Atap Hijau Rss

Perkahwinan dan Politik

3

Posted by Nur Islam | Posted in Baitulmuslim, Politik, Sejarah | Posted on 10-06-2009

Musim cuti sekolah adalah musim mengawan bagi manusia. Ramai pasangan yang mengambil peluang cuti sekolah untuk melangsungkan perkahwinan. Penulis yang kini berada di Malaysia sempat menghadiri beberapa majlis perkahwinan. Ibunda dan Ayahanda memang setia menghadiri majlis perkahwinan walaupun undangan yang diterima sehari hampir 10 undangan, namun digagahi diri untuk dipenuhi. Pernah penulis beberapa hari yang lalu pergi memenuhi undangan perkahwinan dan dalam perjalanan menuju ke rumah kenduri, penulis bertembung dengan tidak kurang dari 20 majlis perkahwinan di rumah-rumah yg berdekatan dengan jalan besar yang diadakan pada hari itu. Itu belum termasuk kenduri di rumah-rumah yang tidak berada di tepi jalan. Memang meriah musim perkahwinan di Malaysia ini.

Tapi bukanlah soal walimatul urus yang menarik perhatian penulis untuk mencoret sedikit pandangan. Penulis di zaman kecil selalu menonton drama-drama epic dari Hong Kong mahupun Korea. Drama-drama epic selalu menggambarkan puteri raja akan dikahwinkan dengan putera raja dari negeri lain untuk mengeratkan hubungan politik. Inilah yang dinamakan perkahwinan politik yang dijalankan untuk menguatkan politik sesebuah negara.

Perkahwinan merupakan seuatu elemen yang penting dalam amalan system politik dunia sejak berkurun lamanya. Dunia islam juga tidak lari dari amalan perkahwinan politik. Penulis selalu mendengar amanat bahawa perkahwinan itu adalah sebahagian dari perjuangan islam, namun gagal difahami oleh penulis. Penulis masih kabur akan konsep bahawa perkahwinan merupakan sendi kepada dasar dalam memperjuangkan agama Allah. Bukanlah penulis bebal mahupun benak hati, cumanya konsep itu tidak melekat dihati kerana penulis gagal menghayati apa itu erti sebuah perkahwinan. Namun, penulis cuba menyingkap Sirah Rasulullah dan cuba mencari jawapannya, Alhamdulillah penulis menemui sedikit bahan untuk menambahkan kefahaman.

Mari kita susuri sirah nabawiyah yang wajar menjadi sandaran dan contoh Jundullah pasca moden. Rasulullah menjadikan perkahwinan sebagai satu cara untuk mengikat dirinya bersama-sama sahabat-sahabat yang menjadi tulang belakang kepada perjuangannya. Rasulullah berkahwin dengan Saidatina ‘Aisyah binti Abu Bakar dan Hafsah binti Umar bin Khattab untuk mengukuhkan ikatan bersama Sahabat baik Baginda, Abu Bakar dan Umar. Dalam pada itu Baginda mengahwinkan Puteri-Puteri baginda bersama sahabat-sahabat yang dikasihi. Fatimah dikahwinkan dengan Ali bin Abi Talib dan Uthman bin Affan dikahwin dengan Ruqayyah dan Ummu Kalthum.

Selain itu, Rasulullah mengahwini Safiyah binti Huyai bin Akhtab, dari Bani Israel selepas Tentera Islam meraih kejayaan dalam Perang Khaibar. Sebagai menghormati Huyai bin Akhtab yang merupakan Ketua Kabilah, Rasulullah sendiri mengahwini anak gadis Huyai dengan matlamat untuk membuka jalan damai antara Islam dan Yahudi di zaman tersebut. Rasulullah juga telah berkahwin dengan Ummu Habibah Ramlah binti Abu Sufyan, anak perempuan Abu Sufyan, pembesar terkemuka Kota Mekah setelah suami Ummu Habibah murtad menjadi Kristian setelah berhijrah ker Habsyah. Selain itu, Rasulullah juga telah berkahwin dengan Juwairiyah binti Al-Harith, anak perempuan kepada ketua Bani Al Mustaliq. Perkahwinan Rasulullah bersama ketiga-tiga Ummul Mukminin ini telah Berjaya menjadi benteng pertahanan yang besar dalam menyekat provokasi dan serangan kabilah-kabilah yang memusuhi Islam.

Agama islam amat menitik beratkan soal ikhtilat iaitu pergaulan diantara lelaki dan perempuan. Rasulullah adalah seorang lelaki dan ini menyukarkan penyebaran islam terhadap golongan wanita Arab. Maka, dilihat disinilah kepentingan peranan yang dimainkan oleh Ummul Mukminin yang menjadi Sulbah(tulang belakang) kepada perjuangan Rasulullah. Mereka menyebarkan islam kepada kaum wanita dari bani-bani mereka yang memusuhi islam. Mereka mengajarkan islam kepada muslimat kerana mereka sangat dekat dan mendapat tarbiyah secara langsung dari Rasulullah.

