Pelajar dan Pilihanraya: Apakah Persiapan kita?
Filed Under (Uncategorized) by xfahmix on 28-02-2008

Adapun larangan yang di keluarkan oleh pihak kerajaan kepada pelajar-pelajar supaya tidak terlibat dengan kempen bagi mana-mana parti samada pembangkang mahupun kerajaan, tetapi adakah wajar kita sebagai pelajar kita patut menutup mata, memekakkan telinga dan tidak mengambil tahu langsung mengenai perkembangan di Malaysia? Ingatlah segala keputusan yang bakal berlaku akan menentukan nasib sesebuah masyarakat dan masa depan untuk keluarga dan anak-anak kita.
Kita sendiri sedia maklum bahawa pilihanraya merupakan sebuah wadah yang mempunyai pengaruh yang besar dalam mengubah arah tuju sesebuah masyarakat. Jika kita selalu mengimpikan untuk mengubah dunia ke arah lebih adil dan sempurna maka kita perlulah bermula dengan pembentukan diri sendiri, keluarga dan seterusnya pembentukan masyarakat. Maka nak tak nak kita perlu mempelajari mengenai konsep politik dan siasah perlu diberikan penekanan jika kita mengidamkan untuk sampai ke peringkat masyarakat.
Kelebihan kita sebagai pelajar di luar negara
Jika kita lihat dengan mata kasar, kita sebagai pelajar yang belajar di luar negara mempunyai kelebihan kerana kita mendapat pendedahan kepada bagaimanakan pilihanraya yang diadakan di sini jika dibandingkan di Malaysia. Jadi jangan lepaskan kelebihan yang ada untuk mengutip mutiara-mutiara ini walaupun ilmu ini merupakan ilmu dari orang bukan Islam sendiri kerana inilah yang akan mematangkan pemikiran kita.
Selagi ilmu itu tidak bertentangan dengan syariat Islam, tiada masalah untuk kita menceduk untuk di integrasikan ke dalam kehidupan kita. Kalau kita lihat kata-kata daripada Saidina Umar r.a. mengatakan bahawa akan terungkai tambatan Islam serungkai demi serungkai dari leher ummat Islam apabila berleluasa di dalam Islam mereka yang tidak mengetahui sepak terajang jahiliyyah (musuh).
Selain itu kita juga mempunyai akses kepada internet dan membolehkan kita untuk mendapat gambaran yang lebih seimbang tentang apa yang berlaku di Malaysia. Kurangkanlah daripada menghabiskan masa dalam perkara-perkara lagha dan tidak berfaedah seperti menonton movie dan anime sampai berjam-jam, bermain game dan sebagainya. Luaskan perspektif kita dengan membaca buku-buku yang berfaedah supaya minda kita lebih terbuka dan tidak taksub dari segi pemikiran atas sebab kemalasan, keegoan yang datang daripada diri kita sendiri.
Jadilah `Well-Informed- student’ bukan sekadar Tukang angguk.
Walaupun kita sebagai pelajar tidak dibenarkan untuk terlibat secara aktif di dalam pilihanraya tetapi kita bertanggungjawab untuk mengetahui perkembangan apa yang berlaku di Malaysia. Kita juga mesti sedar bahawa kita tidak boleh hanya bergantung kepada media masa yang begitu mudah diperkotak-katikkan oleh pihak kerajaan tetapi juga melihat apa yang tersingkap di sebalik blog-blog mahupun web TV yang dikelolai oleh pihak pembangkang bagi mendapat gambaran dan penerangan yang lebih jelas dan seimbang. Sebagai penyokong kerajaan mahupun pembangkang kita seharusnya menjadi seorang penyokong yang berinformasi dan bukan semata-mata pak turut dan tukang angguk. Kaji dan fahamkan dasar yang diperjuangkan oleh mereka, apakah manifesto mereka untuk pilihanraya kali ini dan juga kajilah track-record mereka semasa mereka memerintah. Janganlah jadi seperti stereotaip orang Melayu yang begitu mudah berpuas hati dengan keadaan semasa selagi mana cukup makan, negara aman dan selamat. Insya Allah kita akan lebih bijak dalam membuat pilihan apabila sampai masanya.
Persiapan kita sekarang
Perkukuhkan integriti kita sebagai manusia yang mementingkan prinsip keadilan supaya kita tidak mudah digula-gulakan dengan kemewahan dan perkara-perkara material yang dijaja oleh setengah pihak. Jadilah manusia yang amanah!
Selain itu khas untuk pelajar yang bergelar muslim, kita perlu mendalami ilmu islam terutamanya ilmu usuluddin dan tidak lupa juga kepada tazkiyyatun nafs bagi menyucikan diri kita sebagai persiapan sebelum kita pulang. Sesungguhnya politik di Malaysia itu sendiri telah dicemari dengan korupsi dan budaya yang tidak sihat dan jelas bertentangan dengan syariat Islam jadi kita perlu persiapkan diri supaya kita tidak menggadaikan maruah kita demi kepentingan diri sendiri.
Sekian sahaja daripada saya. Saya meminta maaf jika penulisan saya mengguris mana-mana pihak. Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah swt dan segala keburukan datang daripada kelemahan diri saya sendiri. Allahua’lam.
No related posts.
satu penulisan yang baik..jzkk