ikutan orang terkemudian.” – Hadis riwayat al-Baihaqi di dalam Sunan al-Kubra, jil. 9, ms. 295. Syeikh al-Albani telah mensahihkan riwayat ini di dalam Irwa’ al-Ghalil, hadis no: 1139.
Seandainya ibadah korban itu wajib, pasti Abu Bakar dan Umar r.a akan mendahului umat Islam dalam melakukan ibadah korban.
Hmm..kalau nak bincang pasal tajuk korban ni, panjanglah pula warkah daripada lembu dan kambing ni, nanti tak larat pula manusia nak baca.Yang penting adalah, semua pembaca dapat mesej yang hendak disampaikan.
Akhir sekali,pesanan daripada penaja, hayatilah kisah di sebalik Aidiladha, serta sambutlah dengan sebaiknya, mengikut syariat. Selamat menyambut Aidiladha.
Salam kemaafan,
Lembu dan kambing.
Related post(s):Fenomena membawa artis Hollywood ke Malaysia semakin menjadi-jadi. Lantaran permintaan yang hebat dari peminat dan tiadanya sekatan dari pihak kerajaan, Malaysia yang kononnya diiktiraf sebagai...




Lembu dan Kambing tak jadi haiwan korban Aidiladha tahun ni ke? Atau ni warkah terakhir dr lembu dan kambing?
Apa2pun, terima kasih atas warkah yang best nih. Kambing dan Lembu pon nampak ye yang manusia sekarang dah kurang membesarkan Hari Raya ini ye? Kalau di Malaysia di sesetgh tempat, hari raya Aidiladha ni seolah2 hanya cuti umum biasa saje bg sesetgh mereka. Sayang sungguh..
Insyaallah kita sama2 mengajak org sesekeliling kita utk membesarkan hari kemenangan umat Islam ini dgn takbir dan penghayatan korban.
Sesungguhnya berkorban itu tidak mudah, unless kecintaan dan kesayangan itu dihadirkan. Tapi ada sesetgh kecintaan kalau berlebihan akan membinasakan.. Contonya Kecintaan kepada Harta Dunia.