Atap Hijau Rss

Adakah Seluruh Penduduk Madinah Muslim?

7

Posted by fairuz_azmi83 | Posted in Dakwah, Sejarah | Posted on 03-11-2009

 

Adakah Seluruh Penduduk Madinah Semuanya telah Islam dan Beriman ketika Madinah ditubuhkan sebagai Pusat Pentadbiran Islam oleh Rasulullah s.a.w ?

decisive

Salah satu perkara yang biasa disebut-sebut ialah status keagamaan penduduk Madinah yang dikatakan telah berjaya dislamkan apabila berlakunya peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. Selain itu dikatakan juga seluruh penduduk Madinah semuanya memiliki kriteria keimanan yang menjadi contoh sepanjang zaman. Oleh itu, apabila Rasulullah s.a.w berjaya mewujudkan negara Islam Madinah, kejayaan tersebut dikaitkan dengan pengislaman seluruh penduduk Madinah. Ia menjadi hujah oleh segelintir pihak yang menyatakan tahap-tahap dakwah Rasulullah s.a.w beransur-ansur. Hanya telah umat Islam faham dan memeluk Islam di Makkah, barulah dapat ditegakkan Madinah sebagai daulah Islam. Hanya setelah berjaya seperingkat barulah peringkat seterusnya disambung, begitulah seterusnya sehingga sampai ke peringkat yang paling tinggi. Sejauh manakah benarnya hujah tersebut?

Bagaimana Mencari dan Memahami Sumber Sejarah Islam?

Terdapat beberapa cara untuk mengenalpasti sumber dan juga hujah ini. Sudah tentunya buku-buku sejarah Islam menjadi perhatian kita semua. Sebelum kita terus memeriksa kitab-kitab sirah ada baiknya kita juga melihat ayat-ayat al-Quran yang berkisar tentang siyasah dan pentadbiran. Ini kerana kebanyakan ayat-ayat al-Quran sendiri diturunkan di Madinah sepanjang 10 tahun Nabi Muhammad berada di Madinah, yang mana ayat-ayat tersebut ditujukan untuk menyelesaikan dan memenuhi kehendak serta situasi yang sedang dialami oleh Rasulullah dan para sahabat baginda serta penduduk Madinah amnya. Ada ayat mengenai dakwah, akidah, politik, muamalah yang diturunkan di Madinah. Ada ayat-ayat megenai golongan Yahudi dan Nasrani, ada juga ayat-ayat mengenai golongan munafik.

madinah12

Jika kita menyelidik beberapa sebab nuzul ayat-ayat al-Quran, kita akan dapati adanya ayat-ayat yang berkaitan dengan tiga golongan tersebut termasuk juga para sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w yang beriman semuanya kebanyakannya diturunkan di Madinah ataupun disebut era Madinah. Banyak untuk disebut satu persatu di sini. Antaranya boleh rujuk ayat-ayat bagi surah al-Taubah dan juga surah al-Munafiqun. Melihat kepada kepelbagaian rumpun masyarakat yang ditujukan oleh al-Quran ini di era Madinah sudah pasti ia menunjukkan kepelbagaian masyarakat yang mendiami zaman Rasulullah s.a.w.

Bermula di Sini: Konflik Aus dan Khazraj

Baiklah, mari kita semak semula sejarah Islam. Tetapi di manakah kita harus bermula ? Boleh jadi elok kita mulakan dari peristiwa Baiah Aqabah apabila beberapa wakil dua kaum Arab yang terbesar di Yathrib datang menemui Rasulullah s.a.w sewaktu di Makkah, mempelawa baginda ke Yathrib demi keamanan Yathrib sendiri yang sedang bergolak. Sebenarnya dua kaum Arab ini saling berkonflik dan pergolakan di antara mereka turut melibatkan beberapa kaum Yahudi di Yathrib. Ringkasnya, kaum Aus bermukim di kawasan al-Awali iaitu di kawasan yang lebih tinggi dan subur, berjiran dengan Bani Quraizah dan Bani al-Nadhir iaitu dua suku Yahudi yang terbesar. Manakala kaum Arab Khazraj tinggal di tempat yang lebih rendah dan kurang subur dan mereka berjiran Bani Qaynuqa’ juga antara kaum Yahudi yang terbesar.

