Posted by Abdullah | Posted in Perbincangan, Politik | Posted on 03-10-2009

Assalamualaikum wrt.
Sudah agak lama saya bercadang untuk menulis di blog AJ ini. Alhamdulillah petang ini saya berkesempatan untuk menulis sedikit setelah mendapat kebenaran untuk pulang awal daripada GP saya di sebuah ‘medical centre’. Tidak banyak yang hendak diperkatakan. Cuma sedikit coretan berkenaan isu-isu tertentu yang saban hari menjadi tatapan kita semua. Membaca tulisan NUR ISLAM dalam beberapa post yang terdahulu, ternyata beliau seorang penulis yang hebat. Saya bukanlah seorang yang pandai berpuitis atau bersastera seperti beliau. Namun cukuplah sekadar agar tulisan ini menjadi bacaan yang dapat memberi manfaat buat kita semua dan sama-sama untuk kita memikirkannya.
Di sini saya berminat untuk memperkatakan tentang suasana politik di tanah air kita. Saban hari pelbagai isu politik dapat kita baca di dada-dada akhbar. Cuma sejak akhir-akhir ini, suasana perang saraf di antara parti pemerintah Barisan Nasional (BN) dan parti pembangkang Pakatan Rakyat (PR) agak reda. Barangkali kerana pandemik H1N1 yang melanda negara sejak beberapa bulan yang lepas telah mengalihkan perhatian media daripada isu politik buat sementara. Kini 77 nyawa telah melayang gara-gara virus rakus ini. Tetapi Alhamdulillah, bermula awal Ramadhan yang lepas, kematian semakin berkurang dan langsung tiada kematian dilaporkan buat beberapa minggu kebelakangan ini. Teringat perbincangan semasa bersama GP di ‘medical centre’ tadi, Ireland mungkin dilanda serangan H1N1 yang serius kerana semasa pusingan pertama serangan, hanya beberapa kematian dilaporkan. Buat masa ini, jumlah kes di UK pun sudah meningkat 3 kali ganda dan ini amat membimbangkan bagi Ireland kerana mungkin terkena tempiasnya juga. Baru pagi tadi juga, ‘medical centre’ tempat saya membuat GP posting menerima faks berkenaan ‘vaccination programme’ yang bakal dijalankan tidak lama lagi di seluruh Ireland.
Kembali kepada isu pokok, jika kita mengimbau kembali Tsunami politik pada Mac 2008, kekecohan dan perang mulut di antara BN dan PR tidak pernah reda sementelah keputusan pilihanraya umum (PRU) ke -8 diketahui. Pelbagai spekulasi timbul gara-gara isu lompat parti yang dimainkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim kira-kira setahun yang lalu adalah antara isu yang mewarnai suasana politik di negara kita. Beliau adalah antara karakter yang bertanggungjawab dalam mewujudkan suasana ‘political concious’ di kalangan rakyat Malaysia. Ramai yang pada mulanya langsung tidak mengambil tahu berkenaan isu politik sudah kembali celik berikutan kekalahan teruk BN dalam PRU yang lalu. Berbanding komponen PR yang lain iaitu PAS dan DAP, PKR yang dipimpin DSAI dilihat lebih berusaha keras untuk mengekalkan momentum kebangkitan rakyat dengan memainkan isu-isu tertentu sehingga menimbulkan rasa tidak senang parti pemerintah. Banyak lagi isu politik yang sangat menarik untuk diperkatakan seperti apa yang belaku di Perak misalnya yang seakan tiada penyelesaian sehingga sekarang.
Kini, setahun setengah telah berlalu sejak PRU yang lepas. Sejak dari itu, kita telah menyaksikan 8 pilihanraya kecil (PRK) telah diadakan bermula dengan Permatang Pauh. BN telah tewas hampir kesemua PRK yang telah diadakan dan ini amat membimbangkan terutama bagi BN. Cuma satu kerusi dimenangi BN iaitu di Batang Ai Sarawak dalam mini pilihanraya yang lepas yang diadakan pada masa yang sama dengan PRK Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Bagi peminat bola sepak, keputusan 7-1 tersebut pastinya mengingatkan mereka kepada kemenangan Manchester United ke atas Roma FC dalam Champions League 2 musim lepas, juga dengan keputusan 7-1 . Meyusul beberapa hari lagi, PRK Bagan Pinang pula akan diadakan pada 11 Oktober ini berikutan kematian penyandang kerusi DUN berkenaan dari PAS.
