Atap Hijau Rss

Prinsip Tukul

2

Posted by admin | Posted in Dakwah | Posted on 02-04-2008

 

 

Seorang ahli psikologi, Abraham Maslow, ada berkata, “Jika peralatan yang ada pada kamu hanyalah sebatang tukul, kamu dengan mudah akan melihat setiap masalah sebagai paku.”

Apabila seseorang berhadapan dengan sesuatu yang bertentangan dengan apa yang dikehendakinya, kebanyakannya lebih suka mempertahankan apa yang dirasakan dirinya sebagai betul.

Jadi, dengan sedaya upaya dia akan cuba menyatakan pihak yang bertentangan pendapat dengannya sebagai salah dan dia adalah betul. Inilah yang dinamakan sebagai teknik ‘tukul’.

Apa sahaja benda mahu diketuknya. Kalau ada orang lain buat salah, terus sahaja mahu digunakan ‘tukul’ tersebut.

Tang… tang… tang….

Cari kesalahan orang lain

Masih saya ingat dalam satu pertandingan akhir debat yang pernah saya hadiri, seorang pendebat daripada pihak pembangkang sedang menyampaikan hujahnya.

“Tugas sektor swasta adalah ‘membantu’ meningkatkan….” Terus sahaja seorang pendebat daripada pihak kerajaan mengangkat tangan mahu menanyakan soalan.

Kebenaran diberikan dan dia terus menanyakan soalan dengan nada sedikit menyindir, “Apabila dikatakan sebagai ‘membantu’…. itu ini…. bla… bla…”

Dan kemudian berlakulah perdebatan terhadap maksud ‘membantu’ itu selama beberapa lama. Saya sudah lupa tajuk debatnya, cuma yang saya pasti bukannya tajuk itu yang didebatkan tetapi apa yang didebatkan adalah setiap kesalahan yang dilakukan oleh pihak lawan.

Jika yang sebelah sana mengatakan itu dan ini, terus saja yang di sebelah satu lagi mengetuk kuat-kuat dengan suara yang lantang cuba mengatakan fakta itu dan ini salah. Dan begitulah sebaliknya.

Ramai mengatakan yang pertandingan debat dapat mendidik pelajar supaya berfikiran lebih kritis dan supaya mampu mempertahankan pendirian sendiri. Ramai menggunakan kata-kata Socrates sebagai hujah yang debat mampu membentuk jati diri yang unggul.

Tetapi apa yang dapat dilihat, tiada satu buku relationship pun yang memberi tip supaya berdebat dalam berurusan atau mengeratkan hubungan.

Pertandingan debat satu keperluan?

Dahulu saya juga pernah menjadi pendebat sekolah, malah semasa sekolah menengah pula sering diajak menjadi pemerhati atau tukang komen semasa latihan debat sekolah. Dan saya dididik dalam suasana tersebut memandangkan ibu saya juga merupakan seorang jurulatih debat Kolej Tunku Kurshiah(TKC) satu ketika dahulu.

Tetapi semakin saya banyak membaca, semakin saya memerhatikan tingkah laku dalam setiap debat menjadikan saya semakin hilang minat terhadapnya. Lebih-lebih lagi apabila melihat video-video perbahasan dalam parlimen. Huh, lagi hilang selera.

Menteri dipilih dari sudut pandai berdebat, maka berdebat sahajalah yang berlaku. Dan hanya satu pendapat sahajalah diterima memandangkan si dia menolak bulat-bulat pendapat orang lain.

Andai pendapat yang menang tersebut salah, maka teruklah nasib rakyat.

Mungkin barisan orang di parlimen tersebut memang orangnya suka berdebat dari sekolah lagi. Mungkinlah agaknya. Sampaikan terikut-ikut gayanya menjawab persoalan semasa ditemubual pihak Al-Jazeera.

Saya ada menulis tentang keperluan pertandingan debat satu ketika dahulu di entri ‘Pertandingan Debat, Adakah Satu Keperluan’.

Jurujual jangan gunakan ‘tukul’

Jikalau anda seorang jurujual, elakkan menggunakan ‘tukul’ semasa sedang mempromosikan barang anda.

Pernah satu ketika semasa saya berjalan di dalam sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur, saya ditarik oleh seorang promoter kad keahlian ‘X’. Jenuh sudah dia menerangkan faedah-faedah kad tersebut(insurans, diskaun dan sebagainya).

“Kalau adik berdaftar hari ini, adik akan dapat hadiah ini, ini dan ini.”

“Erm. Boleh saya jalan-jalan dahulu, nanti kalau saya berminat saya datang balik.” Kata saya yang memang ada urusan lain ketika itu.

“Sekejap, adik ada ambil insurans mana-mana syarikat tak?”

“Tak ada. Tapi dalam perancangan saya ingin ambil insurans takaful sebab dengar kata lebih baik.”

Sebaik saya kata begitu, terus sahaja dilanyak-lanyak kata-kata saya itu dengan memburukkan insurans takaful begitu dan begini. Ditengking-tengking. Kemudian disambung lagi dengan menyatakan yang kad keahlian ‘X’ tersebut lebih baik dan lebih bagus.

Saya cuba untuk menenangkan keadaan dan kemudian terus meminta diri meninggalkan jurujual tersebut.

Siapa yang suka setiap kata-katanya dilanyak? Atau pendapatnya dihentam terus?

Kalau dalam pertandingan debat mungkin pendebatnya masih tersenyum-senyum apabila hujahnya dihentam atau penonton bertepuk tangan apabila ada hujah yang ditolak mentah-mentah. Tetapi ini dunia realiti.