Lima tahun sebelum berlaku peristiwa Hijrah, iaitu setelah hampir 8 tahun Rasulullah berdakwah di Kota Makkah, berlaku peperangan besar dinamakan Pertempuran Bu‘ath di antara kabilah Arab terbesar Yathrib, Aus dan Khazraj masing-masing disokong oleh suku-suku kaum Yahudi yang berbeza. Dalam peperangan tersebut, Aus berjaya mengalahkan Khazraj. Namun pihak Aus menyedari sekiranya mereka menghapuskan ataupun melemahkan Khazraj, survival mereka akan turut hilang juga satu hari kelak kerana mengikut bacaannya, apabila Khazraj ditewaskan sedikit masa kelak Aus juga akan kehilangan kuasa mereka apabila pihak Yahudi yang berlainan suku ini bersekutu untuk melawan satu-satunya kaum Arab yang mana pada ketika itu mereka ini telah berjaya memonopoli ekonomi Yathrib akibat konflik di antara Aus dan Khazraj.

Lama-kelamaan daripada kuasa ekonomi kaum Yahudi ini akan menguasai politik Yathrib. Mahu tidak mahu, Aus dan Khazraj perlu berdamai. Bagi mencapai perdamaian tersebut mereka perlu memilih seorang pemimpin di kalangan mereka untuk ditabalkan. Antara pilihan mereka ialah Abudullah bin Ubai dipilih kerana suku keluarganya tidak menyebelahi mana-mana pihak sewaktu berlakunya peperangan Bu‘ath.

Pengislaman Aus dan Khazraj – Baiah Aqabah 1 dan 2

Dipendekkan cerita, sewaktu dalam proses pemilihan ini ada di kalangan Aus dan Khazraj memeluk Islam sewaktu musim haji iaitu apabila mereka ke Makkah dan ditemui oleh Rasulullah s.a.w. Pada dua tahun berikutnya rombongan dari Yathrib dua kali berturut-turut menemui Rasulullah memeterai perjanjian Aqabah I dan II sekaligus menjadi rantai-rantai yang menghubungkan keimanan mereka dengan Islam dan jalinan perdamaian di antara dua suku yang bertelagah ini. Bai’ah yang batu asasnya merupakan peralihan akidah jahiliyah kepada akidah Islam telah bertukar menjadi suatu komitmen yang akhirnya membuatkan penduduk Yathrib mempelawa Rasulullah s.a.w dan saudara seIslam mereka mencari tapak baru di Yathrib.

Islam telah membawa rahmat bagi Aus dan Khazraj dan membuka jalan persaudaraan yang lebih kukuh berasaskan sistem akidah. Dua suku ini menyedari peri pentingnya tunjang ini untuk mengukuhkan perdamaian di antara mereka pada waktu yang sama menghadapi golongan Yahudi Yathrib yang telah mengambil kesempatan di atas kelemahan dan kealpaan mereka selama ini yang lebih melihat kepada keuntungan bangsa. Jika pelawaan mereka kepada Rasulullah s.a.w dipenuhi kekuatan mereka akan bertambah dengan kedatangan Rasulullah dan juga Kaum Quraisy yang beriman. Walaupun mereka akan meletakkan Yathrib dalam bahaya akibat ancaman dari kaum Quraisy jahiliyyah namun mereka percaya kepimpinan Rasulullah dapat mengalahkan mereka bahkan Islam telah menyelesaikan pergolakan antara dua kaum mereka setelah begitu lama bermusuhan.