Baik PR mahupun BN, kedua-dua pihak telah pun mengumumkan calon masing-masing. PRK ini dilihat amat ’significant’ dalam memberi gambaran lanskap politik negara pada masa hadapan. Pola pengundian dalam tempoh dua tahun akan datang banyak ditentukan oleh perkembangan politik hari ini. Kebanyakan pemerhati politik menanti dengan penuh minat akan keputusan PRK ini nanti. Pada PRK2 yang lepas, kebanyakan kerusi yang dimenangi oleh PR adalah di kubu kuat mereka atau kerusi yang sudah mereka kuasai sebelumnya kecuali di Parlimen Kuala Terengganu di mana PR berjaya merampas kerusi Parlimen tersebut daripada BN. Berbeza di Bagan Pinang, DUN ini merupakan DUN yang dikuasai BN dan antara kubu kuat BN. BN menang dengan majoriti 2333 pada PRU tahun lepas. Melihat kepada angka ini, ianya merupakan laluan yang sukar bagi calon PAS untuk memenangi PRK ini. Bagaimanapun segala-galanya adalah mungkin. Era BN akan menang biarpun meletakkan ‘tunggul kayu’ sudah pun berakhir sekarang. Begitu jua di kawasan tradisi kubu kuat pembangkang, mereka boleh tewas jika mengambil sikap sambil lewa dan tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi hati pengundi.
PR telah mengumumkan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan iaitu Zulkefli Mohamad bin Omar sebagai calon mereka dalam PRK Bagan Pinang nanti. Seperti biasa calon yang diumumkan PAS adalah benar-benar bersih. Manakala BN telah memilih Tan Sri Isa Samad sebagai calon mereka. Pemilihan calon PAS memang sudah dijangka awal-awal lagi. Namun begitu, pemilihan Tan Sri Isa Samad sebagai calon BN agak mengejutkan saya kerana rekod beliau yang telah terpalit dengan isu rasuah semasa pemilihan UMNO pada tahun 2004. Beliau telah digantung dari Umno selama 3 tahun berikutan kes politik wang beliau atau lebih tepat dinamakan rasuah politik. Ini seolah-olah BN khususnya UMNO ketandusan calon dan pencalonan ini dilihat tidak menggambarkan BN serius dalam usaha mereka membanteras rasuah. Berdepan dengan desakan penyokong kuat Tan Sri Isa Samad, BN terpaksa akur dengan kehendak mereka atau berdepan dengan tindakan boikot oleh penyokong sendiri. Pada saya situasi ini agak menarik di mana BN terpaksa mengambil risiko dengan meletakkan calon yang tidak bersih walaupun pada dasarnya mereka yakin dengan adanya sokongan padu penyokong sendiri kemenangan bakal berpihak kepada mereka. BN mungkin juga menghampiri kekalahan yg ke-8 jika isu pemilihan calon yang tidak bersih ini berjaya dieksploitasi sepenuhnya oleh PR dalam tempoh kempen pilihanraya.
Menulis berkenaan isu rasuah, baru-baru ini saya telah terbaca satu laporan daripada Transparency International (TI) yang melaporkan bahawa kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah terus merudum ke tangga 47 pada tahun 2008 berbanding di tangga 43 pada tahun sebelumnya. Malah, kedudukan Malaysia lebih buruk dari Israel yang dilabel sebagai entiti haram pengganas dan negara yang dianggap kurang membangun seperti Botswana dan Bhutan. Israel berada pada kedudukan ke-33, Botswana ke-36 manakala Bhutan berada pada kedudukan ke-45. Paling mendukacitakan ialah apabila indeks yang dikeluarkan oleh TI itu menunjukkan negara-negara umat Islam tidak mengamalkan ajaran Islam yang memerangi rasuah. Negara-negara seperti Somalia, Iraq, Afghanistan dan Sudan berada di tangga paling bawah. Somalia berada di kedudukan tercorot iaitu ke-180, Iraq ke-178, Afghanistan ke-176 dan Sudan ke-173. Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low berkata, usaha mencegah rasuah di negara ini tidak ubah seperti melepas batuk di tangga sahaja jika tidak dilaksanakan tindakan drastik untuk memisahkan hubungan selesa antara kerajaan, perniagaan dan politik.