Diatas merupakan beberapa contoh petikan sirah Rasulullah dan jika hendak dibincang secara terperinci memanglah tiada kesudahannya. Tetapi yang lebih penting adalah Ibrah dari Sirah tersebut.Dapat dilihat betapa besarnya peranan institusi perkahwinan dalam menegakkan syiar islam. Bukan sahaja perkahwinan itu membentuk Baitul Muslim yang Soleh, tetapi ia juga menjadi wadah perjuangan islam yang sangat berkesan. Jika kita melihat perkahwinan dari sudut milikan peribadi atau hal persendirian, maka konsep itu sangat salah. Rasulullah mengahwini para isteri baginda bukanlah atas dasar kehendak, nafsu dan kepentingan diri semata-mata tetapi apa yang dilakukan adalah demi menegakkan agama. Sekadar memetik dialog dari filem ‘Cinta’ bahawa isteri itu bukan hak milik tetapi adalah anugerah dari Allah, anugerah yang bakal menjadi pembakar semangat kepada perjuangan Jundullah. Perkahwinan pasti mempunyai matlamat. Bukanlah semata-mata kita berkahwin atas dasar politik, tetapi biarlah matlamat perkahwinan tersebut untuk bersama menegakkan Islam yang syumul.

Perkahwinan itu melengkapkan separuh dari agama dan sesungguhnya lelaki yang baik itu pasanganya adalah wanita yang solehah. Maka kawan kawan marilah menjadi lelaki dan wanita yang Soleh dan Solehah agar kita mendapat pasangan yang bersesuaian buat kita. Amin.

Related post(s):
  • Agama : Sebuah Mainan Politik
    Politik itu seumpama BARA. Jika digenggam terlalu erat ia akan melecurkan tangan, tetapi jangan pula ditiup untuk memadamkannya, kerana semakin ditiup semakin marak ia...

  • Comments (3)

    Post yang baik. Alhamdulillah. Membuka ruang untuk melebarkan sudut pandangan yang kadangkala dibatasi oleh suasana dan arus. Selain daripada aspek politik (atau Dkwh), satu perkara yang tidak boleh dikira enteng ialah aspek yang lebih asasi, iaitu menjaga kesyumulan, kredibiliti dan kelangsungan risalah ilahi yang dibawa oleh Nabi SAW.

    Islam itu syumul dan lengkap. Kesyumulan Islm daripada aspek kekeluargaan terpelihara dengan Nabi SAW mengawini lebih daripada satu isteri (selepas S. Khadijah r.ha). Ini adalah untuk memastikan sunnah RSAW sebagai suami dan ketua keluarga terpelihara dengan baik. Tiada orang lain selain isteri2 baginda SAW yang mempunyai akses kepada RSAW di tempat tidur atau di bilik mandi. Tanpa mereka bagaimana mungkin kita boleh tahu tentang sunnah baginda dalam kehidupan berkeluarga. Kenapa perlu lebih daripada seorang? Sekiranya RSAW hanya mempunyai seorang isteri, riwayat-riwayat (hadis) tentang qudwah dan sunnah baginda SAW ketika bergelar seorang suami atau ketua famili sukar mendapat status yang kuat bagi dijadikan hujjah (hadis ahad) berbanding jika diriwayatkan oleh lebih daripada satu sumber. Satu lagi kebarangkalian ialah manusia kadangkala lupa atau tersilap, lebih lebih lagi apabila dikuasai emosi..

    Salamalaik,

    Another superb entry from Nur Islam…clap2*…a very talented writer…how i wish i could write a good one like this…huhu

    btw,hope everyone including me could tke the essence and Ibrah from this entry coz this issue is really a big thing in our life…wallahuallam

    Posting yang baik tentang bagaimana Rasulullah menjadikan peranan perkahwinan suatu jalan untuk rasulullah memperkuatkan kedudukan baginda ditengah-tengah sahabatnya.

    Tetapi apa yang penting untuk diberi perhatian di sini ialah akhlak rasulullah dalam membina peribadi sebagai individu di dalam masyarakat dan ketua keluarga.

    Apa yang ingin disentuh disini ialah bagaimana rasulullah bersikap adil terhadap semua isteri baginda.Ini juga penting untuk diselidiki.Tidak sempurna kiranya kita meniru rasulullah berkahwin ramai demi untuk menjalinkan suatu hubungan,tetapi dalam masa yang sama mengabaikan sikap adil dan toleransi rasulullah terhadap semua isterinya.

    Jika perkara ini dibelakangkan,yang terjadi bukan seperti yang diingini.Lihat sahaja dimasa sekarang lelaki yang berkahwin lebih dari seorang mengundang seribu satu masalah,bukan penyelesaian yang dicapai.

    Diharapkan kita menjadikan rasulullah sebagai contoh teladan dalam semua lapangan kehidupan.

    Post a comment

    puisi
    PPIMI