6a00d8341c858253ef00e54f35f4728834-640wi1

Penduduk-penduduk Madinah: Yahudi dan masyarakat majmuk yang lain

Apabila Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, terdapat pelbagai latar belakang penduduknya. Ada golongan Yahudi yang berhijrah sudah berkurun lamanya. Ada juga di kalangan mereka berketurunan Arab tetapi memeluk agama Yahudi. Mereka ini menjadi sebilangan besar kaum Yahudi Madinah. Sewaktu Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah terdapat lebih 20 suku Yahudi yang mendiami Madinah. Tiga yang terbesar ialah Bani Qurayzah, Bani al-Nadhir dan Bani Qaynuqa’. Jika Madinah diserang musuh tiga suku ini boleh menghantar 2,000 pahlawan yang lengkap dan kuat. Bayangkanlah jumlah ini dengan jumlah tentera Badar dan Uhud. Selain dari tiga suku ini terdapat lebih 20 suku Yahudi yang mendiami Madinah terdiri dari suku kaum Yahudi bernama Bani Akrimah, Bani Muhammar, Bani Zaura’, Bani Jasham, Bani Muawiyah, Bani Murid, Bani Qasis, Bani Tha’labah dan lain-lain lagi. Ada di antara suku-suku ini berbangsa Arab tetapi beragama Yahudi.

Selain itu, penting dinyatakan juga pengaruh dan dominasi kaum Yahudi ke atas Madinah baik dalam pertahanan Madinah di sebelah utara menghadapi Syria, ataupun kepakaran mereka dalam bidang pertanian dan pertukangan. Mereka juga membawa pertanian kurma, anggur serta delima serta bijirin yang menjadi sumber ekonomi kepada Madinah yang turut dinikmati oleh orang Arab. Dalam sektor kewangan, mereka mengamalkan riba yang menjadi aset dan keuntungan yang besar kepada mereka. Tidak hairan di sini bagaimana ekonomi Madinah hamir-hampir dikuasai oleh mereka.

Apakah setelah berlaku hijrah, maka serta-merta tamatlah riwayat dan hayat kaum Yahudi Yathrib? Sudah tentu tidak. Apakah kedatangan Rasulullah dan golongan muhajirin menimbulkan kacau-bilau di Madinah? Tidak, kecuali bagi golongan yang berkepentingan yang memandang penghijrahan tersebut telah menghalang mereka menguasai politik dan ekonomi Madinah. Piagam Madinah yang diperkenalkan oleh Rasulullah menjadi satu lagi bukti yang kukuh wujudnya pelbagai lapisan masyarakat berbilang agama dan suku yang menjadi struktur rakyat Madinah. Kepelbagaian agama memang wujud di Madinah ketika itu. Bukan hanya orang Islam sahaja tinggal di Madinah sehinggalah berlaku beberapa insiden di mana ada suku Yahudi ini telah melanggar perjanjian dan telah membuat tindakan melanggar piagam yang telah dipersetujui. Perlu ditekankan di sini tindakan yang dikenakan ke atas mereka ini hanya terhad kepada golongan yang terlibat sahaja. Ini bermakna, suku-suku Yahudi yang tidak terlibat tidak dikenakan tindakan dan mereka terus menetap di Madinah. Ada di kalangan suku-suku mereka ini memeluk Islam. Salah seorang daripada isteri Rasulullah adalah dari suku ini.

pic036021

Perlaksanaan Sistem Negara Islam Madinah

Sewaktu di Madinah jugalah sistem muamalah Islam mula dibentuk beransur-ansur. Ini bermakna sistem akidah, dakwah, politik dan muamalah bergerak seiring di era Madinah. Hukum-hukum syariat baru diperkenalkan. Tanpa bertangguh-tangguh, perlaksanaannya dilakukan oleh Rasulullah s.a.w tanpa menunggu-nunggu semua penduduknya telah beriman ataupun faham dengan mendalamnya. Ambil contoh kewajipan zakat yang diperkenalkan. Apabila turun sahaja perintah zakat, perlaksanaannya berkuatkuasa. Begitu juga pengharaman riba tanpa tunggu semua orang Islam Madinah memahaminya, riba ditegah untuk mereka. Begitu juga pengharaman perkahwinan melebihi empat orang isteri yang mana budaya perkahwinan ramai sehingga melebihi sepuluh isteri menjadi amalan ketika itu. Rasulullah s.a.w tidak menunggu sehingga al-Quran diturunkan kesemuanya kemudian barulah memulakan tindakan ataupun kuatkuasa hukum-hukum syariah dan perundangan.

Setelah berhijrah, berlaku peristiwa ‘mu’akhah’ iaitu persauadaraan di antara golongan Muhajirin dan Ansar. Peristiwa ini boleh menjadi satu topik yang menarik untuk dikupas dan dianalisa. Bilangan Muhajirin tidak sampai 50 orang telah dipersaudarakan. Seramai 90 orang Muhajirin dan Ansar telah diikat dengan persaudaraan berasaskan akidah. Bilangan Muhajirin hanyalah sejumlah kecil. Oleh kerana itu, bukanlah perkara yang ganjil jika melihat kepada bilangan tentera badar pada tahun kedua hijrah, bilangan mereka cumalah 313 orang termasuk kaum Ansar.

Penghijrahan tidak berhenti apabila Rasulullah dan Abu Bakr berhijrah, malah terdapat ramai lagi keluarga yang masih tertahan dan tidak dapat berhijrah. Penghijrahan umat Islam dari Makkah ke Madinah terus berlaku sehingga termenterainya perjanjian Hudaibiyah yang dilihat oleh pihak Quraisy salah satunya cara untuk menghalang penghijrahan lebih ramai penduduk Makkah ke Madinah yang mana penghijrahan tersebut akan mengukuhkan lagi Islam dengan pertambahan penduduk. Inilah satu sebab mengapa ia termasuk dalam salah satu perkara yang direkodkan dan dituntut secara jelas dalam perjanjian tersebut. Sekiranya umat Islam ini dihalang keluar mereka akan berjaya memantau pergerakan mereka dan pada waktu yang sama menghalang pertambahan kuasa dan tenaga golongan muslimin di luar Makkah. Sedangkan di pihak Rasulullah s.a.w, baginda melihat ia sebagai satu strategi baru dan rancangan politik jangka panjang bagi menjayakan langkah-langkah Fath al-Makkah, pembukakan kota Makkah beberapa tahun berikutnya.

Cabaran dan Rintangan dari Dalam dan Luar Madinah

Selain dari berhadapan dengan golongan Yahudi di Madinah, juga Musyrikin Makkah, umat Islam di Madinah juga mengalami tekanan dari dalam Madinah iaitu golongan Munafiqin. Golongan ini bergabung dengan sebilangan Yahudi Madinah dan Quraisy untuk melemahkan kekuatan Islam dari dalam. Beberapa insiden terjadi baik sewaktu peperangan ataupun sewaktu perdamaian menunjukkan cabaran yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda yang beriman.

Kewujudan golongan ini dalam negara Islam Madinah disebut secara jelas di dalam al-Quran dalam beberapa surah. Ini menunjukkan Rasulullah bukan melalui proses yang mudah apabila baginda berhijrah dan sepanjang hidup baginda sebagai Rasul dan ketua di Madinah. Seringkasnya disebut di sini ialah bagaimana usaha jahat golongan ini sewaktu perang Uhud dan Ahzab. Sewaktu dalam perjalanan ke medan Uhud, seramai 300 orang tentera Muslimin telah menarik diri dari peperangan tersebut setelah termakan propaganda golongan munafik mengenai kekuatan angkatan Quraisy. Maka tinggallah tentera muslimin yang beriman.

Dalam peperangan Ahzab pula, mereka berpakat dengan segolongan Yahudi memberikan rahsia-rahsia ketenteraan kota Madinah sehingga menyebabkan tentera Muslimin terkepung dengan lama dan hampir-hampir lumpuh. Sehinggalah ada tentera Islam Madinah berjaya membolos keluar dan mengatur strategi baru dari luar kota dengan memporak-perandakan kepungan yang sedang dibuat.

Kesimpulan

Kesimpulannya, bagi menjawab soalan di atas, berdasarkan keterangan yang diberikan, penduduk Madinah terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat Islam dan bukan Islam. Di kalangan masyarakat samada mereka Muslim ataupun beragama lain. Di kalangan dua golongan Muslim dan bukan Muslim ini ada yang memberikan sumbangan dan ada juga yang menimbulkan ketegangan dan tekanan kepada kepimpinan Rasulullah dan keselamatan Madinah secara umumnya.

Sejarah tertubuhnya negara Islam Madinah bukanlah perkara terakhir ataupun noktah kepada perjuangan dakwah Rasulullah s.a.w. Ia hanyalah sebagai suatu ‘turning point’ dalam fasa-fasa dakwah baginda. Ia juga bukan petanda usaha dakwah dengan mengambil pendekatan dakwah akidah telah sempurna. Buktinya dakwah tersebut terus dijalankan baik untuk mengajak lebih ramai menganut Islam, mendidik masyarakat yang telah Islam dan mengubat penyakit akidah di kalangan golongan munafik yang cuba menggugat kerajaan Islam yang telah ditubuhkan. Ini kerana konsep dakwah kepada Allah ini amat luas.

Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a tidak melalui jalan perjuangan yang selesa apabila Madinah menjadi pusat pentadbiran Islam. Sepanjang hayat baginda, berlaku ancaman serta serangan yang telah mencetuskan peperangan demi peperangan. Oleh kerana itu, apabila ditawarkan perdamaian melalui perjanjian Hudaybiyah, Rasulullah memandang tawaran itu sebagai satu peluang dan strategi politik bagi mengurangkan ancaman Quraisy, pada waktu yang sama ia menjadi tempoh yang lebih selesa bagi umat Islam untuk berdakwah dengan lebih meluas melepasi sempadan semenanjung jazirah Arab. Strategi politik itu digunakan sepenuhnya oleh baginda untuk memastikan kejayaan dakwah dan kemenangan Islam. Perdamaian Hudaibiyah bukan bermksud Rasulullah s.a.w bergabung kuasa dengan golongan Musyrikin. Kerana Islam dan jahiliyah/kekufuran tidak boleh bergabung di atas matlamat Islam dan tauhid kepada Allah. Tetapi perjanjian tersebut menjadi cara untuk mencari kata sepakat dan pada waktu yang sama, golongan Quraisy terpaksa mengiktiraf kekuatan Islam di Madinah.

InshaAllah jika ada kesempatan kelak akan ditulis lagi mengenai masyarakat Madinah terutamanya berkisar peperangan Khaybar dan pengusiran kaum Yahudi yang telah mengancam keselamatan kota Islam ini.

 

Rujukan:

  1. Said Ramadan al-Buti. Fiqh al-Sirah. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
  2. Akram Diya al-Umari. Madinan Society at the Time of the Prophet, Its Characteristic and Organisation. (vo.1) Translated by Huda Khattab.

diambil daripada http://chemekmolek.wordpress.com/2009/10/21/795/

Related post(s):
  • HIMPUN : Adakah Sekadar Pehimpunan Mingguan Sekolah?
    HIMPUN : Adakah Sekadar Pehimpunan Mingguan Sekolah? Perhimpunan HIMPUN yang dianjurkan untuk mengumpulkan sejutaumat islam di Malaysia bagi mempertahankan aqidah islam oleh NGO-NGO di...

  • Comments (7)

    kepada para nuqaba’ .. bleh buat kuiz at the end of usrah kalau bincang ttg hal ini:

    Soalan Kefahaman/perbincangan usrah:

    1. Senaraikan struktur masyarakat Madinah sebelum dan setelah peristiwa hijrah?
    2. Sekiranya Kaum Aus berjaya mengalahkan Kaum Khazraj dalam peperangan Bu‘ath sebutkan sekurangnya tiga impak yang akan berlaku baik kepada masyarakat Yathrib dan lain-lain.
    3. Berdasarkan sumber bacaan lain, sebutkan 5 propaganda yang dibuat oleh golongan munafik di Madinah.
    4. ‘Perjanjian Hudaybiyah tidak dimenterai’, bincangkan kenyataan ini serta kesan-kesannya.