Isu rasuah, kroni dan penyalahgunaan kuasa adalah antara faktor terbesar yang menyumbang kepada kekalahan teruk BN dalam PRU umum yang lalu. Ketika para pemimpin Umno khususnya masih berbangga bahawa parti inilah yang telah membawa kemerdekaan kepada tanah air, semakin ramai anak muda yang seakan melupakan sumbangan Umno kepada kemerdekaan negara kira 50 tahun yang lalu seperti yang mereka pelajari dalam matapelajaran Sejarah. Ada yang berpendapat bukannya Umno semata-mata yang berusaha keras mendapatkan kemerdekaan tetapi usaha ke arah kemerdekaan telah awal-awal lagi dipelopori oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy yang mengasaskan Kesatuan Melayu Muda dan juga mantan Yang Dipertua Agung PAS yang ke-3. Situasi politik sekarang menuntut BN untuk berkerja keras bagi memenangi semula hati pengundi terutama pengundi Cina dan India bagi meneruskan legasi pemerintahan negara selama 52 tahun kini. Jika sesuatu tidak dilakukan, BN mungkin mengalami nasib yang sama seperti Parti Liberal Demokratik (LDP) yang ditolak rakyat negara Jepun baru-baru ini. LDP yang telah memerintah Jepun sejak Perang Dunia Kedua telah disingkirkan oleh Parti Demokratik Jepun (DPJ) yang memenangi 308 daripada 480 kerusi parlimen di negara itu. PR pastinya sedang mengintai peluang keemasan mereka dalam PRU yang akan datang untuk mengambil alih tampuk pemerintaan negara. Pada masa yang sama, PR juga perlu membuktikan yang mereka juga mampu mentadbir dengan baik terlebih dahulu di negeri-negeri yang dikuasai mereka.
Apapun yang berlaku, baik BN ataupun PR, kedua-dua mestilah berpolitik secara bijak dan professional. Suasana ‘politik damai’ perlu ada di tanahair. Perbezaan politik tidak seharusnya mewujudkan persengketaan lebih-lebih lagi antara kita yang beragama Islam. Begitu juga kita di bumi Cork ini, walaupun kita tidak terlibat secara langsung dalam kancah politik di tanahair, apa yang berlaku di tanahair sebaiknya kita ambil pengajaran dalam menempuh kehidupan kita di sini. Selain itu, kitalah yang bakal mencorakkan masa depan negara pada masa hadapan. Seharusnya kita berfikir secara terbuka dan bijak menilai yang mata satu intan permata dan yang mana satu kaca. Sekian sahaja penulisan saya buat masa ini. Semoga bermanfaat.
Wassalam.
No related posts.





Assalamualaikum,
Bagi saya UMNO bukanlah sengaja meletakkan calon yang tidak bersih.Hakikatnya di dalam UMNO sendiri sememangnya sudah tiada calon yang bersih untuk diketengahkan.
Ini terbukti pemimpim tertinggi BN sendiri adalah merupakan mereka-mereka yang ternyata buruk akhlaknya.Rakyat sekarang,terutamanya semakin celik agama.
Salam,
An interesting quote from Dr. MAZA…
Saya ingin bertanya, apakah kita dengar seorang ibu atau bapa menyebut: ‘anak saya dulu lemah pegangan Islamnya, atau kefahaman Islamnya, tetapi sekarang menjadi muslim yang baik penghayatan dan kefahamannya kerana aktif dalam UMNO?!. Atau anak saya dahulu kurang kefahaman agamanya tetapi selepas aktif UMNO, dia lebih memahami Islam yang sebenar. Saya rasa agak sukar ungkapan seperti itu ditemui. Jika adapun mungkin kes terpencil bukan fenomena umum.
Wallahua’lam.
hahaha…incin Abdullah ini terlalu memuji nampaknya..gaya bahasa anda juga sangat hebat dan puitis..kritikan anda sangat bernas seperti penganalisa politik yang hebat..hahaha
btw, menarik gila qoute Dr. MAZA..sure makan dalam aa org UMNO…hahaha
Memang berderet2 PRK tahun ini..yang mana keputusan pilihanraya kadang2 agak mengejutkan.
Dunia politik tanahair dah mula panas sejak PRU12 Mac lepas..tsunami politik orang panggil.Sejak itu, begitu banyak isu politik dan pentadbiran yang timbul.
Bagus jugak camni, semua pihak pon letak usaha yang lebih banyak utk memenangi hati rakyat.Takde laa nak bergoyang kaki menunggu kemenangan, atau juga menerima kekalahan sblm berjuang..
Cuma ttg DSAI yang dok heboh ngan peristiwa 16Sept tuh membosankan la.. Belum apa2, dah bising. Macam ayam bertelur sebiji, riuhnya sekampung. Tapi maybe salah satu cara psikologi utk serang pihak lawan.
Yang pasti, lompat melompat bukanlah cara terbaik utk menubuhkan jentera pemerintah yang kuat.
Papepon, komen Guru Tajwid tak dpt dinafikan..
mmg betul..berderet2 prk tahun ni…kdg2 mmg x sempat nak follow pun…lagipun cam dah bleh agak sape yg akan menang..haha..cuma yg kali ni..agak menarik nak tgk…
betul mmg menarik quote tu..cam simple je x yah nak pikir susah2;)