Andai pendapat anda dikatakan sebagai ‘salah’ atau pendapat yang ‘teruk’, masihkah anda mampu tersenyum?

Dunia realiti membolehkan kedua-dua belah pihak menang bersama. Cuma perlu dibuang pemikiran ‘aku betul dia salah’.

Dai’e = jurujual

Seringkali Nabi Muhammad dikatakan sebagai sesat, ajaran Islam sebagai ajaran yang tidak betul. Malah dicaci pula diri beliau.

Antara kisah yang masih saya ingat adalah kisah beliau dicaci oleh seorang perempuan tua setiap kali beliau lalu di hadapan rumah perempuan tersebut. Hampir setiap hari perempuan tua itu mencaci Nabi Muhammad dan agama Islam.

Tetapi apa yang Nabi Muhammad buat? Beliau tidak sedikit pun terburu-buru marah perempuan tersebut atau mengherdik kembali perempuan tersebut.

Nabi Muhammad tahu yang beliau sedang mempromosikan sebuah produk yang baik iaitu ‘Islam’. Maka produk yang baik mestilah disampaikan dengan strategi yang paling terbaik dan berkesan. Andailah Nabi Muhammad mengherdik kembali perempuan tua tersebut, adakah cara tersebut berkesan?

Malah mungkin perempuan tersebut berkata, “Memang terbukti produk itu bukan satu produk yang baik.”

Nabi Muhammad bersabar dengan kerenah perempuan tersebut. Ketika perempuan tua itu jatuh sakit, Nabi Muhammad datang menziarah malah menjaga makan minum perempuan tersebut sehingga sembuh. Saat itu, perempuan tua tersebut tersentuh hatinya dan akhirnya memeluk agama Islam.

Islam adalah produk yang baik, maka tugas kita sebagai dai’e mempromosikannya dengan strategi dakwah yang terbaik. Fikirkan strategi yang terbaik.

“Kemahiran komunikasi yang terbaik bukan hanya mengeluarkan kata-kata yang tepat pada tempat yang sesuai. Tetapi juga meninggalkan berkata perkara yang salah pada masa yang menarik.” –Lady Dorothy Nevill-

Teknik 3+1

Puan Ainon Mohd dalam satu kuliah keusahawanan memberi latihan tentang teknik 3+1. Teknik ini sudah banyak diguna pakai juga oleh mana-mana pakar motivasi yang lain. Dan memang sangat bagus untuk kita yang sudah terbiasa dengan pemikiran ‘aku betul dia salah’. Tekniknya begini.

Apabila seseorang memberi pendapat yang berlainan dengan kita, cuba cari dahulu tiga perkara yang baik atau faedah daripada pendapat tersebut. Keluarkannya supaya si dia merasa pendapat tersebut dihormati.

Kemudian apabila kita mahu kemukakan pendapat kita pula, cari satu perkaitan antara pendapat kita dengan pendapat dia.

Fikirkan andailah kita yang memberi pendapat tersebut, kemudian pendapat kita dipuji paling kurang pun tiga kali. Selepas dipuji, ditambah pula cadangan lain yang kita rasakan seakan ada kaitan dengan pendapat kita tersebut. Adakah kita akan menerima atau menolak cadangan tambahan tersebut?

Wah, Seronoknya dipuji!

Dan rasanya ini tidak diajar dalam pertandingan debat. Gantikan ‘tukul’ di tangan anda dengan peralatan yang lain.

Tribute to studiomuslim.com

No related posts.

Comments (2)

assalamualaikum

a very good article … saya sebagaimana yg kenal saya merupakan seorang yang suka bercakap dan kadang2 tersedar bahawa ketika mesyuarat kurang menghormati pendapat orang lain .. mari sama2 kita perbaiki adab musyawwarah kita

wassalam

sngat bagus point2 yang diutarakan..lebih2 lagi pada teori 3+1 tuh. dalam nak menyebut kekurangan atau kritik pon,kita leh apply benda yang sama. Puji 3 benda,then kritik 1 dengan cara yang baik.Jadi taklaa rasa bengang sangat kan..compared to aplikasi tukul.kita cakap aaa pon dah ditolaknya..hehe

perbincangan sememangnya lebih bagus berbanding perdebatan.perdebatan dibuat dalam keadaan kita nak memenangkan pandangan kita..lalu kita menutup pemikiran kita drpd menerima perkara2 yang ternyata bagus/benar drpd pihak lawan..malah kita mncari plak idea lain untuk membangkang idea lawan kita itu.

Perbincangan pon kadang2 tak semudah yang dikata..lebih2 lagi bila melibatkan orang yang tak bersedia membuka pintu perbincangan dan taksub pada sesuatu pandangan atau benda. asyik die je betul..lama2 buleh bertekak laa jawabnya.

Dalam menjadi daie, saya setuju yang kita perlu menjadi salesman/girl yang mempromote kekuatan dan keindahan produk kita i.e Islam. Cara ini lebih teguh..contohnya dah pon ditunjukkan oleh Baginda saw. Jadinya orang akan tertarik kerana kekuatan yang dilihat pada pilihan ini instead of memilih kerana tidak berkenan dengan pilihan yang lain.
Menggunakan kekurangan atau kelemahan pilihan yang lain pula bukanlaa tak boleh langsung (pendapat peribadi)..namun perlulaa dijaga intonasi dan emosi. Ramai yang menghadirkan emosi dan bersifat provokasi dalam mengungkitkan kekurangan2 orang..Betulkan niat dalam membuka kekurangan orang,Insyaallah perkara2 lain terjaga. (ada mengumpat yang dibenarkan dalam Islam)
wallahua’lam..

Post a comment

PPMC
PPIMI
puisi
FUIYO