    Perbincangan Kumpulan:

    1. Sediakan 3/4 columns/carta bagi menunjukkan usaha-usaha dakwah, strategi-strategi siyasah (politik) bergerak seiring di era Makkah dan Madinah.
    2. Kemudian senaraikan kesimpulan ringkas bagi setiap usaha dan strategi yang tersebut.
    3. Antara soalan yang boleh dikemukakan sewaktu membuat kesimpulan ini, bolehkah usaha dakwah ini berjaya tanpa menggunakan strategi tersebut? Sejauh manakah dakwah Rasulullah boleh berjaya jika menggunakan cara/strategi lain, berikan juga cadangan strategi lain yang lebih sesuai digunakan untuk menjayakan dakwah dan pembukakan kota Makkah.
    4. Jangan lupa untuk kaitkan jawapan dan kesimpulan tersebut dengan kepelbagaian komposisi masyarakat Madinah.

    salam…thanks fairuz for this kind of sharing…mantaps!

    assalamualaikum wbt…

    mmg terbakss aa bapa yang sorang nih..mesti tgh tulis tyme irfan hafiy tgh tido nih..hehehe..sambil tulis sambil hayun buai…hihihi

    btw saya sgtlah bersetuju dgn pandangan anda..cara pengolahan ini sgt menarik..citer pasal aus dan khazraj tuh menarik…

    Perundangan tuh bukan hanya digunakan untuk memerintah sahaja..gunanya perundangan dan pemerintahan itu adalah untuk mendekatkan manusia kepada Allah..gunanya perundangan dan pemerintahan itu untuk memantapkan aqidah umat islam..gunanya perundangan dan pemerintahan itu untuk dakwan dan menarik yang bukan islam kepada islam..

    xkkan laa kita nk tunggu aqidah semua manusia di Malaysia itu telah sempurna baru nak wat kerajaan islam yer dok..sedangkan sabda nabi, generasi terbaik adalah pada generasi Baginda..tyme generasi terbaik tuh pun bermacam2 ragam..tyme tuh aqidah penduduk madinah bukan sempurna pun semuanya memeluk islam..yg islam pun ada yg munafik kan..so kalo nk tunggu kt mesia aqidah umatnya sempurna alamatnya tunggu bulan jatuh ke riba ler…hohohoho…

    Assalammualaikum

    harapnya dibaca dengan hati yang tenang dan dengan bersangka baik sesama kita.

    masya Allah,well done Fairuz.siap dengan soalan kefahaman lagi. sila buat ye para pembaca.

    sedangkan masak nasi ada byk cara, apatah lagi cara kita nak mengajak orang kepada Islam kan. berbagai wasilah dan cara kita boleh gunakan. asalkan mengikut syara’. dakwah is fuun. buatlah dengan cara yang kita paling selesa supaya tak cepat burn out. terus sampai ke liang lahad insyaAllah.

    Alhamdulillah,Madinah yang Allah kurniakan pada Rasulullah dan para sahabat akhirnya membantu Rasulullah membuat kerja baginda lagi: mengajak manusia mentauhidkan Allah dan membina individu-individu muslim yang akan meneruskan lagi kerja Rasulullah i.e. mengajak orang kenal Allah. Bila Islam dah tertegak dalam individu tersebut maka secara sunnahnya (automatik) dia akan cuba menegakkan Islam di sekitarnya.

    and the cycle repeats again.

    Jika di masa hadapan Allah dah kurniakan kita daulah tersebut, harapnya digunakan sebaik seperti yang Rasulullah dah tunjukkan.

    sila teruskan kupas kisah seerah lagi. kisah taif ke.kisah rabi’ bin Amir ke. buat kisah-kisah perang ke. bersemangat sikit. Nanti irfan hafiy pun terer seerah, since masa kecik lagi dah diceritakan seerah.

    semoga kita berlapang dada dengan sesama kita. towards the end, kesatuan umat yang penting. seperti yang Rasulullah buat dgn kaum ansar dan muhajirin.

    1) Apakah kesan lemah dalam pemahaman Islam di kalangan masyarakat Muslim sehingga ada yang memahaminya mengikut kepentingan dan hawa nafsu masing-masing?

    2) Apakah kesan lemah dalam praktikkan Islam sebenar di dalam kehidupan masyarakat Muslim apabila ajaran dan peradaban Islam turut digauli dengan adat, tradisi, dan kebiasaan masyarakat masa kini?

    3) Apakah dengan wujudnya golongan majoriti Muslim yang lemah dalam pemahaman Islam dan lemah dalam praktikan Islam ini dapat memahami tujuan dan mengikuti undang-udang sebuah negara Islam untuk satu jangka masa yang lama?

    4) Adakah pada ketika itu baru hendah memulakan proses mewujudkan masyarakat madani?

    Persoalannya bukan “nk tunggu aqidah SEMUA manusia di Malaysia itu telah sempurna baru nak wat kerajaan islam” (petikan komen Nur Islam) tetapi kepentingan memperkukuhkan akidah dan kefahaman orang Muslim itu sendiri tentang Islam sebenar itulah yang menjadi keutamaan agar mereka menjadi asas yang kuat dan pendukung yang setia kepada negara Islam yang akan dibentuk kelak. Secara tidak langsung mereka juga akan menunjukkan contoh yang baik buat orang bukan Islam. Ini barulah dinamakan pembangunan masyarakat madani iaitu masyarakat yang berpegang kepada norma-norma Islam, bukan norma-norma kehidupan yang masih dicabuli oleh jahiliyah.

    Setuju dengan statement “kesatuan umat adalah penting”.

    Jika pada waktu ini sesama kita Muslim masih lagi bergaduh dan sukar bersatu, agak-agak siapakah yang akan mendapat manfaat di dalam perbalahan dan perpecahan sesama Islam ini?

    Fikir-fikirkanlah.

    “Barangsiapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku akan masuk syurga bersama-sama aku”

    —————————————–

    Komen COPY & PASTE dari http://chemekmolek.wordpress.com/2009/10/21/795/ (Oct. 21, 2009)

    “Ini bermakna untuk mendapatkan kemenangan, pejuang Islam mestilah terlebih dahulu berubah daripada negatif kepada positif, daripada maksiat kepada taat dan daripada perpecahan kepada perpaduan. Kekalahan yang menimpa jemaah Islam bukan semata-mata kerana kejahatan musuh. Akan tetapi juga daripada kelemahan dalam diri jemaah sendiri.”-TGHH

    first of all, i just realised that semua pembaca ingat saya yang tulis. Saya hanya mengambil artikel ini daripada blog yang telah saya nyatakan pada akhir artikel

    Isi utama artikel ini adalah untuk menekankan bahawa tidak ada bukti yang menyatakan keperluan untuk semua umat islam untuk memahami peraturan Islam sebelum ia dilaksanakan.

    Tetapi saya amat bersetuju bahawa pemahaman perlu diberikan. Dengan amanah kepimpinan yang diberikan, wajib bagi pimpinan tersebut untuk mentarbiyah rakyat melalui sistem pendidikan/sekolah/universiti/kempen/media dan banyak lagi.

    Maka di sini, saya sekali lagi ingin menekankan bahawa pemahaman/tarbiyah dan perlaksanaan sistem islam perlu seiring. Malah dengan kuasa yang ada, tarbiyah itu lebih mudah dan lebih praktikal untuk disampaikan kepada lebih ramai orang.

    bismillah, sy perlu selitkan di sini bhw rasulullah sememangnya mengajar kita byk pasal politik dan pembangunan ummah. kedua-duanya tak boleh dipisahkan bila kita duk nak bergaul dgn org ramai. kita pun kena ingat untuk bersikap seneutral mungkin dan membuat kritikan scr berhemah dan akademik barulah blog ini akan dipandang tinggi besides being the essence of an intelectual study. focusing on our differences all the time will bring us nowhere but looking at the major similarities that we share will bring us to unity and achievement of our set goals. alas, humans are always blinded by the smaller discrepancies than the bigger truth. innamal mu’minuna ikhwah

    Post a comment

    youtube AJataphijau
    Ataphijau Facebook Group