Posted by kalam hamba | Posted in Ibadah | Posted on 27-03-2009
DARI SEGI BAHASA
Zakat dari segi bahasa bererti “BERSIH”, “SUCI”, “SUBUR”, “BERKAT” dan “BERKEMBANG”
Pengertian “BERSIH” dan “SUCI” dalam istilah zakat ialah membersihkan harta dan membersihkan diri orang kaya daripada bersifat kedekut dan bakhil. Dalam erti yang lain ialah membersihkan diri daripada sifat dengki dan dendam terhadap orang kaya.
DARI SEGI SYARAK
Zakat dari segi syarak pula ialah mengeluarkan sebahagian harta tertentu diberikan kepada asnaf-asnaf yang berhak menerimanya setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak
HIKMAH DISYARIATKAN ZAKAT
Zakat adalah salah satu daripada rukun Islam yang kelima. Antara hikmah dan tujuan ALLAH SWT mensyariatkan zakat ialah:
-
Mengagihkan sebahagian kecil kekayaan daripada golongan yang berada kepada golongan yang kurang berada.
Membersihkan diri pembayar zakat.
Membersihkan dan menyuburkan harta pembayar zakat.
Mewujudkan sifat bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH SWT di kalangan golongan yang berada.
Mengurangkan perasaan irihati di kalangan yang kurang bernasib baik.
Mewujudkan perhubungan antara hamba dengan ALLAH SWT di samping perhubungan antara manusia dengan manusia.
Memberi peluang kepada golongan hartawan untuk beribadat dalam bentuk mengeluarkan zakat daripada harta mereka.
Mewujudkan kesatuan di kalangan masyarakat Islam dalam urusan ekonomi dan kewangan.
Memberi masyarakat satu cara mengurus ekonomi dan kewangan yang diredhai oleh ALLAH SWT.
Melahirkan rasa tenang dan tenteram dalam hati dan jiwa pembayar zakat.
SYARAT DIWAJIBKAN ZAKAT
Setiap individu yang ingin membayar zakat harus di ambil kira syarat wajib zakat yang perlu difahami dan dipenuhi sebelum membuat taksiran. Syarat-syarat tersebut ialah:
-
Islam
Zakat hanya dikenakan kepada orang-orang Islam sahaja.
Merdeka
Syarat ini tetap dikekalkan sebagai salah satu syarat wajib.
Sempurna Milik
Harta yang hendak dizakat hendaklah dimiliki dan dikawal sepenuhnya oleh orang Islam yang merdeka. Bagi harta yang berkongsi antara orang Islam dengan orang bukan Islam, hanya bahagian orang Islam sahaja yang diambil kira di dalam pengiraan zakat.
Hasil Usaha Yang Baik Sebagai Sumber Zakat
Para Fuqaha’ merangkumi semua pendapatan dan penggajian sebagai “Mal Mustafad” iaitu perolehan baru yang termasuk dalam taksiran sumber harta yang dikenakan zakat.
Cukup Nisab
Nisab adalah paras minimum yang menentukan sesuatu harta itu wajib dikeluarkan atau tidak. Nisab menggunakan nilai emas harga semasa iaitu 20 misqal emas bersamaan 85 gram emas atau 196 gram perak.
Cukup Haul
Bermaksud genap setahun iaitu selama 354 hari mengikut tahun Hijrah atau 365 hari mengikut tahun Masihi. Dalam zakat pendapatan, jangkamasa setahun merupakan jangkamasa mempersatukan hasil-hasil pendapatan untuk pengiraan zakat pendapatan.
Part 3 akan datang: Jenis-Jenis Zakat
Source: e-Zakat Selangor
Related post(s):Nurislam Enteprise membawakan Kuliyah Online KEWAJIPAN ZAKAT DALAM ISLAM 8 Februari 2010 (ISNIN) 8.30 malam (UK time) Ustaz Burhan Che Daud Add Paltalk...



