Atap Hijau Rss

MENTALITI RAMADHAN ?

1

Posted by amrullah | Posted in Akhlak, Dakwah, Ibadah, Perbincangan, Sosial | Posted on 03-09-2009

Ramadhan hampir menjangkau usia separuh purnama.Cepat benar masa berlalu.Baru-baru ini penulis berkesempatan berborak panjang dengan sahabat-sahabat di tanah air.Rata-rata isi ceritera mereka berkisarkan aktiviti harian sepanjang bulan yang mulia ini.Alhamdulillah,gembira mendengar dalam kesibukan bekerja mahupun berkuliah,mereka masih ringan kaki ke masjid untuk berterawikh.Namun,itu hanyalah suatu muqaddimah perbualan, sedangkan isi utamanya adalah senarai panjang  juadah berbuka yang lazat lagi enak.Sebutlah apa sahaja; kuih lapis, lepat manis, pulut panggang, ayam percik, ais bandung, air tebu, serta sejuta satu makanan dapat diperoleh di bazaar-bazaar Ramadhan di seluruh Malaysia.Terliur penulis mendengarnya.

 

Pintu rezeki terbuka luas, para peniaga muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan.Hotel-hotel lima bintang tidak putus-putus menaja majlis berbuka puasa yang tetamunya adalah menteri-menteri dan VVIP yang kaya raya.Rezeki penyanyi-penyanyi nasyid juga melimpah ruah,membuatkan penulis terfikir, adakah irama nasyid hanya dijulang tinggi ketika Ramadhan?Organisasi-organisasi besar berlumba-lumba untuk menyumbang kepada rumah-rumah anak yatim sama ada dalam bentuk wang ringgit mahupun makanan dan pakaian.Malangnya perbuatan murni ini hanya bertahan setakat bulan Ramadhan sahaja.Apabila tertutup sahaja gerbang Ramadhan,anak-anak yatim ini ditinggalkan, mereka hidup kais pagi makan pagi, menjelang petang,tiada apa lagi untuk dikais.

 Kekesalan bersarang di hati penulis atas beberapa sebab.Pertama,penulis kesal kerana tabiat manusia yang suka memberi kejutan kepada organ penting dalam tubuh iaitu perut.Kedamaian perut dirosakkan oleh berbondong-bondongnya makanan yang menerobos masuk pada setiap kali waktu berbuka.Keadaan ini mengundang pelbagai penyakit, bukan sahaja gastritis yang menyerang orang berpuasa, diabetes, tekanan darah tinggi dan obesiti juga bergilir-gilir mengambil tempat di bulan Ramadhan ini.Apabila perut dah penuh,solat fardhu pun tak khusyuk,solat sunat apalagi?

 Kedua,borosnya tabiat berbelanja orang kita. Juadah berbuka perlu minimum sepuluh jenis,air minuman lima jenis,akhirnya tong sampah yang mendapat habuan.Apabila syaitan dirantai dan dibelenggu, nafsu pula menaiki takhta.Ini belum mengira persiapan raya lagi.

 Ketiga,berkenaan solat terawikh,iaitu solat sunat istimewa yang hanya hidup dalam bulan Ramadhan.Pada awal bulan,masjid dan surau penuh dari depan hingga ke belakang.Masuk pertengahan bulan,hanya 1-2 saf yang tinggal.Tahajud serta solat-solat sunat yang lain bagaimana pula?

 IMG_7643 by tajuddinfarid.

Keempat,bagaimana orang kita membesarkan malam al-Qadar?Bukan dengan menambah amal ibadat dan mendekatkan diri kepadaNya, tetapi dengan memasang pelita dan lampu lip-lap di setiap penjuru rumah.Di sesetengah tempat,kepercayaan karut tentang malam tujuh likur masih diamalkan.Mereka percaya bahawa pelita perlu dipasang kerana bimbang Malaikat “tidak Nampak” apabila berkunjung ke rumah mereka pada malam yang gelita.Ada pula yang sibuk membakar kuih raya lalu melepaskan malam yang diibaratkan sebagai malam seribu bulan itu.

 Namun begitu,penulis tetap rasa bersyukur kerana di sebalik mentaliti duniawi orang kita ini,masih terdapat segelintir ummah yang berusaha mengimarahkan kemuliaan Ramadhan dengan cara yang betul.Ramadhan dijadikan sebagai titik pusingan untuk kembali kepada fitrah, menambah pahala dan mengurangkan dosa.Penulis berharap agar setiap amalan ini akan dilakukan secara istiqamah,dan tidak terhenti sebaik sahaja Ramadhan melabuhkan tirainya.Jadilah Abid Rabbani, yang beribadah pada setiap masa, bukan Abid Ramadhani, yang hanya beribadah pada bulan Ramadhan.Gunakanlah Ramadhan sebagai masa terbaik kita untuk mentarbiyah diri ke arah kesempurnaan seorang hamba.

 

Wallahualam.

 

Related post(s):
  • Ramadhan Dirai, Syawal Dinikmati : Part 1
    Tak lama lagi kita akan menyambut ketibaan bulan Ramadhan. Sudahkah kita bersedia? Bersedia untuk merebut ganjaran-ganjaran yang Allah sediakan pada bulan yang istimewa ini....
  • Doa Malaikat Jibril Menjelang Ramadhan
    Pada suatu hari, Nabi SAW naik ke atas mimbar kemudian berkata, “Amin, amin, amin”. Para sahabat bertanya. “Kenapa engkau berkata ‘Amin, amin, amin, Ya...
  • 17 Ramadhan – Perang Badar atau Nuzul Quran?
    oleh Ustaz Abdul Kareem as-Saquofi- Imam Masjid Hidayatul Islam (terjemahan) Perayaan 17 ramadhan adalah sebenarnya untuk mengingati Peperangan Badar yang berlaku pada tarikh tersebut....
  • Tazkirah Ramadhan: Mencintai Ilahi
    Yuhibbuhum wa yuhibbuu nahuu Dia (Allah) mencintai mereka dan mereka mencintai-Nya. (QS. Al Maidah 5:54) Sebelum ini, kita biasa mendengar untuk melakukan sesuatu kerana...

  • Comments (1)

    Betul, setuju dengan isu yang dibangkitkan..Erti sebenar Ramadhan pada sesetengah org lebih terletak kpd latihan fizikal lapar dan dahaga. Bila tiba waktu berbuka, maka aktiviti fizikal mulut dan perut jua yang menjadi agenda.

    Perbualan sehari2 jua banyak merujuk kepada bazar Ramadhan, masakan di kala berbuka etc.

    Jarang sekali nak bertanya, dah berapa juzk tadarus? Malam2 Ramadhan,adakah dimeriahkan dengan Terawikh dan solat2 sunat lain?

    Nyatanya,puasanya segolongan besar ummat Muhammad pada zaman ini ruhnya tidaklagi setinggi mereka di zaman para sahabat r.a.

    Moga kita semua tergolong dalam golongan mereka yang memuliakan Ramadhan dan terpelihara drpd tergolong dalam kategori mereka yang disebutkan Rasulullah saw ini;
    “Berapa banyak orang yang berpuasa, tiada apa dari puasanya melainkan menahan dari makan dan minum”( Shahih Attarghib : 1076,1077).

    Post a comment

    D.